Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Polis ambil alih jaga sempadan daripada ATM selepas Raya
- Pelihara nikmat Allah - Najib
- Muhyiddin hadiri majlis pelantikan Presiden Iran
Polis ambil alih jaga sempadan daripada ATM selepas Raya Posted: 04 Aug 2013 11:59 PM PDT ALOR SETAR 5 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil alih semula kawalan keselamatan di sempadan negara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas Aidilfitri ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Katanya, kawalan di sempadan negara dari Perlis hingga ke Kelantan atau Ops Wawasan ketika ini diletakkan di bawah ATM dengan rondaan dilakukan bersama PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru. "Belum pasti lagi berapa lama (PDRM akan mengambil alih)... mungkin ambil untuk selama-lamanya. Dulu (bergilir-gilir antara ATM dan PDRM) kerana kita memerlukan PGA (Pasukan Gerakan Am) untuk berada di bandar-bandar besar terutama di negeri yang terlibat dengan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk membanteras jenayah jalanan. "Tetapi kita juga bertanggungjawab terhadap kawasan sempadan untuk kekal selamat daripada perbuatan penyeludupan dan anasir lain," katanya kepada pemberita hari ini selepas mengunjungi Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir di pejabat Menteri Besar Kedah di sini. Katanya, pihaknya memang memberi perhatian terhadap segala aktiviti penyeludupan dan aktiviti merentasi sempadan oleh mereka yang sedang mereka perhatikan dan mereka yang terlibat dengan penyeludupan manusia. "Bila menjelang raya pula ada penyeludupan mercun dan bunga api. Ini semua kami akan teliti dengan lebih rapi," katanya. Mengenai kunjungan itu, Khalid berkata, beliau memberikan taklimat kepada Menteri Besar Kedah itu berkenaan kedudukan keselamatan negeri ini memandangkan ia merupakan negeri yang bersempadan dengan negara jiran. - BERNAMA |
Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT Oleh HERMAN HAMID dan SHAHRINNAHAR LATIB Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh seorang penerima zakat selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat 2013/1434H Parlimen Pekan di Pekan, semalam. Sejumlah RM1.5 juta zakat daripada badan-badan korporat diagihkan kepada 5,904 penerima. - bernama PEKAN 4 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hikmah kewajipan berzakat bukan sahaja membentuk masyarakat seimbang, malah membawa keberkatan yang memayungi negara sekali gus membolehkan keamanan di Malaysia jauh lebih baik dari sesetengah negara yang menyambut Syawal dalam keadaan konflik. Menurut Perdana Menteri, apabila rukun yang diwajibkan Allah dilaksanakan seperti zakat, maka negara akan menjadi aman dan makmur dengan kemakmuran itu membolehkan urusan seharian berlaku tanpa sebarang gangguan. Kata Najib, ini seperti mana firman Allah dalam surah al-Aqla ayat 96 yang bermaksud "Jikalau penduduk-penduduk negeri beriman dan bertakwa pastilah kami akan limpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi tetapi yang mendustakan maka kami seksa mereka disebabkan oleh perbuatan mereka sendiri". "Justeru, kalau kita banding negara lain yang sambut puasa dan raya dalam konflik yang dahsyat maka keadaan negara kita ini jauh lebih baik dari segi keamanan dan kemajuan apabila wujudnya golongan prihatin di atas kewajipan yang ditentukan Allah. "Inilah rahmat yang diberikan Allah kepada seluruh rakyat Malaysia dan sewajarnya nikmat yang dikecapi ini kita pertahankan, pelihara sebaiknya supaya keamanan dan kemakmuran ini akan terus berkekalan," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Tahun 2013 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini. Pada majlis itu, Najib menerima wang zakat daripada enam agensi korporat dan dua individu yang bernilai kira-kira RM1.5 juta untuk disumbangkan kepada 5,904 golongan asnaf dalam Parlimen Pekan yang diwakili beliau. Badan korporat terlibat ialah Bank Rakyat yang menyerahkan zakat sebanyak RM600,000, UDA Holding (RM200,000), Affin Bank (RM300,000), Tabung Haji (RM300,000), Yayasan Basmi Kemiskinan (RM50,000) dan Amanah Raya Berhad (RM25,000). Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabaruddin Chik; Pengerusi UDA Holding Bhd., Datuk Johari Abdul Ghani dan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom. Tambah Perdana Menteri, kefarduan zakat mempunyai hikmah dan tinggi nilainya kepada umat Islam, antaranya dapat membersihkan jiwa orang yang membayar zakat daripada sifat mazmumah seperti kedekut, tamak dan terlalu cintakan dunia. "Zakat sebaliknya membentuk jiwa pemurah dan membantu umat Islam lain yang memerlukan. Zakat juga melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi kekayaan dan merapatkan sedikit sebanyak jurang antara miskin dan kaya," ujarnya. |
Muhyiddin hadiri majlis pelantikan Presiden Iran Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT TEHRAN 4 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang ketujuh, Hassan Rouhani di Bangunan Parlimen di Tehran, hari ini. Beliau menyertai beberapa presiden, perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta speaker parlimen dari lebih 50 negara pada majlis pelantikan imam beraliran sederhana itu. Hassan, 64, yang dilihat menonjolkan kesederhanaan dan kebijaksanaan menang Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada 14 Jun lepas dengan meraih 50.7 peratus atau 18.6 juta undi daripada jumlah keseluruhan 36.7 juta undi. Pesaing terdekatnya, Datuk Bandar Tehran, Mohammad Baqer Qalibaf pula jauh ketinggalan apabila sekadar menerima 16.55 peratus undi iaitu jumlah kedua terbanyak. Hassan menggantikan Mahmoud Ahmadinejad yang merekodkan pelbagai dasar bercanggah sepanjang lapan tahun mentadbir. Pemantau berharap pentadbiran presiden baharu itu akan menghasilkan penyelesaian diplomatik berhubung isu nuklear yang mencetuskan ketegangan antara Iran dan Barat, selain peningkatan ekonomi negara serta penyelesaian pelbagai isu sosial yang membelenggu Iran. Terdahulu, pesawat khas yang membawa Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman mendarat di Lapangan Terbang Mehrabad kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) selepas hampir lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur. Muhyiddin turut menghadiri majlis berbuka puasa di Saadabad Palace malam ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |