Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Harga ayam masih tinggi
- Peniaga ayam jual harga lebih murah kepada pelanggan tetap
- Pekerja warga asing ditahan tidak puasa
Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI Mohd. Zailani Harun turut terkena tempias dengan menyaksikan penurunan hasil jualan berikutan harga ayam yang kekal tinggi di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 18 Julai - Harga ayam segar di Pasar Siti Khadijah di sini masih tinggi apabila rata-rata peniaga menjual bahan mentah itu pada harga RM7.50 sekilogram berbanding sekitar RM6 sekilogram sebelum Ramadan. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati peniaga masih menjual ayam pada harga tinggi meskipun berdepan masalah kekurangan pelanggan dengan alasan bekalan diperoleh lebih mahal daripada pemborong. Seorang peniaga, Mohd. Zailani Harun, 48, berkata, kenaikan harga menyebabkan jualan ayam segar di gerainya mengalami sedikit penurunan berbanding sebelum ini. Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pemborong, kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan bekalan makanan dan anak ayam yang berkurangan di pasaran. "Sebelum ini, harga ayam dalam RM6 sekilogram sahaja, tapi kami pun dapat harga yang mahal daripada pembekal, jadi terpaksa jual RM7.50 sekilogram," katanya yang menjual kira-kira 80 ekor ayam setiap hari. Sementara itu, seorang pengguna, Noriha Awang, 29, memberitahu, dia terpaksa juga membeli ayam walaupun harganya mahal kerana dua anaknya sangat suka menu berasaskan ayam. "Cuma, kalau nak murah, saya kena beli banyak. Contohnya macam hari ini, beli tiga ekor untuk dibuat stok seminggu, dapatlah diskaun sedikit daripada peniaga yang kita dah biasa beli," ujarnya. Justeru Noriha berharap, pihak bertanggungjawab membuat pemantauan dan mengambil tindakan bagi membela nasib pengguna, selain meminta kerajaan mengotakan janjinya untuk mengutamakan rakyat. Dalam pada itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Sharuddin Jalil ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memantau perkembangan tersebut bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga ayam sesuka hati sehingga membebankan pengguna. Tambah beliau, sebanyak 100 pegawai pemantau harga terdiri daripada penguat kuasa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan bekerjasama dalam melaporkan kepada pihak kementerian tentang harga semasa ayam di pasaran. "Pihak kami akan melancarkan skim kawalan harga bagi memastikan mereka (peniaga) tidak menaikkan harga barangan mentah dengan sesuka hati," katanya. Katanya, pembekal tidak sepatutnya menaikkan harga ayam kepada peniaga kerana bekalan ayam domestik masih lagi mencukupi. |
Peniaga ayam jual harga lebih murah kepada pelanggan tetap Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT KUALA TERENGGANU 18 Julai - Kira-kira seminggu lalu, harga ayam di bandar raya ini dijual dengan harga antara RM8.50 hingga RM8.80 sekilogram, bagaimanapun hari ini, harganya meningkat antara 20 dan 50 sen. Tinjauan juga mendapati, rata-rata peniaga menjual dengan harga berbeza kepada pelanggan masing-masing, misalnya pelanggan tetap dijual dengan harga yang lebih murah berbanding pelanggan tidak dikenali. Menurut seorang peniaga, Ahmad Firdaus Mustafa, 27, dia mengakui memberi harga yang lebih rendah kepada pelanggan tetapnya kerana mahu menjaga hati mereka biarpun terpaksa menerima untung yang sedikit. Jelasnya, dia berharap isu kenaikan harga ayam ini dapat diselesaikan segera memandangkan tidak mahu membebankan pelanggannya yang tetap membeli ayam walaupun harga mahal. "Kita menjual ayam dengan harga mahal daripada biasa kerana modal ayam hidup dari ladang juga mahal iaitu sekitar RM6 sekilogram menyebabkan harga daripada pembekal ayam segar diperoleh, dibeli dengan harga sekitar RM7.80 sekilogram. "Kalau daripada pembekal sudah mahal, jadi kita tiada pilihan kerana kita juga mahu untung walaupun kita sedar ia akan membebankan pengguna," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Dalam pada itu, Ahmad Firdaus mengingatkan para pengguna tidak membeli ayam direndam di dalam air memandangkan terdapat segelintir peniaga yang mahu mengambil untung mudah. "Ada juga peniaga yang sengaja menjual ayam yang direndam dalam air agar berat ayam itu bertambah dan mereka boleh kenakan harga yang mahal kepada pelanggan," jelasnya. Sementara itu, seorang lagi peniaga yang ingin dikenali sebagai Bidin, 42, berkata, dia yakin harga ayam akan turun dalam sedikit masa lagi jika bekalan ayam mencukupi, namun berharap kementerian dapat berbuat sesuatu agar pembekal tidak menaikkan harga walaupun bekalan sudah ada. "Kita sebagai peniaga, jadi mangsa macam pembeli juga kerana hendak ambil untung banyak tidak boleh kerana nanti akan disaman tetapi jika tidak naikkan harga kita untung terlalu sedikit. "Itu belum lagi pelanggan tawar-menawar dan pelanggan tetap, jadi kadang-kadang kita terpaksa jual dengan harga murah berbanding yang kita beli dengan pembekal," jelasnya. Sementara itu, seorang pengguna, Tuan Adibah Umira Tuan Ariffin, 26, mengakui jika sebelum ini dia boleh membeli dengan RM8 untuk separuh bahagian ayam tetapi kini terpaksa membelanjakan sekitar RM12. "Terkejut juga tetapi apa boleh buat. Harap-harap peniaga tidak naikkan lagi harganya kerana kasihan juga kepada pembeli yang kurang berkemampuan," katanya yang berharap agar pemantauan dapat dilakukan oleh pihak berkenaan tentang perkara itu. |
Pekerja warga asing ditahan tidak puasa Posted: 18 Jul 2013 12:13 PM PDT Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB KOTA BHARU 18 Julai - Seorang pekerja warga Bangladesh beragama Islam ditahan kerana tidak berpuasa. Lelaki terbabit yang merupakan pekerja di kawasan perindustrian Padang Tembak, Pengkalan Chepa, dekat sini ditahan ketika sedang menikmati makanan di sebuah premis di kawasan itu oleh anggota Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang menjalankan operasi ponteng puasa dan pemeriksaan premis makanan bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang ini. Dalam operasi berkenaan, sebanyak tiga buah premis makanan iaitu masing-masing di Cherang, Pengkalan Chepa dan Merbau turut disaman kerana ingkar arahan memulakan operasi awal pada bulan Ramadan. Operasi diketuai oleh Ketua Penguatkuasaan MPKB-BRI, Ramli Che Hussen bersama 20 pegawai dan kakitangan termasuk daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK). Ramli berkata, pihaknya memandang serius mana-mana individu Islam yang tidak berpuasa dan makan di khalayak serta premis perniagaan yang melanggar arahan supaya tidak beroperasi sebelum pukul 3 petang sepanjang Ramadan ini. "Di Kota Bharu ini sangat sensitif jika didapati ada orang tidak berpuasa, kerana bandar ini mencerminkan sebuah bandar raya Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut Ramli, Kota Bharu adalah sebuah bandar raya Islam dan sekiranya terdapat individu yang ditangkap tidak berpuasa oleh pihak berkuasa, ia sangat memalukan. Mengenai tindakan premis yang ingkar arahan, beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak menarik lesen perniagaan mereka. "Mereka (peniaga) perlu bekerjasama dengan mematuhi arahan di samping menghormati bulan mulia ini dengan mengelak membuka kedai awal dan mendorong orang ramai membeli makanan terutamanya mereka yang beragama Islam," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |