{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Apa lagi Hindraf mahu?

Posted: 19 Feb 2014 10:49 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini bersedia menerima apa juga kritikan berhubung tindakan beliau membawa masuk pemimpin Hindraf, P.Waythamoorty ke dalam Kabinet.

Kemasukan Waythamoorty itu mencatatkan sejarah kerana inilah kali pertama seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diberi pengiktirafan tersebut.

Hasrat Najib hanya satu iaitu untuk memastikan kaum India mempunyai lebih banyak suara dalam kerajaan dan sekali gus memperkukuhkan lagi usaha membela nasib kaum itu.

Tetapi ternyata Waythamoorty tidak tahu mengenang budi baik Perdana Menteri dalam soal itu. Beliau cuba membawa pendekatan Hindraf ke dalam Kabinet apabila membuat tuntutan secara desakan sebab itulah apabila tuntutan beliau tidak dipenuhi, pemimpin yang mula dikenali melalui demonstrasi jalanan itu membuat keputusan meletakkan jawatan.

Alasan dangkal yang diberikan oleh Waythamoorty ialah kedudukan beliau di dalam kerajaan tidak membantunya dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan kaum India yang miskin di negara ini. Soalnya, apakah hanya berada dalam Kabinet tidak sampai setahun, Waythamoorty berhak membuat penilaian sedemikian.

Biar pun antara kerajaan dan Hindraf ada perjanjian persefahaman tetapi ia bukanlah bermakna kerajaan di bawah kepimpinan Najib boleh melakukan tindakan sesuka hati, sudah pastilah ia perlu mengikut prosedur dan memakan masa.

Namun ini tidak bermakna kerajaan BN berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

Berikut antara beberapa tindakan yang dilakukan oleh kerajaan sejak 2009 bagi membantu masyarakat India, fakta-fakta ini sengaja dilupakan oleh Waythamoorty:

l Memperuntukkan RM540 juta untuk pembangunan infrastruktur Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sejak tahun 2009. Ini termasuk peruntukan RM100 juta setiap tahun bagi tahun 2012 dan 2013.

l Memperuntukkan tambahan 1,000 tempat untuk pelajar India di kolej Matrikulasi Kerajaan.

l Memperuntukkan RM50 juta untuk program latihan kemahiran kepada 3,200 belia India dari kawasan perladangan.

l Menubuhkan Koperasi Suria dan memperuntukkan RM8 juta untuk mentransformasikan kedai runcit dan bengkel automotif kaum India.

l Mengkhaskan RM150 juta dalam bentuk pinjaman Usahawan Kecil dan Sedernana (SME) untuk kaum India

l Memperuntukkan RM115 juta di bawah TEKUN Nasional untuk perniagaan kecil kaum India sejak 2009.

l Memperuntukkan RM100 juta untuk pinjaman mikro-kredit kepada usahawan wanita India melalui Amanah Ikhtiar Malaysia

l Memperuntukkan lebih RM55 juta sejak 2009 kepada lebih 1,300 kuil Hindu dan tempat beribadat kaum India yang lain.

l Menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di bawah Jawatankuasa Kabinet bagi Masyarakat India untuk memberi fokus khusus ke arah penyelesaian masalah dokumentasi di kalangan masyarakat India

l Membelanjakan RM35 juta untuk membangunkan semula Brickfields sebagai Little India"

Hakikatnya banyak lagi yang dilakukan oleh kerajaan bagi membantu kaum India termasuklah memastikan enam wakil India dalam barisan Kabinet dengan menduduki jawatan dua menteri penuh dan empat timbalan menteri.

Sebenarnya, Waythamoorty sudah pasti mengetahui fakta-fakta ini. Tetapi pemimpin Hindraf tersebut tidak mahu bersama dalam pasukan Kabinet bagi meneruskan usaha membangunkan kaum tersebut.

Beliau memilih kembali kepada Hindraf yang sememangnya terkenal dengan pendekatan demonstrasi, ugutan dan kecaman dalam memenuhi matlamat perjuangan mereka.

Bagi Waythamoorty, segala tuntutan, perjanjian dan kehendak Hindraf perlu dipenuhi oleh kerajaan. Segalanya kerana mereka masih dengan tanggapan kononnya Hindraf berupaya mempengaruhi pengundi dalam kalangan kaum India menyokong Barisan Nasional (BN).

Tetapi dalam masa sama Waythamoorty lupa bahawa Hindraf adalah pertubuhan haram dan sebarang kehendak atau tuntutan pertubuhan itu tidak perlu dilayan. Soalnya, apa lagi Waythamoorty dan Hindraf mahu sedangkan mereka sendiri yang memilih jalan yang dilihat bertujuan untuk terus berkonfrantasi dengan kerajaan.

Oleh itu, biarlah Waythamoorty `melalak di luar Kabinet selepas beliau mempersia-siakan peluang ketika berada dalam Kabinet. Malah ketika menjadi Timbalan Menteri pun, Waythamoorty pernah membuat tindakan yang tidak selari dengan semangat Kabinet apabila mempertikaikan tindakan polis ke atas penjenayah dalam kalangan kaum India.

Kecetekan ilmu dan ketidakfahaman Waythamoorty sebagai anggota Kabinet serta terus taksub dengan perjuangan Hindraf telah menjadi bukti bahawa beliau tidak layak berada dalam kerajaan tetapi lebih layak meneruskan perjuangan jalanan bersama pertubuhan haram seperti Hindraf.

Kita percaya majoriti kaum India tidak akan terpengaruh dengan perjuangan Hindraf kerana mereka semakin memahami apa yang kerajaan sudah lakukan dalam meningkat taraf hidup mereka.

Mungkin tindakan Waythamoorty ini akan menggembirakan pembangkang apatah lagi ketika mereka sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lama lagi. Langkah Waythamoorty boleh dijadikan model pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan bagi meraih undi kaum India di DUN tersebut.

Namun kita tidak perlu hairan jika itu berlaku kerana selama ini pun Hindraf sememangnya dilihat cenderung kepada pembangkang sebab itulah apabila Waythamoorty membuat keputusan menyertai Kabinet, Hindraf tidak mengiktirafnya.

Ia kerana Hindraf bukannya ikhlas untuk membantu kaum India tetapi mereka hanya mengambil kesempatan ketika kerajaan BN dalam kesempitan dalam meraih sokongan kaum tersebut iaitu pada 2008. Keadaan itulah yang menyebabkan Hindraf besar kepala kerana mereka menggambarkan seolah-olah mereka ada bargaining power.

Apatah lagi pemimpin pembangkang pula bersedia menjadi sesumpah dan mengambil kesempatan untuk menonjolkan kononnya mereka pejuang kaum India sedangkan mereka hanya mahu meraih undi kaum itu sahaja.

Bagaimanapun kali ini, Waythamoorty dan Hindraf sudah tersilap percaturan kerana kaum India menyokong BN dalam pilihan raya umum lalu bukan disebabkan perjuangan Hindraf tetapi atas keyakinan bahawa hanya parti itu sahaja yang mampu membela nasib mereka.

Oleh itu kepada Waythamoorty dan Hindraf teruslah perjuangan jalanan kalian kerana ia tidak akan menjadi kudis apatah lagi penghalang kepada kerajaan BN untuk meneruskan agenda bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat India di negara.

Ini memandangkan di dalam BN masih ada wakil kaum tersebut yang benar-benar ikhlas berjuang untuk mereka dan bukannya masuk ke dalam Kabinet sekadar untuk memperolehi dana.

Perbezaan antara Renzi dan Anwar

Posted: 19 Feb 2014 10:49 AM PST

Oleh Azmi Hassan

MENARIK sekali senario politik Itali dan Selangor kerana wujud persamaan selari membuatkan banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diambil kerana faktor rebutan jawatan tertinggi iaitu Perdana Menteri Itali dan juga Menteri Besar Selangor.

Matteo Renzi bakal menjadi Perdana Menteri Itali setelah berjaya memaksa penyandang jawatan tersebut Enrico Letta berundur apabila tewas dalam undi tidak percaya parti yang diwakili kedua-duanya iaitu Parti Demokratik (PD).

Tetapi apa yang paling mengaibkan sekali adalah Renzi bukanlah seorang ahli Parlimen kerana beliau tidak pernah bertanding dalam pilihan raya Itali sebelum ini.

Presiden Itali, Giorgio Napolitano mencadangkan Renzi membentuk kerajaan baharu kerana berasaskan PD yang telah memperolehi kerusi Parlimen terbanyak dalam pilihan raya lepas. Oleh kerana Renzi ialah pemimpin tertinggi PD maka secara tersendiri melayakkan beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Sebab itu jika PD berjaya membentuk kerajaan baharu dan Renzi dilantik sebagai Perdana Menteri maka jawatan tersebut diibaratkan tidak mempunyai kesahihan demokrasi kerana pada asasnya beliau tidak mempunyai mandat pengundi Itali.

Senario sebegini boleh berlaku kerana ia tidak bertentangan dengan perlembagaan negara tersebut dan salah satu sebab mengapa jawatan Perdana Menteri Itali begitu sukar untuk kekal lama adalah kerana ketiadaan mandat pengundi.

Lain pula senario politik Malaysia kerana jawatan Menteri Besar memerlukan seseorang itu memperolehi mandat dari pengundi dan seterusnya dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebab itu, ada desas-desus yang mengandaikan sebab sebenar mengapa ADUN Kajang, Lee Chin Cheh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) terpaksa melepaskan jawatan kerana hendak memberi laluan supaya calon baharu kawasan tersebut dapat dilantik ke jawatan Menteri Besar.

Tiada cacat celanya strategi PKR tersebut yang lebih dikenali sebagai `Langkah Kajang kerana ia tidak mengingkari kehendak demokrasi Malaysia dan juga negeri Selangor.

Seperti mana di Itali, jika Renzi menjadi Perdana Menteri maka beliau dianggap tidak mempunyai kesahihan demokrasi kerana tidak mempunyai mandat pengundi secara langsung, begitu juga dengan lantikan jawatan Menteri Besar terhadap ADUN Kajang yang baharu juga dianggap tiada kesahihan demokrasi kerana beliau tidak mempunyai mandat pengundi Selangor secara keseluruhannya.

Andaian ini dibuat kerana senario politik Malaysia secara lazimnya sesebuah parti politik sudah mempunyai calon siapa yang akan menjawat jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri jika parti tersebut memperolehi jumlah kerusi majoriti dalam pilihan raya.

Tidak keterlaluan juga jika diandaikan salah satu sebab mengapa pengundi Selangor memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya lepas adalah kerana bukan menjadi rahsia lagi penyandang jawatan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan dilantik semula buat penggal kedua jika PR memperolehi majoriti jumlah kerusi DUN Selangor.

Sebab itu dikatakan pelantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar mempunyai kesahihan demokrasi kerana pengundi Selangor memahami akan senario politik pada ketika itu dan telah membuat keputusan bersandarkan keadaan ketika itu. Tetapi jika seseorang itu dilantik Menteri Besar melalui strategi Langkah Kajang, maka boleh juga diandaikan jawatan tersebut tidak mempunyai kesahihan demokrasi kerana hanya sebilangan kecil pengundi Selangor yang memberi mandat secara langsung.

Rakyat Itali menyokong strategi Renzi menyingkirkan Letta sebagai Perdana Menteri kerana kegagalan Letta mentadbir urus ekonomi Itali dengan baik.

Kadar pengangguran pada era Letta adalah agak tinggi iaitu melebihi 12 peratus. Sementara itu, bagi penduduk yang berumur di antara 15-24 tahun, kadar pengangguran mencapai sehingga 41 peratus.

Renzi yang juga dikenali dengan jolokan Rottamatore atau pemusnah juga berjanji akan mengubah sistem politik Itali yang banyak dipengaruhi oleh ahli politik veteran yang mempunyai agenda tersendiri. Sebab itu, walaupun Renzi tidak mempunyai madat pengundi secara langsung, tetapi janji-janji beliau yang mahu mengubah bukan sahaja ekonomi Itali tetapi juga sistem politik telah dapat menarik sokongan rakyat Itali.

Tetapi berbeza pula dengan Abdul Khalid tidak begitu ketara berlaku salah tadbir urus negeri Selangor sehingga boleh memaksa beliau melepaskan jawatan. Tidak pula kedengaran sama ada di kalangan ADUN PR atau pun Barisan Nasional sekali pun bahawa akan berlaku undi tidak percaya terhadap Abdul Khalid.

Langkah Renzi menyingkir Letta kurang disenangi oleh beberapa parti yang membentuk kerajaan campuran Itali dengan PD kerana tidak dibawa berunding terlebih dahulu. Pemimpin parti NCD umpamanya yang sebelum ini bersama-sama dengan Letta dalam kerajaan campuran Itali telah memberi amaran kepada Renzi bahawa NCD tidak semestinya akan turut serta dalam pembentukan kerajaan campuran yang baharu. Sebab utama mengapa NCD membuat ugutan sedemikian rupa adalah kerana PD tidak pernah berunding dengan komponen parti lain dalam kerajaan campuran.

Begitu juga dengan apa yang sedang melanda Kajang dan desas-desus mengenai tujuan sebenar sememangnya kurang disenangi oleh parti lain dalam PR seperti DAP dan Pas. Begitu jelas rakan PKR ini kurang senang dengan senario politik yang sedang berlaku yang pada asalnya hanya diketahui oleh kumpulan tertentu sahaja dalam PKR sedangkan kesan akhirnya adalah begitu besar sekali.

Jika politik Itali sebelum ini begitu rapuh dan tidak stabil kerana tidak wujud aura kesahihan demokrasi sebab tiga Perdana Menteri sebelum ini juga tidak mempunyai mandat pengundi secara langsung, maka tidak menghairankan politik Selangor juga bakal menerima nasib serupa jika Menteri Besar tidak memiliki kesahihan demokrasi dari pengundi negeri itu.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat