Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Tahap kesedaran masih rendah
- MAIK bantu dua keluarga mangsa kebakaran
- Penduduk Mukim Kenak perlukan van jenazah
Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI KOTA BHARU 14 Ogos - Tahap kesedaran rakyat negeri ini berkaitan penyakit kanser masih rendah berbanding negeri lain apabila kira-kira 60 peratus pesakit tampil membuat rawatan setelah penyakit mereka berada di tahap empat iaitu kritikal. Ketua Unit Kanser Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) , Dr. Imi Sairi Abdul Hadi berkata, keadaan ini berlaku kerana faktor luaran yang mendorong mereka untuk memilih cara perubatan tradisional berbanding perubatan moden. "Kebanyakan yang tampil menjalani pemeriksaan tersebut adalah mereka yang sudah menjalani perubatan kampung namun gagal dan akhirnya mereka terpaksa akur mendapatkan rawatan di hospital. "Walaupun mereka memilih rawatan moden pada akhirnya, langkah itu sudah terlambat kerana pihak hospital sudah tidak mampu berbuat apa-apa kerana kanser tersebut sudah berada di tahap empat iaitu peluang untuk pulih amat sukar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut beliau, kanser payu dara adalah yang tertinggi dicatatkan di negeri ini diikuti kanser usus, paru-paru dan pangkal rahim. "Setiap bulan kita menerima banyak kes yang melibatkan penyakit kanser di HRPZ II dan dianggarkan sehingga 60 kes kematian dicatatkan setiap tahun. "Penyakit ini tidak seperti penyakit-penyakit lain kerana hanya mampu diubati sekiranya dapat dikesan dari awal," katanya. Beliau berkata, kebiasaannya penyakit kanser lebih cenderung kepada golongan yang berusia 40 tahun ke atas namun kini penyakit berkenaan boleh berlaku di usia muda iaitu seawal 15 tahun. "Rekod bagi penyakit kanser payu dara adalah berlaku seawal usia enam tahun lagi dan ini menunjukkan usia tidak dapat menjamin apa-apa kerana penyakit kanser kini sudah tidak mengenal peringkat umur," katanya. Katanya, hanya 15 peratus penghidap kanser payu dara disebabkan oleh faktor genetik manakala selebihnya berpunca daripada corak diet dan gaya hidup. "Faktor pengambilan makanan yang tidak seimbang seperti berlebihan dalam mengambil makanan ringan dan pengamalan gaya hidup yang tidak sihat adalah penyumbang terbesar kepada kanser ini," katanya. Tambah beliau, walaupun banyak kemudahan disediakan oleh kerajaan seperti menyediakan saringan secara percuma di hospital, tidak ramai yang tampil membuat pengesanan awal. "Saya berharap kesedaran di negeri ini khususnya dapat ditingkatkan supaya memilih rawatan moden sebagai pilihan utama bagi mencegah penyakit kanser daripada terus menular dan akhirnya boleh membawa maut," katanya. |
MAIK bantu dua keluarga mangsa kebakaran Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT KAMARUDDIN Mohd. Zain (tengah) menyampaikan zakat kepada Hanapi Abdullah di Kampung Pasir Pekan Hilir, Jalan Tok Janggut, Tumpat, Kelantan, kelmarin. TUMPAT 14 Ogos - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) terus komited membantu golongan kurang bernasib baik di negeri ini apabila mengagihkan wang zakat sebanyak RM2,000 bagi membantu dua buah keluarga di Kampung Pasir Pekan Hilir, Jalan Tok Janggut, selepas rumah mereka terbakar pada 19 Julai lalu. Bantuan zakat itu disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamarudin Mohd. Zain ketika mengadakan lawatan ke rumah keluarga berkenaan. Yang turut hadir dalam sesi lawatan tersebut Ketua Pegawai Baitulmal dan Pembangunan MAIK, Mohamed Noor Nik Ishak. Kamarudin berkata, sumbangan tersebut tanda kecaknaan Yang Dipertua MAIK, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fai-iz Petra terhadap nasib golongan tidak bernasib baik di negeri ini. Beliau berkata, baginda yang cakna dengan masalah keluarga terbabit telah meminta MAIK menyegerakan pemberian wang zakat tersebut untuk meringankan beban mereka. "Kita sentiasa komited dalam membantu golongan yang layak menerima bantuan zakat selaras dengan kehendak Tengku Mahkota yang mahu mereka terus dibantu. "Pihak kami bersimpati dengan nasib dialami tiga keluarga ini. Harapan kami agar bantuan kecemasan ini dapat meringankan beban ditanggung mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat itu baru-baru ini. Sementara itu, seorang penerima, Hanapi Abdullah, 46, memberitahu beliau terharu dan berterima kasih kepada pihak MAIKdi atas bantuan wang zakat tersebut. "Saya bersyukur atas sumbangan ini dan dapatlah kami gunakan untuk menampung perbelanjaan harian," ujarnya. Kebakaran yang berlaku pada 18 Julai lalu itu, bukan sahaja memusnahkan rumah tetapi dalam masa yang sama turut menjejaskan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri kedua-dua keluarga berkenaan. |
Penduduk Mukim Kenak perlukan van jenazah Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT RAMLI Hussain (berdiri) mengadakan perbincangan dengan Ahli Jawatankuasa Jemaah Kebajikan Kematian Madrasah Tok Wan Sulong berhubung usaha mereka bagi mendapatkan sebuah van jenazah di Mukim Kenak, Pasir Mas, Kelantan, semalam. PASIR MAS 14 Ogos - Sudah sekian lama penduduk di Mukim Kenak, dekat sini terpaksa menyewa lori seberat dua tan bagi membawa jenazah ke tanah perkuburan untuk urusan pengkebumian. Lebih memeritkan apabila ada jenazah yang terpaksa diusung secara bergilir-gilir sejauh lima kilometer ke tanah perkuburan bagi menyelesaikan urusan pengebumian. Bagi mengatasi masalah tersebut, Jawatankuasa Jemaah Kebajikan Kematian Madrasah Tok Wan Sulong di mukim berkenaan mengambil inisiatif mengutip derma bagi merealisasikan impian untuk mempunyai van jenazah sendiri bagi kemudahan penduduk. Pengerusi Ahli Jawatankuasa Jemaah Kebajikan Kematian Madrasah Tok Wan Sulong, Ramli Hussain berkata, pihaknya memerlukan perbelanjaan kira-kira RM30,000 untuk membeli dan mengubah suai van berkenaan bagi membolehkan dia digunakan bagi urusan mengangkut jenazah. "Setiap kali berlaku kematian, kami terpaksa menyewa lori untuk memudahkan urusan membawa jenazah. Tetapi tidak semua anak mukim di sini berkemampuan kerana kos mengurus jenazah sudah memakan belanja yang agak besar. "Disebabkan itulah kami mengambil inisiatif sendiri dengan melancarkan kutipan derma untuk membeli sebuah van jenazah bagi memberikan kemudahan kepada penduduk," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Ramli memberitahu, buat permulaan pihaknya menjalankan jamuan teh sempena sambutan Aidilfitri baru-baru ini bagi mencari dana merealisasikan impian berkenaan. Katanya, hasil jamuan tersebut pihaknya berjaya mengumpulkan RM8,500 dan jumlah tersebut masih belum mencukupi. "Usaha kami ini bertujuan memberikan kemudahan kepada anak-anak mukim untuk menguruskan urusan pengebumian jenazah yang sudah berpuluh-puluh tahun dilakukan tanpa sebuah van jenazah khas untuk penduduk. "Harapan kami akan ada pihak yang sudi tampil menjadikan impian penduduk untuk memiliki sebuah van jenazah tercapai. Selain itu, kami juga memerlukan tempat khas untuk memandikan jenazah sekali gus melengkapkan kemudahan tersebut," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |