Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 20 Jul 2013 11:14 AM PDT TIDAK ada wanita yang mahu hidupnya bermadu. Tetapi jodoh pertemuan bukan di tangan saya. Puas saya tolak permintaan Arif tetapi sia-sia. Kami kahwin juga akhirnya. Permintaan saya agar Ariff tidak sia-siakan isteri pertama dan anak-anaknya. Memang dia berlaku adil. Dia tidak kurangkan apa yang diberikan kepada isteri-isterinya. Itu cerita Norashikin dalam pertemuan dengan kumpulan ibu tunggal baru-baru ini. ''Namun sebagai isteri kedua, saya sedar walau bagaimana baik dan ikhlasnya saya, tidak mungkin saya diterima oleh keluarga madu. Arif berjanji akan berusaha membaikkan kami setelah bernikah. Dia janji setelah bernikah di Siam, akan daftarkan di tempat kami tinggal di Shah Alam. Dia berjanji akan jaga kebajikan saya. ''Dua hari selepas kembali dari Siam, Arif daftarkan perkahwinan kami di sini. Dia terus beritahu isterinya sudah berkahwin lagi dan kenalkan saya dengan tiga orang anaknya. Pendek kata Arif tunaikan segala janjinya termasuk membaikkan saya dan isteri pertamanya. Namun saya faham, wanita mana mahu terima madunya dengan mudah. Sebagai isteri kedua, saya terima dengan kesabaran. ''Sebenarnya Arif tidak sembunyikan perkahwinan kami. Isteri dan anak-anaknya tahu di mana saya tinggal kerana Arif sering bawa mereka ke rumah saya walaupun mereka tidak naik ketika Arif menghantar barang keperluan makanan kepada saya. ''Malah setelah mempunyai anak, Arif juga pernah bawa anak-anak saya ke rumah mereka. Tetapi sama ada keluarganya terima atau tidak saya tak tahu, kerana saya tidak melihatnya. ''Walaupun baru berkahwin lima tahun, tetapi saya sudah disediakan sebuah rumah dengan perabot serba sederhana. Arif mahu kami anak-beranak hidup selesa dalam sederhana. ''Sayangnya, umur orang yang baik ini tidak panjang. Arif meninggal dunia dalam waktu paling singkat. Dia tiba-tiba mengadu sakit, dibawa ke hospital dan terus meninggal dunia. "Ketika jasadnya terlantar di rumah isteri pertama, saya tidak dibenarkan menziarah apatah lagi berada disisinya. Kehadiran saya tidak disukai oleh isteri dan anak-anaknya. ''Puas saya merayu tetapi tetap dihalang. Mereka enggan mengiktiraf saya sebagai isteri Arif dan anak-anak kami sebagai anaknya. Setelah berkeras, barulah dibenarkan. ''Tidak lama selepas pemergian Arif, masalah mula menimpa. Saya disuruh keluar dari rumah yang didiami bersama anak-anak. Anak-anak Arif dengan isteri pertama yang semuanya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, enggan memahami masalah yang saya hadapi. ''Ke mana saya hendak pergi? Itulah sahaja harta yang ditinggalkan oleh Arif kepada kami anak-beranak. Arwah pernah berpesan supaya jangan sekali-kali tinggalkan rumah itu dan itulah yang menjadi pegangan saya. Jadi apabila saya dihalau keluar, saya bertahan. ''Oleh kerana tanah di atas tapak rumah ini luas maka Arif bina dua pintu rumah sewa untuk saya. Niatnya agar saya boleh besarkan dua anak kami dengan duit sewa kerana saya telah berhenti kerja ketika berkahwin dengannya. ''Bila saya fikirkan kembali saya dapat rasakan hasrat mulia Arif untuk berlaku adil kepada dua orang isteri dan anak-anaknya. Dia tak mahu saya ganggu keluarganya dan keluarganya juga jangan ganggu hidup saya, sebab dia telah membuat persediaan untuk kami. ''Malangnya setelah Arif meninggal, mereka halau saya keluar dari rumah ini. Dan mereka ambil duit sewa daripada rumah yang Arif bina khas untuk saya. Kata anak-anaknya, saya tak layak menerima apa juga harta pusaka peninggalan ayah mereka. Kerana saya baru kahwin dengan ayah mereka sedangkan mereka sudah lama hidup, mereka lebih berhak. ''Kerana saya enggan berpindah apa lagi keluar dari rumah ini, mereka bawa peguam untuk halau saya keluar. Mereka juga tidak benarkan saya membuat dan membina apa juga perubahan atas rumah kami. Nak bina apa? Sebab saya tak ada duit. ''Mereka tahu arwah ayah mereka bina dua buah rumah sewa ini untuk saya anak-beranak sebelum arwah meninggal dunia. Tetapi kalau semua pendapatan sewa mereka ambil, dari mana saya hendak ada duit untuk hidup. Saya terpaksa cari kerja. ''Puas saya merayu tetapi mereka tetap berdegil. Peguam mereka mendakwa jika saya bawa kes tuntutan harta pusaka ini ke mana-mana mahkamah syariah sekali pun, saya tidak akan menang, nasib tak baik saya juga akan dihalau keluar dari rumah ini. Saya terpaksa merayu agar tidak dihalau, nak ambil duit sewa ambillah, saya sanggup cari kerja untuk tanggung hidup kami anak-beranak. ''Anak-anak tiri saya minta saya tandatangan beberapa keping surat tetapi saya enggan sebab saya takut ditipu. Ke mana kami anak-beranak hendak pergi kalau jadi apa-apa? Saya tidak ada saudara-mara di Semenanjung. Kampung halaman saya nun jauh di Malaysia Timur. Saya benar-benar buntu. "Ketika sedang susah itu, seorang teman baik ambil kesempatan atas kebodohan dan kebuntuan saya. Janji nak tolong, tetapi dia menipu duit saya. Sudahlah duit sedikit, kena tipu pulak. '' Kini apa yang amat membimbangkan saya, peguam anak-anak tiri mahu jumpa saya sekali lagi. Saya tak tahu apakah kali ini saya akan dihalau keluar dari rumah ini. Saya cukup takut. ''Syukurlah baru-baru ini, kawan-kawan kumpulan Ibu Tunggal sanggup membantu mencarikan peguam untuk saya. Kepada Allah saya berserah dan memohon bantuan-Nya. ''Saya datang ke Semenanjung awal tahun 2000 mencari rezeki halal di kota ni. Ditakdirkan saya bertemu jodoh di sini. Adakah saya telah melakukan dosa besar? ''Saya mengaku saya memang daripada keluarga orang susah. Sebab itu saya beranikan diri datang ke sini sebaik sahaja habis sekolah, untuk mencari rezeki. Bagaimanapun bukan kerana hidup saya susah, saya cari orang berduit untuk dijadikan suami. ''Kata arwah perkahwinan pertamanya kerana memenuhi hasrat orang tuanya. Dia tidak membantah, malah bersyukur mendapat isteri dan anak-anak yang baik. "Kini setelah dia dapat membahagiakan keluarganya, dia ingin memenuhi hasrat hatinya berkahwin dengan orang yang dia pilih sendiri. Arwah mahu memenuhi hasrat hatinya sebelum menutup mata,'' demikian cerita Norashikin panjang lebar tentang nasibnya yang kini hilang tempat bergantung dan mungkin kehilangan rumah tempat berteduh sejak pemergian suami. |
Halem, Halimah tabah hadapi dugaan hidup Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT Oleh AZIAN AZIZ MENDENGAR kisah Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som, 47, dan isterinya, Siti Halimah Abdullah Sani, 47, penulis seperti membaca cerita dalam novel. Apa tidaknya, Abdul Halem dan isterinya telah mengharungi cabaran hidup yang bukan calang-calang orang boleh menghadapinya. Kisah pasangan ini bermula di sebuah kilang di Sungei Way, Petaling Jaya pada 1989. Ketika itu Abdul Halem merupakan eksekutif sumber manusia di kilang tersebut, sementara Siti Halimah pula bertugas di bahagian pengeluaran. Kedua-dua mereka merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Abdul Halem hanya mengenali Siti Halimah sewaktu gadis itu melapor diri untuk bertugas. Waktu itu terdetik di hatinya untuk mengenali gadis tersebut dengan lebih dekat, namun oleh kerana bidang tugas yang berbeza, mereka jarang bersua muka, apatah lagi bertegur sapa. Sehinggalah pada suatu hari sewaktu berselisih di kawasan surau, buat pertama kali Abdul Halem bertentang mata dengan Siti Halimah dan ketika itulah mereka sempat berbalas senyum. "Selepas itu, setiap kali selepas solat, kalau saya lihat kasutnya ada di luar surau, saya sanggup menunggu sehingga dia keluar semata-mata untuk melihat wajahnya" cerita Abdul Halem. Tambah anak kelahiran Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjung Karang, Kuala Selangor itu, perasaannya terhadap Siti Halimah disimpan kemas dalam hatinya walaupun ada bunga lain yang ingin mendekatinya. Disebabkan itu, beliau menolak rancangan seorang rakan yang ingin memperkenalkannya dengan salah seorang gadis di kilang tersebut. "Kalau dengan orang di kilang ini juga, saya minta maaf," ujar Abdul Halem tanpa bertanya kepada rakannya siapa gadis yang ingin diperkenalkan kepadanya. Rakan-rakannya pula tidak berputus asa dan terus berpakat menjalankan rancangan sehinggalah dia dan gadis tersebut dipertemukan dengan alasan untuk mengganti kunci loker yang hilang. "Terkejut saya apabila gadis itu adalah orang yang saya minati selama ini iaitu Siti Halimah. "Selepas peristiwa itu, kami mula bertegur sapa dan akhirnya saya mengajaknya keluar makan malam dan itulah detik permulaan hubungan kami yang akhirnya membawa ke jenjang pelamin pada 11 Mei 1991," katanya. Perkara itu diakui oleh Siti Halimah yang menerima Abdul Halem sebagai suami kerana kejujurannya. ''Sebenarnya saya mempunyai beberapa calon, namun kesungguhan Abdul Halem membuatkan saya jatuh hati kepadanya. Keluarga kami pula memberi restu," akui wanita yang berasal dari Batu 12 1/2, Kajang, Selangor itu. Selepas melayari bahtera perkahwinan, rezeki Abdul Halem dan Siti Halimah semakin bertambah. Selain dikurniakan cahaya mata, Abdul Halem juga mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, antaranya dalam bidang perunding perniagaan, pengurusan acara dan produksi filem sehingga beliau bergelar jutawan dalam usia muda. Dalam pada itu, Siti Halimah berhenti kerja untuk memastikan kebajikan dan pelajaran anak-anak mereka terbela. Kegigihannya dalam perniagaan membolehkan Abdul Halem menjalin usahasama dengan syarikat dari Jepun. Sementara itu, syarikat perunding Abdul Halem juga diberi kepercayaan menguruskan beberapa acara besar di negara ini. Pada waktu yang sama, beliau turut berjinak-jinak dalam politik. Namun panas tidak sampai ke petang. Pada 1998, perniagaan Abdul Halem menghadapi masalah ekoran kegawatan ekonomi. Rakan kongsinya di Jepun menghilangkan diri menyebabkan kilang usahasama itu berhadapan masalah, sedangkan pelaburan yang besar sudah dibuat. Acara besar yang dikendalikan juga terpaksa dibatalkan. Keadaan itu menyebabkan perniagaan Abdul Halem jatuh dan masalah kewangan menjadi semakin meruncing sehingga pada 2001, segala harta yang dikumpulnya habis begitu sahaja. Lebih teruk lagi, beliau juga menjadi mangsa penipuan. ''Bayangkan daripada seorang jutawan yang mempunyai segalanya, akhirnya pada satu ketika, saya hanya ada RM5 dalam poket. Semua harta saya termasuk rumah dan kereta dijual. Inilah detik yang paling mencabar dalam hidup saya. ''Paling sedih apabila melihat anak-anak saya yang masih kecil. Pada masa itu, nak lalu depan Kentucky Fried Chicken (KFC) pun saya tak berani, takut anak-anak yang dah biasa hidup mewah minta beli. Namun saya bertuah kerana mempunyai isteri yang sanggup bersusah payah dan setia bersama saya," ujarnya. Tambah Abdul Halem, walaupun goyah seketika ekoran dugaan berat yang melanda hidupnya, demi isteri dan anak-anak beliau menguatkan semangat untuk membina semula kehidupan dengan bekerja makan gaji semula. Berbekalkan pengalaman, beliau diterima bekerja sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail pada 2004. ''Saya amat terhutang budi dengan Tan Sri Rozali yang memberi kepercayaan kepada saya untuk bekerja ketika itu. ''Pada 2005, saya bertugas di Syabas sebagai Pengurus Kanan Komunikasi Korporat dan kemudian diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan sekarang," katanya. Mengenai kehidupannya kini, Abdul Halem bersyukur dan reda dengan ketentuan Allah walaupun hidupnya tidak semewah seperti dahulu. Beliau juga semakin bahagia bersama lima anak iaitu Amierul Eeman, 21; Afiq Eeman, 18; Ammar Faeiz Eeman, 16, Afif Danish Eeman, 10, dan Ady Zafrein Eeman, 5. Bagi Siti Halimah pula, beliau bangga mempunyai suami yang bertanggungjawab, cekal dan penyayang seperti Abdul Halem. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |