Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 03 Jul 2013 12:47 AM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL JANGAN pandang Syafiqah Ishak, 26, sebelah mata. Walaupun muda, bertubuh kecil molek, Syafiqah bukan calang-calang orangnya kerana sangat komited dan sarat ilmu di dada. Tidak keterlaluan jika dia dijadikan ikon remaja perempuan lain kerana memiliki keyakinan diri yang begitu tinggi, ditambah pula kelayakan yang jarang ada pada gadis seusianya. Dia juga boleh dikategorikan sebagai golongan yang berjaya pada usia muda. Memang diakui jarang menemukan gadis yang begitu berani mencabar diri dengan pelbagai bidang baru. Apatah lagi bidang tersebut memerlukan interaksi dengan orang ramai serta memikul amanah dan tanggung jawab yang agak besar. Namun tiada apa yang mustahil bagi gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah yang selesa membahasakan dirinya sebagai Ika ini. Bertemu gadis sepertinya bukan sahaja mampu mengubah paradigma malah terbit rasa hormat dan kagum pada keazaman serta kesungguhan yang ada dalam dirinya. Ika kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah (PhD.) dalam jurusan pemasaran di Asia e University di Kuala Lumpur. Sebelum ini dia pernah menjadi Pensyarah Pemasaran di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Perak, mempunyai perniagaan sendiri di bawah syarikat Syana Marketing, memiliki produk kecantikan sendiri, BeauSis Cosmetics dan mengusahakan salon kecantikan bersama ibunya, Sairana Bandari, 53. Tidak cukup dengan itu dia juga menjadi perancang majlis besar antaranya pertandingan Miss Malaysia/Universe, Miss Malaysia/Tourism selama dua tahun berturut-turut. Malah, Syana Marketing & Event merupakan syarikat yang bertanggung jawab membawa masuk beberapa artis K-Pop ke negara ini untuk bertemu ramai peminat di Malaysia. "Semuanya saya lakukan kerana minat yang tinggi. Bila ada minat saya akan berusaha mencari jalan untuk merealisasikannya," kata Ika yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Ika turut memastikan setiap bidang yang diceburi itu bukan sekadar mencuba malah dimulakan dengan mendapatkan ilmu secukupnya. Ini kerana baginya, penguasaan pada sesuatu bidang itu sangat perlu. "Saya memang suka meneroka bidang baru. Sukan ekstrem juga menjadi pilihan saya. Jangan tak tahu, saya pernah menjadi pemain bola sepak wanita ketika di bangku sekolah dan memiliki tali pinggang hitam dalam taekwando. "Semua ini adalah kepuasan saya dan tak semua orang boleh melakukan. Bagi saya pembahagian masa itu amat penting," katanya. Dalam pada itu, Ika juga suka memberi motivasi kepada para pelajar untuk memanfaatkan masa yang ada dengan pelbagai aktiviti. Dia juga tidak gemar pada mereka yang membazir masa kerana masa akan berlalu begitu sahaja. "Perlu hargai peluang yang datang di depan mata. Bagi saya, 24 jam sehari yang Allah beri pada kita memang cukup untuk merangka apa yang kita hendak buat," jelasnya yang turut terlibat dalam melatih peserta ratu cantik untuk beraksi di pentas. Bercerita tentang kerjayanya, kata Ika, kenangan manis yang sukar dilupakan ialah apabila dia memasuki bilik mesyuarat untuk penganjuran satu majlis besar. Ramai mata memandang dirinya atas ke bawah kerana tidak percaya gadis muda dan kecil sepertinya mampu memikul tugasan tersebut. "Orang nampak saya macam budak-budak. Awalnya hanya 30 peratus sahaja orang luar yang percaya kebolehan saya. "Begitupun setelah saya buktikan dengan kejayaan penganjuran acara tersebut mereka terus memberi kepercayaan kepada saya untuk menganjurkannya buat kali kedua," jelas Ika yang terlibat dalam penganjuran majlis sejak tahun 2010. |
Samsonite untuk gaya, cita rasa Posted: 03 Jul 2013 12:47 AM PDT Samsonite memudahkan para pengembara membawa barangan mereka. RAMAI hanya mengetahui tentang namanya, namun tidak ramai yang mengetahui sejarah di sebalik nama tersebut. Jenama beg tersohor, Samsonite telah direka oleh seorang penduduk dalam kalangan Orang Asli di Colorado, Jesse Shwayder pada tahun 1910. Sejak itu jenama Samsonite menjadi jenama beg kembara terkemuka di dunia. Ia membantu para pelancong global mengharungi perjalanan yang beribu-ribu batu jauhnya dan lebih istimewa ia mencipta kenangan menarik bersama pengembara. Samsonite membuktikan komitmen kepada inovasi, keunikan dan ketahanan pada setiap koleksi beg dihasilkannya. Menggunakan teknologi daripada bahan Revolusioner Curv dan koleksi-koleksi material lembut dihasilkan daripada Advanced Hybrid Technology meletakkan Samsonite sebagai peneraju pasaran dan trend dalam penghasilan beg kembara. Samsonite mengekalkan visinya di seluruh dunia untuk terus membolehkan pelancong mengembara lebih jauh menerusi produk yang lebih ringan, kuat dan inovatif. Terkini Samsonite melancarkan satu pertunjukan beg kembara terulung serentak dengan pembukaan butiknya yang terletak di tingkat 2, Suria KLCC. Majlis tersebut turut dihadiri selebriti tempatan seperti Awal Ashaari, Scha Alyahya, Yasmin Hani, Atilia Haron, Ning Baizura, Liyana Jasmay dan Megan Tan. Butik tersebut juga diiktiraf arkitek terkenal dunia, Guillot kerana rekaan dalaman yang moden dan menarik. Pada hari tersebut juga barisan model turut memperagakan beberapa koleksi dari Samsonite seperti Red, koleksi untuk perniagaan dan perjalanan. Koleksi terbaru Samsonite, Firelite turut dilancarkan. Naib Presiden Samsonite Asia Tenggara, Frantz Braha turut hadir memberi sokongan. Dalam ucapannya, Braha berkata, dalam setiap iklan beg Samsonite sebelum ini mereka telah menonjolkan prinsip keringanan serta ketahanan beg dari koleksi Firelite menerusi sukan ekstrem. Namun pada hari pelancaran tersebut Samsonite menterjemah kekentalan Firelite pada satu persembahan Akrobat secara kreatif. Sementara itu, pengacara dan pelakon terkenal, Daphne Iking berkata, Samsonite bukan sahaja menghasilkan bagasi yang menarik dan cantik tetapi juga terbaik dari segi praktikal dan ketahanan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |