Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 30 Jul 2013 05:57 AM PDT Aidilfitri kali ini bakal menyaksikan pendekatan berbeza daripada TV AlHijrah dengan mengetengahkan tayangan bertaraf antarabangsa serta kupasan ilmiah. Stesen TV itu akan meneruskan tradisi tema Syawal Satu Kemenangan bagi menterjemahkan keindahan dan orientasi program yang menjurus kepada kemenangan selepas melalui Ramadan dengan penuh perjuangan. Bersesuaian dengan masyarakat majmuk di negara ini, TV AlHijrah menghidangkan program Islamik berbentuk universal sesuai untuk tontonan semua bangsa dengan memaparkan Islam sebagai indah dan mudah. Dengan tema Syawal Satu Kemenangan, antara program yang akan ditayangkan sepanjang Aidilfitri nanti ialah Ayat Riwayat Aidilfitri, Dikir Zikir Istanbul, Raihan Easy Listening Indonesia dan Tetamu Masjid. Pengerusi AlHijrah Media Corporation, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor berkata, mereka menerapkan mesej mengeratkan talian persaudaraan sesama insan serta kesederhanaan dalam meraikan sambutan Aidilfitri dalam semua program yang disediakan. Dr Mohd Yusof Noor (tiga dari kiri) bersama Rosyam (dua dari kiri) dan Chef Ammar (kiri) ketika majlis berbuka puasa dan memperkenalkan program TV AlHijrah sempena Aidilfitri, baru-baru ini. SEBAHAGIAN pengacara TV AlHijrah yang hadir. USTAZ Don Danial hadir bersama isteri, Husna Zahry Rafie bakal tampil dalam program 60 Minit Ustaz Don: Mai La Raya pada hari raya ketiga dan keempat.
Seterusnya pada 8 hingga 11 Ogos bermula jam 7 pagi, TV AlHijrah akan menayangkan program Assalamualaikum Aidilfitri iaitu paparan menarik sambutan Aidilfitri di dalam dan luar negara. Ini termasuk Ariana Istimewa Aidilfitri yang bersiaran pada 8 Ogos jam 12.30 tengah hari. Pengumuman mengenai program Aidilfitri itu diadakan pada majlis berbuka puasa stesen TV berkenaan baru-baru ini yang turut disertai selebriti TV AlHijrah seperti Ustaz Don Danial, Chef Ammar, Rosyam Nor dan ramai lagi. Dr Mohd Yusof berkata, antara program lain menarik yang mengisi slot Aidilfitri mereka ialah Soal Wanita Istimewa Aidilfitri yang akan ditayangkan pada 8 dan 9 Ogos, jam 10.30 malam. Paparannya membawa kisah konsep rumah terbuka, menjemput selebriti dan orang ternama untuk berkongsi cerita sambutan perayaan Aidilfitri. Antara tetamu jemputan ialah pelakon Fouziah Gous dan Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Sate Kajang Hj Samuri, Datuk Samuri Juraimi. Soal Wanita turut meraikan 20 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Shifa, Setapak dan episod edisi khas raya ini juga turut menjemput pereka dekorasi antarabangsa, Mohd Azmy Osman dan blogger terkenal, Abil. Tetamu lain ialah pengasas produk Beauty Umairah iaitu Zaiton Hasan atau lebih dikenali sebagai Kak Ton. Dalam pada itu, pada hari raya kedua, ditayangkan pula Soal Wanita Istimewa Aidilfitri yang dihoskan Aimie Sofea, Siti Fazurina dan Lenny Irana dengan tajuk Erti Kemaafan. Program itu turut menjemput pelakon Johan As'ari untuk berkongsi ceritanya mengenai pengertian kemaafan. Turut diundang dalam episod ini artis dan pengacara TV veteran, Wan Chik Daud dan Ustaz Dr Taufik Ismail. Ia diikuti program 60 Minit Ustaz Don: Mai La Raya pada 10 dan 11 Ogos, jam 10.30 malam. Sememangnya tidak lengkap program raya tanpa adanya telefilem raya dan TV AlHijrah turut tidak ketinggalan menayangkannya dengan telefilem berjudul Nur Aidilfitri ditayangkan pada hari raya pertama jam 8.30 malam. Telefilem lakonan Dazrin, Rozliza (Leez AF), Ku Faridah, Datuk Jalaluddin Hassan dan Rozi Othman mengisahkan Datuk Radzi pulang ke Malaysia dan kebetulan kepulangannya itu jatuh pada bulan Ramadan. Anaknya Shahril berasa kekok apabila berpuasa di Malaysia. Satu peristiwa yang membuatkan Shahril berubah apabila melihat tukang kebun kolejnya bekerja di bawah terik matahari. Shahril membatalkan percutiannya ke Bali kerana ingin merasai Aidilfitri di tanah air sendiri dan Datuk Radzi sedar akan kesilapannya. Pada hari raya kedua jam 9 malam pula ditayangkan telefilem berjudul Tibanya Syawal yang mengisahkan pengorbanan seorang ibu tunggal, Safiyah membesarkan tiga anaknya yang masih bersekolah. Safiyah sangat berjimat cermat sehingga anaknya merungut dan merajuk dengannya. Telefilem hebat ini dibintangi Ayu Raudhah, Elysza Loy, Farisya Iris, Adik Haikal Aiman dan Ku Faridah. Sementara itu, telefilem Sirat Al-Mustaqim yang disiarkan pada 12 Ogos, jam 8.30 malam pula mengisahkan Maryam, seorang janda bertekad untuk mengabdikan seluruh jiwa dan raganya hanya untuk anak tunggalnya Adam yang berusia lima tahun. Dalam pada itu, program lain yang bakal ditayangkan ialah filem A Separation (11 Ogos, jam 9 malam), Musikal Dikir Zikir Istanbul (7 Ogos, jam 10.05 malam), Raihan Easy Listening (9 Ogos, jam 11 pagi), Travelodge Ayat Riwayat (8 Ogos, jam 11 pagi), Tetamu Masjid (8 Ogos, jam 12 tengah hari), Chef Amar Aidilfitri (9 Ogos, jam 10.05 pagi), Hidangan Barakah Aidilfitri (8 Ogos, jam 10.05 pagi), Kapsul Zon Aulad Syawal (8-18 Ogos, jam 10 pagi) dan Dan Den Don Istimewa Aidilfitri (8 Ogos, jam 3.35 petang). Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31 |
Posted: 30 Jul 2013 05:46 AM PDT "Ia hadiah paling bermakna untuk saya pada ulang tahun ke-45 ini. Saya bagaikan tidak percaya, Allah SWT memberikan hadiah sehebat ini kepada saya. Lebih-lebih lagi, ia berlaku pada Ramadan yang mulia ini," kata pembaca berita terkenal, Ras Adiba Radzi yang bernikah kali kedua pada ulang tahun kelahirannya dengan rakan sekolah, Ilias Yaakop, 45, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya Sabtu lalu. Apa yang pasti, selepas 14 tahun hidup menyendiri apabila rumah tangga terdahulunya runtuh di tengah jalan, Ras Adiba yang juga mesra dengan panggilan Deeb nyata tak pernah gentar untuk menerima cinta daripada seorang lelaki. Yakin dengan takdir ditetapkan Allah SWT buatnya, Deeb akhirnya bertemu jodoh dengan kenalan lama yang juga rakan sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John's Institution, Kuala Lumpur itu. Ilias menyarung cincin ke jari manis Deeb. PASANGAN pengantin miliki sifat penyayang. PENGANTIN bersama keluarga dan tetamu VIP.
Dalam majlis itu, Deeb menerima mas kahwin RM99 dan wang hantaran berjumlah RM10,000. Tidak ketinggalan, pada majlis itu juga pengantin lelaki membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan. Segak dan menawan menggayakan busana sedondon berwarna putih krim, majlis ringkas, tetapi meriah itu cukup bermakna buat Deeb kerana ia juga bersamaan dengan tarikh ulang tahun kelahirannya. "Saya amat bersyukur dengan nikmat terindah daripada Allah SWT ini. Ilias kini sah menjadi suami saya yang akan menjadi pembimbing dan teman dalam hidup ini," katanya. Menyentuh mengenai perkenalan mereka, semuanya berlaku empat bulan lalu ketika Deeb hadir pada majlis perjumpaan semula atau reunion pelajar sesi 1985 sekolah mereka yang diadakan pada 3 April lalu. "Pada majlis yang berlangsung di kantin sekolah itu, kami hanya bertentangan mata. Namun tak terfikir pula bahawa wujudnya bibit-bibit cinta. Apatah lagi, saya sudah 14 tahun hidup sendiri, manakala Ilias pula baru mengalami kegagalan dalam mempertahankan perkahwinan dibinanya selama 17 tahun. "Jadi, sudah tentu kepedihan menyakitkan itu masih amat dirasakan Ilias lagi. Justeru, adalah mustahil untuk dia menjalinkan hubungan baru dengan mudah dan dalam tempoh singkat," katanya. Sememangnya jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Ilahi, siapa sangka dalam tempoh dua bulan berkasih, Ilias dengan berani menyuarakan perasaan hatinya Apapun, menyorot rentetan kisah lalu Deeb dan Ilias, sebenarnya pernah bersekolah tadika berdekatan di Keramat, Kuala Lumpur ketika zaman kanak-kanak mereka. Namun masing-masing tidak pernah bertemu di antara satu sama lain. Begitu juga, ketika remaja apabila mereka turut memiliki minat dalam sukan yang sama serta menjadi wakil sekolah. Bagaimanapun, apabila dewasa dan masing-masing meluangkan masa menghadiri majlis reunion pelajar sekolah mereka, ia menjadi medan perkenalan seterusnya membawa ke fasa lebih jauh iaitu percintaan dan gerbang perkahwinan. Sementara itu, Ilias yang juga penasihat kewangan berkata, dia menerima Deeb seadanya kerana wanita itu seorang yang penyayang, baik hati dan merendah diri. "Saya tak kisah dengan keadaan Deeb yang terpaksa berkerusi roda. Saya menerima kehadiran Deeb dengan sepenuh hati kerana setiap manusia ada keistimewaan dan kekurangannya," katanya. Ilias berkata, walaupun mereka pernah bersekolah di sekolah yang sama, dia tidak pernah mengenali Deeb. Malah, perkenalannya dengan Deeb hanya berlaku ketika majlis reunion itu. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |