Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Erra, Ziana utamakan anak di hari raya Posted: Erra, Ziana utamakan anak di hari raya
TIDAK sukar untuk menggabungkan dua diva terkenal tanah air, Erra Fazira dan Ziana Zain dalam sesi fotografi khas raya sementelah kedua-duanya saling kenal dan cukup rapat. Apa yang sukar hanyalah mencari tarikh yang sesuai memandangkan mereka sangat sibuk dengan jadual seni dan tugas sebagai seorang ibu. Persetujuan diterima, ketika sesi fotografi berlangsung di Restoran Rebung milik Chef Ismail di Bangsar, Kuala Lumpur, suasana bertukar gamat. Bagai sudah lama tidak bertemu, mereka berdua berceloteh tanpa henti sepanjang sesi fotografi, mengenang semula ketika mereka di puncak populariti sewaktu zaman anak anak dara. "Tidak sangka cepat betul masa berlalu, dulu kami sama-sama berlakon dan menyanyi. Sekarang masing-masing sudah jadi ibu dan kami masih lagi dalam industri seni. "Saya masih ingat lagi semasa berlakon filem Sembilu bersama Erra. Bila teringat masa lalu saya kadangkala tertawa sendiri sebabnya banyak sangat kenangan lucu, sedih dan gembira, tetapi bersyukur kerana langkah yang saya ambil telah membentuk diri Ziana Zain hari ini," kata Ziana. Erra yang memulakan kerjayanya sebagai model dan terus meningkat naik sebagai penyanyi dan pelakon menjelaskan, kualiti kerja sangat penting untuk seorang artis kekal bertahan. "Rasanya sekarang lebih mudah untuk jadi artis sebab banyak saluran untuk tunjuk bakat, tidak seperti zaman kami dahulu. "Namun, prinsipnya kekal sama, disiplin sangat penting untuk terus kekal dalam industri seni. Saya banyak belajar daripada pengalaman dan secara tidak langsung ia mematangkan saya. Sekarang saya bekerja untuk membesarkan anak tunggal saya," balas Erra. Raya dahulu lebih meriah - Ziana Apabila disoal tentang sambutan raya sewaktu kanak-kanak, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 45, mengakui raya dahulu lebih meriah. Sebelum menetap di Shah Alam, Selangor, Ziana sekeluarga tinggal di Kampung Melayu Subang, Selangor. Sambutan raya mereka sekeluarga ibarat berada di kampung. "Dulu, mesti ada bunga api dan mercun. Kami juga buat pelita daripada buluh untuk dihiaskan di sekeliling rumah. Semuanya buat sendiri, jadi kami adik-beradik gigihlah cari buluh. "Sekarang, pelita atau punjut semuanya boleh dibeli siap di pasar raya. "Semangat raya semakin kurang. Anak-anak saya tidak ada pengalaman seperti itu tetapi saya tetap bercerita pada mereka supaya mereka tahu," kata isteri kepada Armin Zaharin itu. Cerita Ziana, sambutan rayanya semakin berubah sejak dia dan adiknya, Anuar Zain bergelar penyanyi. Hari raya yang sepatutnya menjadi acara berkumpul untuk keluarga bertukar menjadi acara rumah terbuka selama sebulan dari awal pagi sehingga tengah malam. "Sejak kami jadi penyanyi, kami sudah tidak balik ke kampung di Merlimau, Melaka, cuma tahun lalu kami sekeluarga pulang menyambut 1 Syawal di kampung. "Bukan tidak mahu balik tetapi biasanya peminat datang beraya di rumah. Sebagai tuan rumah kami akan layan semua peminat walaupun ada yang datang pada pukul 2 pagi. "Itu dulu, sekarang bila ada anak dan ibu bapa kami juga tidak berapa sihat, kami ambil keputusan untuk beraya di kampung," katanya yang pulang ke kampung pada malam raya tahun ini. Sambung ibu kepada Muhammad Aiman, 13, Muhammad Amar, 10, serta pasangan kembar Muhammad Airil dan Siti Nour Kaseh, 4, tahun ini mereka sekeluarga sedondon memakai baju berwarna coklat cair. "Tahun ini saya ada sepasang baju raya sahaja, selebihnya untuk anak-anak terutamanya anak perempuan tunggal saya, Kaseh. "Bagi saya, kegembiraan lebih dirasai oleh anak-anak. Waktu itulah mereka berseronok kumpul duit raya dan menikmati kehidupan di kampung," jelasnya yang wajib memasak rendang pada hari raya. Beza raya sebagai ibu - Erra Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, Erra hanya meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur sebelum menghabiskan masa bersama keluarganya di Sungai Choh, Rawang, Selangor. Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 39, sejak berkahwin dan melahirkan Engku Aleesya Engku Emran yang kini berusia empat tahun, sambutan rayanya berubah secara drastik. "Jika sebelum ini hidup solo, saya hanya melakukan persiapan untuk diri sendiri dan boleh pergi ke mana sahaja. "Sekarang agak terbatas kerana segala perhatian harus diberikan kepada Aleesya. Sebelum beli baju raya untuk saya, awal-awal lagi saya belikan baju untuk dia. "Sekarang, dia sudah pandai pilih fesyen dan warna kesukaannya, mahu tidak mahu saya ikutkan sahaja. Sebagai ibu, saya tahu kanak-kanaklah yang paling seronok sambut raya, jadi saya biar dia nikmati keseronokan beraya," ucap Erra. Beritahu Erra, jika boleh dia mahu anaknya menikmati kemeriahan raya seperti yang dinikmati ketika zaman kanak-kanak. "Sekarang sudah moden, raya kurang meriah bagi saya. Jadi, saya bawa dia pulang ke kampung dan biarkan dia bermain bunga api bersama saudara-maranya. "Walaupun tinggal di bandar, saya mahu dia mempunyai pengalaman seronok beraya di kampung seperti saya. Alhamdulillah, Aleesya sendiri tidak sabar untuk balik kampung setiap kali raya," tuturnya. Erra yang sibuk sepanjang Ramadan dengan penggambaran program Primadona dan menyiapkan tempahan hamper raya turut berkongsi cerita raya dengan peminatnya. "Sejak jadi pelakon dan penyanyi, ramai peminat yang datang berkunjung ke rumah opah di Sungai Choh, Rawang dari pagi sampai malam. "Cuma sekarang berkurangan, tidak seperti dahulu. Ada seorang peminat yang akan datang beraya di rumah opah saya setiap tahun sehingga hari ini sudah masuk tahun yang ke-10. "Kami sekeluarga juga telah kenal rapat dengannya," kata Erra. | |
Posted: Lebaran dua keluarga seniOleh HARYATI KARIM dan RONI HIDAYAT RIDWAN KONGSI kegembiraan. Keluarga seni Datuk Yusof Haslam dan Khatijah Tan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. GAMAT dan riuh-rendah dengan gelak tawa jadinya banglo milik penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam apabila keluarga besarnya bertemu dengan keluarga seni aktres Khatijah Tan. Bertukar cerita yang kebanyakannya tentang filem bagai tiada penghujungnya. Yusof dan isterinya Fatimah Ismail, memiliki tiga orang anak iaitu Mohd. Syamsul, 29, Nurshamin, 25, dan Muhamad Syafiq, 21. Dua anak lelaki Yusof, Syamsul dan Syafiq mengikut jejak langkahnya terjun dalam industri perfileman, tidak ketinggalan anak tiri Yusof, Mohd. Faizal, 32, juga terlibat sama dalam memajukan syarikat produksi keluarga, Skop Production yang hampir berusia 30 tahun. Aktres Khatijah Tan pula mampu berbangga dengan dua cahaya matanya, pengarah dan pelakon, Pierre Andre, 28, dan Mikail Andre, 21, yang kini turut bergelar pelakon. Didik anak dengan tegas – Yusof Tidak dinafikan meskipun mengharapkan anak-anak lelakinya meneruskan perjuangannya dalam bidang seni, namun dalam masa yang sama timbul kebimbangan di hatinya selaku seorang bapa akan cabaran yang bakal dihadapi anak-anaknya. "Saya terlebih dahulu bergelar pelakon dan pengarah filem, jadi saya tahu baik buruknya dunia seni. "Hati saya seronok bila anak-anak menunjukkan minat yang sama seperti saya, tetapi dalam hati sebagai bapa saya juga bimbang kerana dugaan anak seni tidak sama dengan kerjaya yang lain," kata Yusof. Menurut isterinya, Yusof seorang bapa yang cukup tegas dalam mendidik kesemua anak mereka. "Dia tegas terhadap anak-anak. Walaupun mereka sudah besar panjang, jika tidak ada kerja, mereka mesti berada di rumah sebelum pukul 12 malam. "Sebagai ibu pula saya selalu berpesan, harus hormat orang lebih tua, jaga tingkah laku dan jagalah nama baik keluarga terutamanya bapa mereka," kata Fatimah. Syamsul pula memberitahu, walaupun bekerja dengan bapa sendiri, cabarannya tetap besar. "Mungkin orang anggap senang sebab saya bekerja dengan bapa tetapi masih ada cabarannya seperti pertembungan idea, kos penerbitan dan kualiti pengarahan. "Bagi saya kualiti paling penting dan untuk mendapatkan kualiti saya perlukan masa," tutur Syamsul yang sedang sibuk dengan proses terakhir filem KL Gangster 2 yang dijangka keluar pada September depan. Bercerita tentang raya, kata Syamsul, dia berharap tahun ini raya terakhirnya sebagai orang bujang. "Rasanya mungkin ini tahun terakhir saya beraya sebagai orang bujang. Harap doakan yang terbaik untuk saya," balas Syamsul yang beraya dengan baju sedondon berwarna merah. Celah Syafiq yang sibuk dengan filem keduanya, Abang Long Fadil, tahun ini mereka akan beraya di rumah keluarga sebelah ibunya di Shah Alam sebelum ke Selayang, Selangor bagi melawat keluarga sebelah bapanya. Selepas itu, mereka ke Setiawan, Perak iaitu kampung ibunya. Tidak galak anak berlakon – Khatijah Tan Bagi pelakon Khatijah Tan pula, dia melahirkan rasa bangga kerana kedua-dua anaknya iaitu Pierre Andre dan Mikail Andre kini mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni. Bagaimanapun, Khatijah mendedahkan bahawa pada mulanya dia tidak menggalakkan kedua-dua anaknya itu berkecimpung dalam bidang lakonan dan lebih suka mereka mengikut jejak langkah suami sebagai seorang pegawai bank. "Saya bukanlah mahu menghalang minat mereka, tetapi tidak terlalu menyokong sangat pembabitan mereka sebelum ini. Apabila melihat kecenderungan mereka dalam bidang seni, akhirnya saya terpaksa merestui minat mereka. "Lagipun dengan bakat yang dimiliki sudah tentu sayang kalau tidak dikembangkan. Sebagai seorang ibu yang berpengalaman luas, saya memainkan peranan untuk membimbing mereka," ujarnya yang terkenal menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Bercerita lebih lanjut mengenai karakter kedua-dua anaknya itu, Khatijah berkata, Pierre sejak kecil lagi sudah menunjukkan minat terhadap bidang seni dan sering menyertai pertandingan lakonan di sekolah. Ujarnya, anak keduanya pula lebih cenderung kepada bidang fotografi dan ini menyebabkan Khatijah tidak menyangka apabila Mikail turut mengikut jejak langkah ibu dan abangnya. "Saya selalu berpesan kepada mereka supaya bersungguh-sungguh apabila sudah terjun ke dalam bidang ini. Mereka tidak boleh berpatah balik dengan pilihan yang telah dibuat. "Kalau boleh saya tidak mahu mereka buat kerja sambil lewa atau kurang serius dengan tanggungjawab yang diberikan. Sudah tentu saya ingin mereka berjaya dalam lapangan yang diceburi," tegasnya. Sambutan Aidilfitri pada tahun ini pastinya menjadi lebih bererti buat mereka sekeluarga memandangkan buat pertama kali Pierre meraikannya sebagai seorang suami. Jelas Pierre, semasa qiamulail pada bulan Ramadan tahun lalu dia pernah memanjatkan doa kepada Allah agar dapat meraikan bulan Syawal tahun ini dengan seorang pasangan hidup. "Ternyata doa saya telah dimakbulkan Allah. Ia merupakan anugerah yang paling bermakna kerana hajat untuk meraikan Aidilfitri sebagai suami sudah terlaksana. "Selain itu, saya dapat merasai kelainan apabila ada insan tersayang di sisi, terutamanya ketika mengerjakan ibadah puasa. Dia menjadikan hidup saya kini lebih bermakna," ujarnya yang mendirikan rumah tangga dengan Siti Nur Hidayah Hashim pada bulan Jun lalu. Menurut Pierre, tiga hari sebelum menjelang 1 Syawal, dia pulang ke kampung halaman isterinya di Johor Bahru, Johor. Kemudian, pada hari raya pertama dia dan isteri pulang ke Ipoh, Perak untuk meraikannya bersama ahli keluarganya pula dan menyertai mereka bercuti ke Pulau Pangkor pada hari raya kedua. | |
Aidilfitri Nadiya Nisaa masih sama Posted: Aidilfitri Nadiya Nisaa masih samaOleh NOOR ASHREEN ISMAIL MASIH orang yang sama. Nadiya sempat melayan sekumpulan anak yatim sewaktu majlis berbuka puasa pada hujung Ramadan lalu. NAMA Nadiya Nisaa kini bukan lagi asing dalam dunia lakonan. Sejak memegang watak Ain Hawani menerusi drama Adam dan Hawa, nama wanita yang lebih mesra disapa sebagai Nadiya ini sering meniti di bibir peminat. Malah harus diakui, rezeki Nadiya juga bertambah sejak drama tersebut bersiaran. Melihat tawaran berlakon yang diterima bertali arus, tidak dinafikan rezeki pelakon ini semakin melimpah. Nadiya, 28, bukan sahaja terlibat dengan beberapa drama, tidak ketinggalan tawaran telemovie yang menampilkan dirinya. Ketika bertemu wanita ini pada majlis berbuka puasa anjuran Grand Brilliance bersama anak-anak yatim Darul Kifayah baru-baru ini, Nadiya kelihatan masih sama seperti dahulu. Lemah-lembut dia menyusun kata dan kerap tersenyum apabila diajukan soalan tentang perbezaan berhari raya setelah semakin popular. Tiada yang berbeza Akui Nadiya, Ramadan tahun ini dia bekerja seperti biasa, tetapi hanya mengambil tawaran telemovie memandangkan waktu penggambarannya agak singkat berbanding drama bersiri. Bagaimanapun, ujar Nadiya, sebaik sahaja Ramadan ditinggalkan, dia dan suami serta anak tunggal mereka pulang ke kampung halamannya di utara. Berbicara tentang sambutan hari raya tahun ini, pasti ramai yang tertanya-tanya adakah populariti yang dikecapi Nadiya akan membuatkan sambutan kali ini berbeza buat dirinya. "Saya rasa sama sahaja. Tiada yang lebih atau kurang kerana saya masih menyambut raya secara sederhana dengan pulang ke kampung. Saya juga tidak berasa perlu menyambut raya secara berlebihan hanya kerana saya seorang artis dan dikenali ramai. "Sementelah, suami pula jenis seorang yang ringkas. Jadi, kami cuma membeli-belah jika kebetulan kami terjumpa apa yang dimahukan," tutur Nadiya. Tambahnya, tahun ini dia mengambil cuti selama tiga minggu. Namun, mereka sekeluarga akan berada di kampung selama lima hari sahaja. "Tahun ini, saya suami dan anak akan pulang ke kampung halaman suami yang terletak di Perak, manakala saya di Pulau Pinang. "Seperti kelaziman yang dilakukan oleh semua umat Islam yang meraikan hari mulia ini, kami manfaatkan masa itu sepenuhnya untuk menziarah sanak saudara," tutur anak kedua daripada lima beradik ini. Selain pulang ke kampung, baki cuti yang ada digunakan Nadiya untuk membuat persiapan perkahwinan kakaknya yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos ini. Memilih Bertukar cerita mengenai tawaran berlakon yang semakin banyak, jelas Nadiya, dia akan memilih sebelum memberi kata putus untuk terbabit dalam sesebuah naskhah yang ditawarkan. Bukan menjadi semakin demanding, tetapi dia berhak menjadi selektif untuk memastikan kualiti lakonannya dalam sesebuah naskhah. "Sebelum memberi jawapan, saya akan memilih dan melihat skrip, watak serta dengan siapa saya akan bekerja. Saya juga akan pastikan saya mengambil hanya satu tawaran pada satu masa," akhiri Nadiya. Antara telemovie yang bakal menampilkan Nadiya ialah Cinta Kamikaze, Pengancam Perkahwinan dan Baju Raya Kain Perca. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |