{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


100 panggilan kebakaran sehari

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

ALOR SETAR 17 Feb. - Ekoran cuaca panas dan kering di negeri ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri sejak awal tahun ini menerima lebih 100 panggilan melibatkan kes kebakaran setiap hari.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Ahmad Shahabuddin berkata, jumlah itu meningkat lebih empat kali ganda berbanding sebelum ini sekitar 25 hingga 35 panggilan setiap hari.

"Justeru saya memohon semua pihak agar lebih berhati-hati pada masa ini. Bagi saya, jumlah kes pada tahun ini meningkat terlalu mendadak sedangkan kita baru dua hari melepasi pertengahan bulan Februari," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Negeri di sini hari ini.

Pada majlis yang sama Ahmad Shahabuddin turut menyaksikan penyerahan tugas oleh bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Hasbullah Awang kepada penggantinya, Sufian Hassan.

Statistik dikeluarkan JBPM menunjukkan 1,318 kes kebakaran dicatatkan di negeri ini sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.

Kebanyakan melibatkan kebakaran belukar serta lalang iaitu sebanyak 878 kes dan jumlah itu jauh meningkat daripada cuma 785 kes kebakaran bagi tempoh Januari dan Februari 2013.

Kata Ahmad, di sebalik peningkatan tersebut, sesuatu yang merunsingkan pihaknya adalah sikap tidak bertanggungjawab individu tertentu yang merosakkan pili bomba termasuk sesetengahnya mengalami kecurian.

"Tahun lalu saja, 480 unit pili bomba terpaksa dibaiki dengan kos pembaikan sebanyak RM212,208. Ini bukan saja sesuatu yang merugikan dari segi kewangan malah turut mendatangkan kesusahan sekiranya berlaku kecemasan di kawasan tersebut," katanya.

Ditanya situasi kebakaran di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Jabi, Pokok Sena dan tapak pelupusan sampah di Semeling, Bedong, Sungai Petani baru baru ini, beliau memberitahu anggotanya berada di tapak tersebut selama 24 jam bagi memantau keadaan untuk memastikan api padam sepenuhnya.

"Setakat ini kepulan asap dari bahagian bawah timbunan sampah itu masih ada. Memang sukar untuk memadamkannya kerana sampah-sampah itu tertimbus jauh ke dalam tanah selain penghasilan gas mudah terbakar akibat lambakan sampah sejak sekian lama.

"Kami menempatkan sekurang-kurangnya dua jentera di setiap lokasi berkenaan. Walaupun operasi di Jabi sudah mencecah lima hari, tetapi saya jangkakan usahanya akan mengambil masa sedikit lama kerana keadaan cuaca ketika ini," katanya.

Pandang serius isu salah guna laman sosial - Raja Muda

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) menerima cenderamata daripada Noor Aziah sambil diperhatikan oleh Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) dan Azlan Man (dua dari kiri) dalam Program Bicara Sakinah Peringkat Negeri Perlis 2014 di Dewan Warisan di Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 17 Feb. - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta rakyat di negeri ini supaya memandang serius isu penyalahgunaan laman sosial di internet seperti Facebook (FB) dan Twitter.

Baginda bertitah, ini kerana teknologi maklumat kini telah mengundang masalah seperti pergaulan sosial yang terlalu bebas.

''Kita perlu memberikan perhatian terhadap perkara ini supaya ia tidak menjejaskan usaha ke arah pembentukan 'Keluarga Sakinah' yang bermaksud tenang, dilindungi, penuh kasih sayang dan memperoleh pembelaan," titah baginda.

Baginda bertitah merasmikan Program Bicara Sakinah anjuran Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Kerajaan Perlis dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Warisan di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir Menteri Besar, Azlan Man dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Khairi Hassan dan Pengerusi MPWIM, Prof. Datin Noor Aziah Awal.

Pada majlis itu juga dibincangkan 'Isu Semasa Undang-Undang Keluarga Islam' oleh Pengerusi MPWIM, Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal, 'Cukup Wang Hati Tenang' oleh Rohani Datuk Shahir dan 'Keluarga Mithali Impian Kita' oleh Prof. Datin Paduka Dr. Jawiah Dakir dan Ustaz Hafiz Muhamad Haneefa Hussin.

Baginda juga bertitah supaya jabatan kerajaan mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperhebatkan lagi usaha, penerangan dan kesedaran terhadap pembentukan 'Keluarga Sakinah'.

Titah baginda, perselisihan faham antara suami-isteri memang tidak dapat dinafikan kerana ia adalah asam garam alam rumahtangga.

''Jadi tanganilah ia dengan penuh rasional dan bijaksana," katanya.

Baginda bertitah, berdasarkan statistik perkahwinan di negeri ini pada tahun lalu sebanyak 1, 870 pasangan telah berkahwin.

''Dalam tempoh yang sama juga sebanyak 513 pasangan telah mendaftarkan penceraian mereka," titah baginda.

Titah baginda, kesan paling berat akibat penceraian ini apabila kaum ibu atau isteri terpaksa menerimanya kerana sudah hilang tempat pergantungan iaitu suami.

Baginda bertitah, mereka terpaksa menjadi pemberi nafkah, membesarkan anak-anak dan terpaksa menyediakan keperluan asasi yang lain.

Keda belanja RM2 juta majukan inap desa Kampung Relau

Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST

BANDAR BAHARU 17 Feb. - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) telah membelanjakan lebih RM2 juta bagi menaik taraf kemudahan, promosi dan pembangunan pertanian di bawah program inap desa melibatkan penduduk di Kampung Relau, dekat sini sejak tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Datuk Arpan Shaari berkata, peruntukan besar tersebut dikeluarkan ekoran komitmen penduduk kampung berkenaan yang berjaya menunjukkan kejayaan dalam

menguruskan inap desa mereka sejak 10 tahun lalu.

"Walaupun pada peringkat permulaan, kita agak ragu-ragu meluluskan peruntukan yang dipohon, namun setelah membuat penilaian dan mendapati hasil program inap desa di sini amat baik, Keda akhirnya bersetuju menyalurkan bantuan.

"Pada masa sama, kita juga kagum dengan komitmen penduduk memajukan projek ini sejajar dengan matlamat Keda untuk meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk luar bandar menerusi progaram Pembangunan Semula Kampung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan arked niaga Keda berharga RM200,000 dan majlis pelancaran Koperasi Daya Maju Berhad Mukim Relau di Pekan Relau, dekat sini hari ini.

Yang hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor.

Arpan berkata, pembinaan arked niaga tersebut memudahkan penduduk bergabung menerusi koperasi bagi memasarkan produk mereka di situ.

Katanya, antara produk berkenaan adalah madu kelulut, daging rusa, kibas, ikan air tawar, mencanting batik dan kraftangan.

Tambahnya, selain itu, Kedah turut mengeluarkan peruntukan lebih RM100,000 untuk membina Dewan Orang Ramai di Kampung Ulu Kilang Batu, Relau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Relau, Abdul Razak Abdul Hamid, 56, memberitahu, lebih 100 penduduk terbabit dalam beberapa program yang dijalankan untuk memajukan sektor pelancongan, industri asas tani dan inap desa.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menghantar beberapa orang penduduk khususnya dalam kalangan belia untuk mengikuti kursus kemahiran pelbagai bidang untuk mengendalikan projek-projek di situ.

"Usaha ini secara tidak langsung mengelakkan golongan belia berhijrah ke luar kawasan," jelasnya.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu pula berkata, pihaknya memuji semangat ketekunan yang ditunjukkan penduduk Kampung Relau kerana dapat menguruskan pelbagai projek dengan jayanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat