Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
PRK Kajang catat senario luar biasa Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST Oleh HUSSAINI AMRAN Samsul Adabi Mamat KUALA LUMPUR 17 Feb. - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini bakal memperlihatkan senario luar biasa sekiranya ahli atau penyokong Pas mengundi calon Barisan Nasional (BN). Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Samsul Adabi Mamat berkata, keadaan itu tidak mustahil bakal berlaku bagi menunjukkan mereka hilang kepercayaan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah, menurut beliau, sebahagian ahli dan penyokong pakatan pembangkang mungkin mengundi calon BN sebagai tanda protes terhadap keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi DUN Kajang pada 27 Januari lalu. "Ahli Pas terutama berpendirian sederhana kini dalam keadaan berbelah-bahagi, mereka hilang kepercayaan terhadap Anwar. "Mereka akan mengundi calon Bebas atau dalam keadaan luar biasa, mereka akan mengundi calon BN," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Samsul Adabi mengulas tentang peluang Anwar untuk memenangi pilihan raya kecil tersebut dalam situasi Penasihat PKR itu mungkin terpaksa menghadapi tentangan empat calon bertanding atas tiket BN dan Bebas. Setakat ini, Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan; bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Ramlan Abu Bakar menawarkan diri untuk bertanding menentang Anwar. Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Naib Presiden MCA, Datuk Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon merupakan antara nama yang diramalkan sebagai calon BN. Dalam perkembangan sama, Samsul Adabi menambah, Anwar boleh ditewaskan sekiranya BN menggunakan strategi yang betul dalam mendekati kira-kira 6,000 pengundi atas pagar di kawasan berkenaan. Beliau memberitahu, secara rasional, terdapat kemungkinan kumpulan pengundi terbabit memihak kepada BN kerana membantah tindakan Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang. "Saya menjangkakan DUN Kajang bakal menjadi medan pertarungan yang sengit antara BN dan pakatan pembangkang seperti yang lazimnya berlaku dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum di negara ini," ujarnya. Jelas beliau, walaupun terdapat tokoh yang menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas, peluang mereka menang agak tipis. |
Hasrat Zaid tanding di Kajang tidak wajar dihalang Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST Abdullah Ahmad Badawi bersama Jeanne Abdullah (tengah) dan Mustapa Mohamed menanam dan menyiram pokok gaharu pada Program Penghijauan Bumi di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Jeli, semalam. -- Utusan/Rosni Masri JELI 17 Feb. - Kesediaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu bertanding sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak dilihat sebagai satu ancaman kepada Barisan Nasional (BN). Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, hasrat Zaid untuk bertanding tidak wajar dihalang, sebaliknya perlu dialu-alukan kerana perkara itu membuktikan amalan demokrasi terus subur di negara ini. "Kalau dia nak bertanding biarlah, malah kalau ada sesiapa lagi nak bertanding, silakan. Tidak ada masalah kerana ini negara demokrasi. "Apa yang penting, saya harap semua selamat dan proses pilihan raya akan berjalan lancar, tiada sebarang kekacauan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Penghijauan Bumi anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, dekat sini hari ini. Perasmian program yang melibatkan penanaman 2,000 anak benih pokok karas atau gaharu di sekitar UMK Kampus Jeli itu disempurnakan oleh isteri Abdullah yang juga Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah. Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Zaid yang mengumumkan secara rasmi akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Kajang bulan depan. Zaid membuat keputusan tersebut dengan alasan mahu menghalang sebarang usaha menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim daripada terus mengetuai kerajaan negeri. Sementara itu, ditanya mengenai calon yang bakal dipilih oleh BN untuk bertanding dalam PRK Kajang, Abdullah berkata, beliau yakin pucuk pimpinan parti telah mengambil kira pelbagai faktor dari segenap aspek sebelum membuat keputusan. "Saya percaya BN akan membuat keputusan terbaik," katanya. Dalam perkembangan lain, Abdullah berkongsi rasa bangga melihat UMK yang ditubuhkan pada Oktober 2006, iaitu ketika beliau menjadi Perdana Menteri terus berkembang pesat menjadi salah satu institut pengajian tinggi (IPT) terunggul di negara ini. Katanya, UMK yang memiliki tiga kampus iaitu di Kota Bharu, Bachok dan Jeli dengan jumkah pelajar kini mencecah 7,000 orang merupakan sebuah universiti yang unik kerana memberi tumpuan terhadap kajian akademik serta sebagai pusat penyebaran ilmu berkaitan alam sekitar dan ekosistem. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |