{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Jangan ceroboh tanah Ramsar

Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Adnan Yaakob menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak yatim dalam Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri Pelangai di Simpang Pelangai, Bentong, kelmarin.

BENTONG 2 Ogos - Rakyat negeri ini yang menceroboh tanah kerajaan diwartakan untuk kepentingan alam sekitar di kawasan hutan tanah lembap atau Ramsar di Tasik Bera akan menghadapi tindakan tegas dengan mengheret mereka ke mahkamah.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri tidak akan membiarkan pencerobohan kerana kawasan itu adalah khazanah negara yang sangat bernilai dari segi pengekalan ekosistem dan sumber biodiversiti.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan bertolak-ansur terhadap sesiapa yang meneroka tanah kerajaan secara haram, malah bukan sahaja tanah Ramsar tetapi semua tanah kerajaan di seluruh negeri Pahang.

"Tanah Ramsar tidak boleh diceroboh sesuka hati kerana mempunyai kepelbagaian khazanah yang amat berharga, baik dari segi tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna, selain menjadi kawasan perlindungan hidupan habitat liar termasuk spesies burung, unggas, ikan dan kawasan tadahan air.

"Hutan ini tidak boleh diceroboh dan kita sudah mengenal pasti dalang dan pihak yang melakukan pencerobohan di kawasan Ramsar dan menunggu sahaja untuk bertindak tegas terhadap pihak terbabit," kata Adnan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Kesyukuran Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri Pelangai di Masjid Sultan Ahmad Shah, Simpang Pelangai di sini semalam.

Beliau mengulas tentang pencerobohan tanah Ramsar hampir 400 hektar di Tasik Bera dan ditanam dengan kelapa sawit oleh mereka tidak bertanggungjawab.

Katanya, kerajaan atau pejabat tanah bukan sengaja membiarkan kawasan itu diteroka haram, tetapi tidak menyedarinya kerana lokasi diceroboh itu berada pada jarak jauh daripada pandangan dan jalan raya.

"Kita telah siasat. Hutan itu kalau dilihat dari jalan raya tidak terusik, rupa-rupanya di tengah telah rongak dan hanya boleh dilihat dengan jelas dari udara.

"Selama ini kita berlembut. Kita fikirkan tempat mereka mencari makan sesuap nasi pagi petang. Rupa-rupanya sekarang ini merupakan satu sindiket untuk memewahkan diri sendirii," kata beliau.

Rondaan JPAM di tujuh laluan utama

Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT

Che Othman Hussin (tengah) melancarkan Ops Bantu VII sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuantan, semalam.

KUANTAN 2 Ogos - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pahang melancarkan Ops Bantu VII di beberapa jalan Persekutuan dan negeri bagi membantu pengguna jalan raya sekiranya terlibat dalam kemalangan atau mengalami kesulitan sepanjang perayaan Aidilfitri kali ini.

Pengarah Pertahanan Awam negeri, Kolonel Che Othman Hussin berkata, ops berkenaan melibatkan rondaan di tujuh laluan iaitu Jalan Kuantan-Segamat, Jalan Kuantan-Kemaman, Jalan Pekan-Tanjung Gemok, Jalan Kuantan-Segamat (Rompin), Jalan Bentong - Kuala Lipis, Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Temerloh-Kemayan.

"Rondaan bagi fasa pertama bermula semalam sehingga 7 Ogos manakala fasa kedua iaitu selepas hari raya pada 11 hingga 13 Ogos.

"Sebanyak 440 anggota akan terlibat dalam penugasan rondaan tersebut dengan menggunakan dua motosikal dan tujuh kenderaan pacuan empat roda," katanya selepas Majlis Pelancaran Ops Bantu VII di pekarangan ibu pejabat JPAM negeri di sini hari ini.

Menurut Che Othman, tujuan utama rondaan adalah untuk membantu pengguna jalan raya yang berada dalam kecemasan semasa perjalanan pergi dan balik ke kampung semasa musim perayaan.

"Kita akan bertindak sebagai Pasukan Tindakan Cepat (ERT) apabila mendapat panggilan kecemasan semasa rondaan dilakukan dan ini akan mengurangkan masa ke lokasi kejadian," jelasnya.

Tambahnya, sejak Ops Bantu dilancarkan tiga tahun lalu, JPAM Pahang telah membantu menyelesaikan 489 kes yang membabitkan 901 mangsa akibat kesulitan di jalan raya seperti berlaku kerosakan kepada kenderaan yang dinaiki.

32 veteran tentera di Lipis terima sumbangan

Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT

Mustapa Long (kiri) menyampaikan cek bernilai RM500 kepada salah seorang veteran tentera di Kuala Lipis, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 2 Ogos - Sebanyak 32 veteran tentera, balu dan anak yatim di daerah Lipis menerima sumbangan duit raya berjumlah RM16,000 daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini kelmarin.

Sumbangan RM500 kepada setiap penerima itu melibatkan 14 veteran tentera berusia 70 tahun ke atas, 14 balu, anak yatim piatu (dua) dan dua veteran yang cedera semasa berkhidmat.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia Pahang (PBTMP), Kapten (B) Abdul Latiff Mohd. Noor dan Pegawai Pemerintah 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Lipis, Leftenan Kolonel Abd. Jalal Zaidi Malik.

Bercakap kepada pemberita, Abdul Latiff berkata, penerima berkenaan di bawah Skim Bantuan Sara Hidup JHEV ATM yang terdiri daripada bekas tentera dan anggota keluarga yang tidak menerima pencen bulanan.

"PBTMP bersyukur dan berterima kasih kepada ATM kerana menterjemahkan keprihatinan menerusi duit raya ini sekali gus menzahirkan Kementerian Pertahanan mengambil berat kebajikan bekas tentera sesuai dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Menurut beliau, PBTMP mempunyai 16,000 ahli dan kini sedang mengesan 2,000 veteran tentera, balu atau duda dan anak yatim piatu keluarga berkenaan yang belum menjadi ahli persatuan itu sekali gus untuk membolehkan mereka menikmati Skim Bantuan Sara Hidup.

Sementara itu, Mustapa yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata, usaha JHEV ATM menyumbangkan duit raya merupakan penghargaan kepada veteran tentera dan keluarga masing-masing khususnya keselesaan berbelanja menyambut Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun sumbangan ini kecil berbanding perjuangan mereka tetapi ini merupakan manifestasi tanggungjawab murni dan ikhlas kerajaan menghargai perjuangan veteran tentera," katanya.

Tambahnya, usaha kerajaan menzahirkan pelbagai sumbangan dan bantuan kebajikan termasuk pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan anggota tentera yang bersara membuktikan negara cukup prihatin terhadap mereka yang berjasa menjaga keselamatan negara.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat