{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Zainab dalam diri Nasha

Posted:

Zainab dalam diri Nasha

Zainab dalam diri Nasha

PADA tahun 2006, pelakon cantik, Nasha Aziz pernah membuat kemunculan sulung di pentas teater apabila dipilih untuk membintangi teater arahan Rosminah Tahir berjudul Lantai T. Pinkie.

Sejak itu, dia tidak pernah lagi terbabit dengan pementasan teater. Setelah lapan tahun berlalu, dia kini akan membuat kemunculan semula dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah.

Memandangkan jarak yang agak panjang antara kedua-dua teater berkenaan, pasti ada sesuatu yang menarik perhatian Nasha untuk membintangi teater tersebut. Adakah kerana teater ini diadpatasi daripada karya ulama dan novelis terkenal, Allahyarham Prof. Dr. Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka itu?

"Bukan tidak pernah mendapat tawaran berlakon teater selepas Lantai T. Pinkie dahulu. Cuma, tiada sebarang tawaran yang mampu membuatkan saya betul-betul 'jatuh cinta' untuk menerimanya sehingga ditawarkan berlakon dalam teater Di Bawah Lindungan Kaabah.

"Meskipun pernah menolak beberapa tawaran yang diberikan saya tetap memberikan sokongan kepada dunia teater dan kalau ada kelapangan saya akan pergi menontonnya," jelas Nasha ketika ditemui semasa majlis pelancaran teater berkenaan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Nasha, antara barisan pelakon lain yang turut menjadi pilihan IB dan Rosminah seperti Adi Putra, Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi, Liza Abdullah dan Zila Bakarin.

Mengakui sangat rindu untuk berlakon teater setelah tidak beraksi dalam tempoh yang lama, Nasha menyatakan dia selesa bekerja dengan Rosminah yang sudah dianggapnya sebagai seorang kakak.

"Saya tahu berlakon teater memberikan satu cabaran yang cukup berbeza berbanding filem atau drama. Bagaimanapun, suasana bekerja dengan orang-orang teater serta merasai pengalaman berkampung di Istana Budaya dahulu merupakan satu pengalaman yang sangat berharga.

NASHA AZIZ dan Adi Putra menggalas tanggungjawab yang besar dan berat sebagai teraju utama pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah.


"Memandangkan saya merupakan individu yang tidak gemar membuat beberapa pekerjaan dalam satu masa, jadi saya telah menolak tawaran berlakon yang lain semata-mata mahu terbabit dengan teater ini," ujarnya yang memegang watak sebagai Zainab.

Menceritakan tentang pembabitannya dalam teater berkenaan, antara faktor yang membuatkan dia berminat kerana cukup tertarik dengan cerita yang ditampilkan iaitu dekat dengan kehidupan peribadinya.

Menurut pemilik nama sebenar Noraishah Abdul Aziz itu, biarpun ramai yang melihat dirinya sebagai seorang wanita moden, namun dia mempunyai prinsip yang sangat tegas terutamanya berkaitan cinta.

"Zainab terpaksa mengorbankan cintanya terhadap Hamid disebabkan adat. Saya merasakan kisah yang dihadapi oleh Zainab itu tidak terlalu jauh dengan realiti kehidupan sebenar yang saya lalui sebelum ini.

"Sebenarnya, saya seorang yang cukup konservatif dalam bercinta. Saya tidak akan melakukan sesuatu perkara yang disuruh oleh pasangan sekiranya melanggar prinsip sebagai wanita Islam dan lebih rela mengorbankan cinta saya itu," luahya.

Apabila ditanya tentang kisah cintanya pula, Nasha yang mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas panjang memberitahu, ketika ini dia sedang menantikan cinta seorang lelaki yang sejati dan ikhlas.

"Kalau ditanya tentang ciri-ciri lelaki yang menjadi pilihan saya, masalah paling utama ialah ciri-ciri tersebut dimiliki oleh lelaki yang sudah bergelar suami orang," ujarnya ringkas.

Perniagaan

Memandangkan wajahnya sekarang ini agak kurang kelihatan sama ada di layar perak atau kaca televisyen, Nasha ditanya tentang aktiviti yang dilakukan sekiranya tidak terbabit dalam sebarang penggambaran drama atau filem.

Menurut Nasha, sekiranya jadual hariannya tidak padat dengan aktiviti seni, dia akan memberi lebih tumpuan terhadap perniagaan yang sedang diusahakannya ketika ini.

"Sebenarnya ketika ini saya ada memiliki tiga perniagaan yang membabitkan korporat, kecantikan serta sebuah perniagaan lagi yang ada berkaitan dengan dunia seni.

"Memang tidak ramai yang mengetahui tentang perniagaan yang diusahakan dan saya pun tidak bercerita sangat mengenainya kerana merasakan perniagaan saya itu tidak memerlukan sebarang publisiti," jelasnya yang terus merahsiakan perniagaan yang diusahakannya itu.

Berkenaan dengan aktiviti lakonannya pula, dia memberitahu ingin memberi sepenuh komitmen terhadap teater Di Bawah Lindungan Kaabah terlebih dahulu dan akan kembali berlakon semula setelah selesai pementasan teater berkenaan.

NASHA mengambil pendekatan tidak mengulas panjang tentang kisah peribadinya.


Kontroversi

Selain Nasha, seorang lagi pelakon yang turut menjadi pilihan untuk berlakon dalam pementasan teater Di Bawah Lindungan Kaabah ialah Adi Putra yang membawakan watak sebagai Hamid.

Menurut Adi, dia mengakui akan ada segelintir pihak yang akan mengaitkan pembabitannya dalam teater berbentuk keagamaan itu dengan kontroversi yang pernah dihadapinya sebelum ini.

"Saya lagi suka kalau ada yang mengaitkan kontroversi saya itu kerana ia merupakan satu publisiti untuk pementasan teater ini. Lagipun saya sudah menerima tawaran daripada Rosminah sejak bulan November tahun lalu.

"Tidak kisah apa yang orang hendak kata kerana saya menganggap segala yang berlaku itu ada hikmahnya. Walaupun berhadapan dengan kontroversi, rezeki saya dalam bidang lakonan semakin bertambah," luahnya dengan penuh keyakinan.

Cerita Adi mengenai wataknya sebagai Hamid dalam teater berkenaan, pelakon berasal dari Singapura itu menyatakan ia akan memberi satu cabaran tersendiri apabila melakonkan watak seorang lelaki warak.

Bagaimanapun, dia sesekali tidak akan menonton naskhah novel tersebut yang pernah diadaptasi ke dalam filem sebelum ini kerana tidak mahu terlalu terikut-ikut dan ingin tampil dengan cara lakonan yang tersendiri.

"Bagi saya, membawakan watak sebagai seorang lelaki gengster lebih mudah rasanya berbanding watak lelaki warak. Agak risau juga kalau mendapat kritikan sekiranya gagal membawakan watak Hamid dengan berkesan, tetapi saya berusaha untuk memberikan yang terbaik," ujarnya.

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

Posted:

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

Hanez Suraya cari suami bukan kekasih

Oleh HARYATI KARIM

HANEZ mengakui mula berkenalan dengan bakal suaminya sejak hujung tahun lalu.


BERITA pelakon jelita, Hanez Suraya, 29, bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini bersama seorang ahli perniagaan berusia 34 tahun dalam sebuah akhbar mingguan baru-baru ini agak mengejutkan banyak pihak.

Tiada angin, tiada ribut, bekas kekasih penyanyi Awi Rafael itu tiba-tiba sahaja mahu berkahwin. Hanez yang dihubungi Kosmo! tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya bakal bergelar isteri.

Bagaimanapun, Hanez masih lagi merahsiakan identiti bakal suami, tarikh dan lokasi pernikahan kerana semuanya masih dalam peringkat perancangan.

Tegas Hanez, dia ada sebab untuk terus berkahwin dan tidak bertunang seperti orang lain. Ikuti temu bual Kosmo! selanjut bersama Hanez.

Kosmo!: Kenapakah tiba-tiba sahaja terbuka hati Hanez untuk berkahwin?

HANEZ: Sebelum ini, apabila sudah kecewa bercinta saya tidak fikir soal perkahwinan. Apabila kenal seseorang yang jujur dan ikhlas untuk memperisterikan saya, buat apa tunggu. Jika saya tolak, bila lagi saya akan berkahwin. Jika saya minta dia tunggu, sampai bila dia sanggup tunggu. Mungkin sudah sampai jodoh.

Apakah keistimewaan bakal suami sehingga Hanez menerima lamarannya?

Kami kenal sejak hujung tahun lalu, tidaklah terlalu lama. Saya tidak kisah andai bakal suami saya orang yang sederhana kerana saya juga bukan datang daripada keluarga kaya raya. Terus-terang saya katakan sebelum mengenali bakal suami, saya memang mencari lelaki untuk dijadikan suami, bukannya kekasih untuk mengisi kesunyian. Bakal suami saya juga begitu. Dia kata, dia sudah ada semua benda kecuali isteri. Melihat keserasian dan kesungguhan nya itu membuatkan saya setuju.

Adakah Hanez sengaja memilih orang di luar industri seni untuk dijadikan suami selepas kecewa bercinta dengan artis?

Saya akui pengalaman lalu banyak mengajar saya. Bukan mahu memburukkan orang lain tetapi jika bekerja dalam industri yang sama, masa untuk berjumpa sangat terhad. Lebih baik saya cari orang di luar industri, andai bakal suami suruh saya berhenti berlakon saya akan ikut tetapi semuanya boleh dibincang dengan baik.

FIGURA ini mahu terus melangsungkan perkahwinan tanpa bertunang terlebih dahulu.


Mengapakah Hanez merahsiakan identiti bakal suami dan tarikh pernikahan?

Bakal suami bukan orang dalam industri seni, jadi tidak perlu untuk saya kenalkan sehingga dia sah menjadi suami saya. Begitu juga dengan tarikh nikah. Bukan apa, saya bimbang jika dihebahkan terlalu awal majlis tidak menjadi seperti dirancang. Majlis risik dan bertunang jika berlaku, hanya untuk keluarga, tetapi majlis nikah saya akan beritahu dan jemput semua orang termasuk pihak media. Bagi saya, perkara baik buat apa saya sorok. Apa yang pasti, saya akan berkahwin pada tahun ini juga.

Adakah Hanez ingin berkahwin dalam tahun ini juga kerana mengejar sasaran untuk berkahwin sebelum ini 30 tahun?

Sejujurnya, saya pernah letak sasaran untuk kahwin sebelum 30 tahun tetapi selepas putus cinta saya tidak fikirkan perkara itu. Saya serahkan semuanya kepada takdir. Saya percaya apabila terlalu mengharap dan mencari, cinta itu tidak akan akan datang. Namun apabila saya tidak cari, cinta itu datang dengan sendirinya tanpa saya sangka.

Mengapakah Hanez enggan mengadakan majlis pertunangan?

Bagi saya, bertunang itu sekadar adat, lainlah kalau saya tidak kenal siapa bakal suami. Kalau boleh saya mahu adakan satu majlis sahaja. Jimat masa dan kos. Idea saya memang ringkas, tetapi sebagai anak sulung, pastinya keluarga ingin lihat saya bertunang. Jika bertunang, mungkin sekadar cukup syarat sahaja dan diadakan sekali gus dengan majlis merisik.

Bagaimanakah dengan persiapan perkahwinan?

Sepatutnya sudah mula cari apa yang patut terutama lokasi pernikahan dan resepsi. Masalahnya, kami berdua sangat sibuk, jadi saya baru sahaja mula buat apa yang patut.

Saya harap peminat dan masyarakat doakan majlis perkahwinan saya berjalan dengan lancar.

Takdir jodoh Erra

Posted:

Takdir jodoh Erra

Takdir jodoh Erra

Oleh HARYATI KARIM

SAAT bahagia Erra dan Emran sewaktu majlis resepsi perkahwinan mereka pada 2007.


SEMALAM peminat seni tanah air dikejutkan dengan berita penceraian primadona filem Melayu, Erra Fazira, 40, dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 39. Mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam, Selangor.

Mereka bercerai secara baik selepas tujuh tahun berkahwin dan bersetuju menyerahkan hak penjagaan anak tunggal mereka, Engku Aleesya, 5, kepada Emran.

Dalam pertemuan dengan media di pekarangan mahkamah, Erra mengulas ringkas tentang takdir jodohnya bersama Emran yang tidak berpanjangan.

"Kami telah berbincang tentang perpisahan ini sebelum ini. Saya bersyukur kerana penceraian ini berlaku secara baik. Selepas ini saya akan lebih fokus kepada karier," ujarnya ringkas.

Erra kemudian meminta jasa baik pihak media agar tidak terus mendesak dan mengasaknya dengan persoalan tentang penceraian tersebut.

Pintanya yang telah setahun tidak sebumbung dengan Emran sebelum bercerai: "Saya minta tinggalkan saya (bertanya tentang hal penceraian) supaya hidup saya jadi lebih aman."

Ironi, berita penceraian itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sejak tahun 2009, cerita tentang pergolakan rumah tangga mereka sudah mula disiarkan di dada akhbar.

Kosmo! mengimbas ke belakang rentetan berita tentang rumah tangga bekas ratu cantik Malaysia ini. Pada tahun 2009 ketika pihak media mula kecoh kononnya rumah tangganya retak kerana orang ketiga, Erra menafikannya.

"Terus-terang, tidak ada pergolakan dalam rumah tangga saya. Saya pun tidak pernah mendengar berita pasal wujudnya pihak ketiga antara kami.

"Namun, saya tidak mahu cepat melatah. Gosip seperti ini asam garam dalam kehidupan seseorang artis dan saya sudah bersiap sedia," katanya.

Sejak itu, hampir setiap tahun ada sahaja berita tentang kemelut rumah tangganya sehingga pernah timbul gosip kononnya Emran sudah berkahwin lain.

Sabar dengan segala berita tentang rumah tangganya, ini jawapan yang diberikan Erra dalam temu bual pada November 2010.


ENGKU EMRAN melepaskan Erra Fazira dengan talak satu. Dia bagaimanapun 'lari' sebaik proses penceraian tersebut selesai.


"Saya rasa ada dua kemungkinan mengapa orang itu menyebarkan cerita palsu ini. Satu, mungkin kerana dia terlalu kreatif sehingga mendapat idea untuk mereka cerita itu, dan satu lagi sebab mungkin kerana dia terlalu membenci saya.

"Maklumlah, dalam dunia ini bukan semua orang akan suka dengan kita. Lebih-lebih lagi kalau terlibat dalam dunia hiburan. Pasti ada yang suka dan pasti ada yang tidak suka," ujar Erra.

Dalam masa yang sama, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik juga menolak pendapat yang mengatakan tindakannya yang jarang membawa suami ke acara yang dihadiri adalah punca kepada gosip itu tersebar.

"Saya memang tidak suka membawa suami ke majlis-majlis yang perlu saya hadiri. Ini kerana, saya pergi atas dasar bekerja. Saya senang bekerja sendiri. Bukan sebab rumah tangga kami bergolak. Jadi, jangan salah sangka," jelas Erra.

Kemudian pada Jun 2012, Erra menyangkal khabar angin mereka mendapatkan khidmat kaunseling bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga.

"Macam-macam cerita orang bercakap mengenai perihal rumah tangga saya dan seolah-olah mereka lebih mengetahui apa yang berlaku berbanding diri saya sendiri.

"Jadi langkah yang lebih baik adalah untuk menutup mulut daripada banyak berkata-kata dan membiarkan apa sahaja kata-kata orang kerana saya tidak berdaya untuk menutup mulut mereka," balasnya.

Tidak lama selepas itu pada Mac 2013, tersebar cerita kononnya Erra dan Emran akan ke mahkamah syariah pada bulan April.

Bagaimanapun, Erra yang dihubungi ketika itu menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan pihaknya tidak tahu menahu tentang perkara itu.

Disember tahun lalu, apabila pihak media menyoalnya tentang rumah tangga, jawapan yang diberikan ibarat memberi isyarat awal tentang apa yang bakal berlaku.

"Saya akan beritahu apabila sampai masanya. Doakan yang terbaik untuk saya," tutur Erra.

Kini, ikatan murni tersebut terlerai juga akhirnya.

Erra dan Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007.

Sebelum itu Erra terlebih dahulu berkahwin dengan pengarah filem terkenal, Yusry Abdul Halim pada Jun 2003 dan bercerai tiga tahun kemudian.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat