Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Jadi pusat antidoping negara
- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam anjur taklimat bersama mahasiswa UiTM Perak
- 20 peserta terima sijil program SME@UUM
Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST Oleh MARZIANA MOHAMED ALIAS Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan (kiri) MENDENGAR PENERANGAN DARIPADA MohaMED Isa Abdul Majid MENGENAI Pusat Kawalan Doping USM di USM Pulau Pinang, baru-baru ini. - Gambar: IHSAN USM PULAU PINANG 18 Feb. - Pusat Kawalan Doping (PKD) Universiti Sains Malaysia (USM) komited mendapatkan semula akreditasi dari Agensi Anti Doping Dunia (WADA) selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi membolehkan pusat tersebut diiktiraf bermula tahun depan. Pengarah PKD, Prof. Datuk Dr. Mohamed Isa Abdul Majid yang dilantik bermula 1 Januari lalu berkata, sehingga kini usaha ke arah mengembalikan kegemilangan PKD sebagai satu-satunya pusat antidoping di negara ini sedang giat dijalankan. Katanya, PKD hanya perlu memenuhi dua kriteria lagi untuk mendapat pengiktirafan WADA sebagai antara 33 pusat doping di dunia selain kembali menjalankan ujian terhadap sampel urin bagi pelanggan dari serata negara. Dua kriteria yang perlu dimantapkan itu, menurut beliau, adalah dari segi kecekapan staf serta memastikan peralatan canggih dan bernilai jutaan ringgit yang ada di PKD berfungsi sepenuhnya secara optimum. "Dalam masa sama, staf di PKD juga harus bersedia pada setiap masa dengan pelbagai kemungkinan serta perlu diterapkan bahawa mereka memberikan perkhidmatan di peringkat global," katanya di sini baru-baru ini. Kata Mohamed Isa, selain pengiktirafan WADA, PKD tahun ini juga menyasarkan mendapat status sebagai National Association of Testing Authorities (NATA). Sehubungan itu, tambah beliau, beberapa perancangan dan penelitian telah dilakukan terutama mengemas kini sistem pengurusan kualiti antara Pusat Perkhidmatan Analitikal Toksikologi Termaju (CAATS) dan PKD walaupun berada di bawah pengurusan sama. "Selain itu, PKD juga melatih para pekerja menjaga kualiti dan mengoptimumkan penggunaan peralatan dan mesin-mesin yang canggih," katanya. Mohamed Isa menambah, antara perkara lain yang perlu diberi penekanan adalah mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan di CAATS dan PKD supaya lebih menyeluruh dan bersifat global. "Kita perlu mendapatkan lebih banyak sampel termasuk dari luar negara. Ini amat memberi manfaat khususnya dalam membantu kedua-dua pusat ini yang telah dikenal pasti oleh universiti sebagai antara pusat yang berpotensi menjana pendapatan tinggi," katanya. Tambah beliau, mengikut rekod, pusat itu berupaya menjana pendapatan sehingga RM1.8 juta dan untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan peningkatan pendapatan kepada RM2 juta. |
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam anjur taklimat bersama mahasiswa UiTM Perak Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST SALIM Hashim (tengah) memperkatakan sesuatu kepada sebahagian mahasiswa pada Majlis Interaksi dan Taklimat Kerjaya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Bersama Mahasiswa UiTM Perak di Seri Iskandar, Perak, baru-baru ini. - utusan/HANAFI KHAMIS PARIT 18 Feb. - Para Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak baru-baru ini diberikan pendedahan mengenai fungsi serta peluang pekerjaan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam usaha meningkatkan pengetahuan mengenai agensi berkenaan di kampus UiTM Seri Iskandar. Dalam sesi selama dua jam bermula 10 pagi sehingga 12 tengah hari itu, SPA yang diwakili oleh Pegawai Tugas-tugas Khasnya, Datuk Salim Hashim telah memberi penjelasan khusus kepada mahasiswa-mahasiswa UiTM kampus berkenaan mengenai peranan serta gerak kerja SPA. Pada pertemuan itu juga, para mahasiswa diberikan peluang untuk mengajukan pelbagai bentuk soalan kepada pihak SPA. Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Perak, Prof. Madya Dr. Md. Yusof Hamid berkata, kehadiran wakil SPA dalam sesi penerangan di institusi pengajian tinggi awam itu bagi memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agensi tersebut. "Sesi ini sedikit-sebanyak memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengajukan soalan-soalan membabitkan SPA. Sekurang-kurangnya mereka boleh mendapat 'tips' untuk digunakan apabila menghadiri sesi temuduga bersama SPA kelak," katanya. |
20 peserta terima sijil program SME@UUM Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST KUBANG PASU 18 Feb. - Seramai 20 peserta yang berjaya menamatkan Program SME@UUM 2013 menerima sijil masing-masing dalam Majlis Graduasi Program SME@UUM 2013 di Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini. Penyampaian sijil kepada peserta disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM, Prof. Dr. Abdul Razak Saleh yang mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak (gambar). Menurut Mohamed Mustafa, gabungan kemahiran dan kepakaran ahli akademik UUM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pembangunan Sumber Malaysia Berhad (PSMB) dan pihak industri yang mengendalikan beberapa modul kursus dapat memberi banyak manfaat kepada graduan. Tambahnya, usaha itu khusus dalam merencana pembangunan perniagaan masing-masing ke tahap yang lebih cemerlang ke arah melahirkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bertaraf dunia. "Saya berharap para graduan dapat mengguna pakai segala ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang program SME @UUM serta mempraktikkannya untuk manfaat dan kemajuan perniagaan masing- masing. "Pengembangan sesebuah perniagaan memerlukan asas dan struktur yang kukuh dari pelbagai aspek," katanya dalam ucapannya yang dibacakan oleh Abdul Razak. Program SME@UUM diwujudkan pada 2011 dan dilaksanakan bersama lima buah universiti iaitu UKM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Program yang pertama kali diadakan di UUM bermula pada 10 September 2013 itu berjaya menarik penyertaan seramai 20 usahawan. Program dikendalikan oleh Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) UUM dengan kerjasama SME Corporation Malaysia. Dalam majlis sama, Anugerah Khas CEO Terbaik diterima oleh Mohd. Nizam Morad manakala Anugerah Khas Kumpulan Terbaik menjadi milik kumpulan 3Ms terdiri daripada Mohd. Nizam Morad, Mohammad Rozaidi Zakaria, Muhammad Ibrahim Mohd. Tahir dan Subhiah Ismail. Salah seorang peserta, Mohd. Nizam Morad berkata, program itu dapat menjadi platform dalam menajamkan ilmu perniagaan dan medium untuk memperluaskan perniagaan. "Hasil daripada program ini juga kami dapat bersama-sama membuka minda dan membebaskan fikiran ke arah satu pembentukan hala tuju syarikat yang mampan dan bersedia mendepani segala halangan yang akan ditempuhi," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |