Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Penagih optimis mengubah diriMEMBAWA gelaran penagih dadah bukanlah satu impian manusia yang waras fikirannya. Malah, penagih itu sendiri pasti menyesal kerana terlalu mengikut hawa nafsu hingga terjebak dalam kancah penagihan. Lebih teruk, golongan ini dipandang hina oleh masyarakat dan tidak kurang dibuang keluarga. Bagi Mohd. Shahbani Mat Din yang mula berjinak-jinak menghisap dadah seawal usia 17 tahun, penyesalan memang sentiasa ada dalam hatinya. Andainya waktu boleh diputar, lelaki berusia 35 tahun itu tidak akan sesekali menyentuh benda haram tersebut. Namun, telah tertulis dalam lipatan takdirnya bahawa dia akan memegang gelaran tersebut hingga ke akhir hayat. Bagaimanapun, Mohd. Shahbani tetap optimis untuk mengubah nasib diri. "Saya tidak mahu selama-lamanya digelar penagih dadah. Sekurang-kurangnya, biarlah saya dipanggil bekas penagih," jujur harapan yang diluahkan pemuda kelahiran Changlun, Kedah itu. Walaupun sudah hampir 18 tahun menagih, Mohd. Shahbani bernasib baik kerana tidak dijangkiti Virus Kurang Daya Tahan Penyakit Manusia (HIV) atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) yang selalu menyerang golongan berkenaan. Kini, dia nekad berubah dengan mengikuti program Spiritual Enhancement on Drug Addiction (Sedar) anjuran Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS). Melalui program itu, Mohd. Shahbani yang pernah bertugas sebagai anggota tentera selama empat tahun sebelum diberhentikan atas masalah disiplin, menerima rawatan terapi gantian metadon bagi mengurangkan kecenderungan untuk menagih dadah jenis heroin. Solat Selain itu, dia turut diberi kaunseling, psikologi dan bimbingan agama termasuk diajar bersolat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Selepas hampir lima bulan mengikuti program Sedar tersebut, Mohd. Shahbani mengakui, rutin hidupnya semakin teratur. "Sebelum mengikuti rawatan ini, saya pernah membeli metadon di klinik luar untuk menghilangkan ketagihan dadah. Namun, disebabkan masalah kewangan, saya tidak mampu meneruskannya sehinggalah saya diberitahu oleh rakan-rakan tentang program ini.
"Selepas mendaftar Oktober tahun lalu, saya mampu menjalani kehidupan seperti manusia normal lain. Buat masa ini, saya diberi dos metadon sebanyak 120 mililiter (ml) yang perlu diambil setiap hari. "Di bawah program Sedar, saya akan dibekalkan dos metadon untuk tempoh seminggu selain mengikuti sesi kaunseling dan kelas agama," ujar Mohd. Shahbani yang mengakui kehidupnya semakin tenang. Tambah anak kelima daripada enam beradik itu, walaupun sudah terlambat untuk menyesali nasib diri, tetapi dia berharap Allah menerima taubatnya dan mengampuni dosa-dosanya yang lalu. Mohd. Shahbani merupakan salah seorang daripada 50 pesakit rawatan terapi metadon yang berusia antara 18 hingga 60 tahun di bawah program Sedar. Dikendalikan oleh Pakar Psikiatri Komuniti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Rusdi Abd. Rashid, program itu turut mendapat tajaan Bank Rakyat selain tabung geran yang diperuntukkan. Menurut Rusdi, Sedar mula dilaksanakan di Masjid Ar-Rahman, UM pada tahun 2010. Ketika itu, terdapat kira-kira 100 pesakit. Bagaimanapun, ia terpaksa dihentikan kerana kekurangan dana sebelum dihidupkan semula pada September 2013. Namun, lokasinya dipindahkan ke Surau Ad-Deeniah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). "Uniknya, konsep rawatan yang diguna pakai ialah gabungan perubatan integrasi melalui metadon dan penambahan elemen spiritual psiko berbanding hanya memberi terapi metadon di klinik-klinik kerajaan. Berganding bahu "Program ini melibatkan komuniti masjid dan surau untuk sama-sama berganding bahu bagi membantu golongan penagih. Ini merupakan projek perintis dan kami menyasarkan penglibatan satu pertiga daripada kira-kira 6,000 buah masjid di Malaysia," terang Rusdi ketika ditemui Kosmo! di Surau Ad-Deeniah, PPUM, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Melalui program ini, penagih yang dirawat berupaya menjalani rutin harian dan bergaul dengan masyarakat serta kariah masjid. Rawatan terapi gantian metadon mula diperkenalkan pada tahun 2005 oleh Kementerian Kesihatan. Metadon merupakan dadah sintetik yang berfungsi menghilangkan ketagihan heroin yang dialami penagih. Berbanding heroin yang diambil dengan cara suntikan, metadon pula hanya perlu diminum oleh penagih. Bagi 100ml hingga 130ml dos metadon yang diambil, ia mampu bertahan sehingga 36 jam. "Penagihan merupakan satu penyakit kronik dan ia perlu dirawat. Fenomena relapse atau pengambilan semula sukar untuk dielakkan dalam kalangan penagih. "Jika dahulu, penagih akan mengambil heroin lima hingga enam kali sehari, tetapi menerusi rawatan terapi gantian metadon, mereka sekurang-kurangnya mengambil heroin sekali sebulan. "Justeru, metadon berfungsi sebagai ubat untuk mencegah komplikasi bukan menyembuh. Ia mampu mengurangkan kemudaratan dan membolehkan penagih berfungsi kepada masyarakat," ujar Rusdi sambil menegaskan program Sedar bertujuan untuk mengatasi masalah kekurangan klinik gantian metadon di negara ini. DOS metadon yang diberikan kepada pesakit bertahan untuk seminggu dalam program Sedar ini. Sementara itu, kaunselor program tersebut, Ustaz Mohd. Amirul Hanif Mohd. Nawawi, 28, memberitahu, bagi sesi kaunseling terdapat tiga sesi rawatan yang akan dijalani setiap pesakit atau penagih. Ia merangkumi sesi perkenalan dan mengenali latar belakang pesakit, mendapatkan respons selepas menjalani program Sedar dan membuat susulan. "Biasanya, kita akan berbual santai bersama mereka untuk mengetahui sejarah pembabitan dengan dadah. "Selepas mengikuti rawatan terapi metadon di bawah program Sedar, kita akan dapatkan maklum balas pesakit mengenai perbezaan yang dirasai di samping menerapkan elemen agama contohnya, mengajar mereka bersolat dan sebagainya. "Akhir sekali, kita akan buat susulan dengan mereka dan selalunya pesakit sendiri akan menghubungi kita untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah yang dihadapi," terang Mohd. Amirul yang merupakan graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dari Universiti Sains Islam Malaysia. Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Peningkatan Institusi UM di talian 03-7967 6261. | |
MAM sokong terapi gantian metadon Posted: MAM sokong terapi gantian metadonMELALUI rawatan terapi gantian metadon, jika dos yang diambil tidak berlebihan, ia mampu meningkatkan kualiti hidup penagih dadah. - Gambar hiasan PELAKSANAAN rawatan terapi gantian metadon mula diperkenalkan di negara ini oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang relevan seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun 2005. Ia dilaksanakan di bawah program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction) untuk mengawal penularan dan mengurangkan impak negatif jangkitan HIV dalam kalangan penagih dadah. Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Datuk Dr. Raj Karim berkata, pihaknya menyokong penuh pelaksanaan rawatan tersebut yang memberi manfaat buat golongan pengguna dadah. "Kami mengalu-alukan usaha seperti ini yang keberkesanannya telah terbukti secara saintifik bukan sahaja dalam merawat masalah ketagihan, malah memulihkan kesihatan, meningkatkan kualiti hidup dan membolehkan pengguna dadah menjalani kehidupan yang produktif," ujar beliau melalui satu kiriman e-mel kepada Kosmo! ketika diminta mengulas mengenai rawatan terapi metadon baru-baru ini. Menurut Raj, metadon ialah sejenis dadah yang diguna pakai sebagai gantian dalam rawatan ketagihan dadah jenis heroin atau opiad. Mengawal ketagihan Justeru, sekiranya diambil dengan dos yang bersesuaian di bawah pemantauan pakar perubatan secara konsisten, metadon tidak mendatangkan kemudaratan kepada penagih, sebaliknya dapat membantu mereka mengawal ketagihan terhadap heroin dan dadah jenis opiad yang lebih berbahaya. "Metadon hanya mengundang kesan negatif jika dicampur dadah lain atau diambil secara berlebihan (overdose). "Namun, jika pengguna dadah diberikan sokongan dan akses yang sempurna kepada perkhidmatan kesihatan dan pengurangan kemudaratan, kesan sampingan ini dapat dielakkan sama sekali," ujar beliau. Dalam pada itu, apabila diajukan soalan mengenai pandangan segelintir pihak yang mengatakan rawatan terapi gantian metadon tidak elok untuk penagih, Raj mempunyai pandangan tersendiri mewakili MAM. "MAM menilai perkara ini daripada sudut kemanusiaan dan berdasarkan bukti saintifik. Ketagihan merupakan krisis kesihatan yang boleh dan sewajarnya dirawat dengan kaedah perubatan yang menghormati hak-hak asasi manusia. PROGRAM Pertukaran Jarum Suntikan dan Terapi Gantian Metadon yang dilaksanakan sejak tahun 2006 membawa kesan positif kepada golongan penagih. "Menurut satu kajian terbaharu yang menyelidik mengenai keberkesanan pelaksanaan program terapi gantian metadon di pusat-pusat Cure & Care 1Malaysia AADK, lebih 72 peratus daripada 28,663 pengguna dadah yang menerima rawatan metadon tidak lagi ditahan dalam penjara. "Malah, mereka berjaya mendapatkan tempat tinggal yang kekal dan memulihkan hubungan kekeluargaan yang sebelum ini terjejas," jelasnya. Selain itu, satu kajian yang lain pula menganggarkan bahawa lebih 12,653 jangkitan HIV telah berjaya dielakkan menerusi program Pengurangan Kemudaratan (Program Pertukaran Jarum Suntikan dan Terapi Gantian Metadon) ini sejak tahun 2006. Kesan positif "Jelas sekali, dalam tempoh yang singkat sejak permulaan pelaksanaan program, metadon telah banyak mendatangkan kesan yang positif dalam kehidupan pengguna dadah, bukan sahaja daripada sudut kesihatan malah kebajikan mereka juga turut terbela. "Lantaran itu, kami menyarankan agar program terapi gantian metadon ini diteruskan dan diluaskan lagi sejajar dengan matlamat Pelan Strategik HIV dan AIDS Kebangsaan 2011-2015 untuk mengurangkan kadar jangkitan baharu HIV kepada 11 bagi setiap 100,000 penduduk menjelang tahun 2015," ungkap Raj yang turut memuji usaha yang dilakukan Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya melalui program Spiritual Enhancement on Drug Addiction Rehabilation (Sedar). Tambah beliau, statistik survelan HIV terbaharu yang diterima MAM daripada sumber Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan adalah sehingga akhir tahun 2012. Bagi tempoh tersebut, sebanyak 66,046 atau 47 peratus daripada 98,279 kes HIV disebabkan perkongsian jarum dan alat suntikan. Tidak ketinggalan, menurut satu kajian berbeza yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan juga pada tahun 2012, hampir 19 peratus daripada pengguna dadah di Malaysia telah dijangkiti HIV. - KHADIJAH MOHAMAD NOR | |
Pameran lukisan usahawan selebriti Posted: Pameran lukisan usahawan selebritiPAMERAN Resipi Seorang Pelukis daripada sentuhan Chow bakal dipamerkan pada 8 Mac ini. TERKENAL sebagai seorang pemilik restoran selebriti pada sekitar tahun 60-an, dia mempunyai misi untuk mengubah persepsi orang Barat terhadap makanan China. Michael Chow, 74, bukan sahaja usahawan restoran yang berjaya malah, dia seorang pelukis. Namun, kesibukan menguruskan perniagaan membuatkannya sudah berpuluh tahun tidak memegang berus lukisan. Restoran Chow menjadi pusat tumpuan ramai ketika sambutan Pesta London, zaman kegemilangan disko di New York dan dunia seni golongan elit di Hollywood. Kini, dia kembali mempersembahkan satu pameran lukisan bagi menggambarkan hubungannya dengan China, dan hubungan dengan bapanya yang kali terakhir dilihat pada usia 13 tahun. "Sesuatu yang telah saya lupakan dan hilang daripada ingatan nampaknya telah kembali semula. Saya tidak sedar bahawa saya mampu melukis dengan begitu baik. "Ia terasa seperti berada di tanah air bagi menuntut kembali warisan China dan menaikkan nama bapa saya, Zhou," jelasnya ketika ditemui di galeri Pearl Lam, Hong Kong. Chow menikmati segala kemewahan kerana dilahirkan dalam keluarga kaya pada zaman prakomunis di Shanghai. Keinginan mengikuti jejak langkah bapanya dalam dunia teater tidak kesampaian apabila dia terpaksa berangkat ke England pada tahun 1952 iaitu pada usianya 13 tahun. Dia meninggalkan kemewahan untuk ke sekolah berasrama penuh sewaktu tanah air tercinta dilanda peperangan. Terbunuh Pasukan 'Pengawal Merah' bertindak menzalimi golongan belia dan ada mangsa yang dipenjarakan dan dibunuh. Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan, seorang pengkaji sejarah Barat menganggarkan hampir satu juta orang terbunuh pada tahun 1967. Chow berkata, dia tidak pernah melihat bapanya selepas itu. Dia bertemu ibunya, Qiu Lilin buat kali terakhir ketika ibunya melawat dia di sekolah. Menurut laman web kerajaan daerah Jing'an, Shanghai, mendiang bapa Chow telah dilabel sebagai penyerang balas tegar yang akhirnya dijatuhi hukuman mati bersama isterinya, Qiu Lilin. Mereka dibunuh tanpa pembelaan. Ketika di England, Chow mengambil jurusan seni bina di Central Saint Martins, London sebelum menjadi seorang artis. CHOW bakal mengembangkan perniagaan restorannya di Las Vegas, Amerika Syarikat tidak lama lagi. Dia mengorbankan cita-cita seninya, bagi memberikan tumpuan kepada makanan dan seni reka sebelum meneruskan minat mengumpul karya seni. Restoran pertama milik Chow dibuka pada tahun 1968 di London. Formula reka bentuk yang mantap, masakan asli Beijing, pelayan restoran Itali dan harga murah merupakan percaturannya pada ketika itu. Menurut Chow, masyarakat Barat mengelaskan darjat makanan China sebagai makanan terendah antara yang paling rendah. "Ia amat sukar menangkis pandangan stereotaip tersebut dan saya terpanggil untuk menunjukkan kepada dunia Barat tentang kehebatan China. Satu-satunya cara adalah melalui makanan, saya bersyukur kerana makanan China sedap," luahnya. Chow berjaya meluaskan cawangan restorannya di New York, Beverley Hills dan Malibu, Amerika Syarikat (AS). Dalam perkembangan terkini, dia akan membuka sebuah restoran baharu di Las Vegas. Pada awal pembukaannya, Chow berusaha menarik orang kaya, terkenal dan berpengaruh seperti The Beatles, Andy Warhol dan Jean-Michel Basquiat untuk meraih royalti di Hollywood. "Kami telah bertahan selama 46 tahun. Ia satu perkara mustahil bagi sebuah restoran global untuk bertahan selama itu, melainkan dengan adanya keazaman, keinginan dan visi," ujar Chow. Pelakon Bakat Chow tidak terhenti dalam dunia perniagaan dan seni sahaja, dia pernah bergelar pelakon sambilan. Chow pernah muncul dalam filem James Bond bertajuk You Only Live Twice dan The Rush Hour pada tahun 1967. Chow memiliki tiga orang anak hasil perkongsian hidup melaui empat perkahwinannya terdahulu. Dia pernah mendirikan rumah tangga dengan Grace Coddington iaitu bekas model dan kini merupakan pengarah di America Vouge. Bekas isterinya itu turut pernah membintangi filem dokumentari berjudul The September Issue pada tahun 2009. Selepas perkahwinan mereka gagal, Chow berkahwin pula dengan wanita yang menjadi isterinya sekarang sejak tahun 1992. Wanita tersebut merupakan pereka fesyen Korea, Eva Chun. Eva menjadi penyebab utama yang mendorong Chow untuk kembali melukis buat kali pertama sejak meninggalkan dunia tersebut. "Makanan adalah sejenis kraf yang perlu kelihatan sama setiap masa. "Tetapi, seni pula sesuatu yang berbeza. Anda akan sentiasa mencuba untuk melakukan pembaharuan dan kelainan," katanya. Melalui pertunjukkan terbesarnya iaitu Resepi Seorang Pelukis yang berlangsung sehingga 8 Mac ini, Chow menggabungkan bahan-bahan termasuk daun emas dan perak, sampah isi rumah, cat akrilik, logam serta telur pecah. Pengkritik seni menyifatkan pameran tersebut sebagai satu gabungan unik dan kreatif. "Saya mahu pulang dan ini merupakan pameran yang melengkapkan perjalanan hidup saya. Ia telah disimpan selama 50 tahun. Sekarang saya bebas." katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |