Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Raikan tetamu ketika berbukaPERSEKITARAN stesen LRT Setiawangsa, di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan komuniti Arab menjadi indikasi bahawa Malaysia merupakan penempatan selesa, selamat dan dipercayai. Sama ada berhijrah, memilih Malaysia di bawah skim program Malaysia, Rumah Keduaku, menuntut ilmu atau bekerja, komuniti Arab sudah membentuk satu rangkaian yang unik. Di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur, Wangsa Maju, Setiawangsa, Ampang dan Gombak merupakan antara lokasi utama penempatan komuniti Arab. Bahkan, ada antara mereka yang sudah sebati dengan gaya hidup di negara ini tanpa meninggalkan budaya mereka. Menjelang Aidilfitri dan sepanjang Ramadan ini, pelbagai perbezaan, kelainan dan elemen istimewa dapat disaksikan oleh mesyarakat setempat dalam memahami budaya Arab. Kepada seorang pengamal media di sebuah majalah berbahasa Arab, Amal Mahfoudh, 27, sama ada seseorang itu berasal dari Mesir, Arab Saudi, Yemen atau dari mana-mana negara di Asia Barat, mereka meraikan bulan Ramadan lebih meriah berbanding Syawal. Berdarah kacukan Yemen di sebelah bapa dan Mesir di sebelah ibu, Amal memberitahu, sambutan pada bulan Ramadan lebih meriah kerana mereka akan menjemput sanak saudara dan rakan untuk berbuka bersama. Hasil pemerhatiannya, umat Islam di Malaysia lebih gemar menganjurkan rumah terbuka ketika Syawal, tetapi ia bukan budaya komuniti Arab. Menurut Amal, dia dan keluarganya menjemput jiran mereka berketurunan Arab untuk berbuka puasa bersama dengan pelbagai masakan tradisi Arab. Amalan bertukar-tukar juadah berbuka juga sudah menjadi tradisi mereka. AMAL (kiri) dan Nabawiah saling bekerjasama di dapur untuk menyediakan juadah berbuka. Budaya Arab "Walaupun tinggal di Malaysia sejak lapan tahun lalu, kami mengekalkan makanan tradisi untuk berbuka. Lazimnya itu yang digemari kami sekeluarga," kata ibu Amal, Nabawiah Mahmoud, 52, ketika ditemui sebelum berbuka puasa di rumah mereka di Setiawangsa baru-baru ini. Sementara menanti waktu berbuka, meja makan di rumah Amal dipenuhi makanan Arab, minuman dan buah kurma. Sambil menerangkan satu persatu makanan yang sudah tersedia di atas meja makan, Nabawiah memberitahu, menjadi budaya Arab untuk menyediakan makanan dalam kuantiti yang banyak dan meriah walaupun sekadar berbuka di rumah. Katanya, tiada istilah ringkas atau mudah dalam masakan. Hakikatnya, makanan yang dihidangkan ternyata mengambil masa yang lama untuk disediakan seperti merendamnya dan penggunaan pelbagai jenis rempah. Selain berbuka puasa dengan buah kurma, mereka gemarkan buah-buahan seperti aprikot dan buah tin. Sejenis kopi yang dinamakan kopi arab berperisa pahit, tanpa gula dan berwarna kuning antara menu signatur Arab. Nabawiah juga menyediakan koktel buah-buahan seperti kurma, aprikot, buah tin dan buah-buahan lain yang direndam dalam air selama enam jam sebelum dikisar menjadi koktel. Dinamakan khosaf, pencuci mulut itu dipercayai dapat memberi kesegaran selepas seharian berpuasa. Keluarga Amal turut menjemput jiran mereka iaitu Laila al-Zahraini, 54 yang berasal dari Arab Saudi. Kehadiran jirannya itu menambahkan lagi keriuhan dan keseronokan berbuka pada petang tersebut. Masak sendiri Laila menetap di Malaysia kerana menemani anak lelakinya yang menuntut di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur juga mengakui suasana berbuka puasa di Malaysia sangat berbeza dengan tanah air mereka. Sebagai contoh, bazar Ramadan. Laila berkata di Tanah Arab, wanita lebih selesa untuk memasak sendiri. "Mungkin kerana di sini ramai wanita bekerja dan waktu kerja yang sangat panjang. Di Arab Saudi, saya akan masak sepanjang hari. Di sana, kami tidak ada banyak peluang untuk membeli di luar seperti di sini," katanya. Bagi Amal, bazar Ramadan di Malaysia memberi dan memudahkan orang ramai untuk memilih makanan yang digemari ketika berbuka. Setiap kali ke bazar Ramadan, dia pasti membawa pulang martabak, rendang, kuih lapis dan bubur lambuk. Selain Amal dan Nabawiah, mereka turut ditemani Enase Mahfoudh, 25, dan Osama Mahfoudh, 17, iaitu anak-anak Nabawiah. Kelima-lima mereka banyak bercakap mengenai pilihan menu pembuka selera sewaktu berbuka puasa. "Makanan pembuka selera kami lebih pelbagai dan bercirikan Arab. Makanan utama seperti nasi atau roti seperti beriani lazimnya dipadankan dengan kari, ayam, kambing dan sayur," tutur Amal.
Hidangan pembuka selera Menyentuh tentang menu pembuka selera, Nabawiah menyediakan sup ayam atau shurba dengan vermiseli, samosa iaitu pastri berbentuk tiga segi yang diisi ayam, kambing atau sayur, falafil iaitu sejenis kuih yang dicampurkan dengan pelbagai jenis sayur-sayuran seperti kacang hijau, daun bawang, parsli, daun ketumbar dan bersalut telur. Falafil dimakan bersama sejenis pencicah iaitu tahena. Diiringi doa sebelum berbuka dengan dua biji kurma, diikuti menu pembuka selera, Nabawiah memberitahu, keluarganya sama seperti keluarga keturunan Arab lain yang lazimnya menunaikan solat tarawih di masjid terdekat. "Hanya selepas itu, kami akan makan makanan berat. Antara makanan utama kami ialah bashamil (sama seperti lagsane tetapi menggunakan sos yang berbeza), sannir pathatthis (ayam yang dikukus dengan kentang), ikan bakar, kambing mandi, kabsa, malooba (terung) dan sebagainya. Namun, makanan berat tidak disediakan dalam kuantiti yang banyak seperti pembuka selera," kata Amal. Nabawiah turut menyediakan sejenis pencuci mulut yang terkenal di Mesir iaitu qathaif. Qathaif ialah sejenis makanan seperti pai yang berasaskan serbuk roti, tepung kastard diselaputi agar-agar dan krim. Sementara itu, Enase, yang sedang menuntut di sebuah kolej di Petaling Jaya, memberitahu, pada mulanya dia dan Amal menghadapi sedikit kesukaran menyesuaikan diri dengan suasana Ramadan di Malaysia. Perbezaan itu bermula dari waktu tidur, kerja dan belajar yang sangat panjang di Malaysia. Selain itu, budaya berbuka puasa, rumah terbuka, sambutan Syawal yang panjang juga menjadi kebimbangan keluarga itu. "Lazimnya, di Yemen atau di Arab Saudi, waktu bekerja lebih singkat pada bulan puasa. Sekolah yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang akan dipendekkan kepada pukul 7.30 pagi hingga pukul 2 petang. Bagi yang bekerja, waktu pejabat bermula pada pukul 10 pagi dan ditamatkan dua atau tiga jam lebih awal," ujar Amal. Walaupun menghadapi perbezaan yang ketara, Amal sekeluarga tidak banyak berhadapan dengan masalah untuk mengadaptasi gaya hidup di Malaysia. Beli-belah Laila menambah, amalan memberi makanan seperti bubur lambuk dan minuman di masjid-masjid di sekitar Kuala Lumpur sewaktu berbuka, satu amalan yang terpuji. Memberi bubur lambuk secara percuma, walaupun baharu bagi komuniti Arab seperti Laila, tetapi dia memandangnya sebagai satu amalan mulia. Di tanah air sendiri, mereka mengamalkan budaya itu dengan cara berbeza. "Lazimnya semasa waktu berbuka di Arab Saudi, kami akan aturkan sebuah kawasan, biasanya berdekatan masjid dengan meja panjang yang dipanggil meja Ramadan. Di situ semua orang akan menderma makanan untuk diedarkan kepada semua orang tanpa mengira latar belakang," kata Enase tentang budaya berbuka puasa di negaranya. "Di Arab Saudi, ia umpama festival makanan," ujar Laila. Menyentuh sambutan Syawal di Malaysia, Amal memberitahu, mereka akan ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga dan berjalan-jalan pada cuti hari raya. "Sebelum itu, kami membeli-belah di KLCC, Pavilion dan pusat beli-belah sekitar itu. Tetapi kami tidak memilih abaya (pakaian wanita), gilbab (pakaian lelaki) atau hijab sahaja. Sebagai generasi moden, kami lebih gemarkan jean dan blaus," kata Enase. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |