Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 30 Jul 2013 08:00 AM PDT Melihat koleksi gambar bayi yang baru saja berusia seminggu di dalam bakul rotan dengan pelbagai aksi berbeza, ia tentunya menimbulkan rasa teruja, lebih-lebih lagi kepada bakal ibu atau sesiapa saja yang melihatnya. Mungkin lontaran pertama yang terkeluar daripada bibir mereka, 'Bagaimana penggambaran dilakukan?' atau 'Adakah bayi ini tidak meragam diperlakukan sedemikian rupa atau ia melalui teknik tindan padan?' Jika dulu menyimpan gambar bayi baru lahir atau menggantung bingkai gambar di dinding dianggap kurang perlu atau membazir tetapi kini ia menjadi satu kemestian terutama bagi ibu bapa moden yang ingin mengabadikan gambar si kecil dalam suasana berbeza dan istimewa. Anggapan mereka, biarlah ia kekal menjadi kenangan terindah dan boleh ditunjukkan kepada anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Bertanya lebih lanjut kepada tiga jurugambar profesional wanita, mereka memberitahu, pengalaman mengambil gambar bayi baru lahir lebih mencabar berbanding kanak-kanak atau dewasa. AMELIA menggunakan pakaian ikan duyung untuk bayi. HASIL karya Amelia yang mendapat pujian. ANTARA hasil kerja terbaik Rumaizah.
"Saya sendiri merasai cabarannya walaupun ketika itu saya mempunyai banyak masa bersamanya. Ini kerana ketika tidur saya perlu meletakkan bayi dalam keadaan paling menarik dan ini sudah tentu mengganggu tidurnya. Namun selepas melihat hasilnya, memang saya sangat teruja. Bermula dari situ timbul minat dan keseronokan sehingga saya menjadikan bidang ini sebagai kerjaya utama. "Walaupun dulunya bermula dengan fotografi perkahwinan, lama kelamaan saya mula jatuh hati dengan gambar potret terutama bayi dan kanak-kanak kerana merasakan setiap gambar yang dirakamkan begitu suci dan boleh menceriakan sesiapa saja. Tambahan pula bidang ini begitu dekat dengan naluri keibuan, menguji kesabaran dan daya kreativiti seseorang," katanya yang belajar menerusi pengalaman dan mengikuti kelas dalam talian daripada jurugambar luar negara bagi mendalami seni gambar bayi yang begitu menitikberatkan keselamatan dan kesempurnaan. Rumaizah yang memuatkan hasil kerja dalam www.thelittlebigshots.com dan https://www.facebook.com/LittleBigShots menjelaskan, bagi memudahkan kerja atau mengelakkan wujud masalah pada saat akhir, dia membuat sedikit penyelidikan mengenai sifat anak, peralatan digunakan serta lokasi penggambaran. Ini kerana walaupun bayi tidak banyak bergerak, mereka sangat sensitif kepada suasana persekitaran dan kadang-kadang memerlukan masa yang agak lama untuk mententeramkannya semula. Jadi jurugambar perlu mengambil dari setiap sudut untuk memastikan hasil menarik dan terbaik. Ditanya bagaimana mendapat idea untuk hasil yang berbeza, jelas Rumaizah, biasanya ilham datang secara spontan ketika sesi penggambaran. Dengan hanya mengubah sedikit sudut pandangan, hasilnya cukup menyerlah. "Saya juga mengalu-alukan pandangan daripada ibu bayi berkenaan kerana ia menjadikan gambar lebih eksklusif dan menarik. Begitu juga dengan peralatan yang saya sediakan, ada juga ibu bapa prihatin dan ingin menggunakan peralatan sendiri seperti selimut dan topi yang mungkin ada kenangan sendiri. "Saya pernah mengambil gambar bayi dengan kamera vintaj milik ibu bapa bayi itu. Ia penuh kenangan dan saya merasakan itu sesuatu yang unik dan sesuai dirakamkan," katanya yang menjadikan pasangan jurugambar, Kelley Ryden dan Tracy Raver dari Omaha, Nebraska sebagai idola. Ini kerana setiap gambar mereka menjadikan fotografi bayi sebagai seni yang tidak ternilai harganya. Tidak seperti bangsa lain yang begitu menghargai gambar bayi, cabaran paling utama adalah untuk meyakinkan masyarakat terutama Melayu mengenai pentingnya merakamkan saat awal bayi kerana bayi cepat membesar. Jadi jari-jemarinya yang halus dengan kulit merah mengelupas antara perkara pertama yang amat perlu dirakamkan seawal mungkin. "Namun begitu, masyarakat kini semakin terbuka untuk mengabadikan gambar si comel sebaik dilahirkan kerana inilah yang akan menjadi kenangan seumur hidup apabila anak-anak dewasa kelak," ujarnya yang meletakkan harga RM500 ke atas untuk pakej penggambaran. Papar sentuhan tersendiri Menyedari kurangnya pembabitan jurugambar wanita dalam penghasilan gambar bayi dan kanak-kanak mendorong Amelia Shafer menceburi bidang ini dan menjadikannya sebagai kerjaya tetap. Selain sukakan bayi dan kanak-kanak, keterbukaan masyarakat Malaysia dalam memaparkan wajah dan detik terindah bayi mereka sememangnya sesuatu yang unik dan perlu disimpan sebagai kenangan sepanjang hayat. Berbeza dengan gambar perkahwinan, mengendalikan bayi baru lahir adalah sesuatu yang sangat mencabar. Ini kerana mereka sukar dijangka, tidak mampu menerima arahan dan mempunyai pelbagai ragam. "Mengambil gambar potret bayi baru lahir bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh kerana bayi sukar dijangka dan kadangkala tidak selesa ketika sesi penggambaran, saya perlu mengenal pasti sebab bayi tidak selesa supaya saya mampu merakamkan gambar tanpa gangguan. "Kadangkala ia mengambil lebih masa yang sepatutnya sehingga satu atau dua jam daripada jangka masa sebenar. Apa yang saya lakukan adalah memastikan bayi cukup tidur dan kenyang supaya mereka tidak buat hal," katanya yang mula mengambil gambar anak sendiri, rakan dan saudara-mara sehingga mendapat kepercayaan orang ramai. Contohnya, ketika mengambil gambar anak salah seorang pelanggan tetapnya, Rozita Yusof yang baru berusia 14 hari, Amelia memerlukan masa hampir enam jam kerana bayinya meragam. "Oleh kerana Rozita pelanggan tetap, saya melanjutkan tempoh daripada tiga jam kepada masa tambahan tiga jam lagi sehingga saya berpuas hati dengan hasilnya. Cabaran lain adalah memastikan pelanggan faham harga ditetapkan. Selain masa, mereka membayar kreativiti dan barang yang ditempah khusus untuk bayi," katanya yang memastikan kamera berada dalam keadaan baik, keperluan bergambar dalam keadaan bersih dan dikelaskan mengikut jantina dan umur bayi serta tema yang dipersetujui pelanggan. Kebanyakan rujukan Amelia daripada laman sesawang luar negara yang mereka sedaya upaya memperagakan bayi dalam pelbagai konsep dan stail. "Ini menarik minat saya selain tertarik dengan penggunaan peralatan berwarna-warni. Namun demikian saya juga sedaya upaya memastikan sentuhan mempunyai identiti sendiri seperti mengenakan pakaian bertemakan ikan duyung, coklat, adiwira Batman dan Superman," ujarnya yang sering menghadiri kelas berkaitan portraiture yang dijalankan jurugambar profesional dan selebihnya diperoleh daripada YouTube. Walaupun dulu gambar potret bayi dan kanak-kanak kurang mendapat sambutan, kini berdasarkan pemerhatiannya, masyarakat di Malaysia mula memandang positif mengenai pentingnya menyimpan gambar sebagai kenangan. "Walaupun tinggal di Pulau Pinang, saya melihat potensi profesion ini bakal berkembang memandangkan saya kerap menerima tempahan di luar kawasan Pulau Pinang iaitu Kuala Lumpur dan Shah Alam sedangkan perniagaan saya bertapak di utara. "Walaupun jauh dan dikenakan bayaran lebih, mereka tetap berminat kerana inginkan sentuhan tersendiri. Saya pasti fenomena ini juga bakal berlaku di kawasan utara sedikit masa lagi," katanya yang menetapkan harga bermula daripada RM588 hingga RM1,588. Dia yang memuatkan hasil kerja menerusi www.ameliashafer.com dan www.facebook.com/AmeliaShaferPhotography berharap lebih ramai jurugambar wanita berani mendekati bidang bayi dan kanak-kanak manakala ibu bapa lebih terbuka untuk mengabadikan gambar si comel mereka. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30 |
Posted: 30 Jul 2013 07:02 AM PDT Apabila berpuasa, ramai yang tidak ambil tahu mengenai khasiat pemakanan sedangkan ia faktor penting untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik. Menurut Ahli Farmasi AEON Wellness, Elisha Teh Hwee Yee, Ramadan sememangnya peluang terbaik untuk memberi tumpuan terhadap kesihatan dengan diet seimbang dan minda yang baik.
"Setiap individu perlu faham bagaimana tubuh badan bekerja ketika berpuasa. Apabila kita berpuasa selama lapan jam tanpa sebarang makanan atau minuman, badan akan mula menggunakan glukos di dalam otot dan hati sebagai sumber tenaga. "Kemudian apabila glukos sudah kehabisan, lemak pula menjadi sumber tenaga seterusnya untuk badan. Ia bahagian paling baik kerana boleh mengekalkan kesihatan terutama bagi mereka yang memiliki berat berlebihan," katanya.
Selepas beberapa hari berpuasa, tahap endorfin iaitu sejenis peptida terdapat di dalam otak secara semula jadi akan muncul dalam darah. "Ia membuatkan kita lebih peka dan menimbulkan keseluruhan perasaan dan mental yang sejahtera. Disebabkan itu, pengambilan makanan yang seimbang dan minum air dengan banyak penting jika ingin berpuasa. "Fungsi buah pinggang akan lebih baik untuk mengekalkan kehadiran air dalam tubuh dan kandungan garam seperti natrium dan kalium. "Namun, sumber cecair dalam badan boleh hilang disebabkan peluh. Selain itu, untuk mengelakkan kerosakan otot, makanan yang diambil mesti mengandungi cukup tenaga seperti karbohidrat, lemak dan protein," katanya. Diet seimbang Ketika berpuasa, lazimnya kita menikmati dua waktu makan setiap hari iaitu ketika berbuka dan bersahur. Pengambilan makanan sepatutnya lebih ringkas dan tidak banyak beza daripada diet rutin sebelum berpuasa. Makanan yang diambil perlu mengandungi kumpulan makanan utama seperti: "Karbohidrat kompleks membantu membebaskan tenaga secara perlahan dalam tempoh yang lama ketika berpuasa. "Ia boleh diperoleh dalam makanan seperti barli, gandum, oat, bijirin, tepung, kekacang, tepung bijirin penuh dan beras basmati. "Makanan yang tinggi dengan sumber serat pula akan dicernakan secara perlahan yang boleh didapati menerusi pengambilan bijirin, gandum, kentang dengan kulitnya serta sayuran seperti kacang hijau," jelasnya. Tambahnya, hampir semua buah-buahan juga mengandungi serat yang tinggi termasuk aprikot, prun dan buah tin. Ketika bersahur, pemakanan yang diambil harus sihat dan seimbang, selain ia cukup sekadar menyediakan tenaga untuk beberapa jam ketika berpuasa. Seharusnya, hidangan perlu lebih ringan dan dicerna secara perlahan bagi mengurangkan rasa lapar di samping mengekalkan tenaga. "Pengambilan air sebanyak dua liter dan vitamin sangat penting yang boleh diperoleh daripada sumber buah-buahan manakala sesetengah individu mengambil minuman isotonik untuk menggantikan garam yang hilang. "Kurma pula membekalkan tenaga manakala jus buah-buahan juga mempunyai kesan kecergasan sama. Mulakan bersahur atau berbuka dengan air yang banyak bagi membantu proses penghidratan dan mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan," katanya. Sebaiknya, elakkan pengambilan makanan yang diproses, makanan yang mudah dibakar termasuk mengandungi karbohidrat, gula dan tepung putih serta hidangan berlemak misalnya, kek, biskut, coklat dan gula-gula. Bagi minuman pula, elakkan pengambilan kafein atau bergas kerana ia hanya merangsang kehilangan air lebih cepat menerusi air kencing. Untuk kanak-kanak yang berpuasa pula, bersahur dengan bijirin adalah pilihan terbaik yang boleh diambil bersama multivitamin, boleh diamalkan oleh orang dewasa. Selain itu, prebiotik juga baik diambil untuk mengekalkan bakteria dalam badan yang berfungsi melancarkan proses pencernaan. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |