Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Semangat beraya tidak pernah luntur Posted: Semangat beraya tidak pernah lunturJAUH beribu batu nautika di tengah laut meraikan suasana hari raya tanpa keluarga tercinta sudah cukup membuatkan hati sang perantau terusik. Apatah lagi, jika ia merupakan pengalaman kali pertama atas tuntutan kerjaya. Namun, sambutan Aidilfitri menjadi ceria dengan kehadiran kru kapal lain yang sama-sama berusaha menjadikan suasana lebaran meriah. Seorang jurutera elektrik syarikat pembekal utama luar pesisir pantai dalam industri minyak dan gas, Mohd. Fithri Kamalludin, 29, berkongsi pengalamannya berjauhan dengan keluarga dan sanak saudara pada pagi Aidilfitri buat julung-julung kalinya kerana bertugas. Pada petang Syawal dua tahun lalu, Mohd. Fithri berada di laluan perdagangan antarabangsa berhampiran Johor Bahru, Johor menuju ke Vietnam. "Pada mulanya saya berasa sayu selepas diberitahu oleh syarikat yang saya akan bekerja di atas kapal pada hari lebaran. "Bagaimanapun, perasaan itu berubah kerana berpeluang merasai pengalaman menyambut Aidilfitri di tengah laut bersama teman sekerja," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu. Menurut anak kelahiran Klang, Selangor itu, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, kesemua kru akan berkumpul dan menjamu selera menikmati juadah seperti nasi himpit, rendang dan kuih raya. Rindu kuah lodeh Walaupun masih berkesempatan menyambut hari raya secara ala kadar, Mohd. Fithri tetap rasa terkilan kerana tidak dapat menikmati hidangan lodeh hasil air tangan ibu tercinta. Pada sambutan raya sebelumnya, dia berpeluang bersarapan bersama keluarga, menunaikan solat sunat Aidilfitri, bertandang ke rumah sanak saudara dan berjumpa kawan-kawan lama. Itu antara perkara yang paling dirinduinya ketika menyambut 1 Syawal tanpa keluarga. Ibunya, Ruhayah Mahmod, 64, memberitahu, kehadiran Mohd. Fithri yang lengkap berbaju Melayu, bersamping dan bersongkok segak pasti terbayang di mata saat anaknya tidak dapat beraya bersama buat kali kedua tahun ini. "Ketiadaannya membuatkan kami rasa kehilangan dan menjadi sayu kerana mengenangkan dia yang berada jauh di tengah laut. Hati memang merintih pedih tetapi hanya doa dapat saya panjatkan untuknya. "Saya akan melihat album raya tahun-tahun sebelum ini bagi mengubat kerinduan di hati," ujarnya yang juga seorang penulis novel yang dikenali dengan nama Puteri Andalas. MOHD. FITHRI (dua dari kanan) bergambar bersama kru kapal pada sambutan Syawal dua tahun lalu. Perkara yang paling dirindui mengenai anak bongsunya itu ialah ciuman pada tangan dan pipinya. Keramahan Mohd. Fithri menyambut tetamu membuatkan sanak saudara menyedari ketiadaannya pada lebaran. Hati si ibu dicuit rasa hiba tatkala ada saudara yang bertanyakan tentang anaknya. "Sebagai anak lelaki tunggal dan bongsu, dia disayangi oleh adik-beradik dan anak-anak saudaranya. Dia juga seorang yang pemurah kerana sering membelikan pelbagai hadiah untuk kami sekeluarga," jelasnya. Tujuh kali beraya di laut Dalam pada itu, eksekutif perkhidmatan marin sebuah syarikat swasta, Syed Muhammad Thareiq Syed Husin, 29, yang berasal dari Skudai, Johor Bahru, Johor turut menceritakan pengalamannya menjalani ibadah puasa dan raya kali pertama di atas kapal iaitu sekitar sedekad lalu. Pada ketika itu, dia merupakan pelajar Akademi Laut Malaysia yang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat perkapalan terkemuka yang berpangkalan di Malaysia. Katanya, dia sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga dan menyambut Syawal bersama petugas luar negara yang rata-ratanya tidak dikenali. Suasana bulan Ramadan di kapal meriah kerana kru kapal tidak melepaskan peluang berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Sepanjang lapan tahun bekerja dalam bidang perkapalan dan cari gali, Syed Thareiq cuma berpeluang beraya di daratan bersama keluarga sebanyak sekali. Tambahnya, dia pernah belayar ke Belanda, Jepun dan Amerika Syarikat ketika umat Islam lain sedang meraikan Syawal. "Semasa kapal berlabuh di Jepun, saya dan kawan-kawan sempat membeli gitar elektrik untuk jamming di bilik (atas kapal) selepas selesai menjamah juadah hari raya. Ia sedikit sebanyak mengurangkan kerinduan terhadap keluarga dan suasana hari raya. "Selepas selesai solat sunat Aidilfitri dan bersalaman dengan kawan-kawan, kami menikmati hidangan raya seperti sate, ketupat dan capati. Kemudian, kami mengadakan sukaneka dan barbeku pada sebelah malam," ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini. Bagaimanapun, segelintir kru akan menyambung tugasan mereka seperti biasa mengikut jadual yang ditetapkan biarpun semangat berhari raya belum luntur. SYED THAREIQ (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama rakan sekerja yang lengkap berbaju Melayu pada Hari Raya Aidilfitri. Mengimbau kembali kenangan sewaktu ingin menghubungi keluarga pada Syawal tahun 2008, Syed Thareiq terpaksa membeli kad tambah nilai yang berharga AS$20 (RM64) untuk menggunakan telefon satelit. Nilai tersebut membolehkannya berhubungan dengan insan tersayang selama lebih kurang setengah jam. Difahamkan, sesetengah kapal sudah menyediakan teknologi terkini iaitu wi-fi yang membolehkan petugasnya menggunakan laman sosial seperti Skype dan Facetime untuk berinteraksi dengan keluarga masing-masing walaupun berada jauh di lautan. Telefon satelit Sementara itu, Penyelia Pengeluaran Petronas Cari Gali, Mustapah Mase, 40, berkata, kemudahan panggilan telefon daripada Telekom Malaysia ada disediakan di pelantar minyak ERB West (Enlisted Retention Board) di Kota Kinabalu, Sabah. Setiap pekerja diberi peluang menghubungi keluarga secara bergilir-gilir. Kos untuk membuat panggilan luar dikenakan caj RM5 seminit. "Di pelantar ERB West, kemudahan telefon satelit disediakan oleh syarikat telekomunikasi Celcom dan digunakan pada masa kecemasan sahaja iaitu sewaktu talian Telekom terputus. "Pihak syarikat menyediakan akses kepada internet melalui satelit. Kebiasaannya, pekerja dan keluarga masing-masing akan saling mengirim gambar raya bagi mengubati kerinduan mereka," jelasnya yang pernah beraya sebanyak empat kali di pelantar minyak. |
Posted: Keunikan roti JermanBERLIN menjadi saksi kepada banyak sejarah penting Jerman. "RASANYA sama seperti roti yang dibuat di rumah," kata pakar roti Jerman, Karl-Dietmar Plentz. Dia kemudian mencelup tangannya ke dalam sebuah dulang berisi tepung dan mencanainya menjadi 26 buku roti sebelum membakarnya di dalam ketuhar di premis perniagaan keluarganya yang berusia 136 tahun di Schwante, Jerman. Di sebelahnya, seorang pekerja cekap menguli dua doh menggunakan kedua-dua belah tangan menjadi bentuk serupa yang kemudian dipotong menggunakan sebuah mesin. Doh-doh itu merupakan roti kentang yang menjadi kepakaran Pletz. Lelaki itu membuat roti dengan kaedah yang diperturunkan oleh datuknya. Pembuat-pembuat roti di Jerman mendesak supaya tradisi membuat roti mereka diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya dunia. Antara kesenian yang termasuk dalam senarai itu ialah tarian tango dari Argentina, sulaman karpet (barat daya Iran) dan hidangan empat sajian (Perancis). "Pesona Jerman yang cukup kaya dengan bermacam-macam jenis roti sepatutnya diambil kira sebagai aset budaya global," kata Plentz, 46. Merupakan generasi keempat pembuat roti yang berasal dari timur laut Jerman, Plentz berpendapat sifat individual setiap pembuat roti sangat penting dan unik. Untuk menjaga tradisi itu bukan mudah kerana banyak pasar raya dan stesen minyak berebut-rebut menjual roti, kek dan pastri yang dibuat dengan kaedah yang lebih moden. Malah perubahan gaya hidup yang menyaksikan manusia sentiasa bergerak turut memberi kesan kepada abendbrot iaitu tradisi makan roti bersama daging sejuk pada lewat malam. Menurut Persekutuan Perdagangan Perusahaan Bakeri Jerman, lebih kurang 500 kedai bakeri ditutup sepanjang tahun lalu. STEFFEN HAENSCH mengangkat roti kentang dari ketuhar. Produk kebanggaan Presidennya, Peter Backer berkata, kepelbagaian roti menjadi asas untuk membida perhatian UNESCO supaya mengiktiraf produk roti kebanggaan mereka. "Di Perancis terdapat roti baguette, manakala ciabatta dari Itali. Saya fikir hanya Jerman yang mempunyai variasi roti mil penuh dan roti gandum terbaik," katanya. Jerman akan menjadi negara ke-153 mengadakan Persidangan Kepentingan Warisan Budaya Tidak Terperi UNESCO 2003 pada minggu ini dengan membabitkan 16 buah rantau yang sedang mengumpul kertas kerja untuk dimasukkan dalam inventori kebangsaan Jerman. Ia merupakan syarat wajib untuk dimasukkan ke dalam senarai UNESCO. Kata wakil Suruhanjaya Jerman untuk UNESCO, Benjamin Hanke, sejarah permulaan Jerman menyertai persidangan itu agak kabur berikutan peningkatan kebimbangan terhadap kemasukan tradisi yang diputarbelitkan oleh pihak Nazi atau rejim pentadbiran Jerman Timur. Persekutuan pembuat roti Jerman telah mengadakan gala Hari Roti buat kali pertama bulan lalu dengan melantik dua Brotschafter, iaitu gabungan perkataan duta dan roti serta pengenalan Daftar Roti. Jatuh cinta Setakat ini, kira-kira 3,000 jenis roti telah disenaraikan. Roti Jerman menerima sokongan individu istimewa baru-baru ini, Tammy, iaitu isteri duta Amerika Syarikat (AS) ke Berlin, Philip Murphy. Tammy memberitahu pemberita bahawa beliau telah mengesyorkan makanan itu kepada wanita pertama AS, Michelle Obama pada sesi lawatannya ke Jerman. "Ia lebih baik daripada segala-galanya," katanya penuh teruja. "Kepelbagaian pilihan roti di Jerman sebahagian besar disebabkan oleh iklim negara itu. Ia membolehkan semua jenis tanaman hidup subur," kata Backer. Namun, sejarah dan geografi juga memainkan peranan, tambahnya. Ujarnya, roti juga menjadi satu cara untuk komuniti kecil yang bertaburan merentasi Jerman membentuk identiti masing-masing. "Jerman terletak di sepanjang perjalanan ke laut, banyak bangsa datang ke sini. Sebagai contoh, Napoleon dari Perancis telah berhenti sebentar di Hamburg dan kami mempunyai Franzbroetchen (roti kecil Perancis) yang pastinya berasal dari zaman pemerintahan Napoleon dahulu. "Saya percaya semua bangsa meninggalkan kesan mereka di sini," kata Backer. JERMAN mempunyai pelbagai jenis roti yang berbeza mengikut wilayah. Menarik perantis baharu Peniaga roti kini mengunakan media sosial bagi menarik bakat-bakat muda selepas bilangan perantis menurun hampir 30 peratus sejak tahun 2007. "Kami mendapatkan perantis yang diingini melalui Facebook," kata Plentz mengenai pelatih berbangsa Sepanyolnya, Guellem Xanxo, 24, yang mula belajar awal bulan ini untuk tempoh dua tahun. Plentz, yang mempunyai seorang anak lelaki dan empat perempuan, tidak tahu siapa antara anaknya yang akan mewarisi perniagaan yang diceburinya sejak zaman persekolahan itu. Perniagaan tersebut menggaji kira-kira 100 pekerja di lima buah cawangan di wilayah Oranienburg, 35 kilometer dari Berlin. Plentz pernah menjadi budak suruhan semasa mula-mula masuk ke alam perniagaan itu, iaitu selepas berhenti sekolah ketika rejim Jerman Timur berkuasa. Cita-citanya untuk menyambung pelajaran terbantut akibat kepercayaan Kristiannya di samping kegagalan menyertai kumpulan-kumpulan remaja komunis. Walaupun begitu, dia langsung tidak menyesal. Dia sebaliknya bangga terhadap kerjanya, malah menghias kedai bakerinya dengan peralatan-peralatan lama. Bagi lelaki ini, pengiktirafan UNESCO akan menjadi pengesahan mutlak dan satu pengiktirafan terhadap kaedah-kaedah lama membakar roti seperti ketuhar kayu yang masih digunakan. Dia turut mengikut perubahan semasa, tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kualiti roti yang dihasilkan. "Saya menggunakan mesin untuk menggulung roti kentang, tetapi saya lebih percaya kepada kepakaran manusia. Ada perbezaan pada kualiti roti yang dibuat dengan tangan dan yang menggunakan mesin. "Roti saya masih sama seperti zaman datuk saya dahulu," katanya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |