Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Kakitangan mampu raih imbuhan
- UTeM perkasa hubungan strategik
- Hargai pengorbanan anggota polis jalankan tugas diamanahkan
Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri Mohamad Hasan (tengah) bersama kakitangan Klana Resort Seremban selepas menyampaikan bonus sempena Hari Raya Aidilfitri di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. SEREMBAN 30 Julai - Semua syarikat milik kerajaan negeri mampu memperoleh keuntungan lebih tinggi dengan syarat pekerjanya dapat terus meningkatkan kecekapan. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan itu jika berlaku mampu memberi imbuhan yang lebih baik kepada pekerjanya. ''Organisasi yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik mampu memberi ex-gratia dan bonus kepada kakitangannya, itu memang menjadi dasar kita terhadap mana-mana syarikat milik kerajaan negeri yang menunjukkan prestasi yang memuncak," katanya dalam majlis Sepetang Bersama Kakitangan Klana Resort dekat sini hari ini. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Pengurus Besar Klana Resort Seremban, Danny Malik. Mohamad berkata, jika mencapai keuntungan, semua pihak dalam organisasi itu wajar bersatu, mempunyai gerak kerja tersusun, mencapai sasaran ditetapkan serta mampu menghasilkan kewangan yang stabil. ''Apabila ini dicapai, barulah hasilnya itu diberikan kembali kepada pekerja dalam bentuk imbuhan mahupun bonus bagi menghargai sumbangan mereka," tegasnya. Dalam majlis sama, Mohamad juga memaklumkan semua syarikat milik kerajaan negeri, sama ada yang dikuasai sepenuhnya atau sebahagian termasuk Klana Resort Seremban mencatatkan keuntungan RM10.9 juta sehingga hari ini. ''Bagi syarikat berjaya ini, terus kekalkan prestasi dan tumpukan dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai," katanya. Mohamad turut menyampaikan bonus dan imbuhan Hari Raya Aidilfitri kepada lebih 300 pekerja tetap dan sambilan di Klana Resort Seremban. |
UTeM perkasa hubungan strategik Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT Oleh NURSURAYA ZULKIFLI Shahrin Sahib@Sahibuddin menyampaikan cenderamata kepada Wolfgang Radlik selepas sesi perbincangan di Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini. MELAKA 30 Julai - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mempergiatkan usaha menerajui bidang pengajian teknikal di negara ini dengan memperkasakan hubungan strategik dengan institusi antarabangsa. UTeM dikunjungi delegasi dari Hochschule Rosenheim University of Applied Sciences, Jerman bagi mengadakan perbincangan lanjutan daripada kerjasama yang terjalin antara kedua-dua belah pihak baru-baru ini. Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kunjungan tersebut bertujuan membincangkan program sarjana berkembar yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi. "Pada masa ini, fakulti yang terlibat ialah Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) akan melibatkan pelajar peringkat sarjana yang datangnya dari industri berkaitan," katanya. Yang turut hadir dalam perbincangan itu ialah Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Muhammad Ghazie Ismail serta Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Mohd Razali Muhamad. Dalam pada itu, satu sesi perbincangan yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin telah diadakan yang turut dihadiri wakil-wakil fakulti. Prof. Dr. Werner Braatz dan Prof. Dr. Wolfgang Radlik memberi penerangan secara terperinci mengenai syarat-syarat kemasukan calon, pengkhususan pengajian termasuk penyediaan modul dan perancangan kedua-dua universiti dalam menjayakan program kerjasama tersebut. Sementara itu, Dr. Sharin berkata, program sarjana berkembar tersebut akan membabitkan sebahagian pengajian di UTeM dan sebahagian lagi dilaksanakan di Hochschule Rosenheim University of Applied Sciences. "Kerjasama strategik ini bakal memberi nilai tambah kepada pelajar kerana mereka berpeluang mendapat pendedahan meluas sewaktu menjalankan penyelidikan di Jerman," katanya. |
Hargai pengorbanan anggota polis jalankan tugas diamanahkan Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT Rohashidi JEMPOL 30 Julai - Meskipun pernah berbuka puasa dengan beberapa biji kurma, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah di sini tidak pernah mengeluh. Malah rata-rata anggota yang bertugas di IPD ini ketika ditemui turut melahirkan rasa puas kerana dapat berkhidmat kepada masyarakat selain mengutamakan tanggungjawab mereka menjaga keamanan negara. Lans Koperal Rohashidi Arbon, 29, berkata, tugas menjaga pejabat pertanyaan membuatkan dirinya sentiasa berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira masa. "Biasanya orang awam akan datang ke sini untuk membuat laporan mengenai pelbagai kes tidak kira waktu, sama ada tengah berbuka atau tidak. "Apa pun saya tetap mengutamakan tugas yang diamanahkan ini. Jika ramai yang datang membuat aduan, cukuplah sekadar berbuka dengan beberapa biji kurma dahulu," katanya yang berkhidmat di pejabat pertanyaan Balai Polis Bandar Seri Jempol. Koperal Nor Faraliza Mad Zam, 31, dari cawangan trafik pula memberitahu, pengalaman berpuasa dan bersahur di kaunter trafik sudah menjadi kebiasaan buat dirinya. "Bila saya memilih kerjaya dalam bidang ini, saya perlu bersedia untuk bekerja dalam waktu yang ditetapkan. Kadang kala suami saya yang berkhidmat di Balai Polis Bahau juga terpaksa berbuka di pejabat. "Kami sudah biasa dengan keadaan ini. Apa juga aduan rakyat, kita utamakan. Kita perlu sentiasa tunjukkan wajah yang manis dan melayan mereka dengan baik, lebih-lebih lagi apabila ada yang datang mengadu itu terlibat dengan kemalangan jalan raya," jelasnya. Sementara itu, Konstabel Mohamad Sadri, 27, dari bilik pengawal pula mengakui dia pada mulanya memang sedih apabila terpaksa berbuka puasa dan bersahur seorang diri. "Pada tahun 2011 ketika saya mula berkhidmat, rasa hendak 'meraung' pun ada. Saya sudah biasa bersahur dan berbuka dengan keluarga dan rakan-rakan, tentulah meriah. "Lama-kelamaan suasana bersahur dan berbuka sendirian sudah menjadi kebiasaan. Tidak mengapalah, kami sedia berkhidmat untuk rakyat. "Lagi pun tugas saya bukan setakat di bilik pengawal malah kadang-kala saya menjaga lokap dan membuat rondaan cegah jenayah," katanya. Mohamad turut memberikan nasihat ini kepada orang ramai supaya sentiasa menjaga keamanan negara dan sentiasa cintakan negara, selain hormat menghormati antara kaum dan hidup dalam satu keluarga yang harmoni. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |