{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Dihina saudara kandung

Posted: 18 Feb 2014 11:02 PM PST

TERAGAK-agak dia mahu bercerita tentang dirinya. Janji dari seminggu yang lalu akhirnya, Irma (nama samaran), 20, akur dengan kehendak saya yang mahu dia berkongsi kisah dirinya untuk segmen Pengakuan minggu ini.

Dia ternyata seorang gadis yang begitu lemah lembut, sopan tutur kata dan cantik paras rupa. Cerita gadis muda ini, bermula dari usianya dua tahun lagi apabila dia diserahkan kepada keluarga angkat oleh ayah dan ibunya.

Zaman kanak-kanak dan remaja saya cukup membahagiakan. Keluarga angkat saya memang tidak mempunyai anak perempuan, hanya dua abang lelaki yang selang beberapa tahun dari saya.

Mereka sangat memanjakan saya, mungkin sebab tidak memiliki anak perempuan.

Sejak kecil lagi saya memang rapat dengan ibu angkat saya, dengan dia saya banyak bercerita hal sekolah dan rakan-rakan. Hanya satu dilema saya iaitu setiap kali awal tahun persekolahan apabila guru meminta saya mengisi borang maklumat murid.

Saya kerap tertanya-tanya kenapa nama ayah saya tidak sama dengan yang tercatat di surat kelahiran saya. Memang ketika di sekolah rendah saya tidak hiraukan semua itu, tetapi apabila memasuki sekolah menengah rasa ingin tahu semakin menjadi-jadi," cerita Irma, yang ditemui di tempat kerjanya di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Katanya, tujuan bercerita kisah hidupnya bukan mahu menagih simpati, cuma apa yang berlaku membuatkan dia sendiri berperang dengan emosi.

Satu hari ketika saya baru lepas mengambil peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah), saya memberanikan diri bertanya ibu adakah saya ini anak angkat. Seperti yang saya sudah jangka jawapan ibu positif, tetapi reaksi ibu biasa sahaja seperti tiada yang pelik.

Ibu terus menceritakan segalanya pada saya, ibu seakan telah bersedia dan memang ibu mengakuinya. Kata ibu, rahsia ini tidak mungkin boleh disimpan selama-lamanya kerana saya anak perempuan dan suatu hari nanti jika saya akan bernikah pasti kebenaran akan diperlihatkan," ceritanya lagi.

Walau mengetahui dirinya hanyalah anak angkat, Irma langsung tidak rasa terasing, malah keluarganya semakin mengambil hati anak gadis itu kerana takut emosi terganggu.

Namun, hakikat dia mempunyai keluarga kandung yang entah di mana kedudukannya, tetap menghantui fikirannya.

Apa yang menjadi dilema saya ialah kenapa saya diberi kepada orang lain? Kata ibu, dia mengambil saya kerana keluarga kandung saya orang susah dan adik beradik kandung saya ketika itu sudah ada 11 orang.

Saya kurang yakin dengan alasan tersebut dan saya memang benar-benar berhasrat mencari kembali keluarga asal untuk bertanya khabar dan mengetahui mengapa saya diserahkan kepada keluarga angkat," ujar Irma.

Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lalu, Irma mendapat kerja sampingan sebagai guru tadika.

Dari situ dia mengumpul wang dan merancang strategi untuk mengorek rahsia mengapa dirinya diserahkan kepada keluarga angkat.

Berbekalkan alamat yang ibu saya beri, saya akhirnya berjaya menemui rumah keluarga kandung saya, cuma yang menyedihkan ialah kedua ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Rumah tersebut kini hanya didiami keluarga abang kandung saya.

Apa yang membuatkan saya bertambah sedih, mereka langsung tidak mengendahkan kedatangan saya walau tujuan saya murni untuk bertemu ahli keluarga. Tiada siapa yang menyambut mesra kehadiran saya, cuma seorang adik yang betul-betul mahu berkongsi cerita dengan saya.

Rupa-rupanya kehadiran saya ditakuti abang kerana arwah ibu bapa kandung saya telah mewasiatkan rumah tersebut kepada saya. Menurut cerita adik saya, arwah ibu dan bapa rasa begitu bersalah terhadap saya kerana tidak menjaga saya sejak kecil, jadi satu-satunya harta yang mereka ada iaitu rumah di kampung ditukar atas nama saya.

Tahulah saya kenapa kehadiran saya tidak disambut abang-abang. Walau sedih, sekelumit pun saya tiada niat mengambil rumah pusaka tersebut. Saya mencari mereka bukan kerana harta tetapi kerana mahu mengenali saudara sedarah dengan saya," katanya dalam nada sedih.

Kehidupan Irma yang ceria selama ini sedikit sebanyak tercalar selepas dia menemui adik-beradik kandungnya.

Sungguh saya tidak sangka keluarga kandung saya melayan saya sebegitu rupa. Mereka menuduh saya datang hanya untuk mendapat harta dan memang patutlah saya dibuang dari keluarga kerana mata duitan. Itu belum lagi dengan kata-kata yang tidak sedap telinga dihamburkan oleh isteri abang saya.

Mereka langsung tidak menerima saya, mereka begitu takut saya akan menjual rumah tersebut dan menghalau mereka dari situ.

Ikutkan hati masa itu juga saya mahu terus ke pejabat tanah menukar nama saya kepada nama mereka kerana mahu membuktikan keikhlasan saya.

Namun, hasrat saya dihalang adik bongsu kerana katanya saya berhak atas rumah itu seperti diamanatkan arwah ibu dan bapa," katanya.

Satu lagi yang menghairankan Irma ialah mengikut kata ibu angkatnya adik-beradik kandungnya seramai 11 orang tetapi sebenarnya cuma tiga orang.

Pasti ada rahsia atau sebab lain kenapa dia diserahkan kepada keluarga angkat.

Itu yang semakin membuatkan saya musykil. Melihat daripada keadaan keluarga saya, tidak nampak mereka begitu miskin. Pasti ada sebab lain yang entah sampai bila-bila pun saya tidak akan mengetahuinya," tambahnya.

Kini Irma hanya mampu berdoa dan berusaha memperbaiki hubungan dengan abang-abang kandungnya yang suatu hari pasti akan menjadi wali pernikahannya.

Mungkin atas didikan ibu bapa angkat menjadikan saya begitu prihatin dengan hubungan adik-beradik. Jadi apabila berlaku keadaan seperti ini, ia amat mengganggu fikiran saya apatah lagi apabila mereka bersangka buruk terhadap saya. Saya percaya kebenaran akan muncul juga akhirnya," ujar Irma penuh harapan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat