Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Letak komitmen untuk perpaduan
- RM400,000 kos bina, naik taraf lima padang bola di Muar
- SAJH laksana bekalan air berjadual mulai hari ini
Letak komitmen untuk perpaduan Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST Oleh: Zulhisham Isahak MOHAMED Khaled Nordin (tengah) menerima cenderamata daripada Ng Kok Hwa pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina Daerah Muar di Sekolah Tinggi Chong Hwa, Muar, Johor, malam kelmarin. Turut hadir Wee Ka Siong (kanan). Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua kaum di negeri ini tidak harus mementingkan diri sendiri, sebaliknya harus bekerjasama bagi memastikan perpaduan dan kelangsungan pembangunan dapat diteruskan kerana pembentukan negeri atau negara ini adalah berasaskan keharmonian kaum. "Jika ini kita benarkan berlaku, matlamat untuk menjadi negara maju tidak akan berjaya. Kemajuan negara boleh tergugat jika tindakan pihak tertentu menghakis semangat kompromi yang menjadi teras perpaduan antara kaum di negara ini dibiarkan berlaku. "Pihak tertentu kini sedikit demi sedikit mempengaruhi supaya rakyat tidak lagi sedia berkorban, berkompromi dan mementingkan perjuangan sesuatu kelompok sahaja," katanya pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina Daerah Muar di Sekolah Tinggi Chong Hwa, di sini malam semalam. Yang turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi Gabungan Persatuan Cina Daerah Muar, Datuk Ng Kok Hwa. Menteri Besar berkata, semua kaum perlu mempertahankan perpaduan sedia ada dan perlu sanggup berkorban, tidak hanya mementingkan kelompok mereka serta sedia bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi. Menurutnya, orang Melayu harus bertolak ansur dan masyarakat Cina yang sudah maju dalam bidang ekonomi perlu terima dan membantu mereka supaya maju bersama. "Dalam soal mencapai perpaduan juga jangan bergantung kepada kerajaan sahaja. Tanpa sokongan rakyat, maka kita tidak akan capai perpaduan dan pada masa sama (perpaduan) tidak boleh disumbang oleh satu kaum tapi semua kaum yang terdapat di negara ini. "Tidak boleh kaum Melayu sahaja (sumbang perpaduan) tetapi kaum Cina, India dan lain-lain kaum perlu bangun bersama-sama dan letakkan komitmen untuk perpaduan," katanya. Justeru, kaum Cina perlu bersama pemerintah sedia ada dengan cara meletakkan wakil mereka dalam kerajaan agar dapat menangani sebarang masalah yang dihadapi mereka, sekali gus mengelak daripada terpinggir. |
RM400,000 kos bina, naik taraf lima padang bola di Muar Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST RAZALI Ibrahim (tengah) meninjau keadaan padang bola sepak di Muar, Johor, baru-baru ini. - utusan/Ishak Rahmad MUAR 17 Feb. - Tiga padang bola akan dibina di daerah ini, manakala dua lagi yang sedia ada akan dinaik taraf pada tahun ini dengan melibatkan kos lebih RM400,000. Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, projek itu membabitkan lima zon yang bertujuan menyedia kemudahan serta meningkatkan lagi kualiti sukan bola sepak di daerah ini. "Tiga padang baharu akan dibina dengan setiap satu dianggarkan kira-kira RM120,000 iaitu di Parit Bulat dalam Zon Sri Menanti, Parit Amat Laut (Zon Parit Bakar), Bukit Mor (Zon Parit Jawa). Tapaknya sudah pun dikenal pasti. "Cuma di Bukit Mor untuk Zon Parit Jawa, kita sedang menunggu kelulusan tanah daripada pihak Jabatan Kerja Raya," katanya selepas melawat padang bola sepak di Parit Amat Laut, di sini. Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, dua padang sedia ada turut dinaik taraf iaitu di Stadium Sultan Ibrahim (Zon Bandar) dan sebuah lagi di Sungai Balang Bentung (Zon Sungai Balang). Menurutnya, semua padang bola berkenaan berkeluasan 1.2 hektar dan dilengkapi pagar di kawasan sekelilingnya selain mempunyai kemudahan asas seperti pejabat pengurusan, tandas, bilik persalinan serta gerai. "Ketika ini kita tidak mempunyai padang bola yang sempurna. Diharap padang baharu itu nanti bukan sahaja dimanfaat untuk aktiviti bermain bola sepak, malah sukan lain," katanya. Mengenai lawatannya di khemah sementara yang didiami keluarga Roslan Ibrahim, 40, selepas rumah mereka di Parit Nombor Tiga, Sungai Balang, dekat sini terbakar awal bulan ini, beliau berkata, bantuan sewajarnya akan diberikan. Beliau berkata, mangsa akan mendapat kediaman baharu melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sebelum ini beberapa bantuan sudah diberikan bagi meringankan bebannya bersama isteri, Aminah Muhamad, 35, dan lima anak mereka. |
SAJH laksana bekalan air berjadual mulai hari ini Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST JOHOR BAHRU 17 Feb. - Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH) akan melaksanakan bekalan air berjadual bermula esok ekoran paras air di Sungai Sembrong Kiri merosot kepada 0.2 meter hari ini melebihi paras kritikal iaitu 0.5 meter. Langkah ini berikutan loji kendalian Southern Water Corporation (SWC) hanya mampu beroperasi pada pengeluaran yang paling minimum. SAJH menasihatkan orang ramai khususnya penduduk yang mendapat bekalan air dari Loji Rawatan Air Sembrong Timur dekat Kluang agar menggunakan bekalan air secara bijak. Antara kawasan yang terjejas esok adalah kawasan Zon A iaitu sekitar Kampung Melayu, Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, sekitar Kluang Baru, Taman Sayang, Kampung Paya, Taman Sri Indah, Kampung Palembang Baru, Taman Ilham, Taman Nasib, Taman Datuk Amar Diraja, Taman Kapten Ahmad, Taman Indah Jaya, Taman Matahati, Taman Makmur, Taman Fajar, Taman Indah Jaya 3, Taman Sri Tengah dan sekitarnya. Turut terjejas adalah kawasan Zon D meliputi sekitar Kampung Sri Lalang, Taman Bunga Raya, Taman Sri Lalang Baru, Ladang Nanyo, Taman Ria, Kampung Batu 6, Kampung Haji Hamzah, PLUS Air Hitam, Pusat Pertanian Air Hitam, SMK Sri Lalang, Taman Kirana, Kampung Bahagia, Taman Sri Impian, Air Hitam hingga kampung Sri Desa, Taman Bukit Indah, Tropika Village, Kampung Sri Burung dan sekitarnya. Selain itu turut terlibat adalah Zon G kawasan sekitar kem Jalan Dorset, Taman Kluang Indah, Taman Persona, Taman Bersatu, Kampung Kolam Air, Taman Kluang Jaya, Desa Harmoni, Taman Sri Andal, Kampung MIC Sri Lalang dan sekitarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |