Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Dambakan kedamaian di tanah air Posted: Dambakan kedamaian di tanah airADA parut yang masih belum sembuh. Ada luka berdarah semula. Memetik kata-kata Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said: "Dalam banyak-banyak luka, luka perang itu lambat sekali sembuhnya." Begitulah yang dialami sebahagian daripada 1.8 juta penduduk di tiga wilayah di selatan Thailand, yang masih berperang dengan pihak pemerintah yang berpusat di Bangkok. Perang yang tiada kesudahan itu sudah meragut 6,500 nyawa berdasarkan kepada perangkaan Deep South Watch, sebuah badan hak asasi yang berpangkalan di Bangkok. Kesumat penduduk di Narathiwat, Yala dan Pattani terhadap pemerintah Thailand, lebih khusus kepada tentera seragam ada asasnya. Apabila Ramadan menyapa, peristiwa berdarah Tak Bai, Narathiwat pada 24 Oktober 2004 seolah-olah cukup jelas pada pandangan mata. Dianggarkan 78 penduduk Islam yang letih berpuasa, menahan lapar dahaga dilayan tanpa rasa hormat, sebaliknya disusun seperti bata, sehingga nafas sesak hujung nyawa, mati di tangan tentera. Tidak cukup penyeksaan dan kezaliman itu, jemaah di Masjid Kerisik (Krue Sae) yang sedang khusyuk solat Subuh, pada 28 April 2004 dikejutkan dengan bedilan senapang canggih. Pondok dicurigai Dakwa tentera yang melepaskan bedilan, terdapat militan berlindung di masjid menyembunyikan senjata terlarang. 107 orang maut dalam insiden di masjid kebanggaan di Pattani itu. Pihak yang dituduh mendalangi peristiwa itu tentunya kumpulan pejuang atau pemisah seperti yang dilabel tentera Thailand. Antara kumpulan pemisah yang aktif termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN), Barisan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Gerakan Ronda Kecil Kampung (RKK) dan 6 kumpulan kecil yang lain. MENGAJI Al-Quran dan menuntut ilmu berdasarkan amalan hadis menjadi silibus Sekolah Pondok Miftahul Islam, Sungai Padi, Narathiwat. Tidak terkecuali, sekolah-sekolah pondok dicurigai menjadi markas untuk melahirkan pejuang mengangkat senjata menentang kerajaan. Dua peristiwa iaitu Tak Bai dan Masjid Kerisik, paling diingati oleh mereka yang masih meneruskan denyut kehidupan pada hari ini. "Dua insiden yang dicatat dalam sejarah Thailand ini akan kekal jadi sebab banyaknya berlaku keganasan di tiga wilayah bergolak iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala. Sehingga sampai pada satu tahap, kita tidak tahu apa punca sebenar. Mungkin angkara pemisah, barangkali juga disumbang dadah dari sempadan jiran, malah tidak mustahil perjuangan dahulu kerana mahu menuntut keadilan," kata seorang pensyarah di Universiti Princess of Naradiwas, Wan Imran Wan Jaafar semasa ditemui baru-baru ini. Kenyataan Wan Imran itu ada asasnya. Tiga kali melawat ke wilayah tersebut dalam tempoh dua tahun, rata-rata penduduk, penganalisis, tentera dan pemerhati politik ternyata bingung dengan punca sebenar kesukaran mengembalikan keamanan di selatan Thailand. "Bagi saya, jika anak saya tidak ke Tak Bai sekali pun, dia akan mati. Kita manusia, akan mati di mana-mata. Mahu marah kepada tentera, anak saya tetap mati juga,'' kata Deraman Ti Mat Shah, bapa yang kehilangan anak dalam peristiwa di Tak Bai. Deraman yang bekerja sendiri kini menjaga seorang lagi anaknya yang cacat akibat diheret dan dibelasah tentera dalam peritiwa berkenaan. Kepada Hatikah Kalo, marah-marah kepada tentera tiada gunanya kerana apa yang lebih penting ialah masa depan mereka yang masih hidup, bukannya orang yang sudah lenyap kembali ke kampung akhirat menemui Pencipta-Nya. "Marah ada, sakit hati pun ada apabila dapat tahu bapa saya ditembak di Masjid Kerisik," katanya sambil menambah marah dan sakit hati itu semakin mencengkam apabila anaknya kini tahu cerita sebenar. Namun, dia sedar marah dan sakit hati itu tidak membawanya ke mana-mana. Malah, dia juga terpaksa menerima bantuan yang dihulurkan tentera dengan harapan, budi ditanam, jasa ditabur, dendam terlerai. Ambil hati Tentera pula, apabila dipersalahkan dengan begitu banyak kejadian buruk yang menimpa umat Islam, mereka cuba mengambil hati penduduk. Antaranya ke sekolah menjadi guru kedua, menyemai semangat supaya tidak membenci pihak kerajaan. Malah, tentera juga mahu penduduk terlibat dengan ekonomi, supaya hasilnya dapat nikmati penduduk. Pada sisi lain, mereka menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk, yang hilang mata pencarian akibat keganasan. "Soal keselamatan ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Ia sebenarnya serampang dua mata untuk membantu mengawal kes keganasan, pada masa sama, membantu meningkatkan ekonomi penduduk yang rata-ratanya mendakwa mereka tidak dilayan dengan adil oleh pihak pemerintah," kata Komander Pasukan Khas Tentera Pattani, Mejar Jeneral Sawat Tukplang. Namun di sebalik usaha itu tersebut, keganasan masih marak di tiga wilayah selatan Thailand. Kalau tiada pembunuhan di Narathiwat, ada saja laporan letupan bom di Yala, begitu juga berita keganasan di Pattani. Mangsanya terdiri daripada penduduk kampung yang beragama Islam, imam, sami Buddha dan petugas kerajaan selain anggota tentera. "Dia orang baik, kenapa bunuh dia, orang yang tembak dia itu singkat akal fikirannya," kata Aishah Samanun, isteri yang mempersoalkan kematian suaminya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di Yala. PEMANDANGAN yang tenang di Kampung Air Tempayan, Narathiwat. Siri dialog Putaran keganasan tanpa henti sejak tahun 2004 di selatan Thailand itu menyebabkan pelbagai pihak mencari jalan untuk mengembalikan keamanan di wilayah itu. Antara yang terpanggil, Malaysia sebagai negara jiran di perbatasan. Sebab itu, siri dialog untuk keamanan selatan Thailand dimulakan sesegera mungkin di Kuala Lumpur selepas lawatan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinatwatra. Siri pertama yang diselia Malaysia bermula pada 28 Mac 2013 diikuti 29 April dan ketiga 13 Jun lalu. Siri dialog seterusnya akan diadakan selepas Aidilfitri. Semasa dialog diadakan, siri keganasan masih berlaku di selatan Thailand. Pegawai dan anggota tentera dibunuh, begitu juga guru sekolah. "Keganasan yang masih berlaku ini bukan hanya disebabkan oleh puak pemisah, ada kemungkinan ia angkara dadah dan mafia," kata bekas anggota pejuang Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Mahama Jamae yang kini menjadi Ketua Kampung Kanua, Narathiwat. Di pihak tentera, mereka menuduh pergolakan tersebut merupakan angkara BRN. BRN seperti yang didakwa tentera tidak mematuhi persetujuan yang dibincangkan di Kuala Lumpur. Tetapi BRN juga ada asas tertentu sekalipun mereka mendalangi serangan semasa dialog berlangsung. BRN mahu tuntutan mereka dipenuhi terlebih dahulu. Di laman YouTube, pemimpinnya menggariskan secara terperinci sembilan tuntutan yang perlu dipenuhi Bangkok jika mahu rundingan diteruskan. Antaranya ialah mengiktiraf bahasa Melayu, kumpulan mereka bukan pemisah sebaliknya pejuang; mahu Malaysia menjadi perantara keamanan dan bukannya fasilitator. Hasilnya, gencatan senjata dipersetujui sepanjang bulan Ramadan. Tentera mahu BRN tidak melakukan sebarang aktiviti keganasan selama 30 hari. Tentera pula perlu mengurangkan bilangan anggota yang berkawal di tiga wilayah. Kawalan keselamatan yang ketat itu mengakibatkan penduduk kampung lebih curiga kepada pihak keselamatan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |