{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pendidikan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pendidikan


Rasa selamat di sekolah

Posted: 27 Feb 2014 05:24 AM PST

Sebahagian pelajar dan guru Sekolah Menengah Sains Sembrong, Kluang, Johor, yang terbabit dalam Program OSH In School anjuran Persatuan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia dan Sekolah Kejuruteraan Razak Universiti Teknologi Malaysia baru-baru ini.

SEKOLAH bukan sahaja institusi menimba ilmu untuk para pelajar, malah ia merupakan tempat kerja bagi mereka yang bergelar guru dan kakitangan sokongan.

Di negara ini, kemalangan di sekolah pernah dilaporkan beberapa kali, tetapi paling dikesalkan apabila kebanyakan puncanya kerana kelalaian serta pengabaian aspek keselamatan yang sepatutnya diberi perhatian penuh.

Bagi bekas pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil di Pasir Puteh, Kelantan, peristiwa makmal sains terbakar dua kali dalam tempoh lapan jam pada tahun 2009, pastinya satu tragedi yang sukar dilupakan.

Persoalannya mengapa tiadanya pelan tindakan kecemasan jika berlaku sesuatu insiden seperti kebakaran, tumpahan bahan kimia, rampasan bangunan, ancaman bom dan sebagainya.

Menurut Presiden Persatuan Kesihatan dan Keselamatan Industri Malaysia (MiSHA), Aziz Basiran, penekanan aspek keselamatan dan kesihatan perlu bermula seawal usia yang boleh.

Katanya, pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sekolah perlu dititik beratkan bagi mencegah kecederaan mahupun masalah kesihatan sama ada terhadap guru, kakitangan, murid atau sesiapa sahaja yang memasuki kawasan sekolah.

"Kawasan sekolah juga terdedah dengan hazard atau situasi yang berpotensi membawa kemudaratan sama ada kecederaan atau penyakit terhadap manusia atau kombinasi keduanya.

"Antaranya permukaan yang tidak rata, licin, curam atau berlubang. Hazard lain seperti objek tajam yang berpotensi dilanggar kenderaan terutamanya di luar kawasan pagar sekolah, pendedahan bahan kimia berbahaya kepada kesihatan dan sebagainya," ujar Aziz yang ditemui pada program OSH in School di Sekolah Menengah Sains Sembrong, Kluang, Johor, baru-baru ini.

Program kesedaran keselamatan di sekolah yang diadakan buat julung kalinya itu telah dianjurkan oleh MiSHA dengan kerjasama Sekolah Kejuruteraan Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

OSH (kesihatan dan keselamatan pekerjaan) merupakan satu budaya yang perlu diterapkan selaras dengan visi negara untuk menjadi sebuah negara bertaraf maju.

Menurut Aziz, terdapat banyak tempat berlakunya kemalangan yang melibatkan murid, guru mahupun kakitangan di sekolah.

Antaranya, kemalangan di luar kawasan sekolah, di padang permainan, dalam kelas, tangga, bengkel, makmal sains, kaki lima dan sebagainya.

Oleh itu katanya, mengenalpasti hazard, penaksiran risiko dan penentuan kawalan yang sesuai perlu dijalankan.

"Antara kecederaan akibat kemalangan yang sering terjadi sama ada kepada murid, guru atau kakitangan di sekolah ialah patah tangan dan terseliuh akibat terjatuh, kaki luka terpijak benda tajam dan kecederaan disebabkan kemalangan jalan raya," jelas beliau.

Aziz turut menggesa, pihak sekolah untuk membangun, melaksana dan mengekalkan sistem pengurusan KKP berdasarkan standard yang diiktiraf seperti MS 1722:2011 dan OHSAS 18001:2007 dan seterusnya mendapatkan pensijilan.

Tambahnya lagi, pihak sekolah perlu menjalankan pengenalpastian hazard, penaksiran risiko dan menentukan kawalan dan seterusnya membangunkan polisi, objektif dan program KKP.

"Antara yang boleh dilakukan pihak sekolah ialah dengan menjalankan kursus kesedaran KKP seperti menjalankan latihan kecemasan, penilaian pematuhan perundangan dan lain-lain keperluan KKP.

"Maklumat yang tepat dan mencukupi perlu dihebahkan kepada semua sekolah. Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) juga boleh memainkan peranan dan penubuhan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di sekolah perlu direalisasikan.

"Anugerah KKP untuk sekolah-sekolah perlu diwujudkan untuk menggalakkan pihak sekolah melaksanakan KKP yang sewajarnya. Budaya KKP perlu diterapkan dengan perancangan yang rapi.

"Harapan MiSHA dengan pelancaran program OSH in School ini dapat membuka mata dan minda tentang pentingnya KKP bermula lebih awal.

"Kesinambungan daripada program ini kami berhasrat untuk melancarkan OSH di tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, universiti dan rumah," ujar beliau.

Berjaya raih kesedaran

Program OSH in School di Sekolah Menengah Sains Sembrong telah disertai oleh 170 murid tingkatan lima.

Program tersebut meliputi beberapa aktiviti seperti ceramah keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sekolah, kerjaya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, cara pemakaian alat perlindungan diri yang betul serta pertandingan Hazard Hunt.

Menurut Pengarah OSH In School, Abd Mutalib Abd Gapar, penerapan tentang kesedaran KKP di peringkat awal adalah penting bagi mewujudkan suasana kerja serta pembelajaran yang selamat dan sihat.

"Pihak kami berharap agar program ini akan memberi manfaat kepada pihak pengurusan sekolah khususnya kepada guru-guru, kakitangan dan pelajar.

"Susulan daripada program ini, kami merancang untuk mengadakan lawatan ke United Kingdom dan melihat sendiri bagaimana penerapan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan diterapkan di sekolah-sekolah di sana.

"Kami akan cuba untuk mengadaptasi apa yang telah mereka lakukan dan akan memilih sebuah sekolah untuk dijadikan sekolah projek bagi program OSH In School ini," ujarnya lagi.

Sementara itu, Penolong Kanan Sekolah Menengah Sains Sembrong, Kifli Mohamad berkata, amalan keselamatan dan kesihatan di sekolahnya merupakan satu keutamaan bagi setiap guru dan kakitangan sekolah.

"Untuk menjaga keselamatan pelajar di sekolah menengah harian dan sekolah berasrama penuh adalah dua perkara yang berbeza.

"Di sekolah ini pihak sekolah bertanggung jawab menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar yang tinggal di asrama penuh.

"Sememangnya pihak sekolah sentiasa memastikan keselamatan pelajar dan para guru berada di tahap yang optimum supaya dapat meminimumkan kes kecederaan dan risiko untuk berlaku.

"Kami juga rasa bertuah kerana terpilih sebagai sekolah pertama terpilih untuk program seperti ini dan diharap agar pelajar yang terlibat dapat melihat potensi, menerapkan budaya dan mengambil ilmu yang dikongsi oleh pakar untuk kehidupan mereka semasa di alam pekerjaan nanit," jelas beliau.

MRSM lahir cendekiawan

Posted: 24 Feb 2014 11:03 AM PST

MOHD. Shafie Apdal merasmikan MRSM Tun Dr. Ismail di Pontian, Johor, kelmarin. Turut sama, timbalan beliau, Datuk Alexander Nanta Linggi (tiga dari kiri); Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan (dua dari kiri); Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Seri Ibrahim Muhamad (tiga dari kanan) dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad (kiri).

PONTIAN 24 Feb. - Sejak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ditubuhkan pada 1972, institusi itu berjaya melahirkan generasi baharu bumiputera yang berpelajaran, berpendidikan dan berkelayakan mendapatkan kerjaya yang baik.

Pendidikan kelas satu yang memberi keutamaan kepada bumiputera khususnya pelajar luar bandar membuka ruang kepada mereka bagi mendapat pembelajaran terbaik.

Malah, keberkesanan sistem pendidikan MRSM terbukti dengan melahirkan golongan cerdik pandai. Nama-nama seperti Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar merupakan tokoh tersohor hasil daripada sistem pembelajaran tersebut.

MRSM yang kini menempatkan 21,312 pelajar di 48 institusi di seluruh negara akan diperhebatkan dengan membina tiga MRSM baharu iaitu di Sungai Besar, Selangor; Kuala Kangsar, Perak dan Semporna, Sabah yang menyediakan prasarana dan sistem pendidikan terunggul untuk bumiputera.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tujuan utama penubuhan MRSM adalah untuk menjadi penyumbang kepada melahirkan masyarakat yang berpengetahuan dan berdaya saing pada peringkat nasional dan global.

Kata beliau, selain meningkatkan jumlah golongan profesional bumiputera negara, sistem pendidikan terbaik yang dipelopori oleh MRSM juga disifatkan sebagai salah satu cara untuk membasmi kemiskinan.

"Idea untuk memberikan latihan intensif kepada kaum bumiputera sama ada dalam bidang kemahiran, teknikal dan akademik seperti yang ditawarkan oleh MRSM menjadi kunci kepada kaum bumiputera untuk keluar dari belenggu kemiskinan.

"Ini kerana sistem pendidikan di MRSM telah terbukti berupaya melahirkan golongan bumiputera cerdik pandai yang dapat membantu usaha kerajaan memerangi kemiskinan di negara kita dan secara tidak langsung mengurangkan jurang pendapatan dengan kaum lain," kata beliau ketika merasmikan MRSM Pontian, Johor semalam yang kini dikenali MRSM Tun Dr. Ismail.

Mohd. Shafie berkata, melihat keperluan dan cabaran bidang pekerjaan pada hari ini, maka sudah tiba masanya bagi MRSM memastikan program dan aktiviti pelajar menjurus ke arah melahirkan pemikir yang mampu mengetengahkan idea yang mengubah gaya hidup dan cara pemikiran masyarakat umum.

Kata beliau, pihaknya melihat program sedemikian telah banyak memperoleh kejayaan di negara ekonomi perindustrian baharu seperti Korea Selatan dan Taiwan yang menjadi pengeksport kepakaran dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang kritikal dan teknologi baharu.

Mohd. Shafie memberitahu, pembudayaan yang diterap di MRSM seperti budaya sentiasa mengejar ilmu, bersahsiah dan mempunyai minat terhadap bidang keusahawanan sememangnya boleh dijadikan sebagai budaya baharu untuk masyarakat bumiputera.

Amalan budaya tersebut akan menyedarkan anak bangsa tentang pentingnya peranan mereka dalam membawa perubahan kepada bangsa atau masyarakat bumiputera, katanya.

"Kami yakin MRSM dan institusi pendidikan Mara yang lain mampu melaksanakan cabaran ini dalam melahirkan pelajar cemerlang dalam pendidikan di samping mempunyai perwatakan yang melambangkan bangsa kita yang berpegang teguh pada ajaran agama, adat resam dan budaya," katanya beliau.

Mohd. Shafie berkata, MRSM terbukti mampu melahirkan generasi bumiputera yang berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan melalui pendekatan kurikulum yang menumpukan kepada pembentukan pelajar secara menyeluruh berdasarkan minat dan kecenderungan dalam tiga bidang utama iaitu akademik, perkembangan sahsiah dan pembangunan bakat.

Kata beliau, bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM50 juta kepada MRSM di bawah Tabung Khas Pendidikan 2014 bagi usaha-usaha menaik taraf kesemua pusat MRSM di seluruh negara dengan infrastruktur yang lebih baik dan kompeten terutamanya di pusat pengajian yang telah terbina lebih dari tiga dekad lalu.

"Ini menunjukkan betapa caknanya pihak kerajaan terhadap kebajikan pelajar MRSM seterusnya membantu peningkatan kualiti pembelajaran di MRSM bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pelajar terjamin.

"Kita yakin persekitaran yang kondusif dengan prasarana yang terbaik menjadi salah satu faktor dalam menjayakan matlamat kita untuk melahirkan generasi yang terbaik," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat