Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Posted: Model Proton paling premiumOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN INTERNET membuatkan banyak benda dalam hidup ini menjadi kurang eksklusif dan tiada kejutan. Sebagai contoh, jika dahulu, pengguna terpaksa menunggu hari pelancaran rasmi untuk melihat sesebuah kereta baharu, kini semuanya boleh dilihat jauh lebih awal. Dilihat dari segi positifnya, pengguna dilengkapi dengan lebih banyak maklumat. Maka, tidaklah pembelian kereta dibuat atas dasar dengar cakap orang atau termakan kata-kata manis jurujual di bilik pameran. Model terbaharu pengeluar kenderaan nasional, Proton iaitu Suprima S tidak terkecuali. Sejak beberapa bulan lalu, berpuluh-puluh keping 'gambar curi' model berkenaan disiar di internet. Malah, gambar kereta itu diangkut oleh trak, lengkap dengan pelekat namanya pun sudah tersiar. Jadi, apa yang tinggal ketika majlis perasmian adalah harga sebenar yang ditawarkan, varian dan perincian-perincian lain. Bosan juga bukan? Proton memperkenalkan model Suprima S selepas 18 bulan menawarkan sedan yang dikatakannya sebagai yang terbaik setakat itu, Proton Preve. Harus diakui bahawa Preve menjadi bukti kesungguhan Proton untuk menghilangkan stigma negatif orang ramai terhadap produk keluarannya. Proton sebenarnya berada dalam keadaan yang unik. Ketika ramai yang menjadi pengutuk setianya, tidak kurang juga yang tidak pernah jemu menyokong jenama kereta tempatan itu. Suprima S tampil sewaktu Proton perlu memenuhi ekspektasi menggunung daripada pengguna tempatan. Tidak boleh salahkan pengguna 100 peratus. Mereka mempunyai semua alasan untuk memberi reaksi sedemikian. Apatah lagi selepas ia diambil alih oleh pemilik barunya, DRB Hicom dan usia Proton menceburi sektor automotif sudahpun mencecah lebih 25 tahun. GARIS badan pada bahagian tepi jentera menonjolkan sifat sportynya. Sedar atau tidak, rakyat Malaysia sebenarnya mahu melihat sejauh mana DRB Hicom mampu menukar nasib Proton dan menjadikannya satu jenama yang disegani. Bukan sekadar bergantung kepada jualan domestik untuk meneruskan kelangsungan jenamanya. Nama Suprima diambil daripada perkataan bahasa Inggeris "Supreme" yang membawa makna agung. Sementara S pula bermaksud Sport. Biarpun dibina berasaskan kepada model Preve, Proton tidak mahu Suprima S dikaitkan dengan sedan tersebut. Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa hatchback itu mungkin menjadi pemula kepada satu rangkaian model lain yang lebih sporty. Ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive dan Premium, jentera itu dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohammed. Di bawah tangan pasukan pereka Proton, rekaan Suprima S hadir sebagai sebuah hatchback yang tidak mengecewakan. Berpaksikan kepada hala tuju rekaan terbaharu dikenali sebagai Proton Wings, Suprima S jelas memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang kemas serta moden. Bahagian hadapan diserlahkan menerusi rekaan lampu utama jenis projektor bersama butiran LED yang nipis. Gril radiatornya kini menggunakan gril honeycomb berwarna hitam untuk kelihatan lebih sporty. Rekaan perumah lampu kabus pula dikatakan berfungsi untuk mengalirkan udara bagi tujuan penyejukan enjin. Rekaan bahagian belakang Suprima S nampak ringkas dengan sepasang lampu LED. Penampilan itu disempurnakan dengan penggunaan rim aloi bersaiz 17 inci untuk model Premium, manakala Executive pula 16 inci.
Ada sebab kenapa Suprima S menerima penarafan lima bintang oleh Australia NCAP. Hatchback itu dilengkapi sistem keselamatan aktif dan pasif. Ia terdiri daripada sistem brek ABS, EBD, ESC, kawalan cengkaman dan ISOFIX. Malah, enam beg udara menjadi ciri standard untuk kedua-dua varian Suprima S, pertama pada model Proton. Suprima S dikuasakan oleh unit enjin sama seperti yang ada pada Preve. Enjin Campro bersesaran 1.6 liter dengan sistem pengecas soft turbo itu mampu menjana kuasa sebanyak 138hp @ 5,000 rpm. Sementara kuasa tork 205Nm pula boleh diperoleh ketika rpm mencecah takat 2,000 hingga 4,000rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Punch VT3 CVT tujuh kelajuan. Proton menyatakan bahawa transmisi CVT itu telah menerima talaan baru bagi disesuaikan dengan profailnya sebagai sebuah jentera sporty. Kalau mahu varian manual, anda kena tunggu kerana versi itu akan ditawarkan oleh Proton tidak lama lagi. Menyentuh tentang prestasi pula, hatchback segmen C itu berupaya mencapai kelajuan 0-100km/j dalam tempoh 9.9 saat dengan kelajuan maksimum 190mk/j. Penggunaan bahan api pula dianggarkan sebanyak 9.1 liter untuk setiap 100km. Sebenarnya angka itu sedikit tinggi jika dibandingkan dengan Preve yang mencatatkan bacaan 8.2 liter untuk setiap 100km. Sebabnya, Suprima S adalah 35 hingga 55kg lebih berat berbanding Preve berikutan penggunaan cermin lebih besar. Selain mungkin tahap ketegaran kerangka yang telah dipertingkatkan. Selepas lama menghilang, Proton mengembalikan emblem "Handling by Lotus" kepada Suprima S. Saya yakin, ramai yang percaya dengan kualiti pengendalian jitu model-model keluaran Proton. SUSUN atur butang kawalan pada stereng dan papan pemuka Suprima S mudah dicapai oleh pemandu. Setup chasis hatchback ini terdiri daripada sistem suspensi jenis topang MacPherson untuk roda hadapan. Ia dipadankan dengan suspensi multi-link dan bar penstabil bagi roda belakang. Input pemandu pula diserahkan kepada stereng kuasa hidraulik yang menjanjikan kualiti pengendalian memuaskan. Disifatkan sebagai model Proton paling premium setakat ini, Suprima S hadir dengan pelbagai ciri inovatif. Sebagai contoh, sistem audio Android dengan kemampuan WiFi untuk melayari internet, ciri Hill Hold Assit dan banyak lagi. Bunyi daripada sistem audio Android yang pertama untuk OEM di Malaysia itu disalurkan menerusi enam unit pembesar suara (Premium). Bagi mereka yang berminat, Suprima S boleh anda miliki pada harga bermula RM76,338 (Executive) hingga RM79,988 untuk model Premium. Ini adalah harga di atas jalan, lengkap bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000 kilometer (km). Selain program Free Road Assist Proton selama lima tahun. Sebenarnya, Suprima S memasuki daerah yang sudah pun dihuni oleh pesaing-pesaing seperti Honda Jazz, Ford Fiesta dan Kia Rio. Di atas kertas, ini nyata bukan satu tugas yang mudah. | |
Posted: Dibina untuk kembaraOleh SHAWKATH AZDE XJ6 Diversion boleh dikategorikan sebagai jentera mudah dikendalikan biarpun anda seorang penunggang amatur. SEKITAR pertengahan tahun 2011 menyaksikan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) mengorak langkah menceburi segmen motosikal kelas pertengahan menerusi pengenalan model XJ6 Diversion. Model yang dilancarkan di Port Dickson, Negeri Sembilan itu merupakan salah satu daripada tiga varian dalam rangkaian keluarga XJ6 iaitu semi fairing. Dua lagi varian lain yang tersedia di pasaran global ialah XJ6 (naked) dan XJ6 Diversion F. Tidak lupa juga beberapa versi yang dilengkapi sistem brek antikekunci (ABS). Model XJ6 Naked telah menemui peminat tempatan pada tahun lalu dan telah diuji awal bulan Jun lalu. Kolum tunggang uji kali ini mengetengahkan model naik XJ6 Diversion 2013. Perbezaan utama antara model naik taraf dan edisi 2011 tidak begitu signifikan. Ia hanya melibatkan transformasi kosmetik iaitu cat baharu, perumah lampu isyarat membelok dan pemegang tempat duduk belakang. Tiada sebarang perubahan dilakukan pada enjin XJ6 Diversion edisi 2013. Hamburan kuasa masih diperoleh daripada enjin empat silinder sebaris. Ledakan kuasa didapati masih linear dan sama seperti varian naked. Kuasa kilas mudah diperoleh pada pusingan enjin seminit (RPM) rendah. PANEL meter yang diasingkan daripada hendal memaparkan pelbagai maklumat semasa kepada penunggang. Sesi tunggang uji kali ini diadakan di kawasan bandar, laluan lebuh raya dan jalan lama dari Kuala Lumpur menuju Ipoh, Perak sebelum kembali semula ke ibu kota. Pada awalnya, saya memiliki satu persepsi bahawa varian XJ6 Diversion sedikit sukar untuk dikemudi di laluan sempit berbanding model naked. Mungkin tanggapan itu disebabkan oleh saiz fairing hadapan yang sedikit besar dan gagal melihat roda hadapan apabila duduk di atas pelana jentera. Tanggapan itu sebenarnya tidak benar setelah saya mengharungi kesesakan di Jalan Kuching di ibu kota pada waktu puncak. Apa yang pasti, ia bukan mendatangkan masalah besar untuk jentera ini menyelinap masuk antara barisan kenderaan empat roda. Cuma perhatian perlu diberikan pada cermin pandang belakang kerana saiznya agak besar dan sedikit terkeluar. Jika leka, berkemungkinan perumah cermin itu akan bergesel pada cermin pandang sisi kereta. Tetapan suspensi belakang berjaya memuaskan hati saya. Ia melaksanakan tugas dengan cemerlang. Kadar rendamannya selari dengan corak tunggangan saya. Jika ia terlalu keras atau lembut, anda boleh mengubah tetapan secara manual. Laluan di jalan lama benar-benar melonjakkan keseronokan tunggangan jentera seberat 205 kilogram ini. Aspek kestabilan boleh diberi pujian. Responsnya agak lincah dan tidak banyak tenaga diperlukan untuk mengemudi jentera di kawasan selekoh. TIADA sebarang talaan baharu diberikan kepada rangkaian kuasa asal XJ6 Diversion Berbekalkan ergonomik ketinggian pelana dan posisi hendal, motosikal bersesaran 600cc ini boleh dikategorikan sebagai produk untuk mereka yang ingin menaik taraf jentera sedia ada. XJ6 Diversion mudah mencecah paras kelajuan 200 kilometer sejam (km/j) dan kesan tamparan angin disalurkan keluar menerusi penghadang angin yang berada di hadapan instrumen meter. Pengisian dua kali tangki petrol penuh membolehkan saya mencapai jarak tunggangan sejauh 738km. Secara purata, satu liter menawarkan jarak perjalanan sejauh 20km. Setakat ini, sudah lebih 1,000 unit motosikal itu dijual kepada pelanggan sejak diperkenalkan pada 2011. Mungkin angka jualan itu masih kecil namun ia tidak bermakna XJ6 Diversion bukan sebuah model motosikal yang bagus. Cubalah tunggang dahulu. Silap-silap boleh terpikat. | |
Posted: Nissan Almera ImpulOleh MUHAMMAD MD TAJUDIN BUMBUNG Almera mewarisi rekaan model Nissan 370Z. NISSAN Almera merupakan produk terlaris Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) selaku pengedar dan pemasang rasmi kenderaan Nissan di Malaysia. Buktinya boleh dilihat di atas jalan raya. Bilangan pemandu Almera nyata jelas. Faktor penting jualannya adalah harga yang berpatutan, saiz besar dan keyakinan pengguna terhadap jenama Nissan itu sendiri. Faktor lain ialah Almera merupakan produk paling baharu jika dibandingkan dengan pesaing lain seperti Toyota Vios, Honda City dan Proton Persona. Sewaktu Almera mula-mula diperkenalkan, saya baru sahaja selesai memandu uji Nissan Grand Livina Impul. Pada waktu itu, saya sempat meminta pegawai ETCM untuk memberikan slot pandu uji Almera Impul berbanding Almera standard. Model talaan Impul sebenarnya lebih saya gemari memandangkan karakternya yang lebih sporty. Bagaimanapun, saya diberi peluang untuk memandu uji Almera standard dahulu dan ternyata ada hikmahnya. Seperti yang pernah ditulis sebelum ini, ETCM berjaya mengarus perdanakan aksesori sporty yang membuka satu lagi pasaran iaitu pemandu muda. Manakan tidak, melalui Nissan Grand Livina terdapat tiga aksesori rasmi iaitu Nismo, Impul dan Autech. Ketiga-tiga jenama tersebut bukan nama picisan kerana mereka sendiri terlibat dalam perlumbaan besar seperti Super GT Jepun. Jika dahulu peminat peralatan prestasi perlu menjelajah kedai half-cut atau membeli aksesori 'cap ayam' untuk memberi kelainan pada kenderaan, kini mereka boleh menempah di bilik pameran. Tambahan pula peralatan tersebut baharu dari kilang dan telah diuji terlebih dahulu. KAPASITI ruang kargo sedan ini agak luas untuk simpanan barang sewaktu pulang ke kampung halaman. Dari luar, kit badan Impul berjaya mengubah karakter standard Almera. Peralatan Aero Kit Impul terdiri daripada gril, spoiler bawah bampar depan dan belakang, spoiler bonet belakang serta skirt sisi. Jujurnya, saya masih lagi gagal untuk menghadam bahasa rekaan Almera yang konservatif. Ia tidak sama dengan bahasa rekaan pengeluar Jepun lain yang tajam dan menangkap. Rekaan bahagian depan dan sisi nampak seperti ada konflik dengan wajah depan yang comel digabungkan dengan sisi yang berkotak. Namun, Aero Kit Impul berjaya mengubah semua itu. Selepas merenung panjang, baru saya nampak terdapat pengaruh rekaan Nissan 370Z pada badan Almera terutama bagaimana bumbung dan tiang C mendarat ke bonet belakang. Almera nampak seperti sebuah sedan kecil tetapi saiznya adalah besar. Jika diletakkan bersebelahan dengan Proton Persona, Almera kelihatan lebih besar. Bahasa rekaan Almera sebenarnya menarik untuk dikaji dan dibahas. Memandu uji Nissan Almera talaan Impul sememangnya memberikan pengalaman berbeza. Kereta itu dilengkapi suspensi sport Impul terdiri daripada penyerap hentak dan spring yang merendahkan Almera sebanyak 25 milimeter. ALMERA memperoleh kuasa daripada enjin jenis 1.5 liter CVTC. Dari segi pemanduan dan pengendalian, Almera standard sudah pun mempunyai set suspensi yang bagus dalam menyerap hentakan lopak dan bonggol cuma olengannya kurang mantap. Set suspensi Impul berjaya memadam talaan tersebut, di samping mengekalkan keberkesanan menyerap hentak dan mampu memberi keyakinan tinggi sewaktu mengambil selekoh. Cuma mungkin individu yang tidak biasa akan mengadu mengenai kekerasan suspensi sport. Hubungan antara jalan raya dan kereta ditemukan oleh roda aluminium Impul HS-06 yang dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Directional 5 bersaiz 205/50 R16. Kombinasi rim dan tayar yang senyap dan tidak keras cemerlang serta sesuai untuk pemanduan sporty. Jurutera Impul boleh dipuji dalam mendapatkan keseimbangan antara keselesaan dan prestasi dalam penalaan semula sedan keluarga ini. Mengenai kuasa pula, enjin Almera disegarkan semula dengan penggunaan peredam bunyi Impul Blast 2. Perubahan yang dirasakan tidak banyak, selain daripada bunyi ekzos yang tidak ketara dan boleh dikatakan sekadar ada. Namun ia tetap diperlukan bagi mengubah sedikit karakter enjin 1.5 liter CVTC yang linear. Sewaktu memotong atau mendaki bukit apabila transmisi ditukar secara automatik, enjin terasa kasar dan bunyi yang kuat memasuki kabin. Semasa memandu dalam keadaan biasa, bunyi enjin cukup senyap. Konsep rekaan yang tinggi menjadikan Almera terasa luas terutama pada bahagian penumpang belakang. Kerusinya pula selesa untuk diduduki dan tiada masalah untuk membawa penumpang untuk menempuh perjalanan jauh. TONA gelap ruangan dalam meningkatkan lagi elemen sporty produk ETCM. But juga boleh tahan dan senada dengan budaya rakyat kita yang suka pulang ke kampung. Dari segi gajet pula, Almera versi Impul didatangkan dengan sistem navigasi, kamera undur dan pemain DVD dengan paparan skrin sentuh. Cuma yang menjadi isu adalah paparan sistem navigasi yang tidak berapa intuitif dan boleh ditambah baik. Almera yang dipandu uji juga dilengkapi dengan penyaman udara digital dan butang penghidup enjin (push start button). Kesimpulannya, Nissan Almera talaan Impul berjaya mengubah karakter luaran, pemanduan dan pengendalian standard terutama untuk pelanggan muda atau mereka yang muda di hati. Saiz kabin dan but yang luas menjadikan Almera kereta yang ideal untuk semua. Dilema kebanyakan golongan ini ialah kereta yang nampak jauh lebih tua daripada usia pemandu itu sendiri dan di sinilah aksesori memainkan peranannya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |