Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI KOTA BHARU 29 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menyediakan bekalan barangan keperluan mencukupi bagi menampung permintaan yang meningkat menjelang Aidilfitri. Pengarah FAMA negeri, Wan Abdullah Wan Chik berkata, pihaknya akan memastikan bekalan utama seperti kelapa, ayam serta ikan sentiasa mencukupi sepanjang tempoh berkenaan. "Bekalan ini dijamin mencukupi kerana kita sudah mengambil langkah persediaan memastikan bekalan mudah didapati dengan harga berpatutan. "Selain itu, kita turut menjamin bekalan keperluan lain yang sememangnya menjadi pilihan pengguna mencukupi," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Wan Abdullah berkata, FAMA juga akan menganjurkan Pasar Tani khas sempena sambutan Aidilfitri bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan. "Penganjuran pasar tani khas ini melibatkan dua lokasi di daerah ini iaitu di Pasir Tumboh dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong. "Lebih 200 peniaga terlibat dalam penganjuran ini yang akan berakhir sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri," katanya. Beliau berkata, pengguna dapat menjimatkan perbelanjaan di pasar tani khas tersebut kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan. "Di sini, pihak FAMA telah melaksanakan program Jimat Belanja Dapur dengan menawarkan harga ayam dengan kadar 70 sen lebih murah berbanding di tempat lain. "Kita turut menawarkan harga serendah lima hingga sepuluh peratus untuk ikan rakyat yang terdiri daripada tiga jenis ikan iaitu cencaru, pelaling dan selayang," katanya. Tambah beliau, selain menyediakan barangan keperluan secukupnya, FAMA akan sentiasa berusaha melaksanakan program yang dapat membantu pengguna. "Ini sekali gus dapat mengurangkan beban rakyat yang berpendapatan rendah untuk menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya. |
Peneroka Felda dapat insentif raya Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT GUA MUSANG 29 Julai - Seramai 1,906 peneroka dari sembilan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di kawasan Parlimen Gua Musang mendapat pemberian insentif Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM300 setiap seorang. Timbalan Pengurus Felda Wilayah Gua Musang, Hasrin Ismail berkata, insentif Hari Raya Aidilfitri itu akan diberikan kepada semua peneroka termasuk mereka yang tidak bersama Felda. Beliau berkata, pemberian insentif untuk kesemua peneroka tersebut melibatkan peruntukan sebanyak jumlah RM547,050. "Insentif raya ini kita berikan kepada semua peneroka untuk sembilan kawasan Felda bagi Parlimen Gua Musang dengan jumlah RM300 bagi peneroka bersama Felda dan RM150 untuk peneroka yang bukan bersama Felda. "Hari ini juga kita menyampaikan replika cek kepada kesemua sembilan ketua peneroka di Parlimen Gua Musang ini," katanya ketika menyampaikan ucapan ringkas sempena program Ihya Rahmat Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Felda Chiku 2 di sini semalam. Penyampaian replika cek itu juga telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah. Yang turut hadir, Penolong Pengurus Besar Wilayah Gua Musang bahagian Pembangunan Komuniti Felda, Kamasri Mamat. Sementara itu, Nozula berkata, warga Felda seharusnya bersyukur dan menghargai sumbangan yang dihulurkan oleh kerajaan. "Kerajaan melalui Felda telah memberikan pelbagai sumbangan untuk membantu peneroka dan golongan yang memerlukan. "Peneroka haruslah bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang diberi, walaupun dengan jumlah yang kecil yang mana sebelum ini mereka (peneroka) telah pun diberi dengan jumlah yang besar," katanya. |
OKU jaga ayah diserang angin ahmar Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT KOTA BHARU 29 Julai - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah nasib yang dialami seorang orang kurang upaya (OKU), Mohd. Suhaimi Abdullah, 30, dari Kampung Langgar di sini kerana terpaksa menjaga ayahnya, Abdullah Jusoh, 65. Mohd. Suhaimi yang menghidap masalah saraf sehingga tidak mampu berjalan sejak dilahirkan terpaksa menjaga ayahnya yang diserang angin ahmar kira-kira dua tahun lalu. "Mula-mula ibu saya diserang angin ahmar dan selepas dia meninggal ayah saya pula diserang penyakit ini sehingga tidak boleh bercakap dan tidak mampu bergerak. Saya terpaksa menjaga ayah kerana saya seorang sahaja anak yang tinggal bersamanya. "Tiga lagi kakak saya sudah berkahwin dan tinggal berasingan, tetapi mereka datang juga membantu manakala adik saya pula belajar di universiti. Saya tidak ada masalah untuk menjaga walaupun sukar untuk bergerak," katanya. Mohd. Suhaimi ditemui dalam majlis penyampaian zakat oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Wan Ghani Wan Yusoff di Pondok Sayang, Langgar di sini semalam. Kira-kira 400 golongan yang tidak berkemampuan, ibu tunggal dan anak yatim menerima sumbangan tersebut. Mohd. Suhaimi yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia pernah bekerja beberapa tahun lalu tetapi terpaksa berhenti kerana penyakitnya semakin kronik. "Saya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan berkongsi membeli keperluan bersama ayah pada setiap bulan dan sememangnya tidak mencukupi. "Saya amat berterima kasih kepada pihak tertentu yang memberi wang zakat semasa musim perayaan kerana banyak membantu menyelesaikan urusan harian kami," katanya. Walaupun begitu katanya, dia amat berharap JKM dapat meluluskan bantuan untuk ayahnya yang tidak lagi mempunyai sumber pendapatan. Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 09-7484273. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |