{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


UiTM Jasin cetus pembangunan

Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

JASIN 18 Feb. - Kewujudan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin dilihat bukan sahaja membangunkan sektor pendidikan malah merancakkan proses pembangunan di daerah ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Hazudin Hashim berkata, pihaknya berusaha memberikan sokongan serta mempertimbangkan cadangan kemudahan-kemudahan awam lain bagi melengkapi dan memenuhi keperluan warga universiti itu termasuk masyarakat setempat.

"Warga Jasin mengalu-alukan pembinaan pusat pengajian tinggi di daerah ini dan berharap agar lebih banyak pusat pengajian tinggi akan dibina di sini seiring dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan.

"Malah MPJ sebelum juga ini sentiasa memantau agar kerja-kerja pembinaan kampus ini disiapkan pada tarikh yang ditetapkan dan dapat mula beroperasi pada tahun ini," katanya ketika mengetuai lawatan ke Tapak UiTM Melaka Kampus Jasin di Seri Mendapat di sini baru-baru ini.

Lawatan itu turut disertai Ahli Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC), barisan pegawai daripada agensi teknikal serta Ahli Majlis MPJ.

Hazudin berkata, lawatan itu bertujuan memantau keadaan semasa pembangunan setelah sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diperoleh.

"Kita juga berkesempatan melawat sekitar universiti dan dalam masa yang sama memastikan kawasan ini selamat untuk diduduki apabila kampus mula dibuka pendaftaran kepada pelajar baru kelak," katanya.

Dalam pada itu, mereka turut diberi taklimat oleh Penolong Rektor UiTM Melaka Kampus Jasin, Prof. Madya Zakaria Tajuddin berkaitan pengurusan serta kursus pengajian yang ditawarkan di kampus berkenaan.

KAYM erat hubungan dua negara

Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

Sengdeuane Lachanthabounce menyampaikan cenderamata kepada Saroni Judi dalam lawatan di Kampus Induk KAYM, Bukit Sebukor, Melaka, baru-baru ini.

MELAKA 18 Feb. - Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) bersedia menjalin hubungan lebih akrab khususnya dalam bidang pendidikan dengan dua buah negara, Laos dan Kemboja

Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi berkata, lawatan sambil belajar 17 anggota delegasi dari kedua-dua buah negara itu ke KAYM baru-baru ini membawa lembaran baru kepada kolej tersebut.

Menurutnya, lawatan tersebut membuktikan program-program pengajian tinggi yang ditawarkan di KAYM memberikan impak positif dan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Saya harap hubungan baik yang sedia terjalin antara Laos dan Kemboja dalam bidang pendidikan dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada semua pihak mengenali antara satu sama lain sekali gus dapat mempromosi KAYM sebagai sebuah 'Pusat Kecemerlangan Pendidikan' di rantau ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran dan Sukan Laos, Sengdeuane Lachanthabounce yang juga ketua delegasi berkata, lawatan ke KAYM bertujuan mendapatkan maklumat lanjut berkenaan suasana persekitaran kolej berkenaan.

Katanya, lawatan itu membolehkan pihaknya mendapat gambaran sebenar proses pembelajaran di kolej berkenaan yang dipilih berdasarkan prestasi dan kualiti bertaraf antarabangsa yang dimiliki KAYM.

"Pihak kami teruja berada di sini untuk berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan di Malaysia terutama dalam bidang pengajian dan mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh warga kolej ini," katanya.

Beliau berkata, dalam kunjungan itu, banyak kepakaran yang boleh dikongsi bersama selain mengeratkan hubungan antara KAYM, Laos dan Kemboja terutama dalam bidang pendidikan tinggi.

Graduan kedoktoran tajaan MAINS catat keputusan cemerlang di Mesir

Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST

Nur Hidayah Abdul Majid (tengah) diapit oleh ayah tiri dan ibunya (dari kiri), Nasarudin Abu Bakar dan Zainon Salleh serta Abdul Hamid Jaman (kanan) dan isteri, Hamidah Puteh di Mesir, baru-baru ini.

SEREMBAN 18 Feb. - Seorang pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Nur Hidayah Abdul Majid dinobatkan sebagai graduan cemerlang Ijazah Kedoktoran dalam majlis konvokesyen kali pertama Program Malaysia - Universiti Ain Shams, Mesir baru-baru ini.

Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Pengurusan Anak Negeri Sembilan (MTPANS) di Rumah Negeri Sembilan, Nasr City, Kaherah, Mesir, Nor Akmal Hakim Kamarulzaman memberitahu Utusan Malaysia, Nur Hidayah adalah antara 40 graduan yang menerima ijazah berkenaan di Dewan Konvokesyen Ain Shams.

"Ini adalah konvokesyen kali pertama diadakan pihak universiti untuk pelajar Malaysia daripada pelbagai tajaan bagi mengiktiraf pencapaian mereka dalam jurusan kedoktoran.

"Mereka menamatkan pengajian selama enam tahun setengah di Mesir ini dan kejayaan mereka disaksikan pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, selain kehadiran ibu bapa mereka dari Malaysia," katanya menerusi kiriman e-mel dari Nasr City, Mesir hari ini.

Selain Nur Hidayah menurut Nor Akmal Hakim, lima lagi pelajar tajaan MAINS turut menerima ijazah masing-masing dan mereka ialah Nurul Azura Alias, Azyan Syamimi Khalid, Hazirah Abdul Hamid, Khairiyah Mustapha dan Muhammad Hakim Nordin.

Beliau berkata, kejayaan enam graduan tajaan MAINS itu mendorong pelajar dari Negeri Sembilan mempergiatkan lagi usaha untuk mencapai keputusan yang cemerlang.

Sementara itu Nur Hidayah yang ditemani bapa tirinya, Nasarudin Abu Bakar dan ibunya, Zainon Salleh sewaktu menerima ijazah berkenaan berkata, beliau bersyukur kepada Allah S.W.T di atas kejayaan yang diperoleh, serta dapat mengharumkan nama Negeri Sembilan di Mesir.

"Alhamdulillah saya dapat menamatkan pengajian dan beroleh kejayaan sebagai graduan cemerlang di Universiti Ain Shams. Semoga kejayaan ini dapat menjadi pendorong kepada rakan-rakan yang lain untuk lebih berjaya," kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Bapa kandung Nur Hidayah, Abdul Majid meninggal dunia pada tahun 2001 kerana kanser.

Menurut Nur Hidayah, selepas berjaya dia kini menumpukan usaha untuk menyumbang bakti kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Pegawai Atase Pendidikan dan Kebajikan Negeri Sembilan, Abdul Hamid Jaman memberitahu, Nur Hidayah merupakan pelajar yang sangat berdisiplin dalam menguruskan masa selain sentiasa mendampingi para doktor ketika berada di universiti.

"Saya berharap Nur Hidayah meneruskan kecemerlangan dalam pekerjaan pula," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat