Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Sumpah dari sudut keterangan syariah Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST Penolong Jurulatih T-Team, Azlan Johar (dua dari kiri) melafazkan sumpah berkata benar di hadapan al-Quran berhubung insiden dalam terowong di Stadium Larkin, Johor, pada 1 Februari lalu. Turut menyaksikan, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said dan pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali (kiri). - BERNAMA KEBELAKANGAN ini timbul amalan di kalangan sesetengah pihak, bila wujud pertikaian tentang kebenaran atau kesahihan sesuatu fakta, ada yang cenderung mengadakan upacara sumpah depan al-Quran. Matlamat pihak ini ialah meyakinkan orang awam bahawa dialah yang berkata benar mengenai fakta yang dipertikai itu. Untuk membuktikan dia berkata benar, dia berani melafazkan sumpah depan al-Quran, menjunjung atau mencium al-Quran. Sumpah ini disebut sebagai `sumpah laknat - yang bermakna sekiranya dia berdusta dalam sumpahnya itu, dia tahu Allah akan melaknatnya dan menurunkan bala ke atas dirinya. Mengikut kenyataan yang dimuat naik dalam satu blog yang saya lawati tidak lama dulu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan melafazkan `sumpah laknat pada 9 April 2012 di kawasan multazam depan Kaabah, Mekah. Ini sumpah laknatnya yang kedua selepas dia melafazkannya kali pertama pada 7 Julai 2008. Orang awam di negara kita sedia maklum bahawa satu kes jenayah melibatkan Saiful masih lagi berjalan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. Oleh itu, kita perlu berhati-hati memperkatakan isu ini, memandangkan kes ini masih lagi subjudice. Sebelum itu, pada 29 April 2011, Datuk Shazryl Eskay Abdullah ada melafazkan sumpah laknat bagi menyokong dakwaannya bahawa seorang lelaki yang beraksi dalam satu video seks (yang sebelum itu telah diedarkan olehnya kepada sekumpulan wartawan) ialah seorang tokoh politik terkemuka di negara ini. Upacara melafazkan sumpah laknat itu dilakukan di Masjid Amru Al-As Sentul. Eskay memegang al-Quran sewaktu melafazkan sumpah laknatnya itu. Sumpah laknat Saiful dan Eskay ini dilakukan di luar mahkamah, bukan sebahagian daripada prosiding yang berjalan di mahkamah. Dalam kes Saiful, dia ialah pengadu (complainant) dan saksi pasukan pendakwaan dalam satu kes jenayah yang pada masa itu (dan masa kini) masih lagi berjalan di mahkamah sivil. Walaupun dia menjadi saksi penting dalam kes jenayah itu, sumpah laknatnya itu tidak dilafazkan dalam mahkamah dan dengan itu tidak menjadi sebahagian keterangan yang diambil kira oleh hakim bicara. Dalam kes Eskay, tidak ada apa-apa kes yang difailkan oleh sesiapa terhadapnya di mahkamah - sama ada mahkamah sivil atau mahkamah syariah. Dia juga tidak memfailkan apa-apa kes terhadap mana-mana pihak. Disebabkan sumpah laknatnya itu dibuat di luar mahkamah, ia juga tidak ada nilai kehakiman langsung. Apa yang Eskay mampu lakukan ialah cuba meyakinkan orang awam bahawa apa yang dikatakan olehnya (bersama dua orang rakan lain) selama ini adalah benar dan bukan dusta. Yamin (sumpah syarie) Istilah syarak bagi sumpah adalah yamin, dan untuk menjawab persoalan bilakah mahkamah akan atau boleh meminta seorang itu bersumpah syarie, ada beberapa prinsip asas undang-undang keterangan Islam yang perlu kita fahami terlebih dahulu. Pertama, mesti ada kes telah difailkan di mahkamah. Jika kes mal, kes itu difailkan oleh plaintif (pihak yang menuntut) terhadap defendan (orang yang kena tuntut). Jika kes jenayah, pertuduhan telah difailkan oleh pendakwa raya (kes di mahkamah sivil) atau Ketua Pendakwa Syarie (kes di mahkamah syariah). Mengikut istilah perundangan Islam, plaintif atau pendakwa raya dipanggil `mudda`ii, manakala defendan atau tertuduh dipanggil muddaa alaih. Kedua, dalam setiap kes yang difailkan di mahkamah, beban bukti adalah pada plaintif atau pendakwa raya dan plaintif atau pendakwa raya dikehendaki menunaikan beban ini dengan mengemukakan keterangan di mahkamah menerusi saksi, dokumen dan sebagainya. Dalam kes mal, beban bukti adalah sehingga ke tahap atas imbangan kebarangkalian manakala dalam kes jenayah, beban bukti yang dipikul oleh pasukan pendakwa adalah sehingga melampaui keraguan yang munasabah. Prinsip sama terdapat dalam perundangan Islam. Mengikut Seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Kedah 1989, Beban memberi keterangan (Al-Baiyyinah) terletak atas pihak yang mendakwa (al-Muddaii) dan sumpah atas yang ingkar (al-Muddaa alaih)." Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa plaintif atau pendawa raya (atau Ketua Pendakwa Syarie) memikul beban mengemukakan keterangan di mahkamah untuk pertimbangan hakim bicara. Lazimnya bila mahkamah dapati keterangan yang dikemukakan oleh plaintif atau pendakwa itu masih belum kukuh, mahkamah akan meminta defendan, di bawah Seksyen 72 ini, menolak atau menafikan tuntutan itu dengan sumpah. Dengan bahasa mudah, sumpah (yamin) adalah perisai untuk pihak yang kena tuntut atau kena tuduh bagi tujuan menolak dan menafikan suatu tuntutan atau pertuduhan itu. Dan ia hendaklah dilafazkan oleh pihak tersebut di hadapan mahkamah semasa prosiding berjalan. Dengan lain perkataan, sumpah (yamin) tidak dilafazkan di luar mahkamah dan ia hanya boleh dilafazkan oleh defendan atau orang yang dituduh bagi tujuan menolak dakwaan atau tuntutan plaintif atau pendakwa. Yamin bukan untuk saksi. Arahan Amalan Mengikut Arahan Amalan No. 2 Tahun 2006 (Amalan Sumpah Mahkamah Syariah) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada 12 April 2006, ada dinyatakan dalam peraturan 4 bahawa Sumpah tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan kebenaran atau atas perintah hakim." Ini bermakna bahawa sumpah (yamin) hanya boleh dibuat dalam mahkamah dan di bawah pengawasan dan kawalan hakim bicara yang mengendalikan sesuatu kes itu. Mengikut peraturan 5 pula, ada beberapa syarat penting yang mesti dipatuhi sebelum seorang itu dibenarkan bersumpah, iaitu antara lain - (i) Orang yang bersumpah hendaklah kil baligh dan sukarela; (ii) Al-Muddaa alaih tidak mengakui hak al-Muddaii; (iii) Pihak yang bertikai meminta hakim arahkan pihak satu lagi bersumpah; (iv) Orang yang bersumpah hendaklah bersumpah bagi dirinya sendiri. Mengikut peraturan 7 pula, setiap sumpah hendaklah dilakukan dengan cara berikut; (a) Berdasarkan kehendak dan niat pihak yang menuntut sumpah atau hakim yang mengarahkan sumpah (b) Dibuat berdasarkan setiap isu atau perkara yang dipertikaikan (c) Pihak yang menuntut pihak lain bersumpah hendaklah memastikan pihaknya tidak mempunyai keterangan lain (d) Hakim hendaklah memberi peringatan dan amaran berhubung dengan implikasi sumpah yang dilaksanakan mengikut Hukum Syarak. Peraturan 7 juga menekankan bahawa lafaz sumpah hendaklah dimulakan dengan Wallahi, Wabillahi,Wa Tallahi atau sifat-sifat Allah dan dibuat di dalam bentuk yang tegas dan jelas berhubung sesuatu tuntutan atau penafian. Selain itu, satu deraf sumpah hendaklah disediakan oleh hakim sebelum sumpah dilafazkan oleh pihak berkenaan. Mengikut peraturan 8 pula, ada dinyatakan bahawa muddaa alaih (defendan atau orang kena tuduh) perlu bersumpah dengan kebenaran hakim apabila - (a) muddaaii gagal mengemukakan keterangan yang mencukupi; (b) muddaa alaih menafikan tuntutan muddaaii; dan (c) muddaaii menuntut muddaa alaih bersumpah atas penafiannya. Lafaz Sumpah Syarie Arahan Amalan JKSM tersebut juga ada memberi contoh lafaz sumpah syarie muddaa alaih, jika dibenarkan atau diperintahkan oleh hakim bicara. Lafaz Sumpah Syarie Al-Muddaa Alaih adalah seperti berikut: Wallahi, Wabillahi, Watallahi, demi Allah aku (Nama Al-Muddaa Alaih) bersumpah dengan nama Allah bahawasanya aku menafikan tuntutan Al-Muddai (nama Al-Muddai) berhubung dengan..........Dan jika aku berdusta pada sumpah aku, nescaya dimurkai Allah dan laknat-Nya di atas aku dunia dan akhirat. Bertarikh pada haribulan " Sumpah pemain bola Terengganu Terbaru, ekoran suatu insiden yang berlaku dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin Johor Bahru pada 1 Februari lalu, seorang penolong jurulatih dan seorang pemain bola pasukan T-Team Terengganu telah bersumpah dengan Quran bagi meyakinkan orang ramai tentang apa yang mereka katakan berlaku dalam insiden tersebut. Mengikut Azlan dan Khairan (yang melafazkan sumpah tersebut), pada masa itu mereka dalam keadaan sedar dan waras melihat Rodrigues yang memakai jersi nombor 16 ditumbuk di bahagian muka oleh pegawai PBNJ pada pukul 9.40 malam. Upacara sumpah itu dilakukan di Hotel Tabung Haji Kuala Terengganu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri (yang juga Pengurus T-Team) Rozi Mamat dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid. Ahmad berkata, dia setuju mengadakan majlis itu bagi maksud membuktikan apa yang sebenarnya berlaku dalam insiden di terowong Larkin itu. Katanya lagi dia sudah pun merujuk perkara itu kepada Mufti Terengganu terlebih dahulu dan hanya meminta mereka yang melihat kejadian itu sahaja mengangkat sumpah. Melihat kepada urutan fakta, pihak yang membuat dakwaan (allegation) adalah pasukan bola Terengganu. Justeru, mereka adalah mudda`ii, kerana merekalah yang mendakwa pegawai Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menumbuk pemain pasukan mereka dalam terowong itu. Sewajarnya mereka memfailkan kes di mahkamah atau di mana-mana badan tatatertib sukan bola dan sebagainya bagi mendapatkan keputusan dan perintah yang muktamad. Untuk itu merekalah yang memikul beban mengemukakan bukti, misalnya saksi-saksi dan sebagainya. Sebagai mudda`ii, sumpah bukan hak mereka - jika kita ingin ikuti prinsip undang-undang Islam, sebagaimana yang terkandung dalam Enakmen Keterangan Syariah negeri yang diringkaskan di atas. |
Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST Oleh Zaini Hassan UiTM atau Universiti Teknologi Mara ialah sebuah universiti yang cukup berjaya dalam menghasilkan siswazah yang berketerampilan, versatil dan hands-on. Rata-rata para siswazahnya boleh membuat kerja pada hari pertama mereka mendaftar sebagai pekerja. Ini bukan omongan, tapi realiti. Ada jugalah yang gagal. Tetapi 70 peratus daripada para siswazahnya berjaya mendapat kerja sebaik sahaja habis belajar. Kadar kebolehpekerjaan (employability) siswazah UiTM cukup tinggi jika diambil kira dengan nisbah populasi yang dihasilkan setiap tahun. Setiap tahun ia menghasilkan kira-kira 30,000 lulusan dalam pelbagai bidang. Setakat ini terdapat lebih 530,000 siswazahnya melata di dalam dan luar negara. Dalam jumlah itu ada yang dihasilkan oleh Pusat Latihan RIDA semasa penubuhannya dari 1956-1965, Kolej Mara (1965-1967) dan ITM (1967-1999) sebelum dinaik taraf sebagai universiti dan UiTM sendiri. Angka 500,000 itu dikenali sebagai alumni atau bekas pelajar di alma mater itu. Jumlah itu cukup besar. Ia cukup kuat sebagai sebuah badan alumni. Jika ditukar menjadi badan siasah, ia adalah kuasa kedua terbesar selepas UMNO. Walaupun selepas menerima diploma dan masing-masing ada yang melanjutkan pelajar ke peringkat ijazah di institusi dalam dan luar negara, semangat RIDA/ITM/UiTM mereka cukup teguh di sanubari masing-masing. Semangat lagu Warisan Anak Kecil Main Api yang dinyanyikan semasa minggu orientasi melekat utuh di jiwa mereka sampai bila-bila. Gelaran budak Engine, budak Law, budak Masscomm, budak Hotcat, budak A.D, budak Business dan lain-lain terlekat di dahi mereka, walaupun masing-masing kini sudah bercucu-cicit! Itulah jiwa UiTM. UiTM Tetap di Hatiku, cogankata Naib Canselornya sekarang, Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, yang juga budak Engine (Kejuruteraan). Baru-baru ini Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) mengadakan program kebajikan membantu mangsa banjir di Kuantan yang turut disertai oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh. Dalam ucapannya, Idris dengan bangga berkata, "Saya juga alumni UiTM. Walaupun saya belajar sekerat jalan semasa mengikuti kursus Eksekutif MBA program Ohio di ITM pada 1984 dulu, tapi semangat saya untuk menjadi alumninya cukup kuat." Beliau berjaya menyuntik semangat baru di sanubari kami semua. Gerakkan semangat wakaf di kalangan alumni. Gerakkan semangat memberi balik (spirit of giving back) di jiwa mereka. "Kita kutip RM1 bilion daripada para alumni," cabarnya. "RM1 bilion?" saya selaku Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia tercengang. Saya tanya lagi "Seribu juta ringgit?" "Ya RM1 bilion. Apa susah sangat," katanya. Ilmu Hisab mudah beliau begini: Alumni UiTM ada 500,000. Setiap seorang menginfak, menderma, bersedekah, berwakaf sebanyak RM2,000. Dalam setahun alumni boleh mengumpul dana endowmen atau dana wakaf berjumlah satu ribu juta ringgit. Atau 500,000 alumni x RM2,000 = RM1 bilion. "Sebagai permulaan saya sendiri akan mengumpulkan daripada adik-beradik saya alumni UiTM. Setiap seorang akan menginfak RM2,000. "Saya sendiri akan memberi RM10,000. Susahkah itu?" tanya Idris. Saya kata tidak. "Kita akan gerakkan." Dalam tempoh beberapa hari ini sahaja, hasil semangat wakafer di jiwa Idris beliau telah menggerakkan kempen melalui kumpulan Whatsapp dan SMS. Hasilnya lebih RM50,000 berjaya dikutip dan akujanji akan menderma. Semangat wakafer Idris bukanlah asing. Sebelum menyertai Kabinet, beliau telah menggerakkan apa yang dikenali sebagai gagasan Wakaf Korporat melalui platform Yayasan Iqra. Saya sendiri juga terbabit dalam gerakan itu. Kami menggelar diri kami sebagai wakafer, atau penggerak wakaf. Dana RM1 bilion ini akan dikenali sebagai Tabung Pendidikan Alumni UiTM. Di universiti terkemuka Harvard misalnya, dana seperti ini bukan asing lagi. Ia digerakkan oleh para alumninya sehingga berjaya mengumpul dana endowmen berjumlah lebih AS$20 bilion. Dana wakaf ini digunakan untuk memberi biasiswa, menyalur bantuan kebajikan, penambahbaikan kurikulum fakulti, menaja penyelidikan dan pembangunan (R&D), mendapatkan pakar dalam pembelajaran, membiayai operasi universiti dan sebagainya. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bumiputera terbesar di negara ini, mengapa tidak kita mulakan budaya "memberi balik" ini? "Jika Harvard berjaya kutip RM100 bilion dana endowmen, kita kutip dahulu RM1 bilion pertama, insya-Allah. "Adakah kita hanya selama-lamanya akan menjadi bangsa penerima tongkat semata-mata?" kata Idris penuh semangat, semasa berhenti rehat untuk satu lagi program UiTM di Kuantan baru-baru ini. Setakat ini semua begitu teruja dengan cadangan itu. Persatuan Alumni UiTM Malaysia akan menyelaras penubuhan sebuah panel penasihat yang dianggotai oleh pakar-pakar dan kapten-kapten industri kalangan alumni sendiri untuk mengawal selia dana ini mengikut konsep wakaf, secara telus. Sebagai wakafer, Idris kelihatan puas. Puas untuk melihat budaya memberi balik ini berjaya memartabatkan ummah secara keseluruhan. Ternyata pandangannya merentas masa. Beliau banyak belajar daripada budaya masyarakat Turki yang `memberi balik kepada ummah melalui wakaf dan infak. Daripada situ mereka membiayai pembinaan sekolah, madrasah, institusi kebajikan ke seluruh dunia sejak zaman Khalifah Uthmaniah lagi. "Kita mulakan di UiTM dahulu kerana ia adalah institusi yang unik," katanya. Benar, ia juga boleh menjadi contoh sejauhmana kita semua sebagai ummah alumni UiTM benar-benar faham mengenai erti memberi balik - menginfak, bersedekah, menderma kepada institusi keramat Melayu/Bumiputera ini. Siapalah Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman (PNB) tanpa ITM? Siapalah Datuk Kamaruddin Maranun (AirAsia), siapalah Datuk Seri Shazzalli Ramly (Celcom), siapalah Datuk Aminar Rashid (Perodua), siapalah Tan Sri Mohd. Khamil Jamil (DRB-Hicom), siapalah Datuk Seri Zukri Samat (Bank Islam), siapalah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin (Boustead Holdings)? Siapalah Datuk Seri Panglima Musa Aman (Ketua Menteri Sabah) tanpa ITM? Siapalah Datuk Richard Malanjum (Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak), siapalah Datuk Zaid Ibrahim (ahli politik/peguam), siapalah Datuk Seri Ir. Zin Mohamed (bekas menteri), Datuk Seri Azalina Othman Abas (bekas menteri) dan banyak lagi. Tanpa institusi keramat ini, siapalah "budak-budak" itu hari ini? Penulis juga ialah Presiden Alumni UiTM Malaysia |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |