Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Durian runtuh penjual air tebu Posted: Durian runtuh penjual air tebu
DI Malaysia, seolah-olah sudah menjadi satu tradisi pada bulan Ramadan, ratusan bazar akan muncul di seluruh negara. Bazar-bazar Ramadan ini menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa termasuk berjenis-jenis kuih dan makanan tradisional serta lauk-pauk. Selain itu, terdapat gerai yang menjual pelbagai minuman seperti cendol, cincau dan bandung. Antara gerai minuman yang laris di bazar Ramadan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor ialah gerai air tebu yang diurus oleh Amran Hamid. Menurut Amran, 32, pendapatan hariannya hasil jualan air tebu meningkat empat kali ganda pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain. Amran hanya menjual air tebu di bazar Ramadan itu. "Pada hari-hari bulan lain, saya cuma dapat dalam RM100 sehari. Gerai saya terletak berhampiran sebuah sekolah di Batu Arang. Saya mula berniaga dari tengah hari hingga petang,'' jelas Amran. Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelajar sekolah. Ramadan membawa 1,001 keberkatan. Pada bulan puasa, dia memperoleh sehingga RM400 sehari walaupun menjual air tebu selama dua jam iaitu dari pukul 5 petang hingga 7 petang. "Ramai daripada pelanggan saya merupakan kakitangan awam dan swasta yang mahu pulang berbuka puasa di rumah," katanya. Amran mendapat bekalan tebunya dari Kuala Selangor. Bagaimanapun pendapatannya merudum jika hari hujan. Walaupun hari hujan pada bulan puasa, dia masih memperoleh lebih kurang RM300 sehari. Kenapa ramai yang meminati jus tebu? Seorang guru, Samsul Aziz Baharuddin menjelaskan, air tebu selain menghilangkan dahaga juga menyejukkan badan mereka yang berpuasa sehari suntuk. "Saya diberitahu jus itu bagus untuk mereka yang mempunyai kandungan kolesterol tinggi dalam badan," terang guru itu. HAMPAS tebu dibuang selepas diperah airnya. Alternatif sihat Menurut Samsul, beliau ada terbaca tentang satu kajian saintifik yang dilakukan Pusat Nasional di Havana, Cuba yang mendedahkan, jus tebu mengandungi oktakosanol iaitu faktor yang merencat pembentukan kolesterol dalam darah. Menurut Organic Lifestyle Magazine, jus tebu merupakan satu alternatif sihat berbanding gula pasir. Majalah itu menjelaskan, air tebu mengandungi fruktos dan glukos yang tidak memerlukan tindak balas insulin untuk metabolisme jika dibandingkan dengan gula yang berasaskan sukros. "Sebabnya, tubuh manusia menjalankan proses metabolisme berasaskan gula tumbuhan ini dalam hati dan bukan dalam usus kecil. Fruktos dan glukos daripada jus tebu akan diserap lebih perlahan berbandingkan sukros dan tidak menyebabkan perubahan mendadak dalam paras gula darah," menurut majalah itu. Pakar kesihatan percaya, walaupun jus tebu tidak mengandungi kumpulan vitamin seperti A, C atau E, ia masih mengandungi antioksidan daripada bahan flavonoid dan fenol. Flavonoid adalah penentang virus, alergi, keradangan, tumor serta membawa kesan antioksidan dalam tubuh manusia. Jus tebu diperoleh dengan memerah batang tebu yang telah dikupas kulitnya menggunakan mesin pemerah yang diputar dengan tangan atau mesin. Jus itu lebih enak jika diminum sejuk. Ia sememangnya popular dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana jus itu mudah didapati di banyak lokasi. Di Malaysia, air tebu boleh didapati di seluruh negara terutama di gerai tepi jalan dan di medan selera. Ia juga dibotolkan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa. Jus tebu juga mempunyai kalori tinggi untuk membekalkan tenaga kerana kandungan gulanya. - Bernama | |
Bak balik kampung di Paya Serai Posted: Bak balik kampung di Paya Serai
BERBUKA puasa di Paya Serai, Hotel Hilton Petaling Jaya sememangnya tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Manakan tidak, tahun ini, restoran yang diiktiraf halal sepenuhnya itu mengimbau kembali gaya masakan kampung yang menyelitkan sajian Melayu klasik bersama masakan pengenalan baharu hasil karya chef Melayu hotel tersebut, Chef Noor Hisham Ismail. Bufet ekstensif itu merangkumi sajian tempatan kegemaran ramai dari negeri-negeri di Malaysia di samping sajian Ramadan Hilton Petaling Jaya yang diminati ramai. "Sajian ini diinspirasikan oleh makanan kegemaran saya sewaktu membesar dan saya amat berbesar hati untuk berkongsi kesemuanya bersama tetamu kami sepanjang Ramadan ini. "Sudah pasti kami akan menawarkan sajian kegemaran ramai yang sentiasa menggamit tetamu untuk kembali ke sini pada setiap bulan Ramadan, tahun demi tahun," kata Chef Noor Hisham, yang bakal menyediakan sajian yang diinspirasikan dari kampung halamannya di Perak. Seiring dengan suasana serba baharu hotel tersebut, Chef Noor Hisham turut memperkenalkan sajian-sajian baharu yang diinspirasikan oleh masakan kampung halaman setiap chef di situ. Mulakan pengalaman berbuka puasa dengan menikmati sajian pengenalan baharu tahun ini yang terdiri daripada sup gear box, mi rebus tulang, nasi beriani kambing, udang goreng daun kari dan ikan patin bakar tempoyak. Nikmati juga sajian terkenal seperti daging rendang tok, bubur lambuk, ayam percik, ikan terubuk panggang dan nasi bokhari ayam. | |
Warung Nasi Padang Hotel Concorde Posted: Warung Nasi Padang Hotel Concorde
HOTEL Concorde Kuala Lumpur menyajikan hidangan istimewa yang didatangkan khas dari Indonesia melalui promosi Warung Nasi Padang Ibunda di Kafe Melting Pot dan Concorde Ballroom sehingga 7 Ogos ini. Makanan Padang bukan sahaja terkenal di Indonesia malah di Malaysia dan Singapura kerana rasanya yang pedas dan berlemak. Antara hidangan yang disediakan ialah soto Padang, rendang, ayam goreng rempah, daging dendeng balado, paru dendeng, ikan goreng lado hijau, kelio ayam nangka dan urat kaki lembu. Pencuci mulut asli dari Padang seperti godok batinta, serabi, sala lauak dan cenil menjadi pelengkap kepada selera Minangkabau yang menyelerakan. Tidak ketinggalan, makanan tempatan dan hidangan antarabangsa dipersembahkan bagi memenuhi cita rasa semua pengunjung. Jika masih belum puas, nikmati makanan seperti kambing panggang, mi rebus Johor, ikan panggang berempah dan masakan Cina yang tersedia menanti anda. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |