Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Dana Dettol untuk MyKasih
PAKAR kebersihan diri, Dettol telah mengumpul dana sebanyak RM25,000 menerusi kempen Charity Drive Ramadan untuk diberikan kepada pertubuhan sukarela MyKasih. Pelanggan yang membeli produk Dettol bernilai RM20 di pasar raya Giant secara automatik telah menyalurkan sebanyak 50 sen ke dalam dana terbabit. Selaku peneraju dunia produk antiseptik yang memberikan perlindungan daripada kuman, Dettol tampil mendidik kanak-kanak dan isi rumah mengenai kepentingan mengekalkan amalan kebersihan yang baik. "Kami bangga dapat menyebarkan mesej kebersihan dan menggalakkan pengguna mengamalkan tabiat menjaga kebersihan. "Untuk membuatkan kempen ini lebih bermakna, kami menyeru para pelanggan supaya bersama-sama menjayakannya," kata Pengarah Jualan Reckitt Benckiser, Raghu Krishan. Wang yang dikumpul digunakan untuk menyokong program Sayangi Jiranku dan Sayangi Sekolahku MyKasih. MyKasih, sebuah organisasi bukan bermotifkan keuntungan, sebelum ini pernah menganjurkan program kesedaran kesihatan dan celik kewangan, pendidikan kanak-kanak serta program latihan kemahiran kepada golongan yang kurang bernasib baik di Malaysia. "Sumbangan RM25,000 ini akan digunakan untuk program Sayangi Jiranku sekali gus memeriahkan lagi sambutan hari raya buat golongan berkenaan," ujar Pengarah Urusan Yayasan MyKasih, Jeffrey Perera pada majlis penyampaian replika cek di Pasar Raya Giant Bandar Kinrara, Puchong, Selangor baru-baru ini. Pengurus Besar Pemasaran GCH, Norine Erica Majaman pula memberitahu, pelanggan Giant sangat responsif terhadap kempen yang dijalankan. Acara kemuncak majlis tersebut menyaksikan kanak-kanak dari MyKasih mengadakan persembahan demonstrasi tujuh langkah penting membasuh tangan. Turut hadir pengacara televisyen Azura Zainal, pelakon Siti Saleha, Miss Tourism International 2011, Gabriella Robinson dan Miss World Malaysia 2011, Chloe Chen. | |
Ruang istirehat Lux manjakan pengguna Posted: Ruang istirehat Lux manjakan penggunaRUANG istirehat Lux Scentsational Lounge mengembara di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia untuk bertemu pengguna. LUX, jenama mandian badan dengan wangian eksklusif, baru-baru ini tampil dengan idea baharu untuk memanjakan para pengguna. Lux Scentsational Lounge merupakan sebuah ruang istirehat bergerak yang mengembara ke seluruh negara bagi menghidupkan pengalaman wangian eksklusif dalam mandian. Ruang tersebut dilengkapi empat kubikel spa kaki peribadi, sebuah ruang istirehat yang luas dan zon wangian eksklusif. Pengurus Jenama Lux, Siti Suhaila Abdul Hamid berkata, Lux Scentsational Lounge memberikan pengalaman penuh glamor menerusi penyediaan pencahayaan cerah, dekorasi bergaya dan warna-warna lembut. Pengunjung juga diberikan rawatan spa kaki percuma menggunakan sabun mandian Lux bagi membasuh kaki sebelum urutan kaki yang menenangkan. Wangian eksklusif ini dicipta oleh seorang pakar wangian terkemuka dunia, Ann Gottlieb. Gottlieb pernah tampil bersama wangian seperti Obsession, CK One dan Eternity untuk Calvin Klein, Daisy Marc Jacobs serta J'Adore Christian Dior. "Kini, pelanggan Lux boleh menikmati mandian dengan wangian kekal hasil ciptaan pereka haruman terkemuka. Ia suatu yang unik bagi Lux," ujar Siti Suhaila. Untuk menikmati rawatan spa kaki, pengunjung hanya perlu membuat temu janji apabila Lux Scentsational Lounge berada di lokasi. Jadual jelajah Lux boleh diperoleh di laman www.facebook.com/Lux. Sabun mandian Lux disediakan dalam dua saiz botol iaitu botol 700 mililiter (ml) dijual pada harga RM15.90 dan 220ml berharga RM6, manakala pek isian semula ditawarkan pada harga RM8.90. | |
Menulis selagi kudrat masih ada Posted: Menulis selagi kudrat masih ada
SEGALA-GALANYA bermula apabila kerinduan terhadap dunia penulisan diutarakan kepada rakan-rakan bekas wartawan yang pernah berkhidmat di syarikat-syarikat akhbar tempatan. "Kami tetap menulis selepas berhenti kerja, apabila ia dihantar ke majalah belum tentu disiarkan. Maka, simpan sahaja artikel itu di rumah," kata penulis majalah Juwie, Munir Ghazali ketika ditemui pada majlis pelancaran majalah tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Majlis tersebut turut dihadiri bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad Menceritakan permulaan majalah itu, Munir menjawab, kecintaan terhadap dunia kewartawanan mendorong beliau untuk mengumpul penulis seangkatan. "Perbincangan berlangsung selama lebih tiga bulan, iaitu bermula sekitar bulan Mac lalu dan menjadi mudah apabila cadangan tersebut mendapat persetujuan mereka," ujarnya. Majalah Juwie disasarkan kepada semua peringkat usia dan pada asalnya dicadangkan berjudul Juwita. "Judul tersebut kedengaran terlalu kewanitaan dan pasti orang ramai menyangka Juwita merupakan majalah untuk kaum wanita sahaja," cerita Munir lagi. Lantas, nama singkatan Juwie dipilih kerana mempunyai nilai jenama selain empunya diri iaitu wartawan hiburan terkemuka, Juwie atau nama sebenarnya, Abdul Jalil Salleh, turut menjadi penulis jemputan majalah berkenaan. Majalah Juwie memberi fokus kepada tiga perkara iaitu kisah masyarakat, misteri dan rencana hiburan. Antara barisan penulis undangan termasuk bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan dan bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, Ahmad Idris (Abi), Bahyah Mahmud (BAM), Maimunah Yusof, Zainol Fakir dan Rosle Azmi. Pengisian majalah Juwie menjadi lebih bermakna apabila disertai penulis jemputan dari negara-negara jiran seperti Eddy Susanto dan Suwito dari Indonesia serta Judalina Ali dari Singapura. "Setiap keluaran mengandungi 35 artikel rencana dan tidak hanya berkisar kepada cerita masyarakat Malaysia. "Kami mempunyai wakil dari Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei, maka tidak salah menggangap bahawa Juwie adalah satu majalah Nusantara," kata Ketua Pengarang Juwie, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail. Majalah Juwie telah diterbitkan untuk dua keluaran pada bulan Ogos ini dan cetakan pertama mencecah 30,000 naskhah. Dijangkakan dalam tempoh enam bulan akan datang jumlah itu akan meningkat kepada 40,000 sehingga 50,000 naskhah sebulan. Juwie dijual pada harga RM4 senaskhah di semua kedai buku serta majalah di seluruh negara. – ADLAN JAAFAR |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |