Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Tunai haji sekali sahaja
- Iklim Singapura, KL akan berubah
- Telefon bimbit melengkung pertama di dunia dijual
Posted: Tunai haji sekali sahaja
MEKAH - Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh menggesa umat Islam yang pernah mengerjakan haji supaya tidak lagi melakukan ibadah tersebut, lapor Arab News semalam. Beliau berkata demikian supaya jemaah-jemaah haji kali pertama berpeluang melakukan ibadah berkenaan dengan lebih sempurna. Mufti berkenaan turut menasihati bakal haji tersebut supaya mendermakan wang haji mereka kepada golongan yang memerlukan. Bercakap pada satu persidangan anjuran Kementerian Haji di kota suci ini, beliau berkata, ibadah haji wajib bagi setiap orang Islam sekali dalam hidup mereka. "Nabi Muhammad SAW mengerjakan haji sekali seumur hidupnya," kata Sheikh Abdul Aziz. "Umat Islam perlu mengikuti sunah baginda dengan menjadikan haji lebih mudah untuk setiap jemaah," tambahnya. Menurutnya, adalah sudah mencukupi jika seseorang Islam itu melakukan haji sekali dalam hidup mereka. "Mereka tidak perlu mengulanginya terutama pada tahun ini apabila sejumlah besar jemaah tiba dari serata dunia untuk mengerjakan haji," tambah mufti itu. Sekitar dua juta umat Islam dijangka membanjiri kota suci ini untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini yang bermula pada Ahad ini. Sementara itu, Jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Haji, Kolonel Abdullah Al-Harthy berkata, tujuh orang cedera ringan akibat hujan dan angin kencang yang melanda Mina dan Padang Arafah tengah hari kelmarin. "Tempat-tempat suci di sini mengalami hujan sederhana yang menyebabkan sejumlah khemah sementara yang dididirikan di Arafah rosak," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa memberitahu semalam bahawa dua warga Arab Saudi meninggal dunia di Riyadh selepas mereka dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS). Kedua-dua lelaki berkenaan yang masing-masing berusia 78 dan 55 tahun turut menghidapi penyakit kronik yang lain. Pihak berkuasa Arab Saudi bagaimanapun tidak mendedahkan tarikh kematian itu berlaku. Pada masa yang sama, dua lagi kes MERS dicatat dengan jangkitan virus berkenaan meningkat kepada 119 orang sejak penyakit itu pertama kali muncul di Arab Saudi pada September 2012. Virus MERS telah meragut 58 orang di seluruh dunia setakat ini dengan angka kematian terbesar iaitu 51 orang dicatat di Arab Saudi termasuk dua kematian terbaharu itu. Media tempatan semalam memetik Menteri Kesihatan Arab Saudi, Abdullah Al-Rabia sebagai berkata, pihak berkuasa masih belum mencatatkan sebarang kes MERS dalam kalangan jemaah haji setakat ini. Virus MERS dipercayai menjangkiti manusia daripada haiwan. Penyakit itu mempunyai simptom menyerupai demam selesema tetapi menyebabkan kegagalan ginjal yang boleh membawa kematian. - Agensi | |
Iklim Singapura, KL akan berubah Posted: Iklim Singapura, KL akan berubahSEJUMLAH bangunan pencakar langit yang terdapat di bandar raya Singapura.- AP WASHINGTON - Dalam tempoh satu dekad akan datang, ibu kota Jamaica, Kingston akan mencatat suhu panas melampau secara berkekalan. Situasi serupa akan menimpa tempat-tempat lain di dunia termasuk bandar raya Singapura pada tahun 2028. Bandar raya Mexico juga mengalami situasi yang sama pada tahun 2031 dan Kaherah pada tahun 2036. Cuaca panas melampau itu seterusnya akan melanda dua bandar di Amerika Syarikat iaitu Phoenix di Arizona dan Honolulu di Hawaii pada tahun 2043 diikuti di seluruh dunia menjelang 2047. Pendedahan tarikh tersebut dibuat berdasarkan satu kajian tentang pemanasan global. Penyelidikan itu meramalkan suhu bandar raya di seluruh dunia akan meningkat seperti yang belum pernah berlaku sebelum ini. Keadaan itu dijangka menimpa bandar-bandar beriklim tropika dalam tempoh tidak sampai satu generasi. "Kertas kajian ini adalah inovatif dan membimbangkan," kata bekas ketua Pentadbiran Oseanik dan Atmosfera Kebangsaan, Jane Lubchenco. Kumpulan saintis berkenaan menggunakan pemerhatian cuaca, model komputer dan data lain untuk mengira tahun yang mencatat suhu panas melebihi suhu paling panas yang pernah direkodkan sejak 150 tahun dahulu. Sebagai contoh, seluruh dunia mencatat suhu paling panas pada tahun 2005. Namun, kajian tersebut yang disiarkan kelmarin dalam jurnal Nature menyatakan, selepas tahun 2047, bumi akan menjadi lebih panas berbanding tahun 2005. "Kami berharap pendedahan ini akan mendorong kerajaan di dunia untuk bertindak mengurangkan pemanasan global sebelum terlambat," kata pengarang bersama kajian tersebut, Ryan Longman. Menurutnya, jika negara-negara dunia dapat mengurangkan pencemaran karbon dioksida dan gas lain, bencana itu akan dapat dilewatkan sehingga tahun 2069. Suhu panas amat melampau itu diramal bermula di bandar Manokwa, Indonesia pada tahun 2020 sebelum melanda Kingston di Jamaica. Dalam tempoh dua dekad akan datang pula, sebanyak 59 bandar raya akan memperoleh cuaca baharu termasuk Singapura, Havana, Kuala Lumpur dan Bandar raya Mexico. Menjelang tahun 2043, sebanyak 147 bandar raya diramal mengalami suhu lebih panas melebihi yang pernah dicatatkan dalam sejarah. Beberapa bandar raya pertama di AS yang dilanda fenomena tersebut ialah Honolulu dan Phoenix diikuti oleh San Diego dan Orlando di Florida pada 2046. Bandar raya New York dan Washington pula akan mengalami iklim baharu itu sekitar tahun 2047 manakala situasi serupa akan menimpa Los Angeles, Detroit, Houston, Chicago, Seattle, Austin serta Dallas tidak lama kemudian. Bandar raya terakhir yang mengalami iklim panas melampau tersebut adalah Anchorage di Alaska. Kajian tersebut melibatkan sejumlah 265 bandar raya di seluruh dunia. - AP | |
Telefon bimbit melengkung pertama di dunia dijual Posted: Telefon bimbit melengkung pertama di dunia dijualSEORANG model memegang dua telefon melengkung keluaran Samsung, Galaxy Round di Pameran Elektronik dan Industri IT di Goyang, utara Seoul semalam.- afp SEOUL - Telefon pintar pertama Samsung yang menampilkan skrin melengkung memasuki pasaran Korea Selatan semalam. Pembekal perkhidmatan wayarles Korea Selatan, SK Telecom memberitahu, gajet Galaxy Round yang mempunyai skrin 14.4 sentimeter dan berbentuk sedikit bulat itu mula dijual pada waktu tengah hari. Ia merupakan telefon bimbit pertama di dunia mempunyai skrin melengkung. Menurut Samsung kelmarin, telefon pintar baharu itu dijual pada harga sekitar AS$1,000 (RM3,191). Ia tidak menyatakan tarikh gajet yang dilengkapi sistem pemprosesan empat teras berkapasiti 2.3 GHz itu berada di pasaran global. Telefon itu dilengkapi dengan sistem Android milik Google. "Paparan Galaxy Round melengkung supaya ia mudah dipegang dan selesa apabila diletakkan di telinga dan pipi ketika bercakap," menurut syarikat SK Telecom dalam satu kenyataan. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |