Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
Tanjung Manis medan tunjuk kehebatan Posted: Tanjung Manis medan tunjuk kehebatan Oleh MULLER ASEN PERJALANAN menaiki bot ekspres dari Terminal Bot Ekspres Kuching menghala ke stesen penumpang di Sungai Rajang dekat Tanjung Manis, Sarawak menyebabkan perasaan kaki pancing termasuk pengamal media menjadi girang. Apa tidaknya, fikiran masing-masing terbayang keseronokan beraksi bersama ikan yang tersangkut di mata pancing atau bertarung bersama ikan bersaiz XL di sekitar perairan Kuala Rajang dan Tanjung Sirik di Tanjung Manis. Sebagai medan menguji kehebatan, teman seangkatan sudah memastikan terlebih dulu semua barangan keperluan seperti joran, mata kail, batu ladung, lampu suluh, pisau serta peralatan memancing lain disediakan. Safari Memancing Tanjung Manis 2013 merupakan masa terbaik bagi kaki-kaki pancing tegar di Sarawak mempamerkan segala kemahiran yang dimiliki dalam menaikkan pelbagai saiz ikan. Setelah hampir tiga jam perjalanan, bot ekspres akhirnya sampai ke destinasi. Ada dalam kalangan kaki pancing sudah tidak sabar untuk turun ke laut. Keterujaan dan kehangatan pertandingan semakin dirasai sebaik kaki menjejak jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Tanjung Manis iaitu lokasi pelepasan para peserta safari memancing bagi kategori laut dalam dan pesisiran pantai. Perairan Kuala Rajang dan Tanjung Sirik, di Tanjung Manis sememangnya terkenal dengan ikan lautnya, jadi tidak hairanlah kaki-kaki pancing sudah bersiap sedia dengan joran masing-masing. MENYAKSIKAN panorama matahari terbenam di Tanjung Manis menjadi satu memori indah kepada kaki pancing. Bagi peserta kategori laut dalam, sebaik dilepaskan mereka berlumba-lumba ke tengah laut bagi mencari 'port' terbaik masing-masing. Cabaran Salah seorang peserta iaitu bekas Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata, setiap tahun beliau bersama rakan-rakannya tidak akan melepaskan peluang untuk merasai keseronokan memancing di perairan Tanjung Manis. Menurutnya, cabaran pertandingan tersebut memang dinanti-nantikan ekoran keseronokan dan hasil tangkapan yang lumayan selain pengalaman berdepan ribut di tengah laut. "Apa jua rintangan serta cabaran sepanjang aktiviti memancing ini tidak kami endahkan. Keseronokan menumpaskan dan menaikkan ikan bersama rakan-rakan di tengah laut bukan semua orang boleh merasainya, tambahan pula ketika menyertai pertandingan seperti ini," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini. Umpan Mohamed Khalid yang mula meminati aktiviti memancing ikan sejak di bangku sekolah menggunakan umpan sotong kurita kerana kebarangkalian untuk menangkap ikan besar seperti jenahak, merah, tanda dan kerapu lebih cerah.
"Meskipun umpan sotong kurita berharga RM6 hingga RM8 seekor ia tetap menjadi pilihan kami kerana hasil yang dibawa pulang dari laut pasti tidak mengecewakan. "Kami juga tidak ketinggalan membawa umpan seperti umpan hidup dan udang pasar terutama ketika ingin menaikkan ikan gelama" katanya. Tambahnya, tidak dinafikan aktiviti memancing merupakan hobi yang memerlukan belanja tinggi, namun ia mampu menghasilkan pulangan lumayan kepada kaki pancing terutama kumpulan yang gemar memasuki pertandingan. Dalam pada itu, Safari Memancing Tanjung Manis 2013 di Sarikei pada 22 hingga 23 Jun lalu telah menarik penyertaan seramai 119 kaki pancing bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM28,550. Penganjur, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) menyediakan pelbagai hadiah termasuk wang tunai, trofi dan hamper kepada peserta bagi pelbagai kategori laut dalam dan persisiran pantai. Yuran penyertaan dikenakan sebanyak RM180 bagi kategori persisiran pantai dan RM250 untuk kategori laut dalam. Suasana ketika pertandingan pula tidak ubah seperti sebuah pesta. Kesemua kaki pancing berlumba-lumba mencari lubuk ikan untuk mendapatkan hasil tangkapan yang lumayan. TANGKAPAN hasil laut yang berjaya dipancing oleh peserta. Pengajaran Sementara itu, bagi pemancing cilik, Merichmanson Gason, 9, memberitahu, tidak ramai rakan-rakannya sanggup menunggu berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendapatkan ikan. Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Buyuk, Tanjung Manis itu berkata, dia seronok menyertai pertandingan itu kerana dapat mengisi masa luang selain mengeratkan hubungan dengan keluarganya. "Aktiviti luar sebegini tidak membuang masa saya sebaliknya ia memberi banyak pengajaran berguna seperti sikap sabar dan menghargai alam sekitar. "Selain itu, satu kepuasan yang sukar diungkapkan dengan kata-ata apabila ikan menyentap umpan dan ketika bertarung mendaratkan ikan," katanya. Tambahnya, ibu bapanya tidak melarang menyertai aktiviti memancing malah memberi sokongan termasuk menyertai pertandingan seumpama itu. "Walaupun tidak memenangi sebarang hadiah, saya tetap seronok kerana dapat berjumpa dengan ramai peserta yang mempunyai minat sama," katanya. | |
Penginapan tenang di Kuala Kangsar Posted: Penginapan tenang di Kuala KangsarOleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA BERANDA bilik Suite dan Deluxe merupakan kawasan terbaik untuk melihat panorama Sungai Perak. MELAWAT bandar Kuala Kangsar, Perak seolah-olah seperti berada di sebuah bandar lama. Binaan bangunan yang masih mengekalkan struktur asal sejak zaman pemerintahan British masih jelas kelihatan di segenap bandar diraja negeri Perak itu. Selain itu, seni pembuatan labu di Kampung Sayong dan sulaman kain tekat merupakan antara produk industri kecil dan sederhana yang dihasilkan oleh penduduk di daerah itu. Ia menjadi cenderamata wajib bagi pelancong sekiranya berkunjung ke daerah yang terletak kira-kira 41 kilometer dari pusat bandar raya Ipoh itu. Masjid Ubudiah di Bukit Candan yang dibina pada tahun 1887 atas permintaan Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azam Shah, untuk menunaikan nazar baginda pula merupakan struktur signatur terbesar di Kuala Kangsar. Tidak sah sekiranya pengunjung daerah itu tidak mendekati keindahan seni bina masjid tersebut. Kebanyakan kawasan pelancongan di Kuala Kangsar tertumpu di kawasan berdekatan bandar. Ini membolehkan pelancong berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam ke setiap destinasi. Bagi anda yang bercadang untuk bercuti ke daerah itu, hotel dan inap desa banyak ditawarkan di sekitar bandar mahupun di kawasan kampung. Sungai Perak Resort (SPR) merupakan salah satu pilihan buat untuk anda. SUNGAI Perak Resort merupakan destinasi percutian popular untuk seisi keluarga di Kuala Kangsar. Terletak di tebing Sungai Perak, SPR merupakan antara penginapan popular dalam kalangan pelancong ke Kuala Kangsar. Resort itu diuruskan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar sebelum diswastakan kepada syarikat Awan Bayu Sdn. Bhd. pada tahun 2008. Dari SPR ke pusat bandar Kuala Kangsar hanya mengambil masa selama lima minit dengan menaiki kenderaan. Menawarkan empat bilik Suite, 24 bilik Deluxe, 32 bilik Superior dan lapan bilik asrama, pakej penginapan SPR mengutamakan keselesaan untuk para tetamu. Daya tarikan Pegawai Sumber Manusia SPR, Norhaniza Mohd. Rahni memberitahu, 60 bilik yang ditawarkan merangkumi empat pakej utama itu mendapat tempahan yang menggalakkan daripada pelancong terutama pada musim cuti sekolah dan musim perayaan. "Kedudukan SPR yang strategik dan berdekatan pusat bandar Kuala Kangsar merupakan faktor utama pelancong menginap di sini. Selain itu, panorama Sungai Perak yang menjadi laluan bot-bot pelancong merupakan salah satu daya tarikan bagi tetamu yang menginap di bilik Suite dan Deluxe," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. DEWAN Puteri menjadi pilihan utama para tetamu atau syarikat korporat mengadakan aktiviti berkumpulan. Selain bilik penginapan, SPR juga menyediakan dua buah dewan seminar iaitu Dewan Bayu yang boleh memuatkan 60 orang dalam satu-satu masa manakala Dewan Puteri mampu memuatkan 300 orang untuk sebarang aktiviti korporat mahupun berkumpulan. Menyediakan pelbagai hidangan masakan tempatan dan Barat, Coffee House, merupakan satu-satunya restoran di SPR. Ia dibuka pada pukul 9 pagi hingga 11 malam setiap hari. Selain itu, sebanyak 300 buah tempat letak kenderaan turut disediakan. Para tetamu SPR juga boleh menikmati kemudahan seperti surau, taman permainan dan perkidmatan WiFi percuma. Tambah Norhaniza, pihaknya turut mengadakan promosi resort itu di sekitar Kuala Kangsar. Ia sebagai usaha menarik lebih ramai pelanggan menginap di resort tersebut. "Pasar Minggu Kuala Kangsar di Lembah Sungai Perak pada setiap hari Ahad merupakan lokasi utama promosi. "Kami mengadakan peraduan dan pelbagai hadiah berbentuk baucar penginapan untuk mereka," jelasnya. | |
Posted: Libur di Pulau CorfuHOTEL-HOTEL yang terdapat di Pantai Potamaki Corfu memudahkan para pengunjung menikmati keindahan pantai di pulau ini. AIR laut membiru yang memukau, seni bina klasik zaman Renaissance, monumen bersejarah dan pelbagai warisan budaya tempatan membuatkan Pulau Corfu, Greece menjadi destinasi pelancongan kosmopolitan di laut Mediterranean. Pulau Corfu terletak tidak jauh dari pantai barat Greece mempunyai iklim Mediterranean yang sederhana dan kaya dengan pepohon menghijau jika dibandingkan dengan pulau-pulau lain di Greece. Antara tarikan utama di pulau tersebut ialah Bandar Kerkyra, Gunung Pantokrator, kawasan perkampungan Perithia, Istana Achillion dan Paleokastritsa. Sebuah bandar lama yang dipanggil Old Town Carfu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu. Old Town menjadi kawasan yang menempatkan struktur seni bina klasik seperti baroque yang terkenal pada zaman Renaissance. Berjalan kaki melalui jalan-jalan sempit, berbatu, mendaki anak tangga dan laluan berkubah yang dipanggil 'kantoúnia', akan membuatkan anda berasa seolah-olah mengembara ke Genoa atau Naples. PELANCONG boleh menikmati minum petang yang santai di kebanyakan kafe di Bandar Corfu. Selain itu, jangan ketinggalan mengunjungi bangunan lama dengan seni bina Perancis yang dikenali sebagai Spianáda di Balkans. Anda pasti teruja menyaksikan keunikan binaannya malah bangunan itu masih terpelihara dan anda boleh menyaksikan perlawanan kriket serta konsert muzikal yang dianjurkan sepanjang tahun di situ. Mercu tanda Kunjungan anda kurang bermakna sekiranya tidak menjejakkan kaki di Liston yang merupakan mercu tanda Pulau Corfu. Suatu masa dulu, kawasan ini merupakan tempat golongan aristokrat menghabiskan masa petang mereka. Latar belakang tiang arked di Liston mewujudkan suasana romantik sekali gus menarik kehadiran pasangan yang sedang bercinta. Sambil menikmati kopi di kafe mewah mereka menghayati suasana indah tersebut. PARA pelancong terpesona dengan keunikan pantai di Corfu. Jika bosan dengan kesibukan di Bandar Corfu, pelancong boleh berkunjung ke kawasan pinggir bandar seperti di Mandoúki, Garitsa dan Sarókos. Bagi mereka yang ingin melancong ke Pulau Corfu, pastikan menempah tiket penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kapodistrias, Corfu di Greece. Masa terbaik untuk ke sana ialah sepanjang musim panas iaitu sekitar bulan Mei hingga Oktober. Jadual penerbangan yang kerap di kebanyakan negara Eropah memudahkan anda merancang percutian. Pelancong yang ingin meneroka Pulau Corfu dengan lebih dekat, memandu kereta merupakan alternatif terbaik. Lokasi penginapan yang dicadangkan di Pulau Corfu ialah Vila Emilios di Kalami, Vila Andreas di Kassiopi dan Vila Eos di Kendroma dengan kadar sewa antara RM420 hingga RM470 semalam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |