Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
- Basuh, kering dan lipat sendiri
- Pembenihan awan 'penyelamat' musim kering
- Jadual rentang daripada kayu
Basuh, kering dan lipat sendiri Posted: Basuh, kering dan lipat sendiriOleh NADIA SHAIFUL BAHARI KIRA-KIRA sedekad lalu, Khairul Ikhsan Shah Kamal Bashah, 27, terpaksa menyental baju dan seluar sebaik tamat sesi latihan sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Biarpun keletihan, dia tetap meneruskan rutin tersebut kerana tiada pilihan lain dan masih menetap di asrama pada waktu itu. Setahun kemudian, dia menerima risalah mengenai dobi layan diri yang diletakkan dalam peti surat rumah bujangnya yang terletak di Bukit Jalil. Tawaran istimewa yang tertera pada risalah tersebut menarik minat jejaka yang berasal dari Perak itu untuk mencubanya buat kali pertama. Kini, walaupun sudah lama menamatkan pengajian dan telah bekerja di sektor swasta, dia masih membasuh dan mengeringkan pakaian di kedai dobi layan diri. "Saya lebih yakin dengan kebersihan pakaian berbanding jika dihantar ke kedai dobi biasa. Jika di dobi biasa, ada antara pengusaha dobi yang suka mencampurkan pakaian pelanggan lain dalam satu cucian bagi mengaut keuntungan lebih. "Kebanyakan dobi layan diri ada menjual sabun dan pelembut pakaian bagi memudahkan pelanggan yang mungkin terlupa untuk membawa 'barang wajib' itu bersama," katanya sambil berseloroh ketika ditemui di Kedai Dobi 96 di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini. Khairul Ikhsan Shah akan mencuci pakaian di kedai dobi pada setiap hujung minggu. Luahnya, terdapat kekurangan yang masih boleh dibaiki oleh pemilik-pemilik dobi iaitu keperluan menyediakan ruang menunggu yang selesa dan secukupnya kepada pelanggan. PELANGGAN wanita ini memasukkan cecair pencuci ke bekas yang disediakan. Mutakhir ini, dobi berkonsep layan diri sudah semakin banyak dibuka. Ia tidak terhad kepada bandar-bandar besar sahaja malah terdapat permintaan terhadap perkhidmatan tersebut di kawasan luar bandar. Sejarah Seawal tahun 1949, dobi layan diri atau dobi syiling sudah mula diperkenalkan di England. Ia adalah satu kemudahan pelanggan mencuci dan mengeringkan pakaian mereka sendiri. Di England, perkhidmatan tersebut dikenali sebagai launderettes manakala di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia pula digelar laundromats. Di Malaysia, kebanyakan premis dobi layan diri beroperasi selama 24 jam sehari dan menawarkan harga yang berpatutan. Sekali cucian bermula pada harga RM4 dan RM4 lagi dikenakan untuk proses pengeringan. Operasi dobi yang menggunakan syiling terdiri daripada tiga perkara asas iaitu penjagaan, penyelenggaraan dan pengurusan kutipan bayaran. Dalam pada itu, seorang guru di Terengganu, Munirah Mohamad, 24, mengakui pernah menggunakan dobi layan diri ketika masih bergelar pelajar di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur. Baginya, dobi layan diri lebih menjimatkan masa dan wang. "Saya hanya memperuntukkan masa lebih kurang 45 minit bagi mencuci dan mengeringkan pakaian. Tambah menarik, dobi yang dikunjungi beroperasi selama 24 jam memudahkan pengguna untuk datang mencuci pakaian pada bila-bila masa. "Harga pula jauh lebih murah. Jika dobi biasa mengenakan RM2.50 hingga RM3.50 untuk setiap kilogram pakaian, dobi layan diri hanya menelan belanja RM11 untuk kos cucian dan pengeringan. Bagi pengguna yang menggunakannya buat kali pertama, arahan penggunaan mesin ditampal dengan jelas dan memudahkan pengguna," ujarnya. KHAIRUL IKHSAN SHAH melipat kain di ruang yang disediakan di Kedai Dobi 96 selepas pakaian siap dikeringkan. Memandangkan mesin basuh di dobi tersebut memerlukan duit syiling untuk beroperasi, Munirah berharap pemilik dobi di negara ini dapat menyediakan mesin pertukaran wang syiling kepada pengguna pada masa akan datang. Antara dobi layan diri yang popular dalam kalangan pengguna ialah Clean Pro Express, Dobi Papa, My Laundry, Wash & Save dan Dobi JJ. Pakaian hilang Menurut seorang pekerja swasta, Mohd. Aiyuha Sulaiman, 25, pakaiannya kerap hilang dan kadangkala cucian tidak begitu bersih selepas menghantarnya ke dobi biasa. "Saya masih menghantar pakaian ke dobi biasa kerana hanya perlu hantar dan mengambil semula pada keesokan harinya. "Bagi saya, perkhidmatan sebegini lebih memudahkan kerana tidak perlu fikir untuk basuh, bilas, jemur dan lipat. Segala-galanya pekerja dobi yang lakukan," ujar bekas atlet lompat galah kebangsaan tersebut. Biarpun dobi biasa menawarkan perkhidmatan yang lebih mahal iaitu antara RM8 hingga RM12 bagi sekali cucian kerana bergantung pada berat pakaian, Mohd. Aiyuha ada sebabnya tersendiri. Jalan penyelesaian Masalah baju berbau menjadi faktor utama bagi pemuda yang berasal dari Negeri Sembilan itu untuk memilih dobi sebagai jalan penyelesaian. Tambahnya, menetap di pangsapuri menyukarkannya untuk menjemur pakaian disebabkan ruang yang terhad. Trend perkhidmatan dobi di Malaysia semakin berkembang dan memberi pilihan kepada pengguna untuk menguruskan kerja rumah dan kewangan dengan lebih bijak.
Sementara itu, seorang suri rumah, Hanum Mokhtar, 35, berkata, bil elektrik dan air di rumahnya dapat dijimatkan daripada RM600 kepada RM300 sebulan selepas menghantar pakaian ke dobi layan diri pada setiap minggu. "Sudah banyak kedai dobi layan diri yang saya kunjungi dan saya paling suka mencuci pakaian di Kedai Dobi 96 kerana harganya lebih murah. Sekali cucian baru RM4 berbanding tempat lain yang mengenakan harga berdasarkan berat muatan. "Walaupun saya tinggal di Taman Shamelin, Cheras, Kuala Lumpur yang terletak kira-kira enam kilometer dari dobi ini, saya lebih selesa ke sini pada setiap minggu kerana ia dilengkapi dengan mesin tukaran syiling, sabun, peluntur dan air minuman," katanya. | |
Pembenihan awan 'penyelamat' musim kering Posted: Pembenihan awan 'penyelamat' musim keringOleh HAFIZ AHMAD KAPAL terbang ini sedang melakukan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan. KRISIS air yang melanda beberapa negeri ketika ini menjejaskan kehidupan harian orang ramai termasuk merencatkan pembangunan negara. Ia lanjutan cuaca panas dan kering berikutan kadar hujan di kawasan terbabit amat sedikit terutamanya di utara Semenanjung Malaysia sejak awal Januari lepas. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Cuaca Nasional, Jabatan Meteorologi menyatakan fenomena itu akan berterusan sehingga penghujung bulan ini memandangkan kutipan hujan mula bertambah sekitar awal dan pertengahan Mac depan. Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, catatan tertinggi direkodkan ialah 36 darjah Celsius di negeri-negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah. "Walaupun wujud kelompok-kelompok awan di beberapa kawasan tetapi jumlahnya tidak banyak," ujarnya kepada Kosmo! baru-baru ini. Cuaca panas menyebabkan empangan di negeri-negeri terlibat menghadapi pengurangan drastik. Mengikut catatan Empangan Sungai Selangor minggu lalu, baki air hanya 58 peratus manakala Empangan Klang Gate cuma 57 peratus. Sehubungan itu, bagi mengatasi kekurangan air kepada penduduk setempat, cadangan melakukan pembenihan awan dilihat sebagai langkah terakhir bagi mengembalikan jumlah takungan air. Pembenihan awan dilakukan di kawasan takungan air memandangkan ia menjadi sumber utama orang awam mendapatkan air bersih. Teknik itu dilakukan untuk meningkatkan penghasilan awan pada satu kawasan tertentu. Awan yang terkumpul akan menurunkan hujan pada kawasan yang diinginkan. "Selain itu, kawasan tersebut juga perlu ada awan kerana jika tiada awan berdekatan, proses pembenihan tidak dapat dilakukan," ujar Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail. Beliau menambah, awan yang bersesuaian juga memainkan peranan penting dalam proses tersebut. Kebiasaannya, awan yang digunakan daripada jenis Towering Cumulus (kumulus menjulang). Pembenihan awan di China semakin giat dijalankan bagi membantu negara itu yang berdepan pencemaran udara. Bagi membolehkan ia dilakukan dengan berkesan, ketidakstabilan angin memainkan peranan penting agar pembentukan awan yang sesuai untuk proses pembenihan. "Angin tidak boleh terlalu kuat kerana ia boleh menyebabkan pembentukan awan tidak berada pada kawasan yang dimahukan," jelasnya. Jenis pembenihan awan Terdapat dua jenis pembenihan awan yang biasa dilakukan di Malaysia iaitu Dry Seeding (pembenihan kering) dan Wet Seeding (pembenihan basah). Melalui Dry Seeding, juruterbang akan membakar katrij yang mengandungi bahan garam berbentuk solid ke awan. Ia akan menyebarkan garam ke kawasan sekitar bagi membentuk awan. Teknik Wet Seeding menggunakan larutan garam dan air yang dimasukkan dalam satu tangki. Apabila sampai ke kawasan pembenihan, larutan tersebut akan disebarkan oleh juruterbang. "Nukleus-nukleus garam tersebut akan menarik wap air bagi menghasilkan awan," kata Che Gayah. Beliau menjelaskan, bahan kimia yang terdapat dalam sebatian garam tidak menjejaskan kesihatan orang awam kerana ia digunakan dalam kuantiti yang sedikit. "Malah, bahan kimia yang dipanggil silver iodide itu juga digunakan dalam kebanyakan perubatan komersial. Maka, ia tidak menjejaskan keselamatan individu," terang Che Gayah. Kaedah pembenihan juga dilakukan di beberapa negara yang dilanda musim kemarau. Di Emiriah Arab Bersatu (UAE), ia telah digunakan sejak 10 tahun yang lalu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, negara tersebut semakin giat melakukan teknik penghujanan segera itu disebabkan kadar penurunan hujan yang sedikit. Tahun lalu, UAE telah melakukan lebih 200 misi pembenihan awan untuk membantu penduduk yang berdepan krisis air. Di China, pembenihan awam dilakukan untuk mengatasi masalah pencemaran. Negara Tembok Besar itu membelanjakan RM494 juta pada tahun 2011 bagi program pembenihan awan. Menurut Ketua Pentadbiran Meteorologi China (CMA), proses itu akan digiatkan melalui "program pengubahsuaian cuaca". Ia akan menggunakan lebih 280 bilion tan bagi membantu sektor pertanian dan pengindustrian di negara itu. | |
Posted: Jadual rentang daripada kayuKAJIAN yang dilakukan akan membantu industri pembinaan dan perkayuan negara. MAJLIS Perkayuan Malaysia (MTC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bekerjasama untuk menghasilkan jadual rentang (span table) pertama untuk kayu lapis berperekat (glulam) yang diperbuat daripada kayu-kayan Malaysia. Jadual rentang lazimnya dihasilkan oleh jurutera struktur bagi menentukan beban maksimum yang mampu ditanggung oleh rasuk atau alang kayu yang diperbuat daripada glulam pada panjang yang tertentu. Sebelum menyediakan span table daripada spesies kayu tertentu, pelbagai ujian harus dijalankan terlebih dahulu ke atas glulam berkenaan mengikut dimensi atau ukuran yang berbeza. Spesies kayu Mengkulang (Heritiera spp.) dipilih bagi ujian rintis ini. Baru-baru ini, glulam yang diperbuat daripada kayu Mengkulang telah siap diuji di Makmal Struktur Berat di Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM. Ujian yang julung-julung kali dijalankan ke atas glulam Mengkulang itu, melibatkan penggunaan daya tekanan tinggi ke atas glulam sepanjang 12 meter untuk menentukan beban maksimum yang mampu ditanggung. "Ujian tersebut dapat memberi petunjuk berkenaan keupayaan glulam Mengkulang dalam menanggung tekanan fizikal yang tinggi," kata Pengarah Institut Kejuruteraan Infrastruktur dan Pengurusan Mampan UiTM dan Pengarah Projek, Dr. Zakiah Ahmad. "Ujian tersebut turut menghasilkan data penting dalam mengenal pasti lokasi optimum tanggam jejari untuk kayu Mengkulang pada kepanjangan yang berbeza-beza," ujarnya. Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Yeo Heng Hau berkata, proses lapisan yang digunakan dalam pembuatan glulam membolehkan struktur glulam yang lebih panjang mampu menampung beban yang lebih berat berbanding kayu yang tidak berlapis. GLULAM berukuran 12 meter digunakan dalam uji kaji yang dijalankan oleh UiTM dan MTC. Tiada ujian "Pada masa ini, tiada ujian yang telah dijalankan ke atas glulam yang diperbuat daripada kayu Mengkulang. Selain itu, tiada sebarang jadual rentang yang boleh diguna pakai oleh arkitek atau pereka bagi membantu mengenal pasti kegunaan spesies ini sebagai bahan struktur yang mampu menampung beban. "Tanpa jadual tersebut sebagai bahan rujukan, kegunaan kayu Mengkulang dan spesies kayu Malaysia yang lain mungkin terhad kepada aplikasi tanpa-beban sahaja," jelas Heng Hau. Lanjutan daripada ujian tersebut, Prof. Dr. Zakiah dan pasukan kaji selidiknya akan terus menjalankan ujian untuk memastikan kekukuhan perekat yang digunakan dalam proses laminasi glulam. Uji kaji ini dijangka siap dalam masa tiga bulan. Pokok mengkulang berasal dari Asia Tenggara dan banyak didapati di Malaysia. Kayu mengkulang biasanya diproses untuk dijadikan lantai, tangga, panel serta bingkai pintu dan tingkap. Ujian tekanan fizikal ke atas glulam Mengkulang ini akan dapat meluaskan lagi aplikasinya sebagai bahan struktur binaan. Glulam merupakan kayu berperekat yang diperbuat daripada beberapa lapisan kayu. Glulam memiliki nisbah kekuatan berbanding berat yang lebih baik berbanding besi dan ia boleh dibentuk untuk dijadikan rasuk atau alang yang lurus mahupun melengkung. Walaupun baru diperkenalkan di Malaysia, ia berpotensi untuk digunakan secara lebih meluas dalam industri binaan dan landskap seni bina negara, terutamanya dengan usaha MTC yang berterusan dalam menggalakkan penggunaan glulam. Glulam telah digunakan secara meluas di beberapa negara maju sebagai komponen struktur, terutamanya bagi mencapai rentang yang panjang dan tidak bertiang, contohnya dalam pembinaan stadium sukan dan jambatan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |