Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- 671 rumah PR1MA di Pahang
- BN utamakan kebajikan penduduk tanpa pilih kaum
- Asrama milik Muip di Mesir boleh diduduki Oktober
Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF Ngah Ismail (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada pelajar maahad tahfiz sambil diperhatikan Nazrul Asrad (kiri) dalam majlis berbuka puasa dan sumbangan amal KPHP dengan kerjasama UMNO Bahagian Indera Mahkota di Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/MOHD. FAIRUZ YUSOF KUANTAN 29 Julai - Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Bhd. (KPHP), merancang membina sebanyak 671 unit rumah mampu milik di bawah projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Cherating di sini tahun ini. Pengerusi KPHP, Datuk Nazrul Asrad berkata, projek yang dikenali sebagai PR1MA Bahagia itu menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa dan dijangka dapat memulakannya September ini. "Setakat ini pihak kami sedang menunggu kelulusan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membolehkan projek tersebut dimulakan. "Mengikut sistem PR1MA Pahang, kita laksanakan rumah berkembar dan berharap kerajaan negeri dapat meluluskannya segera," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan sumbangan amal KPHP dengan kerjasama UMNO Bahagian Indera Mahkota di Kompleks Dagangan Indra Mahkota semalam. Sebanyak 200 anak-anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin menerima sumbangan disampaikan Nazrul dan Bendahari UMNO Bahagian Indera Mahkota, Ngah Ismail. Menurut Nazrul, sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihaknya untuk meringankan beban golongan terbabit dalam membuat persiapan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. "Penubuhan koperasi ini bukan hanya menekankan kepada aktiviti perniagaan tetapi menjuruskan tanggungjawab sosial iaitu kita akan bagi sumbangan selagi daya yang boleh, segala keuntungan diagihkan kepada rakyat," ujarnya. |
BN utamakan kebajikan penduduk tanpa pilih kaum Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT G. PALANIVEL (kanan) menyampaikan bantuan duit raya kepada seorang penduduk kurang berkemampuan dalam majlis penyampaian sumbangan duit raya anjuran Pejabat Parlimen Cameron Highlands dan bantuan bulanan JKM di Kuala Lipis, baru-baru ini. KUALA LIPIS 29 Julai - Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengutamakan kebajikan penduduk semua kaum pada setiap masa tanpa membezakan fahaman politik masing-masing khususnya untuk penyaluran bantuan pada musim perayaan. Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel, berkata, kerajaan BN memberi layanan saksama kepada kaum Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain etnik di negara ini berasaskan manifestasi untuk memulihara kebajikan rakyat. Menurut beliau, sumbangan wang tunai dan hamper makanan yang diuruskan kerajaan negeri dan Pusat menjelang musim perayaan antara contoh nyata menterjemahkan nilai kemanusiaan serta keadilan untuk penduduk di negara ini. "Jangan politikkan segala pemberian musim perayaan kerana menjadi tugas wakil rakyat BN membantu golongan asnaf dan mereka yang tidak berkemampuan mendapat pembelaan sewajarnya. "Sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial kerajaan BN berasaskan kemampuan apabila pertumbuhan ekonomi negara yang baik, kita tidak lupa jasa golongan miskin untuk lebih ceria menyambut Hari Raya Aidilfitri dan perayaan lain," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan duit raya anjuran Pejabat Parlimen Cameron Highlands dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 456 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Felda Sungai Koyan di sini kelmarin. Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan Pegawai JKM Lipis, Badrul Hisam Md. Yassin. Menurutnya, kerajaan negeri dan Pusat menerusi pejabat agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut memberi bantuan menerusi wang zakat kepada penduduk miskin Islam, manakala bagi kaum lain juga ada agihan sempena perayaan masing-masing. "Mereka perlu bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan tetap komited menunaikan kewajipan untuk kebajikan penduduk kurang berkemampuan sepanjang masa termasuk menjelang persekolahan," ujarnya. Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, agihan sumbangan kebajikan itu diperuntukkan oleh kerajaan negeri dan Pusat kepada wakil rakyat komponen BN di kawasan masing-masing setiap kali musim perayaan. "Kerajaan BN amat bertimbang rasa dengan penyampaian bantuan kepada golongan asnaf dan yang tidak berkemampuan dalam kalangan semua kaum di negeri ini dan negara amnya. "Pendekatan ini amat berbeza dengan pembangkang yang mencurigai dan kerap memperlekeh usaha kerajaan BN dengan mengatakan bantuan ini bermotifkan politik," katanya. |
Asrama milik Muip di Mesir boleh diduduki Oktober Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT KUANTAN 29 Julai - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sedang membina sebuah asrama di Nasr City, Kaherah bagi menempatkan penuntut dari negeri ini yang menyambung pengajian mereka di Mesir. Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Abdul Wahid Wan Hassan berkata, asrama 11 tingkat itu boleh diduduki Oktober ini dan mampu memuatkan seramai 200 penuntut. "Kawasan asrama tersebut terletak di dalam kawasan yang dikawal daripada segi diplomatik, jadi kawasan itu selamat untuk penuntut kita di sana. "Keselamatan mereka selepas ini lebih terjamin dengan adanya asrama ini. Asrama dengan kos RM12 juta itu kini dalam peringkat meletakkan perabot," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Sumbangan Pendidikan Muip Kepada Pelajar Sekolah Agama (SMA) Negeri dan SMA Majlis di SMA al Attas di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Roslan Harun. Menurut beliau, tujuan utama asrama ini dibina adalah memusatkan penuntut dari negeri ini di dalam satu kawasan. "Dengan pemusatan itu, keselamatan penuntut Malaysia di sana lebih terjamin dan memudahkan pihak berwajib memantau aktiviti mereka," katanya. Dalam pada itu juga, beliau difahamkan semua penuntut dari negeri ini yang menuntut di sana berada dalam keadaan selamat. "Pihak Muip hanya memberi bantuan derma siswa dan tambang pergi serta balik kepada penuntut. Urusan yang lain-lain ada di bawah kerajaan negeri," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |