{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Polis marin rampas 15 tenggiling

Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

Nordin Osman (dua dari kanan) bersama anggotanya menunjukkan tenggiling yang dirampas di Muar, kelmarin.

MUAR 30 Julai - Pasukan Gerakan Marin Wilayah 2 Muar merampas 15 tenggiling yang dianggarkan bernilai RM45,000 yang cuba diseludup masuk di tebingan Sungai Sabak Awor, semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Supritendan Nordin Osman berkata, rampasan seberat kira-kira 70 kilogram itu dibuat hasil maklumat awam setelah curiga dengan kehadiran sebuah sampan fiber di tebing sungai itu.

Beliau berkata, dua anggotanya yang menaiki bot ronda bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berada di tebing sungai manakala seorang lagi sedang memunggah karung berisi haiwan tersebut ke daratan.

"Dua lelaki warga tempatan berusia 30-an itu bagaimanapun melarikan diri ke dalam belukar berhampiran sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota marin.

"Sampan berukuran 5.7 meter dengan 75 kuasa kuda itu membawa lapan karung berisi haiwan eksotik tersebut yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran. Sampan itu dipercayai rosak lalu terkandas di kawasan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Utusan Malaysia difahamkan, daging tenggiling yang dijual antara RM250 hingga RM300 sekilogram dan boleh mencecah ribuan ringgit jika siap dimasak, bukan sahaja boleh menguatkan tenaga batin tetapi juga mampu mengubati pelbagai penyakit.

Malah darah dari lidah haiwan itu jika diminum secara mentah dikatakan paling berkhasiat untuk menguatkan tenaga batin sehingga menjadi menu mewah di restoran di sekitar Asia Tenggara terutamanya di Thailand.

Nordin seterusnya percaya suspek menggunakan daerah itu sebagai 'transit' sebelum menghantar haiwan tersebut ke Thailand berikutan permintaan yang tinggi.

"Haiwan itu diambil dari Indonesia kerana harganya jauh lebih rendah berbanding tenggiling di negara ini dan dipercayai dimakan untuk menguatkan tenaga batin," katanya sambil memberitahu kes itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Muar.

Ketua Perhilitan Daerah Muar, Nasron Ujang berkata, kes tersebut merupakan kali kedua dalam tahun ini dan haiwan itu akan dilepaskan di hutan bagi membolehkannya kembali kepada habitat asal.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 68 (2) (a) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 kerana membawa hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, kes berkenaan juga disiasat mengikut Seksyen 70(1) Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 kerana membawa hidupan liar betina yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM300,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

MAINJ agih RM5.7 juta zakat

Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT

Pasangan kembar tiga (dari kiri) Mohd. Alif Mohd. Khairudin, Mohd. Aziq dan Mohd. Afiq memilih kain samping bagi menyambut hari raya sambil dibantu pegawai MAINJ di pasar raya Mydin, Nusajaya, Johor, semalam.

NUSAJAYA 30 Julai - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan mengagihkan zakat fitrah berjumlah RM5.7 juta kepada 43,000 fakir dan miskin pada tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Zakat, Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Mustaffa Omar berkata, jumlah tersebut bertambah sebanyak RM300,000 berbanding tahun lalu.

Menurutnya, menerusi agihan tersebut setiap ketua keluarga menerima RM300, manakala tanggungan termasuk isteri dan anak-anak mendapat RM50 seorang.

"Berdasarkan angka tersebut, terdapat peningkatan jumlah fakir miskin iaitu seramai 2,000 orang berbanding 41,000 tahun lalu.

"Pertambahan itu disebabkan bertambahnya fakir miskin disebabkan punca pendapatan rendah, yatim atau piatu, ibu tunggal dan ditimpa penyakit kritikal dan beberapa kategori lain," katanya selepas menghadiri Program Belanja Asnaf oleh MAINJ di Pasaraya Mydin, di sini hari ini.

Pada program itu seramai 80 kanak-kanak miskin dari Johor Bahru dan Pontian diberi peluang membeli pakaian Hari Raya dengan peruntukan RM150 seorang.

Mustaffa memberitahu, daripada jumlah penerima tersebut, daerah Johor Bharu merupakan penerima teramai iaitu melibatkan 20,000 orang berstatus fakir miskin.

Beliau berkata, Johor merupakan negeri yang ketiga tertinggi dari segi kutipan zakat fitrah selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Pada tahun ini kita mengenakan kadar zakat fitrah yang sama dengan tahun lalu iaitu RM8 dan RM5 dengan kira-kira 96 peratus umat Islam negeri ini membayar kadar zakat RM8," katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa turut menasihatkan pekerja asing yang bekerja di negeri itu supaya membayar zakat fitrah kepada salah seorang daripada 1,560 amil yang dilantik dan diberi tauliah oleh MAINJ.

Katanya, kutipan zakat harta dan perniagaan juga menunjukkan peningkatan kerana hingga kini sebanyak RM78 juta telah terkumpul dan jumlah itu dijangka mampu mencecah RM100 juta menjelang akhir tahun.

Mengenai golongan mualaf, MAINJ mempunyai peruntukan khas iaitu sebanyak RM600,000 untuk diagih-agihkan kepada kira-kira 700 golongan itu dan jumlah itu meningkat berdasarkan pendaftaran baru.

Ekspedisi uji fizikal, mental peserta

Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

Peserta UTM dan Untan menyertai Ekspedisi Biodiesel Lembah Mekong 2013 selepas melawat Universiti Sains Bandar Ho Chi Minh di Vietnam, baru-baru ini.

JOHOR BAHRU 30 Julai - Ekspedisi Biodiesel Lembah Mekong 2013 yang menjelajah lima negara sejauh 5,600 kilometer bermula 18 Julai hingga 2 Ogos ini sememangnya menguji ketahanan fizikal dan mental peserta memandangkan program berlangsung pada bulan Ramadan.

Bukan sahaja terpaksa menahan lapar dan dahaga, malah kesemua peserta juga terpaksa mengharungi perjalanan menaiki bas yang mengambil masa selama berjam-jam untuk sampai ke setiap destinasi yang dilawati.

Ekspedisi biodiesel kali kelima anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Tanjung Pura, Indonesia (Untan) itu disertai 41 mahasiswa dan kakitangan kedua-dua universiti dan negara yang dilawati adalah Kemboja, Vietnam, China, Laos dan Thailand.

Di setiap negara dilawati, ekspedisi ini akan singgah ke beberapa universiti tempatan untuk mengadakan seminar dan kaji selidik berkaitan biodiesel selain mengadakan pertunjukan kebudayaan negara masing-masing.

Memandangkan ekspedisi kali kelima ini diadakan pada bulan Ramadan, peserta turut mengadakan program khidmat masyarakat bersama penduduk tempatan selain berbuka puasa dengan komuniti Muslim di negara yang dilawati.

Seorang peserta UTM, Mohd. Zaini Hadi Ramli, 23, berkata, ekspedisi kali ini adalah yang paling mencabar baginya berbanding ekspedisi yang disertainya pada 2010 dan 2011.

"Pada ekspedisi sebelum ini kalau lapar dan dahaga kita boleh makan dan minum, namun ekspedisi kali ini berlangsung pada bulan puasa dan pastinya menguji ketahanan fizikal dan mental peserta.

"Namun setakat ini, peserta tidak menghadapi sebarang masalah dan mereka dapat menjalani ibadah puasa seperti biasa," katanya kepada Utusan Malaysia yang turut mengikuti lawatan di Universiti Sains Bandar Ho Chi Minh, Vietnam baru-baru ini.

Nur Fazrina Abd. Talib, 20, pula mengakui tidak mempunyai sebarang masalah meskipun berpuasa di negara orang yang ternyata berbeza budaya dan makanan berbanding di Malaysia.

Katanya, di sesetengah lokasi yang disinggahi mereka akan berbuka puasa sama ada di restoran yang menyediakan makanan halal ataupun berbuka puasa di masjid tempatan komuniti Muslim setempat.

"Kalau bersahur pula, kami akan membeli makanan di luar ataupun memasak makanan sendiri. Bagi saya, pengalaman berpuasa di negara orang sangat mencabar tetapi pada masa yang sama merupakan satu pengalaman yang menarik," katanya.

Sementara itu, peserta dari Untan, Diego Rumania, 22, mengakui meskipun ekspedisi tersebut menguji fizikal dan mental, mereka dapat menghadapinya dengan baik hasil kerjasama secara berkumpulan yang ditunjukkan oleh peserta.

Beliau berkata, atas semangat kerjasama secara berkumpulan itulah membuatkan segala urusan dan permasalahan yang dihadapi ketika ekspedisi berlangsung dapat ditangani dengan cukup mudah dan senang.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat