{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Awanama

Utusan Online - Johor


Selidik bidang ingin diceburi

Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh Haniza Hassan
utusanjohor@utusan.com.my

Russli Hassan (dua dari kanan) mendengar taklimat daripada wakil Jobs Malaysia pada Karnival Mini Kerjaya KYPJ 2014 di Johor Bahru, baru-baru ini. - gambar/ihsan kpypj

JOHOR BAHRU 18 Feb. - Penuntut Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) disaran membuat penyelidikan terperinci tentang kerjaya yang ingin diceburi selepas tamat pengajian seperti latar belakang organisasi, kelayakan kemasukan dan suasana kerja.

Pengarah Bahagian Pentadbiran KYPJ, Russli Hassan berkata, kaji selidik itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka membuat pilihan tepat tentang sesebuah organisasi yang ingin mereka disertai kelak.

Beliau berkata, penuntut boleh mendapatkan maklumat itu bukan sahaja menerusi media, malah secara terus di pameran kerjaya dan program pendaftaran pekerja yang dianjurkan pelbagai pihak.

"Sebagai contoh jika lepasan Diploma Perakaunan ingin menjadi pembantu akauntan, mereka perlu mengetahui kelayakan dan syarat untuk mengambil kursus 'Associate of Chartered Certified Accountants' (ACCA) yang boleh diperoleh dalam pameran kerjaya yang turut disertai firma akauntan," katanya semasa merasmikan Karnival Mini Kerjaya KYPJ 2014, di sini baru-baru ini.

Karnival dua hari di Sekolah Pengurusan Sains Sosial (SPSS) di Kampung Ungku Mohsin itu disertai 17 agensi korporat dan perniagaan, antaranya Jobs Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Gates IT Solution dan HT Global Consultancy.

Russli berkata, berdasarkan maklum balas daripada agensi yang menyertai karnival kerjaya, para penuntut akan mendapat gambaran lebih mendalam tentang bidang kerjaya yang ingin diceburi termasuk suasana kerja, tanggungjawab yang dipikul dan laluan kerjaya.

"Dengan cara itu, penuntut akan lebih bersedia dari segi akademik, mental dan fizikal yang diperlukan untuk menjawat jawatan dalam bidang yang diceburi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Karnival Mini Kerjaya KYPJ, Halijah Mohd. Yassin berkata, sepanjang dua hari program itu diadakan beberapa wakil industri turut memberi taklimat kerjaya kepada penuntut KYPJ, antaranya firma akauntan, NSY Accountancy Services, RHB Islamic dan Consultant Interior Designer.

Selain memberi pendedahan kepada penuntut tentang peluang pekerjaan, mereka turut didedahkan dengan peluang melanjutkan pengajian, bimbingan kaedah menulis surat permohonan pekerjaan dan temuduga terbuka.

"Pada masa sama, karnival ini menjadi medan bagi pihak kolej menjalinkan hubungan dua hala dengan pihak industri berkaitan bagi 'memasarkan' penuntut kami kepada mereka," katanya.

Mengandung, buta tak halang lanjut pengajian

Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST

JOHOR BAHRU 18 Feb. - Usia kandungan yang mencecah lapan bulan bukan penghalang bagi seorang ibu muda untuk meneruskan hasratnya mendapatkan segenggam ijazah apabila turut mendaftar mengikuti program pengajian secara separuh masa.

Asmah Abdul Jabar, 29, kini sarat mengandung anak keduanya itu mengakui telah lama memendam keinginan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda setelah memiliki diploma.

"Sebenarnya niat untuk menyambung ke peringkat sarjana muda bukan baharu kerana saya telah menyimpan hasrat ini sejak setahun lalu, namun terpaksa ditangguh dahulu kerana kursus yang saya minati tidak ditawarkan pada ketika itu.

"Kini walaupun sarat mengandung anak kedua, saya gembira kerana akhirnya hasrat untuk melanjutkan pengajian tercapai juga," katanya yang mendaftar diri untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Matematik Industri di Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan UTM (UTMSpace), di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang penuntut buta sebelah mata, Mohd. Naim Mohd. Hassan, 31, berkata, kekurangan bukan penghalang untuk terus memajukan diri seperti insan lain.

"Saya mendaftarkan untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer ini bagi memajukan diri, khususnya dalam bidang kerjaya kerana umum tahu betapa pentingnya segulung ijazah itu.

"Kekurangan yang ada ini bukanlah penghalang, malah 'membakar' semangat saya untuk terus meningkatkan pengetahuan diri," katanya yang berasal dari Pulau Pinang.

Pada Majlis Aluan dan Sesi Pendaftaran Pengajian Separuh Masa UTMSpace sesi Februari 2014/2015 itu, seramai 500 penuntut dari seluruh negara mendaftar bagi mengikuti 14 program pengajian, antaranya kejuruteraan awam dan elektrikal, bioperubatan, matematik dan hartanah.

Sejak UTMSpace ditubuhkan pada 1995, sebanyak 13,000 penuntut pelbagai jurusan telah dilahirkan dan pihaknya turut menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum di cawangan baharunya di Miri, Sarawak.

UTHM terima 612 penuntut baharu ijazah sarjana muda

Posted: 18 Feb 2014 11:52 AM PST

Sebahagian penuntut baharu UTHM yang mendaftar untuk mengikuti program ijazah sarjana muda di Johor Bahru, baru-baru ini. - Gambar/Ihsan UTHM

JOHOR BAHRU 18 Feb. - Seramai 612 penuntut baharu mendaftar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi mengikuti pelbagai kursus peringkat ijazah sarjana muda untuk kemasukan sesi 2013/2014, baru-baru ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 323 orang terdiri daripada penuntut wanita manakala 289 lagi merupakan penuntut lelaki.

UTHM menawarkan lebih 700 tempat untuk sesi kemasukan kali ini, melibatkan tujuh program pengajian peringkat ijazah iaitu Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan dan Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar.

Mereka turut mengikuti pengajian untuk kursus Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Sains Komputer dan Teknologi Maklumat serta Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan.

Naib Canselor UTHM, Datuk Prof. Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, kesemua program yang ditawarkan bukan sahaja diiktiraf oleh kerajaan malah mempunyai kekuatan kurikulum yang memenuhi syarat dan kehendak pasaran kerja.

Dalam ucapannya, Noh turut mengingatkan semua penuntut baharu supaya tidak lupa tanggungjawab masing-masing sebagai penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

"Tahniah kepada semua kerana berjaya diterima masuk ke UTHM dan suka saya ingatkan bahawa tanggungjawab sebagai penuntut IPT adalah besar dan sentiasalah menyimpan azam untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi," katanya.

Menurutnya, semua penuntut baharu diwajibkan menyertai program minggu haluan siswa yang bertujuan memberi pendedahan tentang latar belakang universiti seperti struktur organisasi, pentadbiran, prasarana, peraturan, disiplin, budaya serta corak hidup.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar