Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Keberanian Askar MelayuREJIMEN Askar Melayu Diraja bergambar di Kem Tentera Port Dickson, Negeri Sembilan beberapa bulan sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua. KAWASAN belukar menghijau di kiri kanan jalan masuk ke kaki Bukit Chandu, Singapura tidak banyak berbeza dengan persekitaran yang sama kira-kira 72 tahun lalu. Tanah tinggi yang terletak di selatan Singapura ini telah menjadi saksi keberanian perajurit Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (Askar Melayu) menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Pertempuran Bukit Chandu di Permatang Pasir Panjang turut mencatatkan nama wira negara, Leftenan Muda Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun. Permatang Pasir Panjang sejauh kira-kira lima kilometer itu menjadi medan pertempuran Askar Melayu dan tentera Jepun pada 10 hingga 14 Februari 1942. Di bukit ini jugalah Adnan bersama 42 anggota Platun 7, Kompeni C bersemadi tanpa kubur. Sambil berdiri menghadap ke arah Lebuh Raya Pasir Panjang iaitu sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Barat Singapura, seolah-olah pertempuran Bukit Chandu terpampang di depan mata. Sayup-sayup teriakan 'Banzai!, Banzai!' kendengaran dari arah kiri dan kanan bukit diselangi rentetan tembakan dan letupan silih berganti. Walau Bukit Chandu dikelilingi hutan konkrit, namun kesan-kesan pertempuran yang pernah berlaku masih kekal. Sebuah banglo kolonial dua tingkat di puncak bukit ini dibaik pulih oleh Lembaga Warisan Singapura (NHS) pada tahun 2002 dan dijadikan memorial Renungan di Bukit Chandu atau juga dikenali sebagai Reflections at Bukit Chandu. Persekitaran bukit ini juga terpelihara baik. Menyusuri jalan kecil menaiki anak tangga untuk ke memorial sambil diiringi kicauan burung pantas membawa bersama ingatan terhadap pertempuran berdarah itu. BAHAN-BAHAN sejarah di galeri Reflections yang memaparkan perjuangan Askar Melayu menentang Jepun. Pertempuran Tugu gangsa tiga kru mortar Askar Melayu yang dibina oleh pihak NHS diletak menghadap ke arah barat seolah-olah sentiasa bersedia mempertahankan kedudukan bukit ini. Paparan peta pertempuran tiga dimensi, rakaman audio saksi perang, foto-foto pameran bersama dokumentari perang dapat memberi gambaran terperinci kepada pengunjung tentang peristiwa Bukit Chandu. "Memorial ini mengabadikan sejarah Perang Dunia Kedua di Singapura, khasnya perjuangan Leftenan Muda Adnan dan Askar Melayu," ujar pengurus memorial, Vincent Gabriel, 73. Katanya, banglo berusia lebih 100 tahun dengan seni bina Mock Tudor ini adalah satu-satunya banglo warisan British yang kekal di pulau ini. "Banglo ini pernah digunakan sebagai stor simpanan peluru dan bekalan makanan Askar Melayu semasa perang. "Tiga lagi banglo sama di sini bagaimanapun diruntuhkan pada tahun 1987 bagi tujuan pembangunan," ujarnya. Dia memberitahu, pertempuran Bukit Chandu dan keberanian Leftenan Muda Adnan amat penting dalam sejarah moden kota Singa itu. Tarikh 15 Februari setiap tahun diingati di Singapura sebagai Hari Pertahanan Menyeluruh bagi memperingati kejatuhan pulau itu ke tangan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua. Pada tarikh itu, tepat pukul 12.05 tengah hari siren dibunyikan selama seminit sebagai simbolik peringatan. Mengikut catatan sejarah, pertempuran antara Askar Melayu dengan tentera Jepun bermula sebaik musuh mendarat di Tanjung Penjuru, Jurong pada 8 Februari 1942. Pada masa itu Batalion Pertama dan Kedua dikerah mengekang kemaraan musuh di situ. Bagaimanapun, mereka terpaksa berundur ke Pasir Laba dan akhirnya ke Pasir Panjang berikutan serangan hebat tentera Jepun. Pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak hanya bermula pada 13 Februari apabila Askar Melayu mengukuhkan pertahanan mereka di benteng terakhir tersebut. Menurut Vincent, keberanian Askar Melayu dalam pertempuran itu membuka mata tentera British yang selama ini menganggap anak-anak tempatan tidak layak memegang senjata. Kata beliau, pertempuran Pasir Panjang pada 10 dan 14 Februari itu merupakan pertempuran besar yang terakhir sebelum Singapura tewas. "Briged Infantri Pertama Malaya yang terdiri daripada Batalion Pertama dan Kedua Kedua Askar Melayu diarah mempertahankan sektor barat dan selatan pesisir pantai. "Bagaimanapun, kemaran pantas 13,000 tentera Jepun sehingga ke Jurong selepas berjaya mendarat di Kranji dan Sarimbun pada 8 Februari menyebabkan tentera British kucar-kacir. "Menjelang 13 Februari, tentera Jepun memulakan serangan habis-habisan ke atas Pasir Panjang sehingga memaksa Askar Melayu berundur ke Bukit Chandu," ujar beliau. Ketika inilah, Adnan bersama platunnya bergerak ke barisan pertahanan baharu sebelah timur Pasir Panjang iaitu Bukit Chandu. Kompeni beliau terpisah dengan kompeni D di sebelahnya oleh sebuah parit yang dipenuhi minyak terbakar yang mengalir dari Kem Normanton. Keadaan itu menyulitkan mereka untuk berundur ke selatan jika terdesak. MOHD. HASRUL HALIM (empat dari kanan) bersama warga 1 Rejimen Askar Melayu Diraja pada ulang tahun batalion itu di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dibedil Kedudukan pertahanan mereka di atas tanah tinggi yang agak sederhana menggunakan guni-guni pasir dan dilaporkan masih ada beberapa kubu yang tidak sempat disiapkan ketika mereka digempur tentera Jepun. Pertahanan platun Adnan dibedil pasukan mortar Jepun tanpa henti pada pagi Sabtu 14 Februari 1942. Cubaan tentera Jepun yang diketuai komandernya, Kolonel Saburo mengasak pertahanan Askar Melayu dengan menyamar sebagai tentera Punjab pada tengah hari itu gagal lalu menimbulkan dendam. Ketika ini, kedudukan kompeni ini semakin meruncing apabila ramai anggotanya terkorban dan tercedera, manakala bekalan peluru dan bom kehabisan. Tan Sri Abdul Samad Idris dalam buku Askar Melayu 50 Tahun menulis: "...Adnan bertahan berhampiran pokok ceri yang rendah telah menjangka musuh akan membuat serangan balas. "Tentera Jepun merapati kedudukan pertahanan Askar Melayu sambil dilindungi dengan tembakan mesingan dan mortar walau pun mendapat tentangan hebat. "Sedikit demi sedikit tentera Jepun terus mengasak dan akhirnya berjaya mengepung kedudukan Askar Melayu yang bertahan. "Dengan menghunus benet, tentera Jepun terpaksa bertempur secara berhadapan sebelum memaksa kemenangan di pihak mereka. Adnan yang cedera parah akhirnya tewas dalam pertarungan terakhir ini..." Tidak sampai 24 jam selepas pertempuran ini, Pemerintah Tertinggi Tentera British, Leftenan Jeneral A.E Percival menyerah kalah tanpa syarat kepada Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita. |
Posted: McDonalds bertapak di VietnamPENDUDUK Bandar Ho Chi Minh membanjiri pekarangan restoran McDonald's pada hari pembukaannya awal bulan lalu. SELEPAS empat dekad Perang Vietnam berakhir, jenama gergasi makanan segera dari Amerika Syarikat (AS), McDonald's mula beroperasi awal bulan ini di Vietnam. Kehadirannya disambut dengan penuh kemeriahan di Bandar Ho Chi Minh. Malah, beratus-ratus penduduk bandar raya itu termasuk pelajar, golongan berkeluarga dan yang menaiki motosikal dan skuter beratur dengan penuh sabar pada hari bersejarah itu. NGUYEN merupakan pemegang utama francais McDonald's di Vietnam. Terletak di Jalan Dien Bien Phu, Daerah 1 yang merupakan pusat komersial Vietnam, cawangan sulung itu yang setinggi dua tingkat dengan kapasiti 350 buah tempat duduk itu menyediakan perkhidmatan pandu-lalu 24 jam, akses WiFi secara percuma dan kemudahan mesra keluarga seperti tempat permainan kanak-kanak dan bilik parti. KETERUJAAN dua kanak-kanak lelaki sewaktu mendapat hidangan makanan mereka jelas terserlah. Selain hidangan-hidangan popular jenama makanan segera itu, cawangan itu turut menyediakan beberapa hidangan bagi memenuhi cita rasa tempatan seperti rangkaian burger McPork yang memaparkan daging babi. Pemulihan nasib Dengan penambahan cawangan terbaharu yang dimiliki oleh Henry Nguyen iaitu menantu Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung itu, McDonald's kini beroperasi di 119 buah negara di seluruh dunia. KEHADIRAN maskot McDonald's, Ronald McDonald menggamatkan lagi suasana pada hari pembukaan. Rangkaian itu menyertai rangkaian makanan segera Barat lain yang telah hadir di negara itu seperti Subway, Burger King and KFC, sekali gus menarik golongan pertengahan yang semakin bertambah dan amat peka terhadap kepentingan jenama di negara berkenaan. KAUNTER pandu-lalu McDonald's Vietnam turut menyediakan layanan kepada mereka yang menaiki motosikal atau skuter. Ketibaan simbol kapitalisme AS itu juga merupakan salah satu langkah pemulihan nasib jenama AS di negara bekas musuh mereka itu. Sebelum ini jenama ikonik seperti Coca-Cola telah bertindak keluar dari Vietnam selepas kemenangan pihak komunis yang membuka jalan kepada penyatuan negara itu pada tahun 1975. |
Pakej istiadat perkahwinan SACC Posted: Pakej istiadat perkahwinan SACCPusat Konvensyen Shah Alam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang menjanjikan suatu majlis perkahwinan menjadi satu kenangan indah seumur hidup. PENGANJUR menawarkan harga berpatutan kepada pasangan pengantin yang mengambil pakej-pakej perkahwinan SACC. IKATAN perkahwinan merupakan satu peristiwa yang penting dan bersejarah dalam kehidupan seseorang apatah lagi masyarakat Melayu yang begitu berpegang teguh dengan adat resam. Kukuhnya adat dalam masyarakat Melayu ini boleh diterjemahkan dalam pantun seperti ini : Manis sungguh gula Melaka, Jangan dibancuh dibuat serbat, Sungguh teguh adat pusaka, Biar mati anak jangan mati adat. Disebabkan itu, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) mengambil inisiatif untuk memelihara dan melaksanakan upacara perkahwinan dengan penuh adat istiadat menerusi pakej istimewa yang diperkenalkan bermula tahun ini. Pengarah Jualan dan Pemasaran SACC, Mohd. Rawi Abu Bakar berkata, meskipun zaman telah melangkaui kemajuan hari demi hari, namun masyarakat Melayu yang bercadang untuk berumahtangga masih mahu perkahwinan mereka dilangsungkan dengan penuh adat. "Untuk meneruskan tradisi masyarakat Melayu ini, kami mengorak langkah dengan menyediakan majlis perkahwinan yang dikehendaki menerusi pakej Perkahwinan Kasih. "Menerusi pakej ini, SACC menawarkan pengalaman unik yang pasti akan menjadi kenangan sempurna untuk pasangan pengantin dan tetamu mereka," katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini. Mohd. Rawi memberitahu, pihaknya mempunyai sebuah pasukan yang berpengalaman dan bertaraf antarabangsa sebagai jururunding dalam mengurus serta memastikan majlis perkahwinan tersebut berjalan lancar, meriah dan beradat. Katanya, pakej yang disediakan juga memberi peluang kepada pasangan pengantin untuk memilih tema persandingan masing-masing berdasarkan kreativiti mereka sambil dibantu oleh pasukan profesional SACC. PAKEJ Perkahwinan Impian SACC menyediakan perkhidmatan komprehensif termasuk berbulan madu di bilik suite di Hotel Concorde dan Hotel Bluewave di Shah Alam. Idea "Apa yang penting, idea pasangan tersebut akan dilaksanakan dan kami sebagai penganjur akan membantu mengembangkan dan merealisasikan impian tersebut. "Pakej Perkahwinan Kasih meliputi seperti pelbagai pilihan makanan dan minuman, sistem bunyi dan cahaya, karpet, pentas, bilik untuk pasangan pengantin, acara potong kek, perkhidmatan video dan foto, buah tangan dan kad jemputan," ujarnya yang menegaskan pakej itu direka untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Menyedari bahawa perbelanjaan merupakan salah satu elemen penting dan sering menjadi kegusaran pasangan yang ingin meraikan hari bahagia mereka, Mohd. Rawi memaklumkan bahawa pihaknya menawarkan harga berpatutan kepada pasangan yang memilih pakej tersebut malah bersedia mengatur majlis mengikut kesesuaian bajet mereka. Ini kerana, jelasnya, SACC tidak mahu terlalu menekankan kepada harga tetapi mahu menghidupkan sebuah majlis yang kreatif selain memberi pengalaman menarik kepada pasangan pengantin pada majlis di pusat konvensyen terbabit. "Salah satu kelebihan pakej ini ialah kami menyediakan keperluan-keperluan yang jarang diperoleh di mana-mana hotel di sini," ujarnya. Jika majlis moden yang ingin diketengahkan pasangan pengantin, pihak SACC menyediakan pakej Perkahwinan Impian. Seperti pakej Perkahwinan Kasih, ia menyediakan perkhidmatan yang komprehensif kepada pasangan pengantin di samping penyediaan penginapan bulan madu semalam di bilik suite untuk pengantin di Hotel Concorde dan Hotel Bluwave di Shah Alam serta persembahan pentas. "Bukan hanya memberi tumpuan kepada majlis-majlis perkahwinan, pihak kami juga menawarkan pakej-pakej untuk majlis seperti pertunangan, berinai, perasmian, cukur jambul, makan malam gala, pelancaran produk, sambutan hari jadi dan ulang tahun. "Kami mahu SACC bukan hanya menjadi sebuah organisasi yang menyediakan tempat untuk majlis sebaliknya merupakan sebuah badan yang mampu menyelaras serta menganjurkan pelbagai acara atau majlis demi memastikan kepuasan pelanggan," katanya. Menurutnya, kami juga menyediakan perkhidmatan katering mengikut lokasi dan keperluan pelanggan. Pakej Perkahwinan Kasih SACC dan Perkahwinan Impian masing-masing ditawarkan pada harga serendah RM80 dan RM160 seorang dengan minimum tetamu seramai 500 jemputan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |