Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Penduduk terharu dibantu Yayasan Felda
- Bekalan air Melaka belum capai tahap kritikal - Zaidi
- Taiace perluas teknologi hijau
Penduduk terharu dibantu Yayasan Felda Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST M. MURUGAYA (dua dari kiri) menunjukkan keadaan rumahnya kepada Tea Kieu Chai (dua dari kanan) ketika melawat keluarga penerima bantuan Kasih Felda dekat Jempol, baru-baru ini. - GAMBAR/SAJIDA ASARULAH KHAN JEMPOL 17 Feb. - Penerima bantuan Kasih Felda melahirkan rasa gembira serta terima kasih di atas keprihatinan Yayasan Felda yang sanggup membantu mereka membaiki rumah demi menikmati kehidupan lebih selesa walaupun bukan dalam kalangan warga Felda. Menurut penerima bantuan, M. Murugaya, 80, dari Jalan Gemas dekat Rompin, dia terharu apabila pihak Felda sanggup membantu membaiki rumahnya walaupun terletak berhampiran tanah Felda. "Sudah hampir 30 tahun saya menetap di sini dan keadaan rumah ini semakin usang dimakan anai-anai. Saya sudah tidak bekerja akibat masalah kesihatan dan hanya bergantung hidup dengan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. "Bimbang mengenai keadaan rumah yang semakin teruk, saya menemui Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung Tanah Panjis, Tea Kieu Chai dan memaklumkan mengenai masalah ini. ''Beliau segera memanjangkan masalah ini kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan memaklumkan kepada saya rumah ini akan dibaiki dalam jangka masa dua minggu," katanya di sini baru-baru ini. Sementara itu, R. Anjalai, 36, berkata, sebagai ibu tunggal dia tidak mampu membaiki rumahnya walaupun berkerja. "Tugas saya membaja di ladang, pendapatan saya amat kecil dan hanya mampu untuk menghantar empat anak saya ke sekolah. Walaupun hidup dalam keadaan susah saya amat mementingkan pelajaran anak-anak. "Namun saya amat terharu apabila pihak Felda akan menggantikan papan di rumah ini dalam jangka masa terdekat. Tidak sabar rasanya mahu lihat rumah ini cantik. Saya berterima kasih atas keprihatinan Felda membantu masyarakat luar," tambahnya lagi. Bagi Ah Ling Cheng, 67, dari Kampung Tanah Panjis pula, dia amat terkejut apabila mengetahui pihak Felda akan membantu membaiki rumahnya. "Saya baru tahu bahawa Felda turut membantu masyarakat luar dan pastinya saya amat berbangga dengan agensi berkenaan. "Lebih 10 tahun saya terpaksa menadah air hujan dengan baldi kerana bumbung banyak yang bocor. Lega ada pihak yang prihatin dan mahu membantu saya sekeluarga," katanya lagi. |
Bekalan air Melaka belum capai tahap kritikal - Zaidi Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST MELAKA 17 Feb. - Bekalan air di negeri ini belum mencapai tahap kritikal dan berada di paras selamat dengan 70 peratus berbanding 73 peratus empat hari lalu. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan dan Pemulihan Projek, Zaidi Atan (gambar) berkata, keadaan air di negeri ini hanya akan berada di paras kritikal sekiranya hujan tidak turun sehingga hujung Mac ini. "Dijangkakan jumlah air berada di paras kritikal iaitu di bawah paras 50 peratus jika hujan tidak turun dalam tempoh sehingga penghujung Mac ini. "Kita harapkan hujan akan turun sebelum tempoh itu bagaimanapun, kita telah bersedia dengan pelbagai pelan kesinambungan lain iaitu penggunaan air dari kolam tadahan Ayer Keroh yang masih belum digunakan sementara dua lagi kolam tadahan iaitu di Kesang 1 dan kesang 2 telah digunakan. "Kita juga melaksanakan pengepaman air daripada Sungai Muar ke Melaka yang dahulunya kita guna dua pam tetapi kini guna empat pam dengan peningkatan perbelanjaan daripada RM800,000 kepada RM1.6 juta sebulan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran alat kawalan lampu isyarat MATC 4000 dan sistem pemantauan pintar lampu isyarat MITS 4000 di Sungai Putat, Batu Berendam di sini hari ini. Dalam pada itu, kata Zaidi, sebuah empangan bernilai RM1.1 bilion berkeluasan 300 hektar dijangka dibina di negeri tidak lama lagi. Katanya, empangan yang kini sedang dalam peringkat kajian itu akan dibina Sungai Jernih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di bawah peruntukan kerajaan Pusat. Zaidi berkata, dua pihak iaitu Bahagian Kawal Selia Air dan Perbadanan Air Melaka diberi tanggungjawab untuk melaksanakan kajian kemungkinan empangan itu dijangka siap dua bulan lagi. "Jika empangan itu berjaya dilaksanakan, Melaka akan mempunyai tiga empangan besar dan tiga kolam tadahan serta empat pam yang membantu menampung air kepada seluruh negeri ini,'' katanya. |
Taiace perluas teknologi hijau Posted: 17 Feb 2014 10:41 AM PST Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr. Abu Bakar Mohamad Diah (kiri sekali) mendengar penerangan daripada Isa Ismail berhubung kabinet telekomunikasi berkonsepkan teknologi hijau semasa melakukan lawatan ke Taiace Engineering di Arab Malaysian Industrial Park, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini. - utusan/ASWAD YAHYA SEREMBAN 17 Feb. - Banyak negara khususnya berstatus maju semakin komited terhadap pelaksanaan teknologi hijau dalam pembangunan, sekali gus mengaplikasikan produk, peralatan serta sistem yang dihasilkan ke arah memulihara alam sekitar. Usaha itu bertujuan untuk mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia di mana meliputi pelbagai aspek kehidupan yang kian menjejaskan kitaran alam semulajadi. Malah negara kita juga tidak ketinggalan dalam menyahut pelaksanaan teknologi hijau melalui penubuhan Sektor Teknologi Hijau, hasil rombakan Kabinet pada 9 April 2009. Penubuhan Sektor Teknologi Hijau adalah memastikan pembangunan negara yang mapan di samping memulihara alam sekitar bagi generasi akan datang. Di negara ini, bidang utama yang banyak menggunakan teknologi hijau adalah seperti pentadbiran kerajaan, pengendalian kenderaan, pengurusan kuasa, telekomunikasi, pendidikan serta industri berkaitan aktiviti harian manusia. Justeru, dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut, sebuah syarikat bumiputera, Taiace Engineering Sdn. Bhd. (Taiace) turut tidak ketinggalan untuk membangunkan sistem teknologi penyelesaian penjimatan tenaga elektrik bagi kegunaan dalam bidang telekomunikasi, pengkomputeran termasuk pengunaan barangan elektrik. Menurut Pengerusi Eksekutif Taiace, Isa Ismail, inisiatif tersebut telah dimajukan serta dibangunkan di bawah penjenamaan GreenTe Solutions yang menyasarkan penjimatan tenaga maksimum pada bangunan pejabat dan industri. ''Pada awalnya syarikat kejuruteraan ini mengkhususkan kepada penghasilan dan pembuatan perkakas dan komponen logam kepada industri. ''Bagaimanapun bagi menyahut seruan kerajaan syarikat ini mula membangunkan sistem penyelesaian khusus penjimatan elektrik bagi kegunaan industri telekomunikasi," katanya ketika ditemui di kilang Taiace dekat Nilai, di sini baru-baru ini. Jelas Isa, Taiace kini menawarkan khidmat serta produk penambahbaikan tenaga, peningkatan kualiti kuasa, pengagihan tenaga dan kawalan kuasa secara jarak jauh berteraskan konsep penjimatan. ''Setakat ini kita turut terlibat membangunkan produk ruang simpanan menara telekomunikasi (cabin tower) serta ruang pelayan (server) bagi industri. ''Malah produk kami turut digunakan serta dieksport ke 12 negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Korea, Indonesia, Maldives, India, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Jerman, Singapura, New Zealand dan Myanmar," ujarnya. Menceritakan pengalaman ketika beralih kepada pembangunan teknologi hijau, Isa memberitahu, syarikatnya mula membangunkan produk teknologi hijau selepas menerima geran sebanyak RM3 juta daripada Malaysia Technology Development Corporation Sdn. Bhd. (MTDC) pada 2009. ''Sepanjang tempoh itu kami telah dianugerahkan sijil inovasi daripada SME Corp serta syarikat inovasi terbaik daripada Anugerah Perniagaan Star," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |