Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
- Jangan hina Harimau Muda A!
- 'Harimau Muda A bersih daripada rasuah'
- Selangor PKNS berhak dihormati - Wan Jamak
Posted: Jangan hina Harimau Muda A!Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE KHAIRY (kanan) kesal dengan dakwaan media Asutralia yang menganggap skuad Harimau Muda A sebagai sarang bookie. JANGAN kerana hanya nila setitik, habis rosak susu sebelanga! Demikian bidas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung laporan negatif yang menuduh skuad Harimau Muda A sebagai sarang bookie yang akan menyertai Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Australia bermula 8 Mac nanti. Menurut beliau, ia satu pandangan yang tidak adil memandangkan penyertaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee di sana mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Australia dan pengurusan liga NPL. "Jangan hina pasukan kita. Ini skuad muda kita. "Walaupun ada setitik nila dalam kalangan rakyat Malaysia yang terlibat dengan sindiket (bookie) antarabangsa sebelum ini, janganlah kata begitu. "(Penyertaan Harimau Muda A) dalam NPL hanya bagi kemudahan dan pendedahan, jadi saya rasa ia satu pandangan yang tidak adil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Tahunan Jelajah Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM Tour Yearbook) 2013 di Kelab Golf Kinrara, Puchong, Selangor semalam. Turut hadir Pengerusi PGM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Kelmarin, media Australia iaitu Brisbane Times melaporkan bahawa kehadiran skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara akan membuka ruang lebih besar buat sindiket bookie untuk mengatur perlawanan di NPL Queensland. Laporan itu turut mengimbas beberapa insiden yang berlaku termasuk ketika penjaga gol kelab Geylang United, Yazid Yasin pernah disogok untuk menjual perlawanan ketika menentang Harimau Muda A dalam saingan Liga Singapura 2012. Biarpun menegaskan Harimau Muda A bebas daripada sebarang kes skandal mengatur perlawanan, pihak media Australia itu percaya bahawa kedatangan skuad muda negara bakal memberikan impak negatif kepada NPL Queensland. Namun, ia jelas membangkitkan kemarahan Kim Swee yang menyifatkan laporan sedemikian mengarut, biadap dan tidak masuk akal. Mengulas lanjut, Khairy berkata, gejala mengatur perlawanan merupakan masalah universal dan bukan sekadar berlaku di Malaysia. "Ia isu sejagat, negara lain pun ada juga. Takkan mana-mana pasukan Piala Dunia yang ada sejarah kes rasuah kita akan tuduh bukan-bukan? "Jadi, ia satu pandangan keterlaluan dan tidak berasas," kata beliau. Dalam perkembangan lain, Khairy juga mengesahkan bahawa Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBSN) yang sepatutnya dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac depan terpaksa ditunda kerana ia bertembung dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO. "Ia masih di trek yang betul, jadi satu tarikh baharu akan dikenal pasti. Mungkin ia (PPBSN) akan dilancarkan pada penghujung Mac ataupun awal April," jelas beliau. |
'Harimau Muda A bersih daripada rasuah' Posted: 'Harimau Muda A bersih daripada rasuah'HAMIDIN mempertahankan reputasi Harimau Muda A yang bersih daripada gejala tidak bermoral. SKUAD Harimau Muda A tidak pernah terbabit dengan gejala rasuah seperti yang didakwa oleh media Australia. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang terkejut dengan dakwaan tersebut tampil mempertahankan reputasi skuad remaja negara itu yang tidak pernah terlibat dengan gejala tidak bermoral itu. Dua tahun lalu, skuad Harimau Muda A pernah beraksi dalam Liga Singapura dan mereka tidak pernah terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat itu. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, pihaknya sangat kecewa dengan tohmahan yang dilemparkan oleh media Australia yang mendakwa kedatangan skuad kendalkan Datuk Ong Kim Swee yang bakal beraksi di Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queenlands pada bulan depan, bakal memberikan ruang buat sindiket perjudian untuk mengatur perlawanan di liga tersebut. Mengulas lanjut, Hamidin berharap pihak pengurusan NPL Queensland dapat menjelaskan perkara sebenar kepada media mereka agar tidak lagi mencetuskan suasana tidak harmoni kepada pasukan muda negara yang akan beraksi di NPL pada 8 Mac nanti. "Ia satu dakwaan yang saya sangat kesalkan. Bagi saya, ia lebih kepada spekulasi tetapi di pihak FAM, ia satu tuduhan yang amat serius. "Untuk rekod, barisan pemain Harimau Muda A tidak pernah terlibat atau disiasat dengan skandal mengatur keputusan perlawanan ketika beraksi di Singapura. "Sudah tentu ia tidak adil buat pihak kami dengan tuduhan tersebut kerana skuad Harimau Muda A adalah 'bersih' daripada gejala yang tidak bermoral itu. "Kami akan mengusulkan laporan media ini kepada pihak NPL Queensland. Kami tidak mahu kedatangan kami ke sana tidak senangi oleh peminat-peminat mereka," katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam. Kosmo! semalam melaporkan, satu laporan media Australia, Brisbane Times menyifatkan, kedatangan skuad bawah 23 tahun (B-23) bakal memberikan 'ruang' lebih besar buat sindiket perjudian untuk mengatur perlawanan di NPL. Laporan tersebut memetik kembali beberapa insiden termasuk rekod-rekod bookie yang mana penjaga gol Geylang United, Yazid Yasin pernah disogok untuk menjual perlawanan ketika menentang Harimau Muda A pada aksi Liga Singapura 2012. Biarpun menegaskan Harimau Muda A bebas daripada sebarang kes skandal mengatur keputusan perlawanan, pihak media Australia itu percaya, kedatangan skuad muda negara bakal memberikan impak negatif kepada NPL Queensland. Di sebalik tanggapan negatif dari media luar, Hamidin menegaskan FAM tidak akan sesekali menarik diri daripada beraksi di NPL Queensland. Katanya, kerjasama beraksi di NPL Queensland telah mendapat kebenaran dari Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). "Seperti yang saya katakan tadi, ia lebih kepada spekulasi media luar sahaja dan kami tetap akan beraksi di NPL Queensland. "Mengapa harus tarik diri sedangkan FAM telah mendapat kebenaran daripada FIFA dan AFC untuk beraksi di NPL Queensland? "Jadi, saya tidak nampak mengapa Harimau Muda A harus tarik diri dan persiapan skuad muda negara adalah lebih penting daripada memikirkan tanggapan negatif media Australia," katanya. |
Selangor PKNS berhak dihormati - Wan Jamak Posted: Selangor PKNS berhak dihormati - Wan JamakREPUTASI yang dimiliki Kelantan sebagai juara bertahan Piala FA tidak lagi mengundang resah pengendali skuad Selangor PKNS, Wan Jamak Wan Hassan. Kejayaan merobek gawang The Red Warriors sebanyak dua kali ketika tewas 2-3 pada pertemuan aksi suku akhir pertama Piala FA di Kota Bharu minggu lalu sudah cukup bagi membuktikan kesungguhan barisan pemain The Red Ant menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini. Justeru, Wan Jamak menuntut persembahan terbaik barisan pemainnya malam ini sekali gus menjamin slot ke separuh akhir. "Reputasi Kelantan tidak lagi perlu dipertikai namun pada masa sama, skuad PKNS juga berhak dihormati. "Jadi, saya harap pemain PKNS mampu mencari gol awal sekali gus memberikan tekanan kepada Kelantan esok (malam ini)," katanya kepada Kosmo! semalam. Mengulas lanjut, Wan Jamak juga enggan menjadikan kelebihan gol di tempat lawan disifatkan satu kelebihan buat skuad kendaliannya malam ini. "Kelebihan dua gol di tempat lawan tidak akan memberikan sebarang makna jika kami sekadar seri atau tewas (malam ini). "Jadi, kami akan bermain bermati-matian supaya keputusan memihak kepada kami," kata Wan Jamak. Beliau juga enggan mengundang risiko mengamalkan corak permainan menyerang malam ini biarpun penyerang import, Patrick Wleh Ronaldinho kembali pulih daripada kecederaan selain kehadiran semula Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang sebelum ini menjalani hukuman penggantungan perlawanan gara-gara mengutip kad kuning kedua. "Saya akui menyerang merupakan strategi pertahanan yang paling baik, namun saya tidak mahu PKNS terjerat dengan kekuatan Kelantan yang tampak utuh di bahagian tengah. "Kredibiliti yang dimiliki kapten Kelantan, Badhri Radzi pastinya mengundang padah buat kami jika terlalu ghairah menyerang. "Jika perlu, saya akan menggandingkan Ronaldinho bersama (Karlo) Primorac namun segala-galanya akan ditentukan sebelum perlawanan nanti," kata beliau. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |