Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- TNB peruntuk RM200,000
- Semai semula amalan melalui pertandingan reka cipta kad raya
- Rumah angkat pertama UMK
Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT Oleh KAMARUDIN HAMZAH MOHD. Iskandar Jaafar (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan beras dan wang tunai kepada golongan yang memerlukan sempena program Ihya Ramadhan di Masjid Kampung Apal, Besut, Terengganu, baru-baru ini. BESUT 30 Julai - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan kira-kira RM200,000 untuk melaksanakan Program Ihya Ramadan di seluruh Semenanjung tahun ini. Naib Presiden (Sumber Manusia) TNB, Datuk Muhammad Razif Abdul Rahman berkata, kira-kira RM15,000 diagihkan kepada sebuah masjid yang dipilih di setiap negeri bagi membolehkan program itu kendalikan oleh jawatankuasa masjid. Katanya, melalui setiap program, anak-anak yatim, golongan miskin termasuk ibu tunggal akan menerima sumbangan bagi membolehkan golongan itu tidak merasa terpinggir dan dapat bersama menikmati kemeriahan Aidilfitri yang bakal tiba. Menurutnya, program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membuktikan bahawa TNB bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. "TNB di setiap negeri akan mengenal pasti masjid untuk dijalankan program itu dan kemudiannya pemilihan golongan sasar yang akan dibantu diserahkan kepada wakil rakyat di kawasan yang dipilih," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Ihya Ramadan peringkat negeri yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar di Masjid Kampung Apal, dekat sini baru-baru ini. Pada majlis itu, seramai 52 orang golongan tidak bernasib baik menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM100 setiap orang di samping sekampit beras yang disumbangkan oleh kakitangan TNB Terengganu. Muhammad Razif berkata, sumbangan beras tersebut merupakan inisiatif kakitanagn TNB yang berhasrat beramal di sepanjang bulan Ramadhan ini dengan mendermakan beras menerusi Program '1 Kampit Beras 1 Staf TNB'. Beliau turut memuji sikap penduduk dari empat kampung terlibat dalam program itu yang menunjukkan semangat kerjasama dengan bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa. Pada majlis yang sama, TNB turut menyumbangkan sebanyak RM2,000 kepada Masjid Kampung Apal untuk membolehkan pengurusan masjid itu mengadakan program kebajikan dan pendidikan yang sesuai. |
Semai semula amalan melalui pertandingan reka cipta kad raya Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT HULU TERENGGANU 30 Julai - Kecanggihan teknologi antara faktor yang mungkin menyebabkan penghantaran kad raya semakin dilupakan apabila masyarakat lebih senang memanfaatkan penggunaan seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi lain. Namun perisian komputer seperti Microsoft Office Publisher misalnya, boleh juga digunakan untuk menghasilkan kad raya sendiri yang bukan sahaja dapat menjimatkan kos, malahan dapat dihasilkan mengikuti kreativiti sendiri. Mesej itu cuba dibawa melalui pertandingan mereka cipta Kad Raya Kreatif anjuran Perpustakaan Awam Daerah (PAD) Hulu Terengganu dengan kerjasama Bestari.comm (Bescomm) Kuala Berang, baru-baru ini. Penolong Pegawai Perpustakaan PAD Hulu Terengganu, Mohamad Zainal Mohd. Hassan berkata, pertandingan itu diadakan bagi membudayakan semula amalan menghantar kad raya dan pada masa sama memupuk minat peserta yang terdiri daripada golongan muda terhadap teknologi maklumat dan komunikasi. Menurutnya, ini merupakan kali pertama pertandingan itu diadakan dengan menggunakan kemudahan 12 buah komputer yang disediakan oleh Bescomm Kuala Berang dan 20 peserta menyertai pertandingan itu. "Selain daripada pengisian menjelang Syawal, kami berharap program ini dapat menyedarkan golongan muda tentang nilai sentimental yang dibawa oleh setiap kad raya yang dihantar kepada ahli keluarga atau kenalan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Kad raya hasil rekaan Nordiana Abdullah muncul kad raya terbaik manakala Nor Idayu Mohd. Nasri dan Muhammad Aiman Danial Ayub masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga. Sementara itu, Pegawai Eksekutif Sistem Maklumat Bescomm Kuala Berang, Fakhruddin Mohd. Salleh berkata, para peserta diajar tentang cara menggunakan perisian Microsoft Office Publisher terlebih sebelum diminta menghasilkan kad raya mengikut kreativiti sendiri. "Daripada maklum balas yang diterima, rata-rata peserta menggunakan perisian ini buat kali pertama dan mereka mengakui tidak susah seperti yang difikirkan," katanya. Dalam pada itu, jelasnya, pusat itu yang merupakan salah satu daripada 47 buah yang terdapat di negeri ini sentiasa menerima kunjungan orang ramai untuk menggunakan komputer selain turut menawarkan kemudahan WiFi. |
Posted: 30 Jul 2013 12:08 PM PDT Oleh YULPISMAN ASLI RADUAN Che Rose beramah mesra dengan seorang warga emas dalam majlis berbuka puasa di Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, baru-baru ini. KOTA BHARU 30 Julai - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membuktikan keprihatinannya dalam membela nasib warga emas di negeri ini dengan menjadikan Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin di sini sebagai rumah angkat pertama universiti itu. Rumah Seri Kenangan yang merupakan pusat jagaan harian warga emas ketika ini menempatkan seramai 129 penghuni. Perkara tersebut dimaklumkan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose dalam satu majlis berbuka puasa bertemakan 'Yang Tua Disayangi, Yang Muda Dilindungi' yang turut dihadiri oleh Penguasa Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin, Wira Mahmood, di sini baru-baru ini. Menurut Raduan, pemilihan rumah jagaan tersebut sebagai rumah angkat UMK bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat, selain menambahkan keceriaan kepada penghuninya. "Sebagai warga masyarakat kampus, UMK rasa terpanggil untuk menghulurkan sedikit sumbangan kepada penghuni di sini kerana sebahagian daripada mereka hidup dalam kesunyian walaupun ada yang mempunyai anak. "Kehadiran kami adalah untuk melawat dan beramah mesra dengan penghuni di sini. Bagi warga emas yang sedang merindui anak-anak, anggaplah kami sebagai gantinya untuk melepaskan rindu pada anak-anak mereka yang tidak dapat datang," katanya. Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Madya Abdul Aziz Ab. Latif; Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad; Penolong Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Norazaman Ab. Manaf dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1, Nor Zainora Mohd. Ali. Raduan berkata, program tersebut adalah permulaan kepada usaha universiti untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan program melibatkan pelajar dan penghuni rumah perlindungan warga emas berkenaan pada masa akan datang. Katanya, beliau telah meminta pihak universiti untuk mengatur lebih banyak program berkaitan. "Insya-Allah, pelbagai program akan dilakukan secara berterusan dalam apa jua bantuan untuk kita sampaikan kepada mereka. Paling penting mereka dapat rasa kasih sayang yang kita curahkan sebagai ganti kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |