{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Hobi bertukar perniagaan

Posted:

Hobi bertukar perniagaan

Hobi bertukar perniagaan

MEMELIHARA ikan hiasan untuk dijual bukanlah sesuatu yang asing lagi kepada penduduk di negara ini.

Namun, ramai yang tidak mengetahui selain ikan, memelihara udang juga boleh menjadi hobi yang menarik dan mampu memberikan pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya.

Daya tarikan itu telah mendorong Mohd. Fazuli Ismail, 31, untuk meneroka lebih jauh lagi dalam industri yang sudah terkenal di negara seperti China, Thailand dan India tetapi masih kurang dikenali di Malaysia.

Menurutnya, hobi baharunya itu bermula sekitar dua tahun lalu ketika melayari internet untuk mencari maklumat mengenai ikan hiasan galaxy.

"Saya sememangnya mempunyai hobi membela ikan hiasan dan secara tidak sengaja saya terbaca mengenai pemeliharaan udang hiasan yang semakin popular di beberapa buah negara.

"Bermula dari situ, saya menimba pengetahuan mengenai udang hiasan dan saya tidak menyangka haiwan itu boleh dibela sama seperti ikan.

"Saya bertanya kepada peniaga-peniaga di beberapa buah kedai akuarium tetapi majoritinya menyatakan mereka tidak menjual udang jenis tersebut melainkan udang yang dijual untuk dijadikan umpan memancing ikan.

"Saya tertarik untuk memelihara udang hiasan ini kerana ia merupakan satu perniagaan baharu di Malaysia yang sangat unik," tambahnya yang mendapat sokongan penuh daripada isterinya, Noor Asmawati Ismail, 31.


MOHD. FAZULI menggunakan media sosial untuk memudahkan proses jual beli udang hiasan.


Menurut Mohd. Fazuli, perniagaan itu unik kerana terdapat pelbagai spesies udang hiasan yang mempunyai pelbagai warna menarik seperti merah, biru dan kuning.

"Selepas membaca mengenainya, saya agak terkejut apabila mengetahui terdapat spesies udang hiasan yang dijual pada harga RM4,000 seekor," ujarnya.

Pemuda itu berkata, secara kebetulan, dia mempunyai rakan yang mengenali seorang pengusaha udang hiasan dari Singapura yang mendapat bekalan haiwan tersebut dari Taiwan. Menurutnya, dia kemudian membeli 10 ekor udang hiasan.

Setiap seekor udang itu, katanya, berharga RM2.

Mohd. Fazuli berkata, dia meletakkan udang tersebut di dalam sebuah akuarium.

"Saya belajar cara untuk membela udang hiasan ini berpandukan tunjuk ajar daripada pengusaha tersebut.

"Entah di mana silapnya, kesemua udang yang dibela itu mati begitu sahaja. Namun, kegagalan itu langsung tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba sehingga berjaya.

"Jika orang lain, pasti sudah mengalah apabila tidak berjaya pada peringkat permulaan. Bagaimanapun, saya terus berusaha dan selepas lebih 10 kali melakukan percubaan, akhirnya saya berjaya juga membela udang hiasan yang dikenali sebagai udang ceri.

"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadikan hobi ini sebagai sumber pendapatan.

"Namun, apabila bilangan udang hiasan ini bertambah, saya menawarkannya kepada rakan-rakan yang berminat membelanya. Saya tidak sangka pertaan terhadap udang hiasan ini sangat menggalakkan," jelasnya yang bertugas dengan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Ujar Mohd. Fazuli, pada mulanya dia memelihara udang hiasan yang mempunyai pelbagai warna sebagai hobi.

Hobi itu, katanya, kemudian bertukar menjadi perniagaan apabila rakan-rakannya meminta dia menjual hidupan tersebut.

"Saya turut memberi tunjuk ajar kepada rakan-rakan mengenai cara untuk memelihara udang hiasan ini supaya tidak mati. Sebenarnya, ia lebih mudah dipelihara berbanding ikan hiasan.

"Keadaan itu berlaku kerana kita tidak perlu menukar air di dalam akuarium dengan kerap. Sebaliknya, kita hanya perlu menambahkan sahaja kuantiti air. Saya membersihkan akuarium sebulan sekali.

"Terdapat cara untuk memelihara udang hiasan ini. Saya hanya membuat rujukan di internet serta bertanya kepada mereka yang pernah membelanya," katanya yang memelihara udang hiasan itu di dalam 10 buah akuarium mengikut warna udang.

Jelas Mohd. Fazuli, suhu di dalam akuarium udang hiasan mesti tidak melebihi 28 darjah Celsius bagi mengelakkan haiwan itu mati kepanasan.

"Suhu bilik sangat tidak sesuai untuk memelihara udang hiasan. Justeru, saya menggunakan penyejuk air atau kipas akuarium untuk memastikan ia berada pada paras suhu yang sesuai.

Suhu


TIDAK ramai peniaga di Malaysia yang menjual udang hiasan.


Warna

"Sebenarnya, udang hiasan boleh memakan apa jua makanan. Semasa mula-mula memeliharanya, saya memberikannya timun selain sayur yang dicelur terlebih dahulu seperti lobak merah serta bayam.

"Namun, kini, saya memberi haiwan itu barli bagi menjaga kualiti dan kecantikan kulitnya. Setakat ini, saya memelihara dua jenis udang hiasan sahaja iaitu neo caridina dan caridina," ujarnya yang kini menggunakan khidmat ejen dari Pulau Pinang bagi mendapatkan bekalan udang hiasan secara terus dari Taiwan.

Dia berkata, harga udang hiasan itu ditentukan mengikut jenis dan warna.

Menurutnya, jika warna udang itu lebih terang serta berkilat, harganya lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.

Mohd. Fazuli berkata, dia pernah menjual udang hiasan pada harga RM180 seekor. Dia memberitahu, saiz udang hiasan itu pula berukuran 1 sentimeter (sm) hingga 5sm dengan jangka hayatnya kurang dua tahun.

"Ia akan bertelur setiap dua bulan sekali dan seekor udang hiasan betina boleh menghasilkan antara 30 hingga 40 biji telur.

"Haiwan itu tidak boleh bercampur dengan udang yang berwarna lain.

"Ia kerana kemungkinan anak yang dihasilkan tidak akan mempunyai warna jika haiwan itu bercampur dengan udang yang mempunyai warna lain," katanya.

Dia berkata, kualiti udang hiasan itu ditentukan oleh kepekatan warna dan kilatan haiwan tersebut.

"Setakat ini, saya pernah memelihara udang hiasan yang dikenali sebagai red fire selama satu tahun sebelum menjualnya kepada pelanggan.

"Ekoran jangka hayat haiwan itu pendek, saya akan menjualnya sebelum ia mati. Jika tidak menjualnya, segala usaha saya menjaganya akan menjadi sia-sia.

"Udang hiasan ini tidak boleh terdedah kepada penyembur serangga kerana ia boleh menyebabkannya mati.

"Sudah dua kali saya mengalami kejadian seperti itu. Dalam kejadian pertama, saya menggunakan penyembur serangga ketika bermain komputer di rumah.

"Kejadian kedua pula berlaku apabila semburan kabut dilakukan secara besar-besaran di kawasan perumahan saya ini.

"Kira-kira 100 ekor udang hiasan saya mati disebabkan racun serangga itu. Sejak itu, saya mula berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang lagi," ceritanya. Dia memberitahu, ukuran keasidan (pH) air juga perlu dijaga.

Menurutnya, kadar pH yang ditetapkan adalah di antara enam hingga tujuh bagi mengelakkan haiwan itu mati.


AKSESORI di dalam akuarium udang hiasan sama seperti yang digunakan untuk memelihara ikan hiasan.


Penyembur serangga

Ujarnya, dia kini menjadi pembekal udang hiasan ke kedai-kedai akuarium.

"Selain melihat udang hiasan yang saya miliki di Facebook, pelanggan juga boleh melayari laman web, www.onestopshrimpcenter.com.my bagi mendapatkan keterangan lanjut.

"Saya menggunakan media sosial sebagai medium promosi kerana ia lebih mudah serta menjimatkan kos," katanya yang berasal dari Johor Bahru.

Menurutnya, proses jual beli menjadi lebih mudah kerana para pelanggan sama ada dari dalam atau luar negara hanya perlu memilih udang pilihan mereka menerusi Facebook.

Selepas pelanggan menjelaskan bayaran, katanya, dia akan menghantar haiwan itu menerusi pos.

"Saya sering menyertai forum di laman web Malaysian Aquatic Community bagi bertukar-tukar pendapat mengenai perniagaan yang dijalankan.

"Saya juga merancang mahu membuka sebuah kedai menjual udang hiasan supaya urusan jual beli menjadi lebih lancar dan memudahkan pelanggan untuk membuat pilihan.

"Kewujudan sebuah galeri udang hiasan juga merupakan salah satu impian saya," jelasnya yang akan memperbaharui bekalan setiap tiga bulan.

Perahu kolek berwarna-warni

Posted:

Perahu kolek berwarna-warni

Perahu kolek berwarna-warni


PERAHU berwarna-warni yang berlabuh di tebing tali air Kampung Pulau Gajah menjadi tarikan pelancongan.


BUNYI pesawat yang memecah sunyi seakan-akan tidak dihiraukan orang ramai yang mundar-mandir di sekitar tali air Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kelantan ini.

Sebahagiannya sibuk bergelumang dengan hidupan laut segar manakala yang lain pula ralit menjadi sang penonton.

Tatkala Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara meningkat naik baru-baru ini apabila alam kelabu dilitupi jerebu, penulis bersama jurugambar Irwan Majid terpesona dengan warna-warni kehidupan di kampung agak terpencil ini yang terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Meskipun dikatakan tidak lagi seindah dulu apabila perahu-perahu kolek yang berwarna-warni berlabuh di tepi Pantai Sabak yang pasirnya memutih, pemandangan yang sedang disaksikan di tali air buatan ini juga mempunyai keunikannya yang tersendiri.

Sebuah tali air sepanjang kira-kira 200 meter yang menghubungkan sungai itu merupakan pangkalan untuk perahu-perahu kolek yang dicat dengan pelbagai warna milik nelayan di kampung ini mencari rezeki di samudera.

Sebahagian perahu kolek itu mengandungi berbagai-bagai bentuk ukiran.

Biasan bebayang di air tenang dan puluhan perahu itu membuatkan pemandangan kelihatan amat mengasyikkan.

Bunga seri pagi yang tumbuh melata di atas tebing dan kehadiran sangkar-sangkar burung candik mampu mencetuskan aura kedamaian.

Bukan sesuatu yang menghairankan apabila terdapat kelibat beberapa pelancong asing membawa kamera di penempatan ini.

Ada antara mereka yang duduk di satu sudut sambil melukis manakala sebahagian lain mengamati perahu yang dicat dengan warna-warna terang.

Terdapat juga pelancong asing yang asyik melihat suasana kehidupan komuniti nelayan di sini.


PANTANG bagi nelayan di sini memasuki perahu dengan memakai kasut. Mereka mesti berkaki ayam.


Semasa kunjungan penulis dan jurugambar baru-baru ini, terdapat sepasang pelancong asing tidak mahu melepaskan peluang untuk mengabadikan pemandangan di kampung ini dengan lensa kamera.

Sebenarnya, Kampung Pulau Gajah merupakan sebuah penempatan baharu.

Rata-rata penduduknya datang dari perkampungan berhampiran Pantai Sabak yang dipindahkan secara berperingkat-peringkat kerana ancaman hakisan ombak yang 'menghilangkan' rumah-rumah mereka.

Biarpun begitu, gaya hidup atau benih-benih tradisi yang ditanam nenek moyang mereka di Pantai Sabak dahulu masih terus subur.

Perahu yang dicat dengan variasi warna sudah diamalkan oleh nelayan-nelayan di sini sejak zaman-berzaman.

Tidak cukup dengan itu, ia turut dipasang bendera-bendera yang beraneka warna.

Seorang nelayan, Mat Wi Mat, 49, memiliki sebuah perahu yang mempunyai warna biru dan merah jambu.

Dia berkata, perahu kolek itu dicat dengan pelbagai warna sama seperti yang dilakukan oleh bapanya dahulu di Pantai Sabak.

"Nelayan-nelayan di Pantai Sabak dahulu sukakan perahu-perahu yang dicat berwarna-warni kerana bagi mereka, ia akan menarik perhatian ikan-ikan," katanya yang ramah diwawancara penulis walaupun dia baru pulang dari menangkap ikan di laut.

Barangkali kata-katanya itu dapat memberi jawapan mengapa nelayan-nelayan di sini memakai baju-baju berwarna terang dan berwarna-warni ketika pulang daripada menangkap ikan.

Mat Wi yang berpindah dari Pantai Sabak ke sini ketika berusia 30 tahun berkata, tapak asal kampung ini ialah sungai yang kemudian dikambus pasir pantai untuk dijadikan penempatan baharu.

"Muara tidak jauh, dalam tempoh lima minit kami boleh sampai dengan menggunakan perahu kolek yang kini berkuasa enjin.

"Cuma untuk tiba ke laut, ia mengambil masa antara satu jam setengah sehingga dua jam," katanya yang menyifatkan musim tengkujuh sebagai waktu untuk nelayan mengecat dan mencantikkan perahu mereka.

Ditanya tentang pantang larang yang diamalkan nelayan di sini, Mat Wi dengan pantas berkata:

"Tak boleh pakai selipar dalam perahu.

"Itu (memakai selipar) tidak hormat (pada perahu). Perahu itu kami gunakan untuk mencari rezeki, jadi kena beradab. Perahu itu macam rumah," katanya.

Lelaki itu berkata, mereka juga dilarang duduk membelakangkan bahagian hadapan perahu atau berpaling semasa meninggalkan pangkalan.


SALAH satu ukiran bercorak-corak yang terdapat pada badan sebuah perahu.


Pemilik-pemilik perahu yang lebih menggemari seni ukiran dan corak, mereka mungkin perlu mengeluarkan wang untuk mengupah pengukir termasuk dari Narathiwat, Thailand.

"Upah mengecat perahu sahaja yang mengandungi pelbagai corak adalah sebanyak RM1,000, kalau disertai ukiran ia boleh mencecah RM3,000.

"Mereka (pengukir-pengukir dari Narathiwat) boleh datang bila kita panggil, empat jam pun sahaja ke sini.

"Tidak ada apa yang pelik, sebab ramai antara kami turut mempunyai saudara-mara di sana (Narathiwat) yang terpisah semasa pendudukan Jepun," katanya.

Seorang nelayan yang juga pengukir perahu tempatan, Zulkarnain Hasin, 50, berkata, dia memperoleh pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk membaiki atau mengukir perahu pada musim tengkujuh.

"Antara Disember hingga Februari, ketika musim tengkujuh, saya membuat kerja-kerja membaiki atau mengukir perahu.

"Ada yang mengambil masa sehingga seminggu dan ada yang sampai setengah bulan (untuk membaiki perahu).

"Ukiran yang paling mendapat banyak tempahan dan menjadi kesukaan ramai ialah naga dan burung yang diukir pada bahagian tertentu perahu," katanya.

Petani 92 tahun berkahwin gadis 22 tahun

Posted:

Petani 92 tahun berkahwin gadis 22 tahun

Petani 92 tahun berkahwin gadis 22 tahun


MUSALI duduk bersama Muna (tiga dari kiri), cucu lelakinya (kiri) dan seorang isteri kepada cucunya pada majlis perkahwinan itu.


PERCINTAAN tidak mengenal usia tua dan muda. Ungkapan itu amat tepat buat seorang petani Iraq yang berusia 92 tahun, Musali Mohammed al-Mujamaie.

Petani yang tinggal di sebuah kampung di utara Baghdad itu akhirnya menemui jodoh dengan seorang gadis berusia 22 tahun.

Majlis perkahwinan Musali dengan gadis pilihannya itu, Muna Mukhlif al-Juburi itu diadakan pada malam Khamis lalu.

Persandingan antara Musali dan Muna itu diadakan di rumah petani tersebut di Kampung Gubban, selatan bandar Samarra.

Majlis itu turut dimeriahkan oleh dua cucu lelakinya yang juga melangsungkan perkahwinan pada hari yang sama.

Isteri pertama petani itu meninggal dunia tiga tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga dengannya selama 58 tahun.

Musali dan isterinya itu mempunyai 16 orang anak.

"Saya berasa gembira untuk berkahwin dalam majlis perkahwinan bersama-sama dengan dua cucu lelaki saya," kata Musali kepada agensi berita AFP kelmarin.

"Saya seperti berumur 20 tahun," tambah petani tersebut.

Musali menyatakan, sebelum ini majlis perkahwinan dua cucunya itu terpaksa ditangguhkan manakala majlis perkahwinannya dengan gadis tersebut sedang dalam perancangan.

Justeru, katanya, keputusan kemudian dibuat supaya kedua-dua cucunya itu turut berkongsi majlis perkahwinan dengannya.

Dua cucu lelakinya itu masing-masing berusia 16 dan 17 tahun.

Majlis perkahwinan itu diadakan dalam tempoh empat jam.

Persembahan tarian, muzik dan beberapa das tembakan dilepaskan ke udara bagi memeriahkan majlis perkahwinan itu.

Majlis perkahwinan itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin keagamaan dan penduduk suku kaum di kampung tersebut.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat