{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Sukan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Sukan


Pahlawan Merah tepati ramalan

Posted:

Pahlawan Merah tepati ramalan

Pahlawan Merah tepati ramalan

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan NORLIDA AKMAR IDROS
sukan@kosmo.com.my

PERTAHANAN Kelantan, Obina Nwaneri (kanan) dan penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh bersaing pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi.


KELANTAN menepati ramalan awal apabila mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA selepas menyingkirkan Selangor PKNS.

Bagaimanapun, Kelantan dipaksa bekerja lebih keras sebelum dapat menyambar tiket separuh akhir.

Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi, Kelantan dan PKNS terikat dengan keputusan seri 3-3.

Biarpun sekadar mencatatkan keputusan seri, The Red Warriors tetap berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dengan kemenangan agregat 6-5 selepas menang 3-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu minggu lalu.

Pada aksi malam tadi, PKNS berjaya mengejutkan Kelantan menerusi jaringan penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh seawal minit kedua.

Begitupun, kelebihan skuad kendalian Wan Jamak Wan Hassan itu tidak bertahan lama apabila Ahmad Fakri Saarani menyamakan kedudukan buat Kelantan pada minit ke-19.

Skuad The Red Warriors kembali mengasak benteng pertahanan PKNS dan hasilnya, Shakir Ali meledak gol kedua pada minit ke-26.

Pemain kelahiran Kedah itu berjaya memanfaatkan hantaran kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi untuk mudah menewaskan penjaga gol PKNS, Mohd. Remezey Che Ros.

Kerancakan permainan semakin dirasai apabila penyerang gantian PKNS, Karlo Primorac menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti ketika aksi babak pertama berbaki tiga minit.

Pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab memberikan sepakan penalti itu selepas tonggak pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri menjatuhkan Ronaldinho di kawasan kotak penalti.

PKNS kembali menghidupkan peluang mara ke separuh akhir apabila memperoleh gol menerusi jaringan Hamka Hamzah pada minit ke-71.

Namun, Kelantan membalas dengan gol penyamaan hasil jaringan penyerang import, Mohamed Ghaddar berselang seminit kemudian.

PKNS cuba mencari gol tambahan dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan, namun keputusan 3-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Johor Darul Takzim (Johor DT) mengecewakan tuan rumah, Kedah apabila menang 2-0.

Kemenangan itu membolehkan Johor DT mara ke separuh akhir dengan agregat 5-1 selepas Harimau Selatan menang 3-1 pada aksi suku akhir pertama di Larkin minggu lalu.

Dalam aksi malam tadi, dua gol Johor DT masing-masing dijaringkan oleh dua penggempur Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.

Masih ada masa rebut tempat

Posted:

Masih ada masa rebut tempat

Masih ada masa rebut tempat

KURANG sebulan lagi sebelum skuad hoki senior negara menghadapi ujian sulung tahun ini - Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak bulan depan.

Sebagai langkah persediaan, seramai 16 pemain telah berlepas ke Australia semalam bagi menjalani latihan intensif dan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

Namun, ketua jurulatih negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, seramai 11 pemain yang telah mengesahkan tempat untuk beraksi pada PSAS kali ini dikecualikan daripada berlatih di Australia.

11 pemain terbabit ialah Roslan Jamaluddin, S. Kumar, Faizal Saari, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri, Shazril Irwan Nazli, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Mohd. Fitri Saari, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Rashid Baharom, Muhammad Firhan Ashaari dan Faiz Helmi Jali.

Empat lagi pemain yang dihimpit masalah kecederaan - Ismail Abu, Kavin Kartik Govindasamy, Nabil Fiqri Mohd. Noor dan Muhammad Razie Abdul Rahim juga tidak dibawa ke Australia.

"Faizal dan Kumar tidak akan menyertai kami ke Australia kerana mereka akan pulang dari India dalam masa terdekat.

"Jadi, pemain-pemain yang dibawa ke Australia perlu membuktikan keupayaan mereka untuk terpilih beraksi pada PSAS nanti.

"Sebahagian daripada pemain yang tidak terpilih pula akan direhatkan untuk memberi tumpuan bagi menghadapi Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan April depan.

"Saya ingin tekankan jika ada pemain yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan di Australia, saya tidak teragak-agak untuk menggugurkan mereka," katanya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Jalil, semalam.

Tambah Dhaarma Raj, skuad negara akan menghadapi enam perlawanan persahabatan termasuk empat kali menentang skuad Pilihan Australia dan dua kali bertemu pasukan Institut Sukan Australia.

"Ada enam perlawanan persahabatan nanti dan jika tiada halangan, mungkin akan tambah satu lagi perlawanan menentang pasukan Universiti Western Australia.

"Apabila pulang ke Malaysia nanti (2 Mac depan), kami akan bertemu China sekali dan Kanada dua kali sebelum bertanding pada PSAS (13 hingga 23 Mac depan)," katanya.

Dalam pada itu, lima pemain remaja telah dipanggil untuk menjalani latihan bersama 11 pemain yang dikecualikan ke Australia.

Lima pemain itu ialah Joel Samuel Van Huizen, Muhammad Haziq Samsul, Shafiq Sumantri, Nor Azrul Abd. Rahman dan Muhammad Firdaus Omar.

FAS kemuka aduan kepada FAM

Posted:

FAS kemuka aduan kepada FAM

FAS kemuka aduan kepada FAM

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my


SUKRI melayangkan kad merah kepada Junior (dua dari kiri) pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching Sabtu lalu.


PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) telah mengemukakan aduan rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung pengadil, Sukri Abdul Rahman yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur lucah kepada kapten Sarawak, Joseph Kalang Tie.

Timbalan Presidennya, Datuk Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, Setiausaha Agung FAS, Abdullah Julaihi telah menghantar surat kepada FAM kelmarin untuk diambil perhatian sewajarnya.

Mohamad Abu Bakar yang juga pengurus pasukan Sarawak menegaskan, kini terpulang kepada FAM untuk mengambil tindakan lanjut berhubung insiden tersebut.

"Bagi kami (FAS), perkara itu memang diambil serius. Para pengadil sepatutnya menjaga imej mereka dan perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

"Kami berharap FAM akan mengambil tindakan lanjut berhubung aduan rasmi kami itu agar memberi pengajaran kepada semua pihak pada masa hadapan," katanya kepada pemberita di Kuching semalam.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan Kalang telah mengadu kepada ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts bahawa Sukri telah mengeluarkan perkataan berbaur lucah kepadanya sejurus tamat aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Negeri, Kuching Sabtu lalu.

Sukri didakwa mengeluarkan perkataan tersebut selepas Kalang meminta penjelasan kepadanya berhubung beberapa tindakan yang diambil oleh pengadil terbabit ketika mengendalikan perlawanan.

Sementara itu, akhbar semalam melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati hanya terdapat salah faham berhubung insiden tersebut.

Astaman berkata, Kalang berkemungkinan tersalah dengar seolah-olah perkataan itu berbaur lucah.

"Saya difahamkan Sukri menyebut 'You selalu kacau' tetapi pemain berkenaan (Kalang) mungkin salah dengar. Apa pun, kalau ada kesalahan etika, kami akan ambil tindakan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat