Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Muip mantapkan hafazan imam
- Khatam al-Quran Rakan Muda diperluas ke setiap daerah
- Banduan Bentong tunai zakat fitrah
Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF KUANTAN 31 Julai - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dengan kerjasama kerajaan negeri bercadang mengambil tenaga pengajar dari negara Arab bagi membimbing golongan imam di negeri ini meningkatkan hafalan al-Quran dengan lebih lancar dan berkesan. Yang Dipertua Muip, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, golongan imam itu akan diberi kursus insentif yang akan dibimbing tenaga pengajar berkenaan. Titah baginda, langkah tersebut supaya imam berkenaan dapat membaca ayat-ayat al-Quran dengan lebih merdu serta mengikut taranum yang sesuai. "Cara ini bukan sahaja dapat menarik warga emas tetapi juga orang muda serta remaja supaya menjadikan masjid sebagai tempat wajib dalam menunaikan solat secara berjemaah," titah baginda. Baginda bertitah demikian dalam majlis pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam al-Quran Maahad Tahfiz Negeri di Yayasan Pahang, di sini kelmarin. Yang turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan kalangan barisan Exco kerajaan negeri. Tengku Abdullah bertitah, pelajar Maahad Tahfiz perlu memahami isi kandungan yang terdapat di dalam al-Quran supaya mereka dapat membacanya dengan penuh penghayatan ketika menjadi imam sama ada di masjid atau surau. "Cara itu bukan sahaja menarik golongan muda dan remaja datang ke masjid atau surau menunaikan solat tetapi turut memikat hati kalangan bukan Islam memilih agama ini sebagai pegangan hidup mereka," titah baginda. |
Khatam al-Quran Rakan Muda diperluas ke setiap daerah Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah beramah mesra dengan tenaga pengajar Maahad Tahfiz dalam majlis Khatam al-Quran Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri di Masjid Kampung Pandan 2, Kuantan, Pahang, baru-baru ini. KUANTAN 31 Julai - Majlis Khatam al-Quran Rakan Muda yang dianjurkan kerajaan negeri akan diperluaskan ke setiap daerah berikutan maklum balas positif para peserta terhadap program itu. Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain berkata, dalam masa sama program itu dapat mendekatkan antara pemimpin kerajaan negeri dan golongan belia di negeri ini. "Kita mendapat maklum balas daripada rakan-rakan belia di setiap daerah bahawa konsep turun padang seumpama ini adalah sesuatu yang amat baik. "Program ini secara tidak langsung mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan dan kita tidak mempunyai halangan untuk menjayakan program yang dicadangkan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai program itu di sini, kelmarin. Yang turut berangkat ke majlis itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tungku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Yang hadir sama, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah dan ADUN Panching, Datuk Mohd. Zaili Besar. Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga akan menjalankan kajian meningkatkan mutu pembacaan al-Quran dalam kalangan belia dari semasa ke semasa. |
Banduan Bentong tunai zakat fitrah Posted: 31 Jul 2013 11:28 AM PDT Penghuni penjara membayar zakat fitrah di surau ketika majlis pembayaran zakat penghuni Penjara Bentong, Pahang, kelmarin. BENTONG 31 Julai - Walaupun sedang menjalani hukuman penjara, namun seramai 472 banduan beragama Islam di Penjara Bentong di sini, perkara itu bukan halangan untuk tidak melaksana tanggungjawab membayar zakat fitrah. Dengan bantuan amil, pihak Penjara Bentong menganjurkan program pembayaran zakat fitrah beramai-ramai semalam bagi memudahkan para penghuni menunaikan tanggungjawab tersebut. Pengarah Penjara Bentong, Abdul Aziz Abdul Razak berkata, tahun ini merupakan kali kelima pihak penjara mengadakan majlis itu. Katanya, banduan menunaikan zakat fitrah masing-masing menggunakan pendapatan yang diperoleh melalui kerja-kerja di bengkel penjara dan pastri. "Ada yang membayar untuk diri sendiri dan ada juga untuk ahli keluarga masing-masing. "Ini menunjukkan walaupun mereka berada dalam penjara, tanggungjawab sebagai umat Islam dan ketua keluarga tetap ditunaikan," kata Abdul Aziz selepas Majlis Pembayaran Zakat Fitrah Peringkat Penjara Bentong di sini semalam. Menurut beliau, selain membayar zakat fitrah, pelbagai program dijalankan khusus untuk banduan termasuk tadarus al-Quran dan solat tarawih berjemaah. Katanya, usaha itu diharap dapat membantu memupuk nilai-nilai positif dalam diri banduan seterusnya membantu mereka mendekatkan diri dengan agama. Abdul Aziz memberitahu, sempena sambutan Aidilfitri, sesi pertemuan khas keluarga dan banduan akan diadakan pada hari raya ketiga dan keempat. "Peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara banduan dan keluarga masing-masing. "Keluarga yang bakal datang melawat diminta mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak penjara bagi mengelakkan sebarang kesulitan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |