{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Ratu

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Ratu


Stigma sakit mental

Posted: 03 Jul 2013 04:28 PM PDT

Hanya dua daripada lima wanita dapatkan bantuan pakar atasi kemurungan

Wanita negara ini masih bergelut dengan cabaran ekonomi, jurang perbezaan sosial, gender dan kekangan diskriminasi untuk menjadikan mereka lebih cemerlang.

Malangnya, selari dengan pencapaian itu, wanita juga berhadapan cabaran membabitkan isu kesihatan, khususnya penyakit tidak berjangkit iaitu sakit mental akibat pelbagai tekanan, antaranya disebabkan masalah rumah tangga, bebanan kerja, berhadapan dengan tragedi tragis bukan asing lagi pada zaman ini dan jumlah itu pula dilaporkan kian meningkat.
TEKANAN BOLEH DIATASI MENERUSI BANYAK CARA, ANTARA PALING MUDAH ADALAH KOMUNIKASI SAMA ADA DENGAN KELUARGA ATAU PAKAR PSIKOLOGI" Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur

Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, berkata sakit mental jika tidak dirawat memungkinkan usia muda wanita sia-sia kerana ia boleh mempengaruhi pandangan mereka terhadap fungsinya sebagai individu.

Katanya, ia boleh mempengaruhi kehidupan bahagia sebuah keluarga, malah dari segi ekonomi, mungkin tenaganya tidak boleh dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.

Masalah kesihatan mental yang sering berlaku kepada wanita ialah kemurungan. Ia adalah penyakit mental yang menyebabkan emosi menurun hingga memberi kesan negatif dan pemikiran serta perlakuan seseorang.

Katanya, masyarakat terutama wanita perlu mengetahui kemurungan adalah satu penyakit serius dan perlu mendapatkan rawatan sewajarnya bagi mengelakkan ia berulang.
"Ia menyerang secara senyap jika wanita tidak memberikan perhatian sepenuhnya terhadap perubahan sikap diri dan dapatkan rawatan lebih awal untuk mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini. Wanita cenderung mengalami emosi tidak stabil. Kadangkala boleh jadi pendiam, mengasingkan diri atau memendam perasaan," katanya ketika berceramah mengenai 'Gender Dan Kesihatan Mental Wanita' anjuran Kumpulan Sokongan Wanita Hospital Gleneagles, di sini, baru-baru ini.

Kumpulan sokongan yang dikenali sebagai 'Women to Women Well-being Tea Talk' itu dilancarkan pada Mac 2011 adalah sebagai landasan kepada wanita untuk mendapatkan sokongan emosi, berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai isu berkaitan kesihatan secara santai.

Mangsa murung

Dr Nor Hamidah berkata, walaupun lelaki turut menghadapi kemurungan, tetapi bilangannya lebih kecil berbanding wanita dengan 12.1 peratus wanita, berbanding 10.4 peratus lelaki.

Kemurungan berpunca daripada tekanan. Dan tekanan itu boleh tercetus menerusi pelbagai perkara, sama ada masalah itu kronik atau mungkin 'remeh' pada orang biasa.

Sedangkan, terlalu memikirkan sesuatu masalah, menyebabkan fikiran kusut hingga mengganggu kualiti kehidupan harian tanpa disedari.

Sayangnya 'mangsa' kemurungan lebih kerap menyerang wanita dalam usia produktif iaitu 30 hingga 40 tahun dan rata-rata memegang tugas sebagai ibu, isteri atau pekerja.

"Sama ada tidak menyedari atau ketepikan rasa, ia hanya akan menyebabkan emosi wanita semakin tertekan hingga mengganggu emosi mereka. Justeru, luahkan tekanan boleh dilakukan menerusi banyak cara, antara paling mudah ialah komunikasi sama ada dengan keluarga atau pakar psikologi.

"Malangnya hanya dua daripada lima wanita yang mengalami gangguan keresahan dan perubahan emosi ini mendapatkan bantuan. Jumlah kecil itu berpunca daripada kewujudan stigma.

Perlu kaunseling

"Sebab stigma juga ramai yang lebih suka mendapatkan bantuan bomoh kerana wanita itu mungkin dianggap kena sampuk sedangkan untuk mengenal pasti penyakit itu perlu melalui sesi kaunseling.

"Lebih buruk lagi apabila masyarakat memandang sinis kepada individu yang mendapatkan bantuan psikiatri dan lantas melabelkan sebagai gila dan perlu dihantar ke hospital sakit jiwa," katanya.

Dr Nor Hamidah berkata, untuk memastikan wanita sejahtera, keluarga seharusnya mengambil inisiatif membawa wanita berkenaan berjumpa pakar psikiatri.

Hakikat perlu diketahui ialah setiap penyakit ada rawatan. Malah peluang sembuh lebih cerah sekiranya dikesan lebih awal.

"Begitupun tahap sembuh bergantung kepada peringkat kemurungan dialami. Ada yang singkat dan ada juga memakan masa. Malah jenis rawatan juga berbeza. Ada yang perlu ambil ubat saja dan tidak kurang juga perlu melalui sesi kaunseling," katanya.

INFO : Kesihatan mental
* Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan akan berada di tangga kedua penyakit tidak berjangkit yang menyerang wanita selepas penyakit jantung. Kadar kemurungan wanita adalah 41.9 peratus manakala lelaki pula 29.3 peratus yang menunjukkan jumlah keseluruhan pesakit wanita dua kali ganda berbanding lelaki. Biasa dihadapi wanita pada usia produktif antara 30 hingga 40 tahun.

Tanda :
* Gangguan tidur
* Emosi tidak menentu
* Kurang tumpuan
* Letih dan tertekan
* Memiliki perasaan negatif dalam diri seperti selalu bersedih, putus harapan, berasa tidak berguna, bersalah dan ingin membunuh diri.
* Hilang selera makan dan berat badan turun mendadak.

Elak tertekan :
* Sokongan daripada keluarga amat diperlukan mengurangkan tekanan dihadapi wanita.
* Banyakkan rehat dan melakukan aktiviti riadah seperti bersiar-siar dan melakukan aktiviti berfaedah dan disukai.
* Elakkan daripada memikirkan sesuatu perkara hingga boleh menjejaskan emosi. Kongsi masalah dapat menyuraikan tekanan perasaan.
* Jaga pemakanan.
* Amalkan cara hidup dan diet seimbang.

Menopaus bukan pengakhir ceria

Posted: 03 Jul 2013 04:21 PM PDT

Kesan gejala awal elak terlalu tertekan, bimbang

Biarpun menopaus sudah tidak asing lagi kepada semua wanita, kehadirannya memang agak membimbangkan mereka kerana secara tidak langsung sedikit sebanyak mengubah kitaran hidupnya termasuk dalam hubungan intim dengan pasangan.

Justeru, proses perubahan dan penurunan hormon berlaku secara semula jadi itu menjadi detik paling tidak digemari bagi kebanyakan mereka, namun tetap perlu dilalui tanpa sebarang pilihan.
MENOPAUS BOLEH MENYEBABKAN WANITA HILANG KEANJALAN KULIT, DIABETES, SAKIT SENDI, KENCING TIDAK LAWAS, MASALAH JANTUNG DAN PELUPA" Dr Alice Prethima, Pakar Kesihatan dan Ginekologi

Definisi menopaus dari segi perubatan adalah pemberhentian haid selama 12 bulan. Menopaus berlaku apabila ovari tidak lagi menghasilkan hormon estrogen dan progesteron.

Umur purata permulaan menopaus sekitar 51 tahun. Ada wanita menopaus awal, iaitu pada usia 30 tahun dan paling lewat 60 tahun.

Jadi, tidak hairanlah jika wanita di ambang usia lewat 30-an tidak seharusnya menarik nafas lega ,tetapi perlu mengambil langkah penjagaan awal termasuk mengamalkan kehidupan sihat mengelakkan menopaus menjejas kitaran hidupan.

Kajian perubatan juga menunjukkan menopaus awal berlaku sekitar satu peratus di kalangan wanita dan lazimnya berpunca daripada masalah kesihatan termasuk pembedahan barah ovari, penyakit berkaitan pembuluh darah dan jangkitan viral.
Tanda awal putus haid

Selain tanda perubahan emosi, wanita juga boleh mengesan gejala awal menopaus menerusi kegagalan kitaran hadir termasuk tidak teratur, tempoh haid dan kandungan atau jumlah darah dikeluarkan.

Kadar kehadiran haid juga boleh dibandingkan setiap bulan jika mula mengalami perubahan seperti haid semakin berkurangan atau terdapat kesan tompok selepas dua minggu haid selesai.

Sehubungan itu, masalah haid kurang dari seminggu dan kuantiti sedikit juga adalah antara tanda awal wanita mula memasuki fasa putus haid. Bagaimanapun untuk mendapatkan kepastian, wanita perlu menjalankan rawatan pada doktor pakar kerana tanda seperti itu juga berkemungkinan punca kepada penyakit lain seperti kanser atau fabroid dan sebagainya.

Kesan wanita putus haid

Kehidupan wanita banyak bergantung pada pengeluaran hormon estrogen. Selain menjadi bahan kepada penyeri paras rupa ia juga membantu menstabilkan jiwa dan emosi wanita.

Pakar Kesihatan dan Ginekologi, Dr Alice Prethima Michael, berkata apabila wanita mula memasuki fasa putus haid, mereka akan mula hilang kawalan emosi dan menjadi lebih sensitif serta ketakutan memikirkan kemungkinan hilangnya ciri-ciri kewanitaan dan perasaan mudah marah timbul.

Katanya, wanita juga menjadi sangat sensitif dan mudah merajuk. Selera makan dan tidur mudah terganggu serta mudah resah. Wanita juga akan mula rasa serba-serbi dilakukan menjadi tidak kena malahan sering mengeluh dan menangis apabila bersendirian.

"Antara gejala menopaus seperti suhu badan mudah naik, berpeluh ketika malam, kekeringan faraj, insomnia (susah tidur malam), sakit kepala, lesu, cepat marah, keresahan, kemurungan, jantung berdegup kencang serta sakit sendi.

"Menopaus juga boleh menyebabkan wanita hilang keanjalan kulit dan masalah kesihatan seperti diabetes, sakit sendi, kencing tidak lawas, masalah jantung dan pelupa.

"Putus haid juga mengakibatkan mereka hilang nafsu untuk berasmara kerana penurunan kadar keinginan hingga boleh mengakibatkan hubungan antara suami isteri menjadi renggang," jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Cegah gejala

Menjelas lanjut, Dr Alice yang juga pakar bedah kosmetik dan pakar perubatan aestetik berkata, wanita seharusnya terus mengekalkan amalan hidup sihat dan berbincang dengan ahli keluarga mengenai masalah dihadapi mereka.

Katanya, rawatan kesihatan dan perubahan rutin membantu dan mengembalikan kesejahteraan wanita mengalami gejala putus haid. Antaranya termasuk mengamalkan diet seimbang, beriadah dan berhenti aktiviti sosial yang boleh mengakibatkan kemudaratan seperti merokok dan alkohol.

"Wanita boleh menjalankan ujian darah untuk membantu mereka mengurus masalah itu dan terapi hormon boleh mengembalikan kestabilan hormon wanita memandangkan hormon semakin berkurangan ketika ini. Terapi sedemikian turut memulihkan masalah keguguran rambut, kulit, kesakitan saraf dan kekeringan vagina.

"Amalan harian juga memainkan peranan besar terhadap kitaran haid wanita yang mengakibatkan premenopaus. Wanita dinasihat untuk tidak merokok dan mengambil makanan rendah lemak dan kolesterol. Diet juga perlu disertakan dengan serat serta vitamin dan mineral.

"Penurunan berat badan juga atau latihan beban, seperti berjalan, berlari atau menari memberikan kecerdasan pada sistem tubuh dan jika kerap kencing lakukan pula latihan meningkatkan kawalan otot," katanya.

INFO: Menopaus

1) Faktor meningkatkan risiko menopaus awal (sebelum usia 45) membabitkan:
* Berat merokok .
* Terapi radiasi.
* Kemoterapi.
* Perubatan berkaitan hormon.
* Genetik dan penyakit.

2) Kaedah mengelak dari berat badan naik.
Apabila melakukan perubahan pada pola pemakanan, cuba lakukan secara beransur-ansur agar tubuh badan boleh menerima perubahan dilakukan anda.

- Tukar tabiat pemakanan tidak elok.
* Cuba amalkan pengambilan makanan ringan berkualiti seperti buah-buahan dan kekacang berbanding coklat atau manisan. Jika memasak, gantikan minyak zaiton atau sayuran.
- Air
* Tambahkan lagi pengambilan air masak atau minuman semula jadi seperti jus dan lemon. Air berkarbonat tidak elok untuk tubuh.
- Makan di luar
* Menu bukan bergoreng tapi secara stim, dibakar atau kukus (kandungan kalorinya rendah dan menyihatkan).
- Pelbagaikan aktiviti senaman.
* Kepelbagaian aktiviti bukan saja memberikan kesegaran pada tubuh secara holistik, tetapi membantu anda menghilangkan rasa bosan dan letih sekali gus mengembalikan keremajaan diri wanita.
- Jangan makan tiga kali sehari,
* Amalkan pengambilan makanan secara kerap tetapi dalam kuantiti sedikit bagi mengelakkan anda cepat rasa lapar. Kaedah ini juga membuatkan kalori cepat terbakar.

3) Cara membantu menguruskan kepanasan badan:
*Ketika badan mula terasa panas, pergi ke suatu tempat yang sejuk.
*Jika hot flashes membuatkan tidur tidak selesa cuba tidur di bilik sejuk.
*Pilih pakaian dalam lapisan membolehkan badan anda tidak terasa hangat atau rimas.
*Gunakan lembaran dan pakaian yang membiarkan kulit anda bernafas.
*Minuman sejuk seperti air kosong atau jus mengurangkan kepanasan.

4) Kekal cantik.
* Kekal seksi, cantik, yakin dan gembira.
* Bersolek menambah aura wajah.
* Bijak berpakaian cantik dan sesuai
* Ambil makanan berzat
* Banyakkan makan kacang soya, ubi keladi, flaxseed oil, evening primrose oil (EPO), black cohosh, red clover, ubat tradisional Cina yang mengandungi dong quai.
* Elak kesediahan dan kemurungan.
* Sertai aktiviti pelbagai kelab.
* Kekalkan hubungan intim dengan pasangan

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat