Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST Oleh SOFIAN BAHAROM KUALA LUMPUR 18 Feb. - Pengerusi Barisan Bertindak Hak- Hak Hindu (Hindraf), P. Waythamoorthy dibidas berikutan tindakannya menuding jari kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya gagal melakukan perubahan terhadap masyarakat India di negara ini. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Waythamoorthy sebaliknya perlu menyalahkan dirinya sendiri kerana gagal bekerja sebagai satu pasukan dan tidak efektif dalam membawa perjuangannya ketika diberi peluang menganggotai Kabinet. Khairy mendedahkan, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bertindak menuntut kesemua bajet kerajaan melibatkan masyarakat India untuk diletakkan di bawah kawalannya. "Waythamoorthy ingin mengawal semua transaksi kewangan dan membelakangi kementerian-kementerian dan agensi kerajaan. Kerajaan tidak beroperasi sebegini. Apabila beliau tidak mendapat perkara tersebut, beliau berhenti dan menyalahkan Perdana Menteri," katanya dalam akaun Twitternya hari ini. Beliau mengulas kenyataan Waythamoorthy hari ini yang mengambil jalan mudah menyalahkan kerajaan terhadap kemunduran masyarakat India di negara ini. Meskipun pelantikannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini disifatkan pelbagai pihak sebagai sia-sia, Waythamoorthy tetap berusaha menegakkan benang basah apabila mendesak Perdana Menteri pula meletakkan jawatan. Mengulas lanjut, Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO menegaskan, semua perkara yang dikemukakan Waythamoorthy kepada Perdana Menteri selama ini telah diselesaikan termasuk isu perumahan masyarakat India. Beliau menambah, walaupun tanpa Waythamoorthy, kerajaan tetap komited dalam memajukan masyarakat India dan menyelesaikan isu-isu kaum tersebut termasuk pendidikan dan kemiskinan. "Saya tahu Waythamoorthy tidak mahu perkara ini didedahkan tetapi apabila dia menyalahkan Perdana Menteri secara tidak adil, saya tiada pilihan. Ini adalah tanggungjawab bersama Kabinet," katanya. Dalam sidang akhbar di sini, Waythamoorthy terus memainkan sentimen kononnya Najib enggan bekerjasama dengannya dalam usaha meningkatkan kebajikan kaum India, namun pada masa sama mengakui Perdana Menteri memberi peluang kepadanya mengutarakan cadangan sejak lapan bulan lalu melalui lebih 16 siri pertemuan. Apa yang menimbulkan tanda tanya, Waythamoorthy seolah-olah 'baling batu sembunyi tangan' apabila menegah pemberita daripada bertanya sebarang soalan menyebabkan sidang akhbar itu menjadi berat sebelah dan 'syok sendiri'. Tindakan yang tidak demokratik itu memaksa beberapa pemberita mendapatkan beliau selepas sidang akhbar tersebut namun kecewa apabila Waythamoorthy tetap enggan menjawab sebarang soalan. |
Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST Oleh HUSSAINI AMRAN DR. Mahathir Mohamad (dua, kanan) menyaksikan pelancaran Kerusi Tun Mahathir Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang disempurnakan oleh Rais Yatim (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Prof. Dr. Hunud Abia Kadouf (kiri) serta Prof. Johan Galtung (kanan) di UIAM Gombak, semalam. KUALA LUMPUR 18 Feb. - Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya Ketua Pembangkang itu mahu menggunakan jawatan berkenaan untuk melakukan apa sahaja yang beliau mahu. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jawatan Menteri Besar atau Perdana Menteri sekalipun tidak akan memberi Anwar kekebalan daripada dikenakan tindakan undang-undang. Menurut beliau, rakyat Selangor juga berhak berasa bimbang apabila Anwar menyuarakan hasratnya ingin menjadi Menteri Besar. "Kakitangannya tidak akan berasa selamat apabila bersama dia, lihat apa yang dia buat kepada kakitangannya. "Dia akan dipengaruhi oleh prinsip kebebasannya untuk melakukan apa sahaja yang dia mahu," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kerusi Tun Mahathir Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) di Dewan Kuliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak dekat sini hari ini. Pengasas Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa, Prof. Johan Galtung, 74, dilantik sebagai penyandang pertama kerusi tersebut dalam majlis pelancaran yang turut dihadiri Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Dekan Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Prof. Dr. Hunud Abia Kadouf. Dr. Mahathir menambah, Anwar juga tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya beliau melakukan perbuatan yang salah dan tidak bermoral. Berhubung tindakan Anwar mengadakan ceramah di dalam gereja di Kajang pada Ahad lalu, beliau memberitahu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sanggup melakukan apa sahaja untuk memancing undi. Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir menjelaskan, kebimbangan umat Islam di negara ini terhadap pelbagai provokasi terhadap agama mereka adalah berasas. Beliau berkata, dalam isu kalimah Allah, semua pihak telah bersetuju bahawa kalimah itu tidak akan digunakan dalam penerbitan Kristian. "Namun ada pihak yang sengaja membangkitkan isu itu untuk menyinggung sensitiviti umat Islam," katanya. Menurut Dr. Mahathir, bantahan yang disuarakan umat Islam itu merupakan reaksi provokasi yang dicetuskan terlebih dahulu oleh pihak-pihak yang tidak menghormati Islam. Sementara itu beliau memberitahu, Ops Lalang yang dilancarkan pihak berkuasa pada 1987 bertujuan menjaga keamanan dan kestabilan negara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |