Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Izara selesa urus diri sendiri Posted: Izara selesa urus diri sendiriSENYUM melirik yang terbit daripada ulas bibirnya cepat menghantar isyarat. Darah muda dalam tubuhnya tidak sementah yang disangka. Itu yang terzahir sebaik patah bicaranya meluncur laju. Dia bukan Izara Aishah yang pernah dilihat keanak-anakan beberapa tahun lalu. Dalam waktu yang singkat, langkah kembara seni yang dilalui membawanya ke fasa dewasa. Berdiri atas kaki sendiri atau lebih ringkas disebut berdikari, prinsip itu sedang digalas wanita berumur 21 tahun ini setelah empat tahun berkecimpung dalam industri. "Sekarang saya dalam proses memperbetulkan banyak perkara," katanya menghela nafas panjang. Ibarat melepaskan apa yang tersimpan dalam dada, Izara membuka cerita. "Sekarang saya mahu pihak di luar sana tahu bahawa saya tidak bernaung di bawah mana-mana pengurusan. Saya mengurus karier seni sendiri tetapi jika ada isu berhubung kontrak atau perjanjian melibatkan penjenamaan atau duta produk, hal itu saya serahkan kepada ibu. Dia yang bertanggungjawab," katanya. Empat tahun cukup sebagai pengenalan buat Izara mengenal sepak terajang bergelar selebriti. Usah diungkit banyak omongan negatif yang pernah terpalit ke mukanya, Izara enggan menyalahkan sesiapa. Dia pernah dituduh budak sombong, tidak berdisiplin dan sukar memberikan kerjasama melibatkan hal-hal tertentu, namun semua itu ditelan penuh optimis. "Ada perkara berlaku tanpa kehendak kita, ada juga yang berlaku di luar kawalan. Supaya saya tidak keliru dan tidak menyalahkan sesiapa, sekarang, biarlah saya yang bertanggungjawab. Rupa-rupanya okey juga bergerak sendiri, sudah setahun lebih saya susun jadual dan buat keputusan sendiri berhubung soal kerja. Mula-mula malu juga bila masuk soal bayaran, tapi saya ikut skala dan cara pengurus saya terdahulu mengendalikan hal berkenaan, lama-lama saya selesa," katanya mempamerkan sisi dewasa.
Leka seketika menyaksikan bintang muda itu berterus-terang tentang dirinya, emosi raya yang masih menyelubungi menyerlahkan seri wajah Izara. Masa rehat seminggu bercuti sudah habis, sekarang tumpuan penuhnya adalah tentang rutin pekerjaan. "Buat masa ini saya tiada penggambaran. Tapi, itu tak bermakna jadual saya kosong, sekarang masa untuk saya penuhi banyak undangan dan permintaan. Kalau tidak, orang kata saya sombong, ikut haluan kiri atau menolak media. Sekarang masa untuk saya bersihkan semua itu," katanya seperti ada rajuk di hati. Jadi zombi Sedikit terkilan namun Syawal yang masih bersisa ini memberikan banyak hikmah buat Izara. Semua itu mahu dibilas tanpa prasangka. Sementelah buah tangan pertama yang akan menyaksikan kemunculan pertamanya ke layar perak, KL Zombi akan mula ditayangkan pada 29 Ogos nanti. Itu semua kebetulan yang sangat mengujakan Izara untuk bertemu khalayak. "Selama ini saya sibuk dengan penggambaran. Bulan lepas, saya habis penggambaran filem Showdown The Movie. Semasa dalam tempoh penggambaran, saya jenis tidak ambil komitmen lain walaupun sesi fotografi. Prinsip saya buta kerja biarlah satu demi satu, mungkin sebab itu juga ada pihak merungut sukar untuk dapatkan komitmen daripada saya," katanya yang lama tidak muncul menghiasi drama-drama televisyen. Mengumpul perhatian hasil impak daripada siri-siri popular seperti Kasihmu Laila, Vanila Coklat, Soraya dan Oh! My English, seingat Izara judul drama bersiri terakhirnya ialah Naziha yang disiarkan pada pertengahan tahun lepas. "Ramai ingat saya menyepi tapi sebenarnya tidak. Alhamdulillah, rezeki filem lebih memihak kepada saya ketika ini tapi itu tak bermakna saya lupakan lakonan dalam drama. Saya terima tawaran yang datang terlebih dahulu, banyak juga tawaran untuk drama terpaksa dilepaskan kerana ada komitmen filem.
"Untuk KL Zombi pula, watak saya tidaklah besar. Saya melakonkan watak Ana, seorang guru sekolah rendah yang dijangkiti virus zombi daripada seorang lelaki lakonan Zain Ruffedge," katanya yang belajar untuk menghidupkan karakter zombi daripada YouTube. Melakonkan watak zombi yang menuntut solekan buruk, karakter watak tanpa dialog yang jelas serta pergerakan tubuh tidak normal sebenarnya bukan satu seksaan buat Izara. "Mungkin orang ingat, jadi zombi itu senang, saya pun fikir begitu juga semasa mula-mula terima tawaran, tapi bila masuk ke lokasi, karakter itu agak susah juga buat saya. Kena banyak buat rujukan, tengok filem dan belajar daripada YouTube. "Saya juga tidak kisah dengan karakter sebegitu, bagi saya, apa sahaja watak, walaupun watak hantu, asalkan ia menarik dan beri pengalaman baharu, saya akan terima. Saya tak kisah nampak buruk dalam skrin tapi saya pentingkan lakonan," katanya yang turut membintangi dua buah filem iaitu Sejoli dan Pilot Cafe karya Osman Ali. Mengenangkan ilmu yang diperoleh dari lokasi penggambaran, pelakon filem Balun itu mengakui banyak mengutip nasihat daripada pelakon hebat yang juga pengarah wanita, Ellie Suriaty Omar. Bertindak sebagai guru lakonannya menerusi filem Pilot Cafe, Izara menyifatkan pengalaman berlakon dalam filem berkenaan sebagai cabaran terhebat buatnya setakat ini. | |||
Jahat kekuatan saya - Raja Ilya Posted: Jahat kekuatan saya - Raja Ilya
TIDAK ramai pelakon cantik merelakan sisi hitamnya dirakam dan dipersembahkan sebagai bahan berita. Ada ketikanya karakter jahat digeruni kerana bimbang impak karakter jahat itu terbawa-bawa ke luar tabir. Jika tidak, masakan ada pelakon yang awal-awal lagi membuat kenyataan tidak akan menerima tawaran watak jahat kerana gusar lakonan negatif itu akan menjatuhkan imej diri dan keluarga di mata khalayak. Watak jahat dibenci manakala watak baik disayangi sudah menjadi satu kelaziman dalam dunia lakonan namun bagi pelakon berwajah Bollywood, Raja Ilya , satu demi satu pintu-pintu kejayaan diraihnya melalui watak jahat. "Mungkin bagi pelakon lain perkara itu bukan hal besar, tapi bagi pelakon yang kena mendaki daripada 'kosong' seperti saya, penerimaan dan kepercayaan industri kini harus saya sanjung," katanya sambil mengaku pernah menerima luahan kebencian peniaga di bazar Ramadan kerana impak watak jahat di skrin televisyen. Watak jahat yang dimaksudkan Raja Ilya ialah watak Haliza menerusi drama Dahlia. Pernah membintangi drama-drama lain seperti Mana Hilangnya Juwita, Kekasihku Seru dan Biru Cinta Laguna, pemilik nama sebenar Raja Ramilah Raja Mohd., 27, itu juga membawakan karakter wanita gedik dalam Epilog Cinta Kirana selain Tasha Shilla, Nazim Othman dan Alif Aziz. Enam tahun dia bergelumang dalam industri lakonan membuatkan Ilya pernah terfikir untuk berhenti menjadi perempuan jahat dalam drama. "Saya pernah merasa kurang yakin untuk watak hitam atau penggoda namun, selepas Dahlia dan Epilog Cinta Kirana, rasa itu hilang beransur-ansur.
"Sekarang saya percaya, kejahatan mungkin kekuatan buat saya. Maksud saya watak jahat," katanya yang pernah meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Filem Malaysia Tamil 2011 di Chennai, India pada tahun 2012. Raja Ilya turut mengimpikan untuk dikenali di persada filem antarabangsa melalui filem Tamil atau Kollywood di Malaysia. Dia yang pernah berlakon drama Tamil seperti Tup Periyum Pulli dan Agguran selain menjadi teraju utama filem Appalam iaitu filem Papadom arahan Afdlin Shauki versi Tamil. "Tapi, perjalanan itu tidak mudah mungkin kerana industri hiburan India di Malaysia tidak meluas dan kurang pendedahan," katanya yang juga fasih berbahasa Tamil. Di sebalik populariti serta penerimaan ramai terhadap dirinya, Raja Ilya sebenarnya menyimpan sebuah episod hitam yang hampir-hampir meragut nyawanya. Terhimpit dek kontroversi gambar panas dua tahun lalu, kemudian putus tunang bahkan pernah cuba membunuh diri, namun semua kepahitan itu sudah tinggal sejarah dan menjadi iktibar buat dirinya. Sehingga hari ini, karier lakonan yang dibina semula selepas kemusnahan gara-gara silap percaturan dan kerakusan usia muda itu semakin membuahkan sukses. "Saya anggap comeback ini lebih menjadi berbanding mula-mula saya berlakon dan kemudian menghilang diri dahulu. Dulu saya ditolak oleh industri kerana ramai beranggapan wajah saya tiada ciri kemelayuan tetapi setelah menjayakan beberapa drama dengan watak beremosi, saya makin diterima. "Kepercayaan Erma Fatima memberikan watak kecil dalam Aku Bukan Malaikat juga sangat saya sanjung. Osman Ali juga berikan saya watak kecil dalam filemnya Pilot Cafe. Saya hargai sangat-sangat kepercayaan mereka," tutup Raja Ilya yang bakal muncul menerusi drama Dendam Terindah di RTM. | |||
Posted: Lagu Aza kena gam
AZA ADNAN cukup bertuah apabila ruang untuknya menonjolkan bakat nyanyian kini terbuka luas. Dia yang merupakan anak komposer terkenal, Nan Dengkil yang pernah mencipta nama dengan beberapa naskhah nukilannya seperti lagu Biar Betul dan Keranamu Suhaila sekali gus membuka jalan singkat buat Aza untuk mencipta nama. Biarpun menyedari kelebihan tersebut, namun pemilik nama penuh Nur Azariza Adwa Adnan itu enggan membiarkan dirinya dimanja. Dia seboleh-bolehnya mahu berdikari sementelah Aza juga diperturunkan bakat mencipta lagu. "Saya tidak mahu menganggapnya (anak Nan) sebagai kelebihan, sebaliknya menerimanya sebagai satu peluang. Benar, ia memberi jalan pintas, tetapi saya lebih suka mengaut ilmu daripada ayah. "Untuk melatih diri, saya belajar menghasilkan lagu sendiri. Apabila ayah mencipta melodinya, saya akan mengarang puisi untuk menghasilkan lirik. Menuntut dalam aliran sastera di sekolah memberi kelebihan buat saya untuk berkarya," kata gadis yang berumur 17 tahun itu. Sehingga kini, Aza yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi telah menulis lirik untuk tiga buah lagu sendiri termasuklah Namun Cinta Tetap Bersemi, Kembali Bergandingan dan Taman Seribu Teman. Mempunyai latar belakang keluarga dalam dunia seni menyebabkan ruang lebih awal diperoleh Aza untuk menonjolkan diri apabila dia pernah menjadi penyanyi latar untuk kumpulan Ways ketika berumur lima tahun. Dia kini memiliki sebuah album mini yang mengandungi lima buah lagu. Terdapat tiga buah lagu yang ditulisnya sendiri dalam album itu, Indah Ciptaanmu dan Brader Teksi.
Biarpun memiliki kelebihan tersebut, namun pelajar Sekolah Kebangsaan Dengkil, Selangor itu turut berdepan kesukaran apabila lagu popularnya, Brader Teksi digam oleh beberapa buah stesen radio. "Malangnya, ada stesen radio yang tidak mahu memainkan lagu itu dengan alasan penggunaan perkataan 'brader' yang tidak sesuai. "Bagaimanapun lirik dan judulnya tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya kerana penggantian perkataan 'brader' kepada abang itu boleh mengganggu makna yang ingin disampaikan dalam lagu itu. Kami akur dengan tindakan itu," kata Aza. Jelas Aza, lagu tersebut dicipta oleh bapanya bersama penulis lirik, Razali Talib bagi menceritakan pahit manis yang dilalui oleh pemandu teksi di negara ini. "Mesejnya padat mengenai perjalanan dan kesukaran yang dihadapi oleh seorang pemandu teksi daripada awal pagi sehinggalah pulang pada lewat malam. "Sebenarnya, lenggok lagu ini sukar dinyanyikan. Saya mengambil masa yang lama untuk menguasainya. Membuat persembahan secara langsung juga memberi cabaran yang sangat besar," ujar anak kedua daripada lapan beradik itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |