Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Perkasakan semangat kepahlawanan Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT 17 buah kereta perisai berantai ACV Adnan tiba ke Felda Sahabat bagi membantu operasi Anggota Tentera memburu pengganas Sulu dalam Ops Daulat, pada Mac lalu. SAMBUTAN Hari Pahlawan diraikan setiap tahun pada tanggal 31 Julai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Sambutan diadakan bergilir-gilir sejak tahun 1968 antara PDRM dan ATM, pada tahun ini PDRM sebagai tuan rumah. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam perutusannya sempena sambutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kelmarin meminta masyarakat terus menghayati semangat dan perjuangan yang ditunjukkan oleh para pahlawan tanah air. Berikut adalah antara inti pati perutusan Khalid sempena sambutan Hari Pahlawan: Hari Pahlawan atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai 'Heroes Day' atau 'Warriors Day'. Negara-negara lain di seluruh dunia turut menyambutnya walaupun berbeza tarikh dan secara tradisinya istiadat kemuncak diadakan di Tugu Negara. Mulai 2010, sambutannya berubah di Dataran Merdeka sehinggalah pada kali ini dan sambutan Hari Pahlawan sebenarnya sudah bermula. Pada 26 Julai lalu, khutbah khas Hari Pahlawan diadakan di Masjid Negara dan pada 30 Julai majlis berbuka puasa, bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid Negara dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pembesar-pembesar negara serta kepimpinan dan anggota PDRM dan ATM. Pada 31 Julai, kemuncak acara iaitu istiadat sambutan di Dataran Merdeka dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Dalam Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, pegawai-pegawai kanan polis dan tentera, diplomat-diplomat dan kedutaan serta orang ramai. Tujuan sambutan ini bagi mengenang jasa para pejuang dan pahlawan negara yang sanggup melakukan pengorbanan tertinggi demi kedaulatan negara tercinta iaitu pengorbanan jiwa dan raga. Rakyat perlu menghargai pengorbanan para pahlawan kita yang berada di barisan hadapan dalam usaha memerangi pengganas komunis, anasir-anasir subversif serta musuh-musuh negara, Perjuangan terbaharu pasukan keselamatan PDRM dan ATM adalah semasa Ops Daulat di Lahad Datu baru-baru ini. Sambutan ini juga untuk memperlihatkan kepada generasi kini dan akan datang bahawa kita sentiasa mengenang dan menghargai jasa para pahlawan yang telah terkorban dan juga menghargai pengorbanan mereka yang tercedera mengalami kecacatan fizikal yang kekal semasa berjuang di medan juang. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan dalam semangat 1Malaysia, bersatu dan bersama-sama memberi penghargaan yang sewajarnya dalam apa jua bentuk sama ada bantuan atau sokongan, kepada pahlawan-pahlawan negara yang masih ada, atau pun kepada balu-balu, keluarga serta waris-waris yang ditinggalkan mereka. Sebagai mengiktiraf jasa dan pengorbanan pahlawan negara ini, pelbagai penghargaan dan pingat-pingat kebesaran serta keberanian telah dikurnia serta dianugerah kerajaan kepada para pahlawan, seperti pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang merupakan darjah kebesaran tertinggi negara dan pingat keberanian seperti Panglima Gagah Berani (PGB) dan juga pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP). Sehingga kini jumlah penerima pingat tersebut adalah seperti berikut: SP (7), PGB (15) manakala JPP (30). Kerajaan juga sentiasa memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada ahli keluarga para pahlawan, termasuk anak-anak dan isteri mereka. Dalam erti kata lain, kebajikan para pahlawan negara dan keluarga mereka sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian kerajaan kita tidak pernah melupakan mereka. Bersempena sambutan Hari Pahlawan tahun ini, saya ingin menyeru kepada semua peringkat lapisan rakyat, agar meningkatkan lagi semangat patriotisme iaitu semangat sanggup berkorban demi negara, perlu dipupuk dan disemarakkan sepanjang masa. Kepada para pahlawan yang masih ada, tetapi telah hilang upaya, serta sanak-saudara, pahlawan-pahlawan yang telah kehilangan tempat bergantung diharap agar mereka dapat menempuh ujian dan dugaan hidup dengan penuh ketabahan, kesabaran dan keyakinan. Kita sentiasa berdoa, agar Allah SWT memberikan rahmat dan hidayah serta kesejahteraan kepada mereka. Bagi para pahlawan yang masih berkhidmat, diharap teruskanlah khidmat bakti yang murni ini. Ingatlah bahawa harapan masyarakat kepada para anggota pasukan keselamatan adalah cukup tinggi. Sebagai perisai dan pedang negara jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini secara yang terbaik sesuai dengan semangat sumpah ikrar yang telah kita lafazkan sebelum ini. Saya juga mengambil kesempatan ini menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, agar mempertingkatkan lagi semangat kepahlawanan patriotisme, kesetiaan, kecintaan dan sanggup berkorban utk negara. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga negara kita sentiasa dicucuri limpah kurnia dan rahmat-Nya yang berkekalan. |
Cegah sebelum jadi negara koboi Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT Oleh Fauziah Arof SENJATA API dan pembunuh upahan - jenayah berat yang terancang ini semakin menjadi-jadi dan begitu menonjol sekali di Malaysia ketika ini. Ini bukan lagi adegan drama atau filem aksi yang selalu kita tengok di panggung wayang mahupun televisyen, ia kini benar-benar berlaku di negara ini yang sebelum ini kes sebegini dianggap sebagai begitu terpencil. Tetapi sejak beberapa bulan dalam tahun ini sahaja, sudah banyak kes bunuh menggunakan senjata api sama ada mangsanya membabitkan orang kenamaan atau orang biasa dengan menggunakan khidmat pembunuh upahan berlaku. Pembunuh upahan yang berhati kering ini begitu berani menembak sasarannya di tempat terbuka dan di kawasan awam. Antaranya ialah kes yang membabitkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim yang mati ditembak dua lelaki bermotosikal 26 April lalu ketika kenderaannya berhenti di persimpangan lampu isyarat di Putrajaya. Selepas itu, kita juga dikejutkan dengan kes seorang guru penolong kanan, Hashim Mat Zain mati ditembak dari jarak dekat di dalam keretanya ketika hendak pulang ke rumahnya berhampiran Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Bachok, Kelantan pada 7 Julai lalu. Tidak sampai dua minggu selepas itu seorang lagi guru K. Shanmugam, ditembak mati di dalam kereta di Simpang Empat Keladi, Kulim, Kedah. Terbaru kelmarin, seorang pengasas sebuah bank, Hussain Ahmad Najadi mati ditembak di Lorong Ceylon, dekat Bukit Bintang di ibu negara. Ia berlaku selepas dua hari kejadian pengerusi sebuah badan bukan kerajaan, MyWatch, R. Sri Sanjeevan ditembak oleh seorang daripada dua lelaki bermotosikal di pekan Bahau, Negeri Sembilan. Dia mengalami cedera parah. Perkembangan ini sudah tentu amat membimbangkan orang ramai. Ini kerana siapa pun mungkin akan menjadi mangsa selepas ini. Tidak kira orang VIP atau bukan. Justeru ramai yang membuat pelbagai persepsi dan andaian mengenai kes-kes ini. Mereka tertanya-tanya, kenapa sekarang ini kes menggunakan pembunuh upahan ini banyak berlaku? Tidak dulu? Berapa ramai pembunuh upahan yang amatur atau profesional ada di negara ini? Siapa mereka ini? Rakyat tempatan atau warga asing? Jika dahulu ramai berpendapat pembunuh upahan datang dari negara-negara jiran tetapi kini mungkin pembunuh upahan ialah dalam kalangan rakyat tempatan sendiri. Dan kita juga menyaksikan dalam tempoh beberapa hari ini polis turut merampas beberapa senjata api yang antaranya membabitkan remaja kita! Budak 15 tahun, belajar dalam Tingkatan 3 pun ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewa senjata api kepada pihak yang memerlukannya. Bagaimanapun kita percaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah pasti tidak duduk diam dalam menangani kes jenayah berat ini. Kita tidak mahu negara ini menjadi negara koboi, sesiapa pun boleh bawa senjata api dan tembak mati orang sesuka hati. Menangani kes jenayah berat ini dan membawa pembunuh upahan dan dalang yang sekali ke muka pengadilan adalah amat perlu dan yang paling penting membanterasnya daripada terus berlaku. Ini kerana jenayah ini amat menggerunkan orang ramai, lebih gerun daripada jenayah ragut atau samun. Bukan sahaja rakyat tempatan gerun, kes tembak yang berleluasa ini juga boleh menjejaskan imej negara di mata dunia. Maka, sudah pasti pemeriksaan di semua pintu masuk negara seharusnya lebih diperketatkan supaya penyeludupan masuk senjata api dapat disekat. Faktor kebanjiran masuk warga asing ke negara ini juga mungkin menyumbang kepada jenayah ini. Pembunuh upahan juga sering dikaitkan dengan kongsi gelap. Dalam kes-kes sebelum ini pihak polis mengenal pasti pembunuh-pembunuh upahan juga terdiri dalam kalangan ahli kongsi gelap yang mempunyai rekod jenayah lampau. Justeru, sasaran membanteras kongsi gelap juga perlu. Sekiranya kongsi-kongsi gelap terutamanya yang aktif di bandar-bandar besar ini dapat ditawan PDRM, sudah pasti banyak kes-kes jenayah lain dapat diselesaikan dan sekali gus dapat mengurangkan indeks jenayah di negara ini. Dalam pada itu, undang-undang khas pencegahan jenayah juga perlu segera diwujudkan untuk menggantikan Ordinan Darurat (EO) serta beberapa akta lain yang telah dimansuhkan sebelum ini. Ini yang pentingnya kerana akta yang ada ketika ini hanya memperuntukkan undang-undang dan hukuman terhadap pesalah jika kejadian jenayah sudah pun berlaku. Sedangkan kita semua menuntut agar PDRM menangani jenayah-jenayah berat ini dengan lebih berkesan lagi. Apa lagi mekanismenya sekarang dari aspek penahanan pencegahan? Tentu para `cerdik pandai yang selama ini sibuk meminta kerajaan untuk memansuhkan itu dan ini, ada jawapannya. Kesan daripada pemansuhan undang-undang berkenaan, penahanan suspek-suspek bagi kes-kes baharu yang dahulunya disiasat di bawah EO 1969 tidak lagi dapat dijalankan. Malah, suspek-suspek yang sedang ditahan terpaksa dibebaskan walaupun tempoh tahanan masih belum tamat. Ketika pemansuhan EO 1969 dikuatkuasakan pada 21 Jun 2012, hampir 1,500 orang ditempatkan di empat pusat tahanan di seluruh negara iaitu di Simpang Renggam dan Muar, Johor; Batu Gajah, Perak dan Machang, Kelantan. Selain itu, hampir 2,500 orang yang menjalani hukuman di bawah Akta Kediaman Terhad. Itu tidak masuk lagi kes-kes membabitkan kira-kira 300 orang yang sedang menunggu untuk ditangkap dan dalam proses mendapatkan perintah penahanan ke atas mereka sebelum dihantar ke pusat-pusat tahanan berkenaan. Kes-kes tersebut akhirnya diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lagi (NFA). Adakah di antara mereka yang bebas ini kembali melakukan jenayah dan terbabit menjadi pembunuh upahan? Ini yang turut menjadi tanda tanya. Dan semoga akta baharu yang bakal menggantikan EO nanti mempunyai ciri-ciri yang menyamai ordinan tersebut untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |