{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Terengganu jadi hab haji

Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT

Oleh NIK JASNI CHE JAAFAR
utusanterengganu@utusan.con.my

Bangunan Tabung Haji Hotel & Convention Centre Terengganu yang terletak di Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU 11 Ogos - Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre Terengganu (THHT) yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini buat pertama kalinya akan mengendalikan urusan kira-kira 1,200 jemaah haji dari Pantai Timur September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah memberitahu, dijangkakan sebanyak enam penerbangan dijadual berlepas dari LTSM bermula 17 September depan.

"Segala urusan yang berkaitan seperti lapor diri dan sebagainya akan dibuat di kompleks THHT," ujarnya kepada media baru-baru ini.

Menurut beliau, THHT Terengganu yang bertaraf tiga bintang itu yang mula beroperasi bulan lalu dijangka dirasmikan sebelum pelepasan jemaah haji yang pertama di kompleks terbabit.

THHT yang dibangunkan dengan reka bentuk kontemporari bermotif Islam itu menjadi salah satu aset bagi negeri yang dijadikan hab haji dan juga pelancongan.

Ia turut direka khas bagi kegunaan pada musim haji dengan mempunyai dewan ketibaan jemaah yang boleh menampung kira-kira 3,000 orang, tempat mendaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas.

Kewujudannya yang tersergam di atas tanah seluas 3.2 hektar itu dapat memberi kemudahan kepada para jemaah berkumpul setiap kali tiba musim haji khususnya dan memberi pilihan penyediaan hotel berkonsepkan pematuhan syariah kepada umat Islam amnya.

Jemaah haji dari Pantai Timur tidak akan lagi terpaksa bersesak-sesak di lapangan terbang bagi menyelesaikan pelbagai urusan termasuk kesihatan dan keselamatan, dengan persekitaran lapangan terbang sesak dipenuhi ahli keluarga para jemaah.

RM1.6j tingkatkan infrastruktur di Kok Lanas

Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT

Md. Alwi Che Ahmad (dua dari kanan) mengagihkan sumbangan wang zakat serta bungkusan makanan kepada sebahagian daripada penerima zakat bagi Dewan Undangan Negeri Kok Lanas pada majlis penyampaian Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

KOTA BHARU 11 Ogos - Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan hampir RM1.6 juta bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, peruntukan tersebut membabitkan pembangunan infrastruktur serta pembinaan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Menurut beliau, setakat ini beberapa perkara telah dilaksanakan di kawasan terbabit sebagai tanda terima kasih di atas kepercayaan dan sokongan padu rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Untuk Majlis Daerah Ketereh (MDK), sebanyak 11 projek telah dilaksanakan yang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Peruntukan berkenaan digunakan untuk membangunkan kawasan tersebut seperti menaik taraf lampu stadium, lampu jalan serta longkang," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di sini baru-baru ini.

Md. Alwi berkata, DUN Kok Lanas juga telah menerima peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan.

"JPP menyalurkan peruntukan tersebut di bawah program baik pulih infrastruktur bagi membaiki jalan-jalan kecil dan ia sedang dilaksanakan membabitkan 10 batang jalan di kawasan DUN Kok Lanas," katanya.

Kata Md. Alwi, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga kebajikan rakyat di kawasannya dan pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyediakan kemudahan untuk keselesaan bersama.

"Selain pembangunan infrastruktur, saya juga telah menerima peruntukan untuk membina tujuh buah rumah di bawah projek PPRT berharga RM45,000 sebuah.

"Peruntukan itu sudah diagihkan dan saya akan berusaha menyediakan lebih banyak lagi rumah PPRT bagi membantu golongan yang memerlukan," katanya

Tambah beliau, keperluan terhadap rumah mampu milik kini semakin mendesak memandangkan harga rumah yang cukup tinggi dan tidak mampu dimiliki oleh pasangan muda yang baru berkahwin.

"Mereka tidak mampu membeli rumah yang kini rata-ratanya berharga RM100,000 ke atas menyebabkan masalah ini masih tidak dapat diselesaikan. Saya jangka di kawasan DUN Kok Lanas sahaja kita memerlukan hampir 4,000 buah rumah kos rendah dan ini adalah perkara yang telah lama saya perjuangkan," katanya.

Pertubuhan Kebajikan Wanita sumbang zakat kepada 500 penduduk

Posted: 11 Aug 2013 11:26 AM PDT

KOTA BHARU 11 Ogos - Pertubuhan Kebajikan Wanita Prihatin Kelantan mengagihkan sumbangan wang zakat kepada seramai 500 penduduk miskin di kawasan Parlimen Pengkalan Chepa, di sini baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Zarina Md. Eusope berkata, wang zakat berkenaan adalah yang diterima daripada Bank Rakyat, Agro Bank, Telekom Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional (BSN), serta Malaysia Airport Berhad yang setiap tahun menyalurkan bantuan itu.

Menurut beliau, pengagihan zakat melibatkan penerima yang terdiri daripada golongan fakir, miskin, warga emas, ibu tunggal serta golongan asnaf.

"Pertubuhan ini sentiasa menghulurkan zakat setiap tahun sejak 2008 bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik ," katanya selepas majlis agihan zakat Pertubuhan Kebajikan Wanita Prihatin Kelantan, di sini baru-baru ini.

Zarina berkata, setiap seorang menerima wang zakat berjumlah RM100 serta bungkusan makanan yang merupakan sumbangan peribadi daripada beliau.

"Saya berharap dengan bantuan zakat ini dapatlah meringankan beban mereka untuk membeli keperluan harian. Kami tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak dan sentiasa memberikan komitmen bagi membantu mereka yang memerlukan setiap kali bulan Ramadan," katanya.

Sementara itu seorang penerima, Fatimah Abdullah, 64, berkata, dengan sumbangan itu dapatlah meringankan bebannya yang kini sedang menjaga anak lelakinya yang mengalami strok.

"Saya sangat berterima kasih di atas keprihatinan mereka terhadap nasib kami yang setiap tahun menyalurkan sumbangan zakat.

"Dengan bantuan ini, ia dapat menampung keperluan harian anak saya memandangkan kami hanya bergantung kepada hasil berniaga secara kecil-kecilan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat