{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


100 hari: Cabaran kekalkan perpaduan

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

Oleh Zuriati Zulmi
dan Noor Farhana Ahmad Norain

Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 6 Mei lalu. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 , Barisan Nasional kekal berkuasa dengan memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. - BERNAMA

GENAP 100 hari selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri hari ini, menangani cabaran pendamaian dilihat terus menjadi komitmen beliau dalam usaha mengekalkan kestabilan negara.

Beberapa pihak turut berpendapat ia cabaran terbesar perdana menteri ekoran perpecahan masyarakat yang dilihat ketara selepas keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Penganalisis politik Prof Datuk Zainal Kling berkata usaha pertautan dan kesepaduan masyarakat adalah tugas utama untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat mentadbir negara selepas pilihan raya umum ke-14 pula.

"Cabaran paling utama, bagaimana untuk menautkan kembali anggota warganegara yang berfikir sebagai orang Malaysia.

"Itulah cabaran pilihan raya ke-14 nanti untuk melihat sama ada pengundi mengundi sebagai orang Malaysia seluruhnya atau terus mengundi mengikut kaum masing- masing," katanya kepada Bernama.

Dari segi pembangunan, beliau berkata apa yang penting adalah rakyat dapat melihat kerajaan melaksanakan sepenuhnya apa yang telah dirancang kerana perancangan pembangunan dirangka sejak sebelum pilihan raya lagi.

Turut menyuarakan pendapat yang sama ialah aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye, yang mahu melihat perpaduan kaum di bawah gagasan 1Malaysia, terus diperkukuh.

"Hasrat untuk melihat perpaduan kaum di bawah gagasan 1Malaysia mungkin tidak tercapai sekiranya segelintir pihak masih mengamalkan politik perkauman," katanya.

Justeru, beliau berharap perdana menteri lebih tegas dalam isu perpaduan ini kerana ia perkara penting dalam agenda pembangunan negara menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Komitmen itu jelas diterjemahkan perdana menteri melalui Akta Keharmonian Nasional yang sedang diusahakan bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, dengan memberi jaminan tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

Walaupun kerajaan ingin menjamin kebebasan bersuara setiap warganegaranya, namun bagi rakyat sendiri ia tidak boleh disalah guna sehingga menjejaskan perpaduan kaum dan keharmonian negara.

Apa yang jelas, tumpuan utama Najib sebaik diberi mandat semula adalah menyatukan semula hubungan rakyat negara ini yang sedikit sebanyak berpecah pada PRU13 sehingga membentuk polarisasi kaum.

Berdasarkan usaha ke arah itu, Najib juga mencadangkan penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional pada 26 Jun lepas sebagai usaha mencapai matlamat penyatuan nasional bagi mengerat semula hubungan antara rakyat.

Aspek keselamatan turut menjadi agenda utama untuk menyediakan persekitaran yang selamat kepada rakyat.

Komitmen itu dinyatakan dengan kesediaan kerajaan membantu pasukan keselamatan negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan apa sahaja yang perlu mengikut asas dan kemampuan untuk menambah keberkesanan dalam usaha memerangi jenayah.

Sebuah jawatankuasa kecil yang terdiri daripada beberapa menteri termasuk menteri dalam negeri dan menteri di Jabatan Perdana Menteri ditubuhkan untuk berbincang dengan peguam negara dan ketua polis negara bagi menentukan peruntukan tambahan dalam undang-undang yang boleh memperkukuh keupayaan bidang kuasa polis untuk bertindak.

Menyentuh isu keselamatan, Lee yang juga Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), berkata terdapat kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk menangani isu keselamatan terutama jenayah dalam pentadbiran Najib.

"Tapi untuk pastikan bahawa apa yang dikatakan oleh perdana menteri dapat dijadikan satu kenyataan, adalah bahawa arahan beliau dilaksanakan di seluruh peringkat kerajaan untuk pastikan bahawa isu keselamatan dapat ditangani dengan lebih berkesan," katanya.

Selain itu, kerajaan turut membincangkan pelbagai pandangan mengenai keperluan menggubal satu rang undang-undang baharu menyamai Ordinan Darurat 1969 yang dimansuhkan pada 2011.

Selain mendapatkan pandangan polis dan peguam negara, kerajaan juga akan mengambil kira pendapat beberapa pihak yang berkepentingan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Majlis Peguam.

Awal bulan ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilaporkan sedang berbincang dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung draf rang undang-undang baharu itu, berkata ekoran pemansuhan Ordinan Darurat 1969 (EO), lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan ramai kembali melakukan aktiviti jenayah.

Menurutnya sejak EO dimansuhkan, kejadian jenayah berat meningkat 90 peratus dan membabitkan bekas penjenayah.

Dalam akujanji BN pada PRU13 lepas, kerajaan berjanji menurunkan harga kereta dengan menyemak semula Dasar Automotif Nasional.

Hasilnya dapat dilihat apabila laporan menyatakan beberapa model kereta jenama Peugeot, Proton, Perodua dan Honda masing-masing menyaksikan penurunan harga untuk fasa pertama bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Laporan itu menyebut pelan penurunan harga dapat dilaksanakan dengan memberikan pengurangan duti eksais secara berperingkat terhadap pengeluar kereta yang menggunakan lebih banyak komponen tempatan.

Menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki juga masih menjadi tumpuan kerajaan yang mengumumkan pembinaan 100,000 unit Projek Perumahan Awam 1Malaysia di seluruh negara pada Julai lepas.

Berkeluasan antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi, harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M ialah antara RM150,000 dan RM300,000.

Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N. Marimuthu yang memuji langkah kerajaan menunaikan janji-janji pilihan raya berkata ini hanyalah permulaan kepada tempoh 60 bulan yang dimiliki Najib dalam penggal kedua beliau selaku perdana menteri.

Bagaimanapun beliau berharap kerajaan akan terus memberi perhatian kepada kos kehidupan pengguna selain aspek kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam yang amat penting bagi golongan berpendapatan rendah.

Najib juga komited dalam meningkatkan kualiti tadbir urus dan integriti merentas semua segmen, selain memperhebat usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Najib berkata untuk membuktikan keseriusan iltizam kerajaan dalam menangani isu tadbir urus, integriti dan rasuah, kerajaan telah merangka sebuah pelan integriti yang bersifat merentas batas dan menyeluruh.

"Butiran mengenai pelaksanaan khusus pelan ini akan saya umumkan dalam masa terdekat," beliau dilaporkan berkata.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, kerajaan di bawah Najib dilihat akan meningkatkan pelaksanaan Dasar Transformasi Nasional ke arah memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mampan, inflasi dan kos kehidupan menurun, kadar pengangguran rendah dan kadar jenayah terkawal.

Selain itu, penekanan usaha turut diberikan untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti yang saksama, pengecilan jurang prasarana mahupun pendapatan bandar serta luar bandar, kadar pelaburan asing dan domestik yang sihat, serta daya saing nasional terus meningkat. - BERNAMA

'Demi rakyat, kita tidak berdendam'

Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT

HARI INI genaplah 100 hari Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih semula pentadbiran kerajaan negeri daripada parti pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu.

Dalam wawancara sempena 100 hari beliau memegang jawatan tersebut, Mukhriz yang kini Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkongsi pengalamannya menggalas tanggungjawab itu serta mengulangi keyakinan untuk memastikan janji-janji manifesto BN dalam PRU-13 ditunaikan di negeri Jelapang Padi ini sebelum semboyan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berbunyi.

Ikuti wawancara Mukhriz bersama Wartawan SAHBULAH DARWI, SAFINA RAMLI dan jurugambar Safrizal Azmi di pejabat beliau di Wisma Darulaman Alor Setar, Kedah.

UTUSAN: Secara ringkasnya, apa yang sudah Datuk lakukan dalam tempoh 100 hari ini?

MUKHRIZ: Sejak kita ambil alih tampuk kepimpinan, yang pertama kalau boleh saya nak sentuh soal politik. Pendekatan yang diambil oleh BN adalah, kita tidak berdendam dan kita ambil alih dalam cara yang perlahan, tak paksa mana-mana pihak keluar daripada pejabat mahupun mengarahkan sesiapa pun letak jawatan daripada agensi kerajaan negeri, GLC dan jabatan kerajaan.

Saya juga ambil pendekatan ingin memupuk satu hubungan yang baik dengan pembangkang. Oleh itu dari hari kedua pegang jawatan sebagai menteri besar saya pergi berkunjung Tan Sri Azizan Abdul Razak, bekas menteri besar, bila beliau sakit di Pusat Perubatan Kedah kemudian mengunjungi beliau tiga kali di Hospital Pulau Pinang.

Saya anggap ini sebagai tanggungjawab dan sebagai mewakili kerajaan negeri untuk memberi penghormatan dan kena ambil tahu mengenai kebajikan bekas MB secara peribadinya juga dan selain itu sebagai institusi kepimpinan negeri Kedah jadi dan salah satu lagi perkara yang kita lakukan adalah dengan anjurkan majlis solat hajat mendoakan agar beliau cepat sembuh dari sakit yang dihidapi dan saya kira pendekatan ini telah diterima baik oleh semua pihak bukan hanya dari dalam kalangan orang Pas tetapi daripada orang UMNO sendiri. Dan pendekatan yang sama saya lakukan di peringkat kerajaan negeri.

Sebarang perubahan yang nak kita buat kita ambil sedikit masa untuk mengkaji situasi semasa sebelum kita buat sebarang perubahan sekiranya perlu saya sebenarnya dalam minggu pertama memegang jawatan sebagai menteri besar membuat perjumpaan dengan pegawai kerajaan Kedah (KCS) dan dalam perjumpaan tertutup tersebut saya mengakui bahawa dalam kalangan KCS mungkin ada juga yang cenderung politik ada yang memihak pada UMNO/BN dan ada juga yang memihak kepada Pas/pakatan pembangkang.

Saya tak salahkan mereka kerana ini hak setiap individu. Walau begitu, pesanan saya kepada mereka dan pesanan ini diterima baik oleh semuanya, yang pertamanya bagi mereka yang menyokong UMNO/BN biarlah kita berkhidmat untuk setiap lapisan masyarakat kita tak bersifat pilih kasih dan kita tak sifat berdendam dengan mana-mana pihak kerana kita ini sebagai pegawai perkhidmatan kerajaan dan sudah tentu kita diwajibkan berkhidmat untuk seluruh rakyat. Itu pesanan pertama yang saya berikan.

Pesanan kedua kepada mereka yang tak memihak kepada BN ialah agar mereka melakukan yang terbaik untuk rakyat kerana sebagai pegawai di dalam kerajaan negeri terlalu mudah untuk mensabotaj kerajaan yang ada sekarang dengan cara melambatkan kerja dan tidak meluluskan sesuatu yang berhak diluluskan dan tak beri kerjasama dengan ketua jabatan sampai ke tahap menteri besar. Dan semua ini terlalu mudah dilakukan dan beri impak negatif kepada kerajaan negeri. Saya sampaikan pesanan tersebut dengan harapan mereka juga beri kerjasama kepada kerajaan yang baru ini supaya amanah yang diberikan rakyat dapat kita tunaikan dengan baik.

Apakah yang telah dilaksanakan kerajaan negeri setakat ini untuk memenuhi manifesto Akujanji BN PRU-13?

Dalam soal manifesto atau akujanji BN PRU-13, memang pun menjadi matlamat kita untuk penuhi setiap janji itu. Ada yang boleh kita buat dengan cepat dan ada juga kena tengok apa kaedah dan pendekatan yang boleh kita ambil untuk memenuhi janji itu.

Contohnya, dalam soal agama yang mana ia diberi keutamaan nombor 1, banyak perkara yang kita sentuh di situ antara lain mengenai pondok agama dan yang lain maahad tahfiz di mana kerajaan negeri berhasrat untuk memberi sedikit bantuan dana untuk pentadbiran mereka kita juga ingin meringankan beban dalam soal pembayaran utiliti seperti bekalan elektrik dan air kita juga memberi sedikit sumbangan dan baru-baru ini kita telah lakukan bagi lapan pondok di Kedah yang berdaftar.

Kita ingin memberi perhatian yang istimewa kepada institusi Maktab Mahmud yang sejak sekian lama berjaya mengeluarkan anak-anak muda yang mempunyai ilmu yang mantap untuk diserap di dalam institusi pengajian tinggi dan menjadi sebagai satu institusi kebanggaan Kedah. Ini satu perkara yang perlu kita beri perhatian dalam soal prasarana pentadbiran dan tenaga pengajar yang itu sedang kita bincang, setakat ini apa yang boleh kita lakukan dan ada kemungkinan kita akan minta campur tangan atau kerjasama pihak Kementerian Pendidikan.

Dalam soal ekonomi, ada beberapa perkara yang kita nak lakukan, projek ekonomi ini ia memakan masa yang sedikit lama saya tak kata sampai empat ke lima tahun. Saya ingat dalam setahun yang pertama ini, kita harap kita akan dapat melancarkan beberapa projek yang besar yang kita telah senaraikan dalam akujanji tersebut contohnya seperti bandar raya getah di mana wakil kita termasuk exco sendiri telah memberi perhatian untuk kenal pasti syarikat mana yang kita hendak tarik pelaburannya ke rubber city iaitu syarikat bahan mentah getah.

Dari segi sosial kita beri tumpuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) khususnya NGO belia saya banyak buat perjumpaan dan terima kunjungan daripada pertubuhan dan persatuan untuk mendengar apa kehendak mereka. Salah satu daripada projek yang dijanjikan kepada belia ialah litar lumba dan saya rasa bahawa penglibatan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sangat penting kerana mereka datang dengan kepakaran dan juga acara yang telah disenaraikan di peringkat kebangsaan. Kita harap projek ini akan berlangsung seawal mungkin.

Salah satu isu besar yang kita warisi ialah soal Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan yang ini kita telah sentuh dalam akujanji BN dan kita dapati daripada laporan audit forensik, banyak perkara yang melibatkan Kuin dan Insaniah Holding yang perlu kita tangani dengan penuh bijaksana.

Kadang kala ia memakan masa, ada juga pihak tertentu yang akan rasa tak puas hati walaupun begitu kita sentiasa pentingkan kepentingan masyarakat khususnya dan saya pohon kesabaran semua pihak yang terlibat.

Soal pembalakan yang menjadi topik panas pra PRU-13, kini sedang kita tangani sebaik mungkin antaranya amalan untuk gunakan alasan nak buat ladang buah untuk membalak satu kawasan yang luas dengan kaedah cuci mangkuk yang itu telah kita hentikan. Jadi yang ada sekarang ini cuma pembalakan cara selektif iaitu kita cuma memilih satu dua pokok untuk dibalak dengan cara itu kita dapat melindungi alam sekitar dan tidak mencemar air di kawasan tersebut.

Apakah antara cabaran getir yang dihadapi sepanjang 100 hari?

Saya ingat antaranya yang sedang saya hadapi sekarang ini ialah bagaimana hendak menukar pemikiran pelbagai pihak untuk menerima transformasi. Ini kerana kita sedia maklum bahawa transformasi ini bukannya perubahan sedikit demi sedikit tapi apa yang kita harapkan ialah transformasi yang menuntut supaya kita ini sanggup keluar daripada zon selesa kemudian buat satu perubahan yang mendadak dan dramatik.

Ini bukannya satu yang boleh dilakukan oleh semua orang. Ia perlukan keberanian untuk transformasi. Saya cakap dengan semua pihak, dengan orang muda, bercakap dengan KCS, nampak mereka sanggup dan bersemangat untuk terlibat dalam transformasi ini. Satu contoh pertanian, sudah lama terlibat dalam menghasilkan padi, kita membekalkan beras hingga 40 peratus beras di negara ini datang dari Kedah.

Kadang-kadang kita agak selesa walhal kita tahu ia bukanlah sesuatu yang memberikan pulangan yang besar bagi Kedah sendiri. Warga petani pun tak dapat pendapatan yang boleh lonjakkan pendapatan ke tahap tinggi kerana ia bergantung kepada cuaca, hasil pun terjejas kerana penyakit, bila itu berlaku kerajaan kena datang beri subsidi.

Itu seolah-olah ada benda tak kena, adakah kita berani untuk tukar keadaan itu?

Kita tahu tanggungjawab kita menjamin bekalan makanan, itu tanggungjawab Kedah tapi pada waktu sama ini dilihat sebagai faktor yang menyekat pembangunan Kedah itu sendiri.

Jadi apa keputusan yang nak kita buat ialah di mana satunya jaminan bekalan makanan dan keduanya kemajuan Kedah dapat dilakukan seiring.

Pembangunan di Kedah dikatakan tidak seimbang kerana kawasan di sebelah Selatan Kedah iaitu Sungai Petani didapati lebih maju. Apa usaha kerajaan negeri untuk mengimbangi perkara ini?

Kawasan selatan memang mengambil kesempatan di atas pertumbuhan ekonomi yang rancak di Pulau Pinang. Dan antara selatan Kedah dengan pulau pinang ini boleh kita mengumpamakan seperti Johor Bahru dengan Singapura. Saya berazam untuk membangunkan selatan Kedah untuk ambil banyak lagi kesempatan atas kepesatan Pulau Pinang. Kalau kita boleh wujudkan lebih banyak aktiviti contohnya aktiviti riadah bertujuan untuk pasaran Pulau Pinang maka saya ingat lebih banyak lagi kita akan lihat di hujung-hujung minggu orang Pulau Pinang yang akan menyeberang jambatan untuk meluangkan masa dan berbelanja di Kedah.

Di sebelah utara Kedah ini pula seperti yang disebutkan tadi, biasanya kawasan sempadan antara dua negara ini banyak potensi dan harapan saya daripada dua projek iaitu Kota Putra dan Kota Perdana akan menggunakan hubungan dengan sempadan Thailand sebagai usaha untuk kita membangunkan ekonomi kita.

Ahli keluarga datuk terkenal sebagai mereka yang berjaya dalam perniagaan. Adakah mereka akan dilibatkan dalam projek kerajaan negeri?

Saya seboleh-bolehnya nak elak daripada timbul sebarang konflik kepentingan. Setakat ini tak ada seorang pun ahli keluarga saya yang minta nak buat apa-apa projek di sini dan saya harapan berkekalan begitu.

Jadi dia tak buat saya jadi serba salah kerana saya pasti akan menyinggung perasaan mereka kerana yang saya utamakan ialah kepentingan rakyat. Kalau saya terpaksa pilih kepentingan rakyat dan keluarga dalam soal perniagaan ini sudah tentu saya akan pilih rakyat. Nak elak daripada menyinggung perasaan mereka maka elok tak timbul langsung perkara itu.

Tapi dari semasa ke semasa saya mungkin akan minta nasihat kerana ada dalam bidang tertentu mereka pakar jadi sekadar nasihat tak ada salah.

Usaha kerajaan negeri membanteras Syiah dengan cara mewartakan undang-undang menyekat ajaran itu disokong ramai pihak, tetapi adakah pendekatan tersebut mencukupi untuk membanterasnya?

Saya agak terkejut dengan kenyataan ada 250,000 pengikut Syiah dan kalau itu angkanya maka pengikut di Kedah mungkin ramai kerana Kedah dikatakan salah satu pusat penyebarannya.

Ada dua pendekatan, pertamanya dari segi undang-undang iaitu fatwa telah pun diwartakan di peringkat kebangsaan tetapi tak mencukupi, kita tengok ada ruang kosong lagi kerana seseorang itu kalau sampai ke tahap menyebar fahaman Syiah tak ada tindakan yang boleh diambil terhadap dia.

Oleh kerana itu tak juga ada hukuman ke atas mereka jadi ini perlu dibetulkan tujuannya supaya ia dijadikan satu undang-undang yang boleh mengelak daripada kes-kes seperti itu semakin menjadi-jadi.

Tetapi itu sahaja tak cukup kerana menghukum seseorang itu tak semestinya membetulkan akidah dia. Oleh itu satu pendekatan yang kita ambil sebelum kita gunakan undang-undang ialah kita memanggil pihak ini dan kita cuba rasional dari segi perbezaan akidah kerana kita faham kadang-kadang pihak yang ikuti fahaman ini mungkin tak tahu mereka ini dah menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, dia tak sedar.

Yang dia tahu amalan agama itu dipermudahkan sembahyang boleh dihimpunkan sewenang-wenangnya, dia tak tahu walaupun orang yang datang mengajar nampak alim tapi dia tak ikut sunni.

Jadi ini yang membimbangkan bila cakap dengan mufti, guru pondok, semuanya timbulkan rasa cemas dengan keadaan ini dengan buat pendekatan jumpa dengan pihak ini dan betulkan balik akidah dia sebelum sebarang tindakan undang-undang diambil.

Saya ingat majlis agama akan lakukannya manakala pihak mufti pantau keadaan dan akan terima laporan kalau ada tindakan diambil, laporan yang kita terima ialah aduan daripada kaum keluarga yang tak puas hati kerana mungkin ada kematian dalam keluarga dan jenazah diuruskan secara Syiah dan ada pertelingkahan. Difahamkan ada kes anak dara jadi mangsa kahwin mutaah yang buat laporan dia tak sedar kerana pihak tertentu menyakinkan nikah mutaah itu halal.

Selaku Pengerusi Persatuan Bola Sepak Kedah, apa perancangan Datuk untuk mengembalikan sejarah kegemilangan bola sepak Kedah?

Memang pun kita sudah mulakan perbincangan tak rasmi dengan Cardif City dan Kumpulan Berjaya iaitu tuan punya Cardif City berkaitan latihan. Cardif City setuju untuk bekalkan pelatih yang berwibawa untuk melatih pemain kita.

Pemain muda Kenari Kids pun akan kita usahakan supaya pelatih boleh melatih anak-anak kita di peringkat awal. Itu yang pertama.

Yang keduanya, saya berbincang dengan pihak Berjaya ada cadangan untuk bina stadium baru yang lebih baik dari segi kelengkapan dan selesa di satu lokasi yang belum dikenal pasti. Harap perkara ini akan menjadi kenyataan. Ini akan jadi pencetus semangat bagi penyokong bola Kedah bila kemudahannya lebih canggih dan lebih elok.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat