Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
- Berbuka puasa bersama pelancong
- Dana pendidikan untuk kanak-kanak Gaza
- Keunikan air terjun dalam gua
Berbuka puasa bersama pelancong Posted: Berbuka puasa bersama pelancongOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA MENJELANG Ramadan saban tahun, Rizwan Namaji, 33, bersama isterinya, Shabana Namaji, 32, pasti menjadikan bulan yang penuh keberkatan itu sebagai masa untuk mereka bercuti. Pasangan dari England, United Kingdom itu ke luar negara pada setiap bulan Ramadan sebagai cara mereka untuk merasai pengalaman berpuasa di negara orang. Mereka juga amat teruja melihat perbezaan budaya di setiap negara yang dikunjungi dan pada masa yang sama cuba menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat. Emiriyah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Mesir merupakan negara yang pernah dikunjungi pasangan itu ketika bulan Ramadan pada tahun-tahun yang lalu. Pada tahun ini, mereka memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi percutian dan merasai pengalaman berpuasa selama 11 hari di ibu negara. Pada hari kedua percutian mereka, 14 Julai lalu, mereka ternyata teruja kerana berpeluang berbuka puasa di tengah-tengah jalan raya iaitu di Jalan Raja, berhadapan dengan Dataran Merdeka bersama-sama dengan ratusan rakyat Malaysia yang lain sempena Festival Ramadan. Menurut Shabana, risalah mengenai Festival Ramadan yang dibacanya di hotel penginapan telah memberi idea kepada mereka untuk hadir ke Dataran Merdeka bagi merasai pengalaman berbuka puasa buat kali pertama di bumi Malaysia. "Walaupun berbuka puasa di atas jalan raya, saya rasakan ia satu pengalaman yang unik. Idea ini berbeza dengan kebanyakan negara yang pernah kami lawati. Makanan yang disediakan juga ringkas tetapi cukup untuk juadah iftar kami," ujar Shabana. Ceritanya, suasana berbuka puasa secara beramai-ramai di Dataran Merdeka itu ternyata berbeza dengan keadaan sewaktu menikmati iftar secara beramai-ramai di negara Asia Barat. "Suasana berbuka puasa di Arab Saudi amat sibuk dan sesak. Majlis iftar di sana disertai oleh beribu-ribu umat Islam. Keadaan itu membuatkan majlis itu sedikit kelam-kabut. Tetapi saya tidak melihat keadaan itu pada festival ini. ORANG ramai mula memenuhi setiap ruang di tengah Jalan Raja pada pukul 7 malam. "Penganjuran majlis iftar di sini teratur. Selain itu, saya juga melihat pelancong bukan Islam turut dialu-alukan menyertai majlis ini," ujar pengurus di sebuah syarikat swasta itu. Melalui Festival Ramadan, Shabana dan suaminya dapat mengetahui serba sedikit tentang budaya masyarakat Islam di Malaysia. Festival kali kedua Shabana merupakan antara ratusan pelancong yang hadir ke program Jom Buka Puasa sempena Festival Ramadan. Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu mempunyai pengisian berbeza pada setiap hari Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan. Ia juga salah satu daya tarikan kepada pelancong untuk menikmati juadah iftar secara percuma. Tampil dengan tema Tangan Yang Memberi Lebih Baik Daripada Yang Menerima, festival itu bertujuan menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk kegiatan kerohanian dan kesenian Islam agar dapat dihayati oleh generasi muda. Pengarah Bahagian Pengembangan Budaya JKKN, Rosnan Nordin, 48, memberitahu, penganjuran festival itu merupakan salah satu cara untuk menjadikan ibu kota sebagai destinasi pelancong pada bulan Ramadan. Menurutnya, budaya seperti itu sering disaksikan di bandar-bandar di negara Arab. "Festival Ramadan tahun ini merupakan penganjuran edisi kedua selepas kejayaan festival tersebut pada tahun lalu yang telah menarik kira-kira satu juta pengunjung dalam kesemua aktiviti. Di ibu kota, festival ini adalah acara pertama yang mengajak orang awam berbuka di atas jalan raya secara beramai-ramai. "Pendekatan dengan memberi juadah berbuka secara percuma kepada orang ramai merupakan cara untuk mempromosikan budaya bersedekah di negara kita," katanya ketika ditemui Kosmo! pada program Jom Buka Puasa baru-baru ini. Tambahnya, selain Jom Buka Puasa, pengisian lain festival itu ialah pertandingan nasyid dan marhaban, tadarus al-Quran, ziarah sahur, peragaan busana Muslimah, kem remaja Ramadan serta pertandingan mencipta lagu nasyid dan lagu hari raya. Festival tersebut ternyata menarik minat penduduk ibu kota untuk bersantai-santai sementara menunggu waktu berbuka. Menariknya, penganjuran Festival Ramadan pada tahun lalu telah berjaya mengumpul pengikut tersendiri. Arifin Saad, 62, merupakan antara insan yang menunggu ketibaan festival tersebut pada tahun ini kerana telah menghadiri program Jom Buka Puasa pada tahun lalu. JUADAH iftar yang disediakan oleh pihak JKKN mencukupi untuk semua pengunjung yang hadir ke program Jom Buka Puasa pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan. Menurutnya, pada Ramadan tahun lalu, dia bersama isteri dan anaknya pasti ke Dataran Merdeka untuk berbuka puasa pada hari Sabtu dan Ahad setiap minggu. "Selain daripada menikmati juadah bubur lambuk Kampung Baru, kurma dan kuih-muih, saya juga membawa bekalan yang dimasak di rumah. Berdasarkan pengalaman tahun lalu, saya menyukai suasana berbuka puasa di sini. "Pihak penganjur juga menyediakan kelengkapan yang sempurna terutamanya khemah untuk pengunjung menunaikan solat," ujarnya yang berasal dari Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Sebelum berbuka puasa, tazkirah oleh penceramah dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran merupakan acara wajib sepanjang festival tersebut. Sementara itu, seorang pelancong dari Washington, Amerika Syarikat, Alexander Miller, 22, memberitahu, kunjungannya ke festival itu adalah untuk menikmati iftar secara tidak sengaja apabila ada individu menjemput mereka sewaktu bersiar-siar di sekitar Dataran Merdeka. "Saya mengetahui sedikit asas mengenai Ramadan. Ketika berada di sini, saya sering bertanya kepada seorang rakan rakyat Malaysia mengenai apa yang ada dalam festival ini. Ia secara tidak langsung memberi satu pengalaman baharu kepada saya. "Sepanjang seminggu kami berada di sini, saya melihat Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai juadah makanan. "Pada majlis berbuka puasa di atas jalan raya ini, saya melihat hanya makanan asas yang disediakan. "Saya dapat merasakan bahawa ini merupakan budaya sebenar umat Islam," ujarnya yang datang melancong di ibu negara bersama tiga orang rakannya dan seorang sahabat yang dikenalinya di Malaysia. |
Dana pendidikan untuk kanak-kanak Gaza Posted: Dana pendidikan untuk kanak-kanak GazaOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA AHMED (dua dari kiri) menceritakan pengalamannya menghadapi serangan tentera Israel pada peperangan al-Furqan kira-kira lima tahun lalu. SUASANA majlis pelancaran Program Pengumpulan Dana Sekolah Anak-Anak Yatim as-Solah di Gaza, Palestin bertukar sayu tatkala seorang pelajarnya, Ahmed Hamad, 17, menceritakan kisah dirinya sewaktu perang al-Furqan yang dicetuskan oleh Israel ke atas Palestin pada 27 Disember 2008. Semasa kejadian, Ahmad masih seorang kanak-kanak. Dia hanya mampu menangis melihat kesengsaraan dan kematian rakyat kota Gaza akibat dibom serta diroket tentera Yahudi. Selepas perang itu berakhir, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat dan masih hidup hingga hari ini. Baru-baru ini, Ahmed berkunjung ke Malaysia untuk menyertai pertandingan debat antarabangsa peringkat sekolah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur bersama dua rakan sebayanya, Musbah Almadhoun dan Ahmed Darwish. Rombongan tiga pelajar itu diketuai oleh Pengetua as-Solah, Ismail Alsarraj, 40. Mereka juga merupakan tetamu khas yang dibawa oleh Al-I'tisam Relief Programme (ARP) ke Malaysia untuk mengumpul dana bagi pembinaan dan penambahbaikan kemudahan di sekolah mereka. Tiada punca pendapatan Menurut Ismail, pihaknya memerlukan dana untuk menambah baik makmal teknologi sains dan matematik, perpustakaan serta peralatan gimnasium. "Makmal tersebut adalah bagi kegunaan 673 pelajar. Kemudahan dan peralatan di sekolah itu dibiayai 100 peratus oleh sumber daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar Gaza dan salah satunya ialah Malaysia," ujarnya ketika ditemui Kosmo!. KANAK-KANAK Gaza ini mendapat pelajaran formal secara percuma di Sekolah as-Solah. Dana itu juga digunakan untuk keperluan Sekolah as-Sayida Khadija yang menempatkan pelajar perempuan. Kedua-dua sekolah itu mempunyai pelajar daripada darjah tiga hingga 12. ARP merupakan wakil rakan kerjasama sebuah NGO dari Gaza iaitu Persatuan Rumah Anak-Anak Yatim Palestin (Poha) yang membantu mengutip dana untuk sekolah itu di Malaysia. Menurut Penyelaras Projek ARP, Mohd. Shah Sapiei, 56, pengumpulan dana untuk sekolah tersebut merupakan salah satu program kempen Stand Up For Gaza. "Dana itu bertujuan membantu pelajaran kanak-kanak di sana. Sukatan pelajaran dan kelengkapan sekolah disediakan secara percuma. "Usaha ini mampu memberi harapan kepada kanak-kanak Gaza sekali gus mengembalikan semangat mereka untuk meneruskan pengajian," ujarnya. |
Posted: Keunikan air terjun dalam guaPEMANDANGAN di Tannourine sungguh menakjubkan terutama pada musim salji cair pada bulan Mac dan April. BERIADAH bersama rakan atau ahli keluarga ke kawasan air terjun pasti meninggalkan kenangan indah. Kesejukan dan deruan air terjun membuatkan percutian tersebut terasa amat menenangkan. Selain mandi-manda, aktiviti menarik lain yang boleh dilakukan adalah membuat barbeku. Selepas puas berendam, perut yang kosong pasti 'gembira' apabila diisi dengan ikan, udang atau sotong bakar. Bagaimanapun, jika berkunjung ke Air Terjun Bataara Gorge yang terletak di Kampung Balaa iaitu di antara bandar Laqlouq dan Tannourine di Lebanon, anda pasti terpesona dengan keunikannya. Air terjun setinggi 255 meter itu sangat cantik, malah ia mengalir memasuki gaung gua batu kapur yang berusia lebih 160 juta tahun. Gua yang dimaksudkan ialah Gua Baatara yang menjadi destinasi utama pengembara yang mendaki Gunung Lebanon. Ia ditemui ahli speleologi Perancis, Henri Coiffait pada tahun 1952 dan dipetakan sepenuhnya pada tahun 1980-an oleh Kelab Speleo du Liban. Masa terbaik untuk mendaki Hutan Simpan Tannourine Cedar untuk ke air terjun itu ialah pada musim bunga dan awal musim panas. Terdapat banyak bunga liar berkembang mekar memenuhi kawasan tersebut sepanjang tempoh berkenaan. Pendakian di hutan simpan tersebut merupakan sebahagian daripada laluan Gunung Lebanon yang digunakan oleh pengembara lasak bagi menuju ke kawasan Air Terjun Baatara Gorge. TIADA peralatan keselamatan dipasang di Baatara Gorge kerana dikhuatiri merosakkan landskap kawasan tersebut. Malangnya, air terjun tersebut hanya boleh dilihat sewaktu salji melebur dan cair pada bulan Mac dan April. Namun, pengunjung boleh melihat kelainan pada jambatan semula jadi yang terbentuk di air terjun tersebut. Jambatan itu kelihatan seperti tiga tingkat iaitu ia berada di atas satu jambatan lain. Ia kelihatan seperti sebuah jurang tergantung di pergunungan Lebanon. Perkhidmatan kereta sewa Walaupun tanda amaran yang melarang pengunjung memanjat di kawasan curam dan licin diletakkan, pengunjung pasti tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat secara dekat air terjun di dalam gua tersebut. Pemasangan peralatan keselamatan untuk aktiviti mendaki di situ pernah dipertimbangkan tetapi tidak diluluskan oleh pihak berkuasa kerana dikhuatiri akan mengganggu keindahan semula jadi kawasan berkenaan. Ekoran keajaiban itu, ia turut dikenali dengan tiga nama lain iaitu Gua Tiga Jambatan, Jurang Tiga Jambatan dan Lubang Dalam Dinding. Prihatin dengan kehendak pelancong dalam negara dan antarabangsa yang gemar memandu ketika mengembara, perkhidmatan kereta sewa disediakan. Jika anda ingin menyewa sebuah kereta jenama Mercedes di Beirut, anda hanya perlu membuat satu panggilan dan kereta tersebut akan dihantar terus ke lokasi anda berada. Harga penginapan di hotel-hotel di bandar Tannourine bernilai sekitar RM127 hingga RM383 semalam. Kedudukan hotel-hotel tersebut kira-kira 35 kilometer dari Air Terjun Baatara Gorge. Antara hotel tersebut ialah Hotel Chbat, Bauhaus, Hostel Palace Bsharry, L'Auberge Des Cedres, L'Aiglon Bcharre dan La Grande Ourse. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |