{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Dalam Negeri

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib lancar projek hospital pakar

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Oleh RAJMAH HASAN
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak bersama Rosmah Mansor mendengar penerangan mengenai replika Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata (HPKKP) daripada Pengarah Institut Perubatan Molekul (UMBI) merangkap Pengerusi Badan Petugas Penubuhan HPKKP, Prof. Datuk Dr. A. Rahman A. Jamal (kanan) sewaktu majlis perasmian tapak hospital berkenaan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek hospital pakar kanak-kanak yang secara komprehensif memfokus kepada disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini.

Projek itu yang pertama seumpamanya di negara ini merupakan cetusan idea isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga merupakan penaung Program Permata Negara.

Hospital moden berharga RM606 juta yang dikenali sebagai Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata (HPKKP) dan dibina bersebelahan PPUKM di atas kawasan seluas 13.68 ekar (5.54 hektar) itu dijangka siap sepenuhnya pada 2017.

HPKKP menawarkan pelbagai bidang rawatan sesuai termasuk pembedahan laparoskopik yang minimum invasif, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklea, pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik dan endokrinologi pediatrik.

Antara ciri-ciri istimewa ruang HPKKP yang setara dengan hospital kanak-kanak bertaraf dunia itu termasuk pesakit diberi bilik individu yang dilengkapi keperluan ibu bapa.

Selain itu, HPKKP turut menempatkan sebanyak 250 katil termasuk 198 katil di bilik persendirian dan 52 katil berkonsep terbuka untuk rawatan harian.

Berucap dalam majlis pelancaran itu, Najib berkata, sebagaimana pembangunan Hospital Wanita dan Kanak-kanak oleh Kementerian Kesihatan, pembinaan HPKKP itu merupakan satu lagi tanda aras yang amat penting untuk perancangan penjagaan kesihatan negara.

Pembinaannya, tambah beliau, sekali gus meletakkan Malaysia setaraf dalam liga negara maju khususnya dari aspek kesihatan.

"Jika di London ada The Great Ormond Street Hospital for Sick Children, di Melbourne ada The Royal Children's Hospital, di Toronto ada Toronto Hospital for Sick Children, di Los Angeles ada Children's Hospital Los Angeles, di Singapura dengan Kandang Kerbau Women and Children's Hospital, maka kini kita ada HPKKP di Kuala Lumpur," katanya.

Terdahulu, Najib diiringi Rosmah selaku Penaung HPKKP melakukan upacara pecah tanah projek tersebut secara maya di Auditorium PPUKM.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Madinah Mohamad dan Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Menurut Najib, sejak merdeka, kerajaan melaksana sistem perkhidmatan kesihatan yang amat komprehensif termasuk perkhidmatan perbidanan di luar bandar, klinik desa, klinik kesihatan kecil dan besar, hospital daerah, hospital besar dan hospital tertiari seperti Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selain itu, katanya, negara juga kini mempunyai tiga Hospital Pengajar di bawah Kementerian Pendidikan iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan dan PPUKM di Cheras.

Sehingga kini, menurut beliau, lebih 12,000 doktor perubatan dilahirkan tiga Hospital Pengajar itu bersama-sama sebanyak 17 buah lagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang menawarkan program ijazah doktor perubatan.

"Kerajaan juga telah meluluskan projek Hospital Pengajar untuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Ini bagi menampung keperluan beberapa IPTA lain yang menawarkan kursus doktor perubatan," katanya.

Sementara itu, Dr. Sharifah Hapsah yang mengetuai Jawatankuasa Induk Penubuhan HPKKP UKM itu berkata, sebanyak 80 pakar pelbagai bidang pediatrik, surgeri pediatrik, sokongan klinikal dan bukan klinikal memberi input kepada pelaksanaan projek hospital berkenaan bermula sejak Mei 2010.

Menurutnya, terdapat sebanyak 10 bidang khusus dalam perubatan dan surgeri kanak-kanak yang menjadi kekuatan di PPUKM dan pakar-pakar daripada HPKKP akan mengambil peranan utama dalam memberi rawatan, pengajaran dan penyelidikan dalam bidang-bidang tersebut.

"Daripada 10 bidang khusus ini, lima daripadanya dalam bidang perubatan pediatrik iaitu Perkembangan Kanak-kanak, Kardiologi Pediatrik, Perubatan Genomik, Endokrin Pediatrik serta Terapi Sel Stem manakala lima lagi adalah bagi surgeri kanak-kanak.

"Surgeri kanak-kanak ini termasuk Pembedahan Lubang Kunci atau Laparoskopi, Pembedahan Telinga Bionik, Pembedahan Plastik Pediatrik, Ortopedik serta Neurosurgeri Pediatrik," katanya.

UIAM perlu berperanan sebagai pemangkin

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

Najib Tun Razak menyaksikan majlis MoU di antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diwakili oleh rektornya, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin (kiri) dengan Gunung Land Sdn. Bhd. yang diwakili pengerusi eksekutifnya, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal pada Pelancaran Kongres Pertama Sedunia Tentang Integrasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan Akliah Manusia (FWCII-2013) dan Bandar Islam UIAM di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memainkan peranan sebagai pemangkin dalam usaha menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata, seruan ke arah perpaduan ummah amat diperlukan dan bertepatan dengan situasi semasa yang dihadapi negara-negara Islam yang berpecah-belah akibat konflik dalaman.

Dalam masa sama, beliau mahu UIAM menyediakan asas dan dorongan intelektual kepada pemimpin negara-negara Islam untuk bersama-sama mencari penyelesaian serta tidak membiarkan kepentingan-kepentingan lain menjadi penghalang sesama ummah.

"Yang paling penting ialah kita semua merupakan hamba Allah SWT di atas muka bumi ini dan kita wajib memimpin seperti yang dikehendaki-Nya," katanya.

Beliau berucap merasmikan Kongres Antarabangsa Tentang Integrasi dan Islamisasi Ilmu Kemanusiaan (FWCII) 2013 dan melancarkan Bandar Islamik di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM, Gombak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Pengerusi FWCII 2013, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.

Najib sebelum itu menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 warga UIAM di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di kampus universiti tersebut dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) projek Bandar Islamik, Gombak antara UIAM dan Gunung Land Sdn. Bhd..

Beliau melontarkan saranan itu selepas menyifatkan khutbah Jumaat yang disampaikan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Prof. Madya Dr. Majdan Alias yang menyeru umat Islam bersatu-padu dengan mengetepikan segala perbezaan yang ditimbulkan oleh amalan politik sektarian sebagai amat relevan dengan konteks semasa ummah.

Dalam majlis sama, Najib turut mengisytiharkan UIAM sebagai Universiti Islam Antarabangsa Premier dan yakin pengiktirafan tersebut akan menjana diskusi intelektual berhubung penyatuan rakyat Malaysia.

"UIAM juga berupaya mendorong usaha mengarusperdanakan ajaran-ajaran Islam tentang kesederhanaan dalam agama, ekonomi dan politik dalam abad ke-21," ujarnya.

Berhubung projek Bandar Islamik, beliau memberitahu, bandar berkenaan bakal menjadi testimoni perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara moden yang benar-benar menerapkan nilai-nilai kesederhanaan Islam.

Najib menjelaskan, projek seluas 7.15 hektar di kawasan pinggiran kampus UIAM itu menonjolkan konsep kontemporari seni bina moden berlandaskan kepada tamadun Islam khususnya menerusi model kota-kota ternama seperti Madinah, Damsyik, Baghdad dan Cordoba.

"Tamadun Barat akhir-akhir ini telah menukarkan sebahagian besar suasana kehidupan desa kepada keadaan hiruk-pikuk kehidupan bandar dalam dunia moden.

"Kini tiba masanya untuk kita kembali kepada konsep pembinaan bandar yang diinspirasikan oleh Islam dan bebas daripada segala pencemaran budaya," katanya.

Beliau juga percaya reka bentuk dan fungsi Bandar Islamik yang unik akan menjadi penanda aras baharu dalam bidang seni bina Islam serta berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini melaksana inisiatif serupa.

Bandar Islamik lonjak imej UIAM

Posted: 23 Aug 2013 11:36 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Bandar Islamik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan menjadi satu lagi ikon yang mengangkat sejarah dan tamadun kegemilangan Islam di dunia Arab suatu ketika dahulu.

Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, projek itu juga bakal meletakkan universiti tersebut pada satu lagi tahap kecemerlangan setelah tiga dekad ditubuhkan.

"Ini adalah satu pencapaian yang bukan mudah diperoleh setelah 30 tahun UIAM wujud.

"Sudah pasti ini akan menjadi mercu tanda yang paling indah selain memperingati sejarah ketamadunan Islam yang gemilang," katanya.

Beliau berucap dalam majlis pelancaran Bandar Islamik yang bakal dibina di Kampus UIAM Gombak, dekat sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin.

Rais berkata, cadangan membina Bandar Islamik itu akan dilaksana di atas tanah seluas 7.122 hektar mengandungi bangunan Pusat Islam, pusat rawatan, kediaman apartmen, pusat konvensyen, hotel, pusat beli-belah dan medan selera bercirikan seni bina Islam sepenuhnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat