Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Road Show dekati OKU
- PBSM Port Dickson terus dekati pesakit
- FAMA ambil pelbagai pendekatan perluaskan pasaran produk
Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT Oleh FADZLY IZAB MELAKA 29 Julai - Program Road Show Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) bersama komuniti tempatan dapat memberi peluang kepada orang ramai mengetengahkan pandangan dalam membantu menyelesaikan masalah dihadapi golongan itu di negara ini. Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Che Azman Che Haron berkata, program tersebut juga berfungsi untuk menyalurkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan berhubung Akta OKU 2008, Dasar OKU dan Pelan Tindakan OKU. "Usaha ini juga dapat memberi maklum balas mengenai program dan aktiviti memperkasakan OKU khususnya pendidikan, pekerjaan, aksesibiliti, pengangkutan, kesihatan dan pendaftaran OKU," katanya berucap dalam majlis tersebut di ruang legar Menara Persekutuan di sini hari ini. Yang hadir sama Ahli Majlis Kebangsaan Bagi OKU, Prof. Dr. Ruzita Muhd. Amin dan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Institusi dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan Jabatan Pembangunan OKU, Ishak Muhamad. Che Azman berkata, program tersebut disasarkan kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu OKU, ibu bapa atau penjaga kepada OKU, ahli akademi, pemimpin tempatan serta individu OKU itu sendiri. "Selain dapat mengumpul dan menganalisis semua pandangan dan komen daripada mereka yang hadir, usaha itu seterusnya dapat diberikan perhatian dan tindakan lanjut dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan OKU akan datang," ujarnya. |
PBSM Port Dickson terus dekati pesakit Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT TUN Hairudin Abu Bakar (kiri) dan Dinesh Patel (kanan) beramah mesra melayan gelagat seorang bayi, Syahzanani Syahriman sambil diperhatikan oleh ibunya, Siti Nur Asmani Mat (dua dari kanan) di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam. TELOK KEMANG 29 Julai - Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Port Dickson akan terus mendekati pesakit dalam usaha membantu meringankan penderitaan yang ditanggung mereka. Pengerusinya, Dinesh Patel memberitahu, aktiviti seumpama itu akan dilakukan setiap masa, bukan hanya ketika Hari Palang Merah Sedunia. "Pesakit memerlukan seseorang untuk didekati. Kadang kala mereka akan menceritakan penderitaan yang dialami. Waktu ini, kita dapat memberikan nasihat dan motivasi kepada pesakit untuk terus tabah dan tidak merasa tertekan dengan penyakit yang dihadapi. "Ini penting kerana ia adalah sebahagian usaha persatuan untuk membantu dalam aspek psikologi dan bukan hanya dalam bentuk bantuan kecemasan," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Port Dickson dekat sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar. Dalam majlis itu, sebanyak 80 hamper dan 40 kotak bijiran telah disampaikan kepada pesakit sempena Hari Palang Merah Sedunia. "Kita mahu mengeratkan lagi hubungan antara persatuan ini dengan pesakit," ujar Dinesh. Dalam pada itu Dinesh juga memberitahu, sempena sambutan berkenaan, bayi yang lahir pada 8 Mei lalu telah diambil sebagai anak angkat kepada persatuan tersebut. "Sehingga kini kita telah mempunyai 47 orang anak angkat di daerah ini dan ini menjadikan keluarga persatuan semakin ramai dan meriah. "Kita akan membantu bayi serta kanak-kanak yang lahir pada tarikh berkenaan, termasuklah dalam aspek pembelajaran mereka," ujarnya. |
FAMA ambil pelbagai pendekatan perluaskan pasaran produk Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT JASIN 29 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri mengambil pelbagai pendekatan dalam memperkenal serta memperluaskan produk makanan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah menembusi pasaran nasional dan antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, kemampuan itu berjaya dibuktikan melalui penglibatan usahawan di bawah bimbingan agensi berkenaan yang dilaksanakan dengan penganjuran karnival, ekspo, pesta dan lain-lain aktiviti promosi. Katanya, usaha yang diterapkan FAMA terhadap usahawannya mampu menjadi pilihan dalam kalangan pengusaha lain dan sewajarnya menjadi ikon dalam melahirkan lebih ramai usahawan. "Menerusi program ini, usahawan mendapat pendedahan selain meningkatkan kefahaman mereka berkaitan kehendak pasaran dari segi permintaan dan trend pasaran di samping meningkatkan jaringan perniagaan dan meluaskan pasaran baru sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan. "Jika kita dapat wujudkan rangkaian yang lebih besar terhadap pendekatan yang dilakukan ia dilihat mampu menguasai pasaran dalam dan luar negara yang secara langsung akan memberi pulangan yang baik kepada para usahawan di bawah FAMA," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program Penganjuran Pusat Jualan Produk Industri Asas Tani (IAT) makanan sempena Aidilfitri 2013 di AgroBazar K-Shoppe, Hamidah Food Industries, Umbai di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah FAMA negeri, Mohd. Nawi Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Zaidi Attan. Hasan berkata, di pusat jualan produk IAT itu, pihak FAMA telah menyediakan ruang perniagaan berserta kemudahan yang diperlukan meliputi publisiti serta keperluan asas gerai. "Usahawan pula menyediakan produk seterusnya menjalankan aktiviti promosi dan jualan terus di lokasi berkenaan seterusnya memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan bekalan produk makanan serta juadah untuk Hari Raya Aidilfitri," katanya. Sementara itu, Mohd. Nawi berkata, jualan Bazar K-Shoppe Fama Melaka tahun lalu berjaya mencatat nilai RM4.47 juta melibatkan enam usahawan menjalankan urusniaga pemborongan serta peruncitan produk proses keluaran IAT. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |